Pertemuan diriku dan dirinya yang pertama kali berlaku di Masjid UIA pada pagi Subuh itu pada 10hb lalu. Ia rupanya menjadi satu kesempatan yang luar biasa kerana tidak ramai manusia yang turut sama memenuhi masjid UIA untuk menyambut kedatangan manusia yang luar biasa ini. Untuk yang tertanya sejak tadi biarlah aku beritahu. Aku sedang mabuk cinta dengan seorang manusia yang cukup lain dari yang lain. Aku mabuk, cinta dan kasih kepada seorang ahlu bait Rasulullah yang bernama Al-Musnid Al Habib Omar Al-Hafiz.
Pagi itu aku melihat seorang manusia yang begitu lemah-lembut budi pekertinya. Setiap hati yang memandang wajahnya akan terus jatuh kasih dan sayang kepada dirinya. Kasih dan sayang yang ikhlas dan bukan dibuat-buat atas kepentingan tertentu. Tetapi hadir lantaran keikhlasan dan ketinggian akhlak yang dimiliki oleh yang empunya diri. Masakan tidak, segala gerak-geri yang dilakukan sedaya-upaya mengikut sunnah kekasih dan rasul yang mulia - Nabi Muhammad Sallahu alaih wasalam.
Kami bertolak dari surau AnNur Bangi yang menjadi tempat pertemuan kerana hampir dengan rumah masing-masing. Dari situ kami menumpang unser milik rakan kami. Jam hampir pukul 4.15 apabila kami memulakan perjalanan. Masing-masing ghairah dan tidak sabar-sabar untuk sampai ke destinasinya. Destinasi kami ini ialah Pondok Baitul Qurro' yang terletak di Kampung Payasum, Sg Melaka.
Kami bertolak dari surau AnNur Bangi yang menjadi tempat pertemuan kerana hampir dengan rumah masing-masing. Dari situ kami menumpang unser milik rakan kami. Jam hampir pukul 4.15 apabila kami memulakan perjalanan. Masing-masing ghairah dan tidak sabar-sabar untuk sampai ke destinasinya. Destinasi kami ini ialah Pondok Baitul Qurro' yang terletak di Kampung Payasum, Sg Melaka.
Sampai di madrasah, jemaah sedang membacakan wirdul latif dengan dipimpin oleh Ustaz Azian, imam Masjid Al-Falah. Usai selepas solat Maghrib kami diminta untuk mengosongkan kawasan di belakang pentas utama kerana memberi ruang kepada tetamu-tetamu dan habaib-habaib dari Indonesia yang turut serta dalam program kali ini. Gambar di atas menunjukkan kawasan di luar surau dan surau pondok Baitul Qurro'.
Pentas dibelakang itu menjadi pentas utama. Padang yang kelihatan di belakang juga penuh sesak dengan jemaah yang hadir. Syabas kepada semua jemaah yang menunjukkan masih ramai yang kasih dan sayang kepada junjungan besar nabi Muhammad Sallahualaih wasalam dan ahli keluarganya.
Kawasan padang di depan pentas utama mula dipenuhi tetamu. Nampaknya sambutan yang diberi cukup luar biasa dan meriah. Majlis dimulakan dengan bacaan Maulidur Rasul. Seterusnya semasa Habib Umar sampai qasidah dinyanyikan. Suasana pada masa itu sedikit kelam kabut kerana semua jemaah turut berdiri pada masa itu. Terpaksalah pengerusi menenangkan jemaah yang agak kelam kabut.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis yang turut mengimbas kembali akan perihal kedatangan Islam ke Melaka pada suatu masa dahulu. Pengislaman Sultan Melaka yang pertama adalah hasil dakwah daripada ahlul Bait Rasulullah yang datang ke Melaka pada masa itu. Dengan jasa ahlul-ahlul bait inilah maka Islam telah tersebar ke seluruh negeri Melaka dan seterusnya ke seluruh nusantara. Kini Islam terus kekal dan terus dipertahankan walaupun Melaka telah berapa kali bertukar tangan kepada penjajah. Maka seharusnyalah kecintaan umat Islam di sini kepada Ahlul Bait perlulah dikekalkan.
Ustaz Zulkifli turut memberikan ucapan aluan di dalam bahasa Arab yang menekankan betapa besarnya jasa dan peranan ahlul Bait di dalam pengislaman Melaka. Maka perlulah perasaan berterima kasih dan kasih akan ahlul Bait terus di tanam di setiap sanubari umat Islam. Perkara itu turut diungkapkan kembali oleh al Habib Omar. Setiap kalimah yang disampaikan Habib itu begitu lembut dan menusuk ke kalbu setiap jemaah. Inti sari ucapan beliau akan cuba kusampaikan di dalam tulisan yang lain. Kelainan yang dapat dirasai oleh setiap kalimah beliau begitu anggun dan nyaman. Yang mana bisa sahaja menyentuh hati-hati manusia walaupun pada masa yang sama mereka tidak mengerti bahasa Arab. Namun, setiap ucapan al Habib Omar diterjemahkan oleh al Habib Ali Zainal Abidin iaitu salah seorang dari murid beliau yang juga sebulan sekali menjadi pengajar di Baitul Qurro'.
Tidak lupa juga di akhir ucapan AlHabib Omar, beliau mendoakan doa yang khusus untuk Tuan Guru Zulkifli dan juga para jemaah dan diaminkan beramai-ramai. Begitu luar biasa suasana malam itu kerana suasana itu berlaku di sebuah padang yang luas dan bukan di dalam masjid seperti yang biasa di adakan sebelum ini. Namun tidak langsung terdengar rungutan dari para jemaah dengan keadaan yang ala kadar sahaja.
Dengan berakhirnya majlis ini, maka berakhirlah juga peluang untuk kami untuk terus menyerap segala ilmu yang disampaikan oleh alhabib. Namun mutiara-mutiara ilmu yang disampaikan oleh alHabib akan terus menjadi permata berharga yang akan disimpan oleh kami sebagai bekalan untuk kami berjalan di muka bumi Allah ini. Terima kasih ya Habib. Sesungguhnya kecintaan kami terus subur merimbun dengan baja yang telah dikau semai. Allahuma soli ala muhammad wa ala ali saidina Muhammad. Semoga pertemuan ini bukanlah pertemuan yang terakhir untuk kami berjumpa Habib Omar. Amin.