Malang nya Melayu ! Politik Berjaya Memecahbelahkan kita!

Hati sedih tidak terkata. Gelora di dada kian membara. Melihat saban hari masyarakat Melayu semakin berpecah belah. Menjadi berkeping-keping buih di tengah lautan samudera. Fizikalnya kelihatan banyak mengunung, tetapi disentuh pecah berderai.

Kita tidak menyedari bahawa betapa parahnya keadaan bangsa kita pada hari ini. Betapa ramai yang memerlukan pembelaan dan pertolongan. Namun, seringkali diketepikan atas tiket politik. Dan betapa jua berjayanya bangsa kita menjadi musuh sesama mereka. Di kiri kanan musuh-musuh kita menunggu masa untuk meratah dan bersorak kegembiraan. Betapa segala kekayaan dikaut oleh orang lain, sedang kita merana di bumi sendiri.

Tidak habis-habis orang kita berpolimik politik. Umno dengan caranya, begitu juga pas dengan caranya. Ada nama politik kita mengenepikan semangat persaudaraan Islam sesama kita. Mulut bercerita pasal Islam, tetapi perbuatan kita langsung kontra dengan apa yang diucapkan. Tiadakah lagi sekelumit rasa cinta dan ukhuwah sesama Islam? Hanya kerana label Umno dan Pas , tembok permusuhan segagah tembok besar cina terbina dengan sendiri.

Politik itu ada di dalam Islam. Tetapi Islam masih di atas politik. Adakah kita berpolitik untuk memenangkan Islam, atau kita menggunakan istilah Islam sebagai alat politik. Ternyata kita semakin celaru. Yang terkeluar hanyalah maki hamun.

Utusan Melayu umumnya masyarakat sudah tahu akan perihal perangainya yang semula jadi menjadi pusat propaganda dan adu domba. Namun, bagaimana dengan perihal tuan guru kita yang asyik mencipta polemik dan bola tanggung yang terus menerus membingungkan orang awam seperti kita. Adakah kerana hanya satu perkara kecil iaitu doa, maka kita bergolok berparang untuk menegakkan kebenaran masing-masing?

Apakah tiada lagi istilah diplomasi di dalam kamus bangsa kita? Kerana doa maka kita terpaksa usung sepanduk ke sana ke mari. Lalu pihak yang satu lagi terpaksa juga mengadakan perhimpunan untuk 'counter-attack' tindakan yang di sebelah sini. Bukankah ia satu perbuatan yang bersifat kartun yang kadang-kadang susah diterima akal yang normal.

Andai kata isu di sini soal royalti, maka fokuskanlah kepada royalti. Usahlah dicanangkan bahawa kerana royalti itu disekat, maka kita hebahkan satu negara bahawa kita akan berdoa supaya yang menyekat itu akan diturunkan bala. Adakah itu sebenarnya akhlak dan adab seorang pemimpin Islam? Apakah itu contoh dan sunnah yang diturunkan oleh Rasulullah?

Cukup-cukuplah dengan polemik kita ini. Kembali lah fokus kepada perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Andai kata di dalam jemaah itu sendiri sudah berpecah-belah adakah mungkin agama itu akan terbela. Betulkan di dalam, barulah kita dapat fokus yang diluar. Andai di dalam rosak, maka hancur berkecailah jemaah itu. Rapatkan saf, betulkan barisan. Yang pasti islam itu bersaudara dan bukanlah perpecahan matlamat kita.

Badan-badanku Sengal Semua

Nampaknya belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat hari raya korban kepada semua saudara-saudara Islam di luar sana. Walaupun raya dah habis, tapi harapan kita agar semangat dan falsafah hari raya korban yang kita fahami itu turut diterapkan sehingga setelah habisnya hari raya korban.

Berkorban itu bukan setakat menyembelih lembu, kerbau dan kambing semata-mata. Tetapi nilai korban itu dinilai daripada erti kasih sayang, pengorbanan, keimanan dan ketakwaan. Pengorbanan terhadap agama akan menuntut pengorbanan yang tinggi. Bukanlah sekadar menghabiskan dua tiga ratus setahun kerana sudah menjadi tradisi tahunan sahaja.


Tutup cerita pasal korban, kita cerita pasal benda lain pula. Minta maaf kerana lama dah tak menulis. Biasalah syndrom 'writters block' (entahkan betul entahkan idak istilah ini) menghantui diri penulis. Banyak sangat benda nak diluahkan tapi bila di depan keyboard hanyalah melihat huruf-huruf yang tertera. Menekannya susah sekali.

Jadi bagi merobohkan benteng ini, maka diriku ingin sedikit membebel tentang sistem lebuhraya pantai timur (LPT) yang pada aku lebuhraya kelas C. Namun kelas C itu dinilai pada kualiti jalan yang berombak-ombak, tidak rata dan air melimpahi jalan sewaktu hujan yang membahayakan pengguna jalan raya tetapi bukan daripada nilai kutipan tolnya. Nilai tolnya walaupun baru setahun jagung sudah setaraf dengan Lebuhraya PLUS, walaupun mutunya jauh sekali.

Agaknya kerana memang orang pantai timur ini dari dulu, kini dan selamanya akan dianaktirikan maka dibuatlah lebuhraya yang ibarat melepaskan batuk di tangga. Mungkin pada persepsi pembina lebuhraya ini tak ramai pengguna yang akan menggunakan lebuh raya ini. Maka digunakanlah bahan yang murah, bukit-bukit yang menunggu masa untuk runtuh, dan kaunter tol yang sebiji dua sahaja.

Maka kami yang bersemangat untuk pulang ke kampung terpaksa lah menahan bahananya. Andai kata kesesakan di PLUS itu boleh dimaafkan kerana penghuni kotaraya pulang terlalu ramai sehingga menyebabkan kesesakan, apa kata anda jika kesesakan berkilometer hanya kerana beratur untuk membayar tol. Mungkin pihak lebuhraya LPT tidak pernah mengambil cakna sangat atau belajar daripada apa yang terjadi di PLUS.

Terpaksalah kaunter-kaunter tol tambahan dibuka. Hairannya mengapalah mereka tidak boleh menjangka perkara ini tidak akan terjadi awal-awal lagi sewaktu ingin membuka lebuhraya tersebut. Yang pastinya kaunter yang dibuka 'defaultnya' 1 tol touch 'n' go, satu tol fastlane dan satu sahaja tol tunai. Habis banyak kaunter tunai ada 2.

Maka berbakul-bakul lah agaknya sumpah seranah yang keluar dari pembawa kenderaan ini yang terpaksa mengorbankan tenaga, minyak dan wang ringgit. Namun jika diluahkan sudah pasti akan terkeluar kata-kata kelas pertama dari pemimpin kita yang mendakwa sistem lebuhraya di Malaysia antara yang terbaik di dunia. Maka jika terjadi kesesakan seperti ini maka itu adalah salah pengguna sendiri. Tidak pandai merancang perjalanan dan tidak pandai bersyukur.

Maka sebagai pengguna-pengguna kecil ini, terpaksalah menerima hakikat bahawa perkara ini akan berterusan sampai bila-bila. Mungkin ada sedikit perubahan tetapi faham-faham sahajalah. Andai kata Menteri Kerja Raya dahulu sudah pasti yang didahulukan adalah kos tol tersebut. Agaknya inilah aplikasi cogankata rakyat diutamakan.

Maka terpaksalah penulis mengambil cuti satu hari kerana habis urat saraf terasa berdenyut-denyut. Ini mungkin perkara kecil sahaja kerana rasanya pengguna PLUS mengalami kesesakan yang lebih dasyhat lagi. Merancang perjalanan ? Nak buat macam mana penulis memang cuti pada hari ini tetapi isteri bekerja maka terpaksalah balik walau tahu apa yang menanti. Agaknya bila mimpi ngeri kami ini akan berakhir.

p/s: Minta maaf, bukti tidak dapat disertakan kerana telefon buat hal semasa ingin mengambil gambar kesesakan tersebut.

Puisi Untuk Si Dia

Wahhabi

Saudara,

kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak berqunut Subuh;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak bertahlil arwah;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak wirid berjemaah lepas sholat;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak membaca Yaasin malam Jumaat;
kita bermusuh denganWahhabi,
bukan kerana dia tak nak bermawlid;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak bertawassul;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak bertalqin;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak berlafaz niat "usholli";
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak Tarawih 20 rakaat;
kita bermusuh dengan Wahhabi bukan kerana dia Wahhabi;

TAPI;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi memusuhi kita;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita sesat;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita ahli bid`ah;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita khurafat;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita syirik;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita tak ikut Qur`an dan Sunnah;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi halalkan darah kita kerana kita sudah syirik;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi biadap dengan ulama-ulama kita;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi tak biarkan kita beramal dengan aman tanpa cemohan;

dipetik dari blog Bahrus Sofa

Berhati-Hatilah Dengan Fitnah Akhir Zaman

Kita sudah berada di penghujung akhir dunia ini. Zaman yang mana disebut akhir zaman. Semua tanda-tanda kiamat kecil sudah dipenuhi. Hanya menunggu tanda-tanda kiamat besar yang hanya menunggu masa memperlihatkan diri. Betapa malangnya umat Islam hari ini langsung tidak menghiraukan amaran dan tanda-tanda ini yang telah diberitahu oleh Rasulullah Salallahu Alaih wasalam 1400 tahun yang dulu. Malah kita semakin hari semakin jauh dari ajaran Islam yang sebenar. Malah kebanyakan manusia hari ini berlumba-lumba untuk mengejar nikmat dan harta dunia yang hanya sementara.

Hakikat bahawa kehidupan kita ini adalah ujian dan sementara dipandang remeh-temeh sahaja. Kita mengejar dunia seolah-olah kita tidak akan langsung mati. Dunialah segalanya. Kerana harta dan wang, maruah diri dan agama sendiri diperdagangkan. Terlupa bahawa kita pengembara dunia yang bila-bila masa akan dipanggil oleh Yang Maha Pencipta. Lalu segala yang digariskan di dalam Kitab Suci dan hadis nabi ditinggalkan begitu sahaja.

Semakin dunia tua, semakin jauhlah juga manusia dengan tuhannya. Ditambah dengan perancangan teliti Dajjal dan musuh-musuh Islam, umat manusia semakin lena. Lena yang ditambah dengan dengkuran yang keras. Tidak langsung mengetahui mereka sudah terperangkap dengan syurga dunia yang dibawa oleh Dajjal al-masih. Lalu jadilah mereka alat dan goyyim pihak musuh dan zionis. Di mana goyyim adalah lembu atau binatang ternakan, malah bisa sahaja lebih teruk dari itu.

Maka berhati-hatilah dengan segelintir mereka yang kononnya mempunya ilmu agama yang tinggi. Yang mana bisa sahaja mempunyai pelbagai gelaran dan sijil. Namun yang jelasnya ajaran yang dibawa tidak sinonim dengan ajaran Islam dan mazhab Fiqh Shafiee yang diwarisi oleh kita dari ulama-ulama yang terdahulu. Bukan sedikit yang keliru dan terjebak. Antara sedar atau tidak, racun-racun ini telah menyusup masuk ke dalam urat saraf ummah.

Negeri ini dari dahulu lagi berpegang kepada Mazhab Fiqh As-Syafie, akidah ASyairah dan berpegang kepada tasawuf Imam Ghazali dan Imam Junaid Al-Baghdadi. Ia dipegang kukuh oleh umat Islam nusantara sehingga menjadi darah daging umat Islam di sini lalu terhasillah umat Melayu yang bersopan santun dan baik budi bahasa.

Malangnya adab bertandang ke rumah orang semakin dilupakan orang Melayu dewasa ini. Masuk ke rumah orang lalu mengomel dan tidak puas hati dengan hiasan dan susunan perabot tuan rumah. Di sini tidak sesuai, di sana tidak cantik. Andai kita sebagai tuan rumah, apakah perasaan kita apabila bertemu dengan tetamu seperti ini.

Imam Shafie apabila menjadi imam solat di masjid Imam Abu Hanifah pada waktu subuh tidak membaca doa qunut. Apabila ditanya mengapa beliau tidak membaca doa qunut, sedangkan dalam mazhab Shafie doa qunut hukumnya sunat Muakad beliau menjawab bahawa beliau menghormati tuan rumah. Menghormati Imam Abu Hanifah yang telah menghadap Allah pada masa itu.

Begitulah ketinggian adab dan perlakuan seorang ulama dan mujtahid mutlak. Tidak seperti kebanyakan orang pada hari ini yang merasakan ilmunya sudah cukup tinggi. Maka habis semua yang dilakukan oleh ulama-ulama terdahulu dilabelkan sebagai bidaah. Ini tiada nas, itu tidak pernah dilakukan oleh nabi. Semakin banyak dia bercakap, semakin terserlah kejelekan peribadi yang ada pada dirinya. Di mana perginya adab sebagai seorang yang berilmu?

Maka fahaman-fahaman ini semakin meresap terutamanya kepada pelajar-pelajar IPT. Mula bertanyakan soalan-soalan yang bisa sahaja merentap jantung dan perasaan. Mengapa kita perlu bermazhab? Bukankah mazhab itu juga satu bidaah. Amalan ini tidak pernah dilakukan oleh nabi. Bermaksud Islam yang selama ini diamalkan oleh nenek moyang kita ini terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Maka perlulah satu gerakan pembaharuan yang membetulkan kembali ajaran Islam yang diamalkan pada hari ini. Betapa malang dan jumudnya pemikiran seperti ini. Tidak pernahkah mereka mengetahui berapa ramai wali-wali Allah pernah muncul di bumi Nusantara ini? Yang selama ini menjadi pemangkin dan benteng ahli sunnah wal jamaah di bumi bertuah ini?

Maka kita sendiri usahlah menjadi alat-alat tanpa disedari. Menyokong secara membabi buta. Sibuk bertanya di mana dalil ini di mana dalil itu. Analoginya cukup mudah. Jika kita menjadi seorang Imam solat, lalu apabila selesai sahaja kita memberi salam, dilihat makmum yang 2-3 saf tadi sudah hilang. Hanya tinggal kita sahaja. Agaknya apakah perasaan kita? Adakah itu adab dan nilai akhlak Islam 'sebenar' yang ingin dibawa. Adakah itu cantik dan itulah yang dituntut di dalam Islam ? Sedangkan akhlak-akhlak orang terdahulu cukup tinggi. Begitu juga ulama-ulama' yang terdahulu. Amalan yang sedikit semakin disempitkan dengan larangan itu dan ini. Hasilnya, tidak payah beramal kerana ternyata itu semua tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah.

Berhati-hatilah wahai saudaraku. Lidah mereka begitu lembut menutur kata. Tetapi ia bisa sahaja membelit akidah dan pegangan kita. Dicanang mereka bahawa ini masalah furu'. Masalah ranting. Memang betul itu masalah furu'. Tetapi siapakah yang mencanangkan masalah-masalah furu' ini menjadi begitu besar seolah-olah ia adalah satu syirik yang wajib diperangi.

Berhati-hatilah wahai saudaraku. Tangan-tangan ghaib yang dimanipulasi oleh 'hidden hand' akhir zaman cukup licik menjalankan peranannya. Peristiwa tempoh hari seolah-olah satu bola tanggung untuk memperlihatkan dan mengumpan simpati masyarakat seolah-olah merekalah di pihak yang teraniaya. Perasan atau tidak, 2-3 hari ini di muka utama tiada muka orang lain yang dipaparkan. Begitu juga selepas berlakunya peristiwa itu, maka sidang media besar-besaran di jalankan untuk memberi publisiti hebat kepada orang itu.

Berhati-hatilah. Belajarlah. Jangan lupa juga adab dalam menuntut ilmu dan cara mencari guru. Kerana barakah guru-guru inilah yang membentuk diri kita adakah semakin hari semakin baik atau sebaliknya. Janganlah kita menjadi di kalangan orang yang rugi. Minta dijauhkan Allah di waktu nyawa kita di halkum barulah kita mengetahui hakikat yang sebenarnya. Sesungguhnya fitnah akhir zaman itu terlalu hebat dan terpalit kepada semua umat manusia! Untuk menjaga akidah diri dan berpegang kepada ajaran Islam pada masa ini bukanlah sesuatu yang mudah. Berhati-hatilah saudaraku.


Marahkan Nyamuk Kelambu Dibakar

Satu Malaysia sedang tertumpu kepada isu-isu dalaman dalam PAS yang kini sedang hebat digembar-gemburkan oleh media-media massa. Samada sedar atau tidak, pemimpin PAS sendiri seolah-olah memberi bola tanggung yang mana bukan sedikit persepsi negatif yang ditelan dan dihirup oleh rakyat. Namun mungkin kerana terlupa atau tidak sengaja, kenyataan Tuan Guru Nik Aziz begitu mirip dengan kenyataan Tuan Guru Haji Hadi sewaktu Pas berjaya merampas Terengganu.

Dan sejarah telah merakamkan. Akibat kenyataan-kenyataan kencang inilah, Pas ditendang padu oleh rakyat Terengganu dan tinggal nyawa-nyawa ikan di Kelantan. Dan kini, Tuan Guru Nik Aziz mengulangi perkara yang sama yang mungkin menyebabkan Pas hanya tinggal nyawa-nyawa ikan pada PRU-13 nanti.



Tidak pasti samada kenyataan ini didorong oleh perasaan benci yang membuak-buak atau mungkin sahaja kemarahan yang tidak terbendung, maka tok guru meluahkan perasaan sehingga ke jurai keturunan Datuk Syed Alhabsee. Biarpun tidak puas hati dengan kenyataan Datuk Syed namun biarlah hanya antara Tuan Guru Nik Aziz dan Datuk Syed sahaja. Malangnya, kenyataan ini disambut dengan tidak bijaksana oleh Tuan Guru dengan mengungkit keturunan Datuk Syed Ali Alhabsee.

Di sini pelbagai keributan bisa sahaja timbul. Pertamanya, gelaran syed itu sendiri bukanlah diberi kepada bapa saudara Rasulullah Sallahu alaih wasalam. Gelaran itu hanya dimulai oleh Sayyidina Husin dan Sayyidina Hassan Radhiallahuanhu. Ia bukan sahaja akan menimbulkan keributan kerana apabila disebut istilah yang luar biasa dan kasar dalam bahasa kelantan iaitu 'pengat' seolah-olah kurang percaya ianya keluar daripada mulut seorang tuan guru yang bergelar ulama.

Seharusnya keluarga Rasulullah Sallahu Alaih wasalam ini dicintai, dihormati dan dikasihi tanpa melampaui batas. Sepertimana pesan Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam sendiri di akhir hayat baginda meminta supaya pertalian antara umat Baginda dan ahli keluarga baginda dikekalkan supaya tidak terputus hubungan baginda dengan umatnya.

Kesan maksima yang akan berlaku dari kenyataan tuan guru ini akan menyebabkan hilangnya rasa hormat umat Islam terhadap golongan Syed itu sendiri. Tidak sepatutnya kenyataan ini diguna pakai untuk 'pukul rata' semua golongan saadah sebagai sama sifatnya dengan yang dimaksudkan. Apatah lagi kerana beberapa golongan artis daripada keturunan Syed dan Syarifah berkecimpung sebagai artis maka rosaklah susu sebelanga.

Melayu mudah lupa. Jika disusuri kembali sejarah pengislaman tanah Melayu - janganlah lupa bahawa keturunan Syed yang bepekerti mulia ketika itulah yang memulakan misi untuk mengislamkan seluruh nusantara. Jangan dilupa Syeikh Ahmad Baghdadi, Syed Hussin Jamadil Kubra, Sunan Ampel, Tokku Pulau Manis dan golongan-golongan keturunan Ahlu Bait yang lainnya.

Politik bukanlah alat untuk memberi lampu hijau kepada umat Islam untuk menghina golongan Ahlul Bait. Kerana leluhur mereka berkait terus dengan junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu Alaih wasalam. Hatta, Imam Malik apabila diseksa di penjara oleh seorang Ahlul Bait di dalam penjara menyuruh orang disekelilingnya bersaksi bahawa bermula dari hari pertama lagi penyeksaan dilakukan ke atas beliau, beliau telah memaafkan Ahlul Bait tersebut. Ini kerana beliau tidak mahu menjadi penyebab dan malu kepada Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam yang mana kerana beliau seorang Ahlul Bait baginda dihumban ke dalam neraka.

Begitu juga pegangan umat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Yang mana golongan ini bukanlah diminta untuk dimuliakan tetapi berpegang kepada pesanan Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam yang menyuruh kita terus menghargai Ahlul Bait ini. Usahlah dipermainkan sunnah Rasulullah semata-mata kita menyangka bahawa kita sudah berjuang untuk tok nenek Syed ini. Allahuma Soli Ala Saidina Muhammad.

Aku Malu Tetapi Mereka Ketawa Besar

Minggu ini aku sering termenung sendiri. Banyak sangat benda yang menganggu fikiranku. Fikir masalah bangsa, masalah negara, masalah agama dan macam-macam lagi. Aku bukan pemimpin negara, jauh lagi dari ketua kampung. Tetapi benakku tetap cuba untuk mengambil tahu apa yang terjadi di sekeliling aku.

Sedih bercampur pilu. Ngilu pun ada. Bangsaku yang bernamaMelayu telah mabuk bergelumang dengan najis rasuah. Tapi untuk memperlihatkan benda itu sebagai bukan satu perkara yangmenjijikkan maka ditukar nama yang lebih indah sedikit iaitu politik wang. Bagi mereka babi itu haram, memang menjadi pantang larang bagi mereka. Tapi lain pula dengan politik wang itu sudah perkara biasa dan wajib ada.

Lalu dikatalah bahawa parti itu sudah separuh ditransformasi. Mungkin maknanya yang tak pandai rasuah perlu belajar dengan otai rasuah. Kalau setakat rasuah sikit-sikit tidak akan menang pilihan raya maka perlu menang banyak-banyak. Lepas itu barulah kita boleh kata bahawa rakyat sudah kembali perjuangan kita.

Tanda dunia itu semakin hampir kiamat semakin jelas dan ketara. Apabila Islam itu menjadi dagang sehingga yang haram bisa sahaja menjadi halal bila ditukar namanya. Hanya yang tidak bisa diletakkab disitu cop tanda halal jalim sahaja. Jika tidak sudah pasti ianya akan menjadi halalan toyyibah. Kepala aku sudah terbalik atau mereka yang terbalik.Alahai...


Sengketa Malaysia - Indonesia : siapa yang untung?

Apa yang berbeza di antara Malaysia dan Indonesia? Dari segi sejarahnya, keduanya adalah berasal dari rumpun bangsa yang sama. Bangsa Melayu yang bersatu di alam nusantara atau juga dikenali sebagai Jawi. Tiada beza antara kita. Dari segi bahasa, budaya dan agama juga langsung serupa. Rupa paras pun tidak jauh bezanya.

Pendek kata kita dan mereka bersaudara. Apalagi atas dasar rumpun Melayu yang suatu masa dulu begitu perkasa di nusantara. Dikuatkan lagi dengan persaudaraan sesama Islam. Maka tidak hairan jika ramai daripada kita mempunyai tali ikatan persaudaraan. Sehingga datanglah bangsa penjajah yang bernama Inggeris dan Belanda ke nusantara.

Ironinya, jika dilihat oleh bangsa Malaysia keseluruhannya kita tidak merasakan British itu adalah penjajah yang merogol kehormatan dan merompak segala hasil khazanah bumi tercinta ini. Biarpun tidak sedikit pejuang bangsa yang gugur tetapi ia ternyata hanya dipandang sepi oleh golongan muda pada hari ini. British dipandang sebagai wira yang memberikan kemerdekaan dan begitu 'baik hati' menyerahkan kembali negara ini kepada kita.

Kini kita begitu mencintai mereka melalui pasukan Manchester United, liverpool, chelsea, arsenal dan lain-lain. Tiada imbasan sejarah silam, yang tinggal hanyalah kecintaan semata-mata. Kerana pasukan-pasukan ini juga kita sanggup bermasam muka rakan-rakan musuh pasukan kita, juga sudah biasa pelbagai sindiran dikeluarkan.

Begitulah jua apa yang berlaku di antara Malaysia - Indonesia hari ini. Kerana termakan dengan fitnah-fitnah yang diatur oleh pihak-pihak tertentu, Malaysia dan Indonesia menjadi negara musuh yang saling benci-membenci. Jarak yang dekat kini kelihatan begitu jauh seolah-olah terpisah oleh satu benua yang jauh.

Kebencian ini begitu meluap-luap. Ia terus diluahkan walaupun pada masa kini indonesia berada dalam suasana yang payah. Walaupun baru sahaja ditimpa malapetaka, rakyat Indonesia tidak melepaskan peluang untuk melemparkan kemarahan kepada pasukan bantuan dari Malaysia. Batu-batu dilemparkan ke arah helikopter pasukan tentera Malaysia hanyalah setitis rentetan kebencian mereka. Mungkin kita tidak merasakan bahangnya kerana media kita begitu bijak menyembunyikan hakikat sebenar tetapi berbeza dengan mereka.

Betapa kita tidak dapat membayangkan sejauh manakah dalamnya kebencian mereka kepada kita yang ditanamkan oleh pihak-pihak berkepentingan di sana. Dalam keadaan ditimpa musibah sedemikian hebat pun mereka masih berupaya meluahkan kebencian mereka kepada kita.

Ianya bukan sesuatu yang terjadi dengan sendiri, tetapi disusun dengan penuh teliti oleh golongan-golongan yang mempunyai kepentingan. Hasil daripada pecah dan perintah ini serta tingginya nilai kebencian semakin tinggilah peluang keuntungan yang diperolehi.

Kerajaan Malaysia seharusnya memainkan peranan yang sepatutnya dan rakyat perlu didedahkan akan situasi yang sebenarnya. Ternyata kesan daripada peristiwa ini, tidak kelihatan langsung satu kemungkinan bahawa empayar nusantara ini bercantum kembali dan didaulatkan. Setiap pemerintah mempunyai kepentingan masing- masing dan sebarang usaha penyatuan kembali adalah mustahil. mungkinkah daulat Islam akan kembali tertegak di nusantara ini? Hanya masa yang dapat menjawabnya.