Sunday, November 29, 2009

Badan-badanku Sengal Semua

Nampaknya belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat hari raya korban kepada semua saudara-saudara Islam di luar sana. Walaupun raya dah habis, tapi harapan kita agar semangat dan falsafah hari raya korban yang kita fahami itu turut diterapkan sehingga setelah habisnya hari raya korban.

Berkorban itu bukan setakat menyembelih lembu, kerbau dan kambing semata-mata. Tetapi nilai korban itu dinilai daripada erti kasih sayang, pengorbanan, keimanan dan ketakwaan. Pengorbanan terhadap agama akan menuntut pengorbanan yang tinggi. Bukanlah sekadar menghabiskan dua tiga ratus setahun kerana sudah menjadi tradisi tahunan sahaja.

Tutup cerita pasal korban, kita cerita pasal benda lain pula. Minta maaf kerana lama dah tak menulis. Biasalah syndrom 'writters block' (entahkan betul entahkan idak istilah ini) menghantui diri penulis. Banyak sangat benda nak diluahkan tapi bila di depan keyboard hanyalah melihat huruf-huruf yang tertera. Menekannya susah sekali.

Jadi bagi merobohkan benteng ini, maka diriku ingin sedikit membebel tentang sistem lebuhraya pantai timur (LPT) yang pada aku lebuhraya kelas C. Namun kelas C itu dinilai pada kualiti jalan yang berombak-ombak, tidak rata dan air melimpahi jalan sewaktu hujan yang membahayakan pengguna jalan raya tetapi bukan daripada nilai kutipan tolnya. Nilai tolnya walaupun baru setahun jagung sudah setaraf dengan Lebuhraya PLUS, walaupun mutunya jauh sekali.

Agaknya kerana memang orang pantai timur ini dari dulu, kini dan selamanya akan dianaktirikan maka dibuatlah lebuhraya yang ibarat melepaskan batuk di tangga. Mungkin pada persepsi pembina lebuhraya ini tak ramai pengguna yang akan menggunakan lebuh raya ini. Maka digunakanlah bahan yang murah, bukit-bukit yang menunggu masa untuk runtuh, dan kaunter tol yang sebiji dua sahaja.

Maka kami yang bersemangat untuk pulang ke kampung terpaksa lah menahan bahananya. Andai kata kesesakan di PLUS itu boleh dimaafkan kerana penghuni kotaraya pulang terlalu ramai sehingga menyebabkan kesesakan, apa kata anda jika kesesakan berkilometer hanya kerana beratur untuk membayar tol. Mungkin pihak lebuhraya LPT tidak pernah mengambil cakna sangat atau belajar daripada apa yang terjadi di PLUS.

Terpaksalah kaunter-kaunter tol tambahan dibuka. Hairannya mengapalah mereka tidak boleh menjangka perkara ini tidak akan terjadi awal-awal lagi sewaktu ingin membuka lebuhraya tersebut. Yang pastinya kaunter yang dibuka 'defaultnya' 1 tol touch 'n' go, satu tol fastlane dan satu sahaja tol tunai. Habis banyak kaunter tunai ada 2.

Maka berbakul-bakul lah agaknya sumpah seranah yang keluar dari pembawa kenderaan ini yang terpaksa mengorbankan tenaga, minyak dan wang ringgit. Namun jika diluahkan sudah pasti akan terkeluar kata-kata kelas pertama dari pemimpin kita yang mendakwa sistem lebuhraya di Malaysia antara yang terbaik di dunia. Maka jika terjadi kesesakan seperti ini maka itu adalah salah pengguna sendiri. Tidak pandai merancang perjalanan dan tidak pandai bersyukur.

Maka sebagai pengguna-pengguna kecil ini, terpaksalah menerima hakikat bahawa perkara ini akan berterusan sampai bila-bila. Mungkin ada sedikit perubahan tetapi faham-faham sahajalah. Andai kata Menteri Kerja Raya dahulu sudah pasti yang didahulukan adalah kos tol tersebut. Agaknya inilah aplikasi cogankata rakyat diutamakan.

Maka terpaksalah penulis mengambil cuti satu hari kerana habis urat saraf terasa berdenyut-denyut. Ini mungkin perkara kecil sahaja kerana rasanya pengguna PLUS mengalami kesesakan yang lebih dasyhat lagi. Merancang perjalanan ? Nak buat macam mana penulis memang cuti pada hari ini tetapi isteri bekerja maka terpaksalah balik walau tahu apa yang menanti. Agaknya bila mimpi ngeri kami ini akan berakhir.

p/s: Minta maaf, bukti tidak dapat disertakan kerana telefon buat hal semasa ingin mengambil gambar kesesakan tersebut.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails