Monday, June 1, 2009

Reformasi Pendidikan!!

Ironinya pendidikan merupakan tulang belakang terpenting dalam sesebuah negara yang bertamadun. Tanpa pendidikan, sesuatu bangsa akan menjadi lumpuh dan buta. Kegagalan sesebuah kerajaan untuk membentuk generasi muda sebagai pelapis yang akan menentukan hala tuju sebuah negara akan menyebabkan sesebuah kerajaan akan menjadi mandul, jumud dan mudah untuk diperkotak-katikkan oleh negara yang lain.

Di sinilah betapa pendidikan sebagai elemen terpenting bagi mencorakkan masa depan sebuah tamadun dan peradaban. Pendidikan yang mementingkan material tanpa diperkukuh dengan ilmu agama akan membawa semua tamadun yang semput dan pendek jangka hayatnya. Ia akan menghasilkan sebuah negara yang koyak peradabannya dan dipenuhi korupsi yang menunggu masa untuk disembelih lehernya oleh musuh-musuh yang berkeliaran di luar sana.

Agama dan moral sebagai benteng yang melindungi sesebuah bangsa daripada mudah hanyut dengan arus dunia dan kemodenan. Tanpa benteng dan perisai ini akan melahirkan sebuah bangsa yang rapuh dan tidak punya nilai hidup. Sepertimana sejarah telah membuktikan apabila agama dan moral ditinggalkan maka sesebuah peradaban yang dibina beratus tahun akan ranap sekelip mata.

Kegagalan kerajaan untuk memahami aspirasi peradaban akan melahirkan sebuah masyarakat yang tempang. Sebuah masyarakat yang hanya memandang aspek material semata-mata. Seperti yang terbukti pada hari ini, setelah kita mencapai kemerdekaan selama 52 tahun lamanya, kita gagal menterjemahkannya ke dalam bidang pendidikan.

Ternyata dan terbukti sistem pendidikan kita begitu tempang sekali hari ini. Yang berjaya kita tonjolkan adalah sebuah generasi muda yang hanyut dengan seribu satu gejala sosial. Kita berjaya menghasilkan sebuah generasi yang kaya dengan budaya rempit, bohsia, bohjan, dadah, ragut dan seribu satu persoalan yang tidak dapat dibendung lagi.

Apakah kerajaan tidak menyedari apa yang terjadi pada hari ini. Tidak cukupkah selepas 52 tahun kita merdeka memberi ruang kita untuk berfikir akan ketempangan sistem pendidikan kita pada hari ini? Selepas Khir Mahadhir berjaya menghapuskan tulisan jawi daripada menjadi warisan masyarakat Melayu yang sama modus operandinya dengan Mustaffa Kamal Attarturk, ia terbukti berjaya melahirkan generasi-generasi muda yang buta Al-Quran dan tidak tahu membaca tulisan jawi.

Dengan sistem pendidikan hari ini, ia telah berjaya melumpuhkan sistem pendidikan pondok dan sekolah agama rakyat yang dianggap ketinggalan zaman. Maka ditonjolkan sistem yang diimport daripada rakyat yang didakwa berjaya memodenkan masyarakat kita pada hari ini. Walhal ia tidak lain daripada perangkap kepada masyarakat yang mengejar kemodenan.

Apakah selepas 52 tahun, kita tidak mampu untuk membentuk sistem pendidikan kita sendiri? Sistem pendidikan yang dapat melahirkan generasi-generasi kebal terhadap ancaman luar? Generasi yang mempunyai jati diri? Generasi yang dapat berjuang untuk kembali memartabatkan bangsa dan agama? Generasi yang mencipta peradaban baru yang lebih gemilang? Dengan sistem pendidikan pada hari ini? Rupanya aku bermimpi di siang hari.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails