Tuesday, April 27, 2010

Semoga dia ditempatkan di Syurga

Kelmarin Ahad, kawang ke kuliah tafsir Habib Ali Zainal Abidin di Ba'alawi. Begitu halus dan mendalam tafsiran yang dibuat oleh murid al-Muhaddis Habib Umar Al-Hafidz ini. Penafsiran yang jarang didengar dan huraian yang begitu mendalam. Patutlah. Beliau memang pakar dalam bidang tafsir dan kini sedang mengambil Phd di dalam bidang ini di UIA.

Kebetulan pula, tafsir kali ini menyambung siri tafsir dari Surah Al-Kahfi. Tetapi kali ini, sudah melangkaui kisah pemuda Kahfi yang lari ke sebuah gua untuk menyelamatkan akidah dan agama mereka dari raja yang zalim. Bersama mereka, hadir seekor anjing yang turut sama menjadi penjaga mereka di pintu gua. Walau dihalau dan diusir beberapa kali namun cekal untuk memilih bersama orang-orang yang soleh ini.

Ironinya, kisah kali ini adalah kisah mengenai pertemuan di antara Nabi Musa alaih salam bersama saudaranya Yusa' bin Nun untuk bertemu seorang hamba Allah yang diberikan ilmu yang tidak ada pada nabi Musa alaih salam.

Sekilas kita membaca terjemahan surah Al-Kahfi ini, kita seolah-olah melihat Allah memerintahkan Nabi Musa alaih salam pergi berjumpa Nabi Khaidir alaih salam kerana seolah-olah merasa dirinya yang paling alim. Tetapi bukanlah tujuan nabi Musa alaih salam untuk merasa yang sedemikian. Perkara ini terjadi selepas Nabi Musa alaih salam ditanya oleh pengikutnya setelah memberikan satu khutbah siapakah yang paling alim di dunia ini. Lalu dijawab oleh Nabi Musa alaih salam 'Akulah yang paling alim'. Sekilas bicara seolah-olah Nabi Musa alaih salam menjawab secara bongkak namun bukan begitu. Baginda menjawab atas kapasiti pada masa itu beliau merupakan seorang rasul, Ulul Azmi dan orang yang pernah berbicara dengan Allah. Lalu sampailah wahyu yang menyuruh baginda mencari seorang hamba Allah yang dikurniakan kelebihan oleh Allah dengan ilmu yang tidak ada pada nabi Musa alaih salam.

Di sini terdapat pengajaran yang halus. Di mana untuk memperolehi sesuatu ilmu itu perlulah ia didatangi dan dicari dan bukan ia datang dengan sendirinya. Ilmu itu juga diperolehi dengan susah payah dan bukan dengan senangnya datang mencari kita.

Di dalam pertemuan Nabi Musa alaih salam dan Nabi Khaidir alaih salam juga tersirat beberapa adab dalam menuntut ilmu di antara seorang murid dan guru. Walaupun seorang guru sudah mengetahui hasrat seorang murid untuk belajar dengannya tetapi seorang murid mesti meminta izin untuk belajar dari gurunya terlebih dahulu.

Nabi Khaidir alaih salam juga telah memberi peringatan kepada Nabi Musa alaih salam bahawa baginda tidak akan dapat bersabar dengan Nabi Khaidir alaih salam. Tetapi Nabi Musa alaih salam terus juga ingin menuntut ilmu tersebut. Disinilah tersirat bahawa tidak salah untuk kita mencuba belajar sesuatu ilmu itu walaupun susah dan jangan terlalu cepat dan mudah kita berputus asa.

Diringkaskan di sini peristiwa pelik kedua yang berlaku adalah apabila Nabi Khaidir alaih salam dan Nabi Musa alaih salam bertemu dengan seorang budak lelaki yang mana baik paras rupanya dan cergas perilakunya. Namun budak itu ditangkap oleh Nabi Khaidir alaih salam lalu dibunuh oleh Baginda. Peristiwa ini membuatkan nabi Musa alaih salam tidak dapat bersabar dan menegur Nabi Khaidir alaih salam apakah dosa budak ini sehingga sewaktu dia muda dan tidak berdosa lagi telah dibunuh.

Lalu dijawab oleh Nabi Khaidir alaih salam bahawa Nabi Musa tidak akan dapat bersabar dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Khaidir alaih salam. Lalu di akhir pengembaraan mereka Nabi Khaidir alaih salam memberitahu Nabi Musa alaih salam bahawa anak yang dibunuh itu adalah anak kepada dua orang suami isteri yang soleh. Ditakuti apabila dia besar nanti dia akan menjadi kufur dan mengajak ibu bapanya turut menjadi kufur.

Namun, pengajaran yang paling besar di sini adalah Allah melindungi hamba-hambanya yang beriman dengan cara yang tidak sampai akal kita untuk mengetahuinya. Allah mengizinkan Nabi Khaidir alaih salam untuk membunuh anak kecil itu supaya iman kedua orang ibu bapanya yang soleh itu terpelihara. Allah juga tidak menghampakan harapan dan doa ibu bapa yang soleh itu. Dengan kematian anak itu, sudah pasti syurga adalah tempat istirehatnya. Sudah tentu menjadi harapan setiap ibu bapa supaya anak mereka ditempatkan di tempat yang sebaik-baik tempat akhiran berbanding jika dia besar dan kufur kepada Allah.

Selepas itu, Allah menggantikan anak yang mati dibunuh tadi dengan seorang anak wanita yang jauh lebih baik. Daripada anak wanita ini, lahirlah ramai anbiya dan rasul-rasul yang mulia dari keturunan bani Israel. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Penyayang.

Hari ini juga hati menangis apabila teringatkan seorang anak remaja yang bernama Aminul Rashid Hamzah(15 tahun) mati ditembak di kepala di Seksyen 11 Shah Alam. Sekurang-kurangnya 4 das tembakan dilepaskan(menurut saksi hampir 10 das tembakan dilepaskan).

Boleh sahaja kita marah, kesal, mencarut dan maki hamun pihak polis. Tetapi saya memilih untuk merenung kembali kisah Nabi Musa dan Nabi Khaidir alaih salam yang hampir sahaja kebetulan disuakan kepada saya.(adakah kebetulan?) Saya menginsafi diri dan berserah kepada Allah kerana Dialah yang lebih mengetahui segala hikmahnya.

Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Dan keadilan dalam perkara ini dapat ditegakkan walaupun keadilan yang hak itu adalah kepunyaanNya semata-mata. Doa kami bersamamu adik Aminul Rashid. Al-Fatihah.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails