Friday, March 26, 2010

Open Our Eyes!!

Betapa kita tidak menghargai indahnya ciptaan Illahi. Dek kerana nafsu dan ego diri, manusia merasakan dirinyalah sebagai raja yang menguasai alam ini. Sembrono memuaskan apa yang dihajati sehingga terlupa akan asal kejadian diri sendiri.

Tidak sepatutnya terjadi penderaan kanak-kanak yang berleluasa saban hari. Tidak sepatutnya terjadi pembuangan bayi yang berleluasa kini. Tidak sepatutnya terjadi peperangan yang memakan bukan sedikit korban yang tidak berdosa.

Kita punya mata - tetapi tidak dapat melihat. Kita punya hati - tetapi naluri kita lebih kejam dari seekor binatang buas. Kita punya rasa - tetapi tidak merasa. Berhenti lah sekejap dan bukalah mata kita. Melihat kembali kebesaran yang Maha Esa dan rasalah betapa kerdilnya kita sebagai manusia di muka bumi ini.

Monday, March 22, 2010

Salahkah Aku Mencintaimu ?

Aku tidak pernah menyamakan dirimu sebagai tuhan. Di situ ada batas seperti yang disebut dalam bait-bait Qasidah Burdah karangan Imam Al-Busyiri. Selain daripada di atas, maka pujilah Rasul mu sekehendak hatimu. Ia adalah amalan sahabat-sahabat dan solaful soleh yang terdahulu darimu.

Allahuma Soli Ala Saidina Muhammad, Wa Ala Ali Muhammad.





Hayatilah bait-bait lagu di atas.

Monday, February 22, 2010

Maulid Nabi Pun Bidaahkah ?

(p/s:Tak payah kita bergaduh pasal Maulidur Rasul. Nak buat silakan. Tak ingin buat - duduk diam-diam sahaja.)

Mengenai Maulid Nabawi:
Kita sedia maklum "eid" cuma pada hari raya Aidil Fitri dan hari raya AidilAdha sahaja. Akan tetapi "youm elmaulid" lebih besar dan lebih agung dari hari raya, kerana tanpanya takkan wujud nuzul Al-Quran, Isra' dan Mikraj dan sebagainya. (m/s 10)

Kenapa kita merayakannya ?

Kita merayakannya kerana melahirkan rasa gembira dengan Nabi S.A.W , juga kerana melahirkan rasa kasih kepada junjungan Besar kita Nabi S.A.W. Kita berkumpul merayakannya untuk mendengar sirahnya dan menghayati "madeh" yang terkandung padanya sifat-sifat mulia NabiS.A.W(ms/ 12)

Perhimpunan ini merupakan "wasilah kubra" yang dikira sebagai "dakwah ila Allah Subhanahu Wa Ta'ala, yakni menyeru manusia kepada Allah Taala". Saat ini merupakan peluang keemasan. Bahkan menjadi kewajipan ke atas pendaie’ dan ulama' memperingatkan ummah terhadap Nabi S.A.W pada perkara-perkara yang berkaitan dengan akhlaknya,sirahnya , cara muamalahnya dan ibadat nabi s.a.w .(m/s 12)

Siapakah yang mula-mula nerayakan Maulid Nabawi?

Yang mula-mula merayakannya ialah Nabi S.A.W .sepertimana yang termaktub di dalam hadith sohih yang diriwayatkan oleh Muslim R.A : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab: Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku. m/s 15)

Adakan disyaratkan kita berpuasa pada hari perayaan maulid?

Jawapannya : terserahlah pada individu.(m/s 20)

Dalil yang menunjukkan harus merayakan Maulid Nabawi:

Bahawasanya kita melahirkan rasa gembira dengan Nabi S.A.W adalah sesuatu yang dituntut sebagaimana didalam surah Yunus ayat 58.Bergembira dengan Rasulullah S.A.W. adalah dituntut.

Firman Allah Taala bermaksud:
Katakanlah dengan kelebihan Allah dan rahmatNya maka demikian hendaklah mereka bergembira (Surah Yunus: Ayat 58)


Allah Ta’ala menyuruh kita supaya bergembira dengan rahmatNya maka Rasulullah S.A.W. adalah sebesar-besar rahmat.

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan tidaklah Kami utuskan kamu kecuali sebagai rahmat kepada sekalian alam.
(Surah Al-Anbiya: Ayat 107).

Maulidur Rasul akan menganjurkan kita untuk sentiasa berselawat dan salam yang sangat dituntut ini kepada Baginda S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud:
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Sambutan maulid adalah satu amalan baik yang diterima ulama dan umat Islam di serata tempat. Ia dilakukan di setiap penjuru dunia dan ia tentulah dituntut berdasarkan kaedah yang telah diterima pakai dari sebuah hadis Ibnu Masud:

Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah. (Riwayat Ahmad).

Perayaan Maulid dapat mengumpulkan kebanyakkan orang untuk membaca beberapa ayat al-Quran. Kemudian menerangkan kepada kita jalan-jalan dakwah yang dlaksankan oleh Nabi S.A.W sejak mula diutuskannya Rasulullah S.A.W. Pada majlis itu dihidangkan dengan makanan sebelum para hadirin kembali ke tempat masing-masing. Dengan tidak berlebihan saya katakan bahawa perayaan semacam itu tergolong dalam bidaah hasanah yang bila dilakukan akan mendapat pahala. Mereka telah mengagungkan kedudukan Nabi S.A.W. dan melahirkan kesyukuran mereka di atas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. sebagai penghulu umat.

Sesungguhnya "Maulid Nabawi" terangkum hal-hal yang berkaitan dengan kelahiran Nabi S.A.W, sirah Nabi S.A.W membicarakan tentang mukjizat Nabi S.A.W . sebagaimana yang kita maklum, kita semua disuruh atau diperintah beriman dengan mukjizat-mukijizat Nabi S.A.W dan membenarkannya. Dengan mengadakan maulid ,secara tidak lansung hal-hal sedemikian dapat kita fahami dan mengingatkan semula sirah Nabi S.A.W.

Bahawasanya dengan mengetahui "syamail" ,"mukjizat" dan "irhosah" menjadikan iman kita lebih sempurna dan menambahkan kecintaan kepada Nabi S.A.W .sedangkan kecintaan yang lebih dan keimanan yang sempurna merupakan suatu yang dituntut oleh syara'.

Sesungguhnya sambutan maulid ini adalah satu amalan baik yang diterima ulama dan umat Islam di serata tempat dan dilakukan di setiap penjuru dunia dan ia tentulah dituntut berdasarkan kaedah yang telah diterima pakai dari sebuah hadis Ibnu Masud:

Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah. (Riwayat Ahmad).

Adakah Kita Wajib Menyambut Maulid Nabawi?

Maulidur Rasul akan menganjurkan kita supaya sentiasa berselawat dan salam kepada Baginda. Perkara ini amatlah dituntut sebagaimana yang termaktub di dalam Surah Al-Ahzab.

Firman Allah Taala bermaksud:

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Bukanlah sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh “para salaf” ataupun perkara itu tidak berlaku pada waktu permulaan dikira "bid'ah munkarah sayyi'ah" yang ditegah untuk melakukannya.Hal seumpama ini, ulama' membahagikan "bid'ah" kepada lima bahagian.

Wajib :- Seperti mempelajari ilmu nahu,
Sunat/ mandubat :- Azan di atas mimbar.
Harus:- seperti Memperhiaskan masjid,
Makruh:- contohnya melebih-lebihkan pada makan dan minum.
Haram:- perkara yang menyalahi sunnah dan tidak berdalilkan syara'. Secara umumnya perkara-perkara yang tidak mengandungi kebaikan dari segi syara'.

Bukanlah setiap bid'ah itu haram hukumya. Sebagai contoh pengumpulan Al-Quran dan penulisannya di dalam mushaf. Jika tindakan pengumpulan ini haram,tentu ia tidak dilakukan oleh Saiyidina Abu Bakar R.A , Saiyidina Umar R.A dan Saiyidina Zaid R.A .(m/s 32).

Berkata Imam Shafie: Bidaah ada dua: Bidaah terpuji (mahmudah) dan bidaah yang dicela (mazmumah). Maka apa yang sesuai dengan sunnah tetap dipuji dan yang mencanggahinya tetap dicela. Imam Shafie R.A berkata lagi bahawa perkara-perkara baru (al-muhdathat) ada dua jenis:

Pertama: Perkara yang mencanggahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak dan ini dikira sebagai bidaah sesat.
Kedua: Perkara baik yang diadakan yang tidak mencanggahi mana-mana daripada keempat-empat sumber (al-Quran, sunnah, athar dan ijmak) adalah perkara baru yang tidak dicela.(Riwayat Abu Nuaim. Kitab: Hilyah al-Auliya).

Berdiri di dalam majlis maulid :
Termasuk dalam katogeri "ISTIHSAN" . Yang dimaksudkan istihsan ialah sesuatu yang dipandang elok atau bagus,dan perbuatan ini amatlah dituntut. Kita berdiri kerana menghormati orang-orang yang memiliki kelebihan adalah termasuk dalam perkara-perkara yang disyariatkan.

Berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Abu Said Al Khudri radiyallahu 'anhu bahawa ketika Banu Quraizah setelahmana menyerah kalah sanggup menerima hukuman yang dijatuhkan oleh Saad bin Muaz radiyallahu 'anhu, lalu Rasulullah Sallalahu 'alaihi wasallam mengutuskan utusan untuk menjemputnya ya’ini Saad R.A. Tak lama kemudian Saad pun tiba, lalu Rasulullah bersabda: "Bangunlah berdiri untuk tuan kamu." Atau di dalam satu riwayat:"....seorang yang terbaik di kalangan kamu."

Arahan ini adalah jelas supaya berdiri bangun untuk Saad r.a.dapatlah kita fahami menerusi hadith ini, bahawasanya perbuat berdiri ini dianjurkan oleh syara'. Jadilah adalah terlebih baik kita berdiri ketika menyambut maulidurasul.

Kita berdiri sebagai menghormati dan penghargaan yang timbul dari sanubari mereka terhadap syakhsiah yang mulia iaitu Rasulullah S.A.W sebagaimana di dalam majlis maulid nabawi adalah sesuatu perkara yang baik.

Kesimpulannya:
Sesungguhnya Perayaan Maulid Nabawi merupakan suatu ungkapan ataupun menampakkan kecintaan kita kepada Nabi S.AW, dan perkara ini menjadi salah satu bukti dari bukti atau tanda-tanda kecintaan dan kasih kita kepada Nabi S.A.W.

Di antara sebesar-besar nikmat Allah taala yang dianugerahkan kepada seluruh makhluknya di muka bumi ini ialah dengan diutuskan Baginda sallallahu alaihi wasallam.Kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam merupakan satu rahmat kepada seluruh alam.

Firman Allah
Subhanahu’ wa taala di dalam surah al-Anbiya’:

Maksudnya: Tidaklah kami utuskan kamu (wahai Muhammad sallallahu alaihi wasallam)melainkan ianya merupakan rahmat kepada seluruh alam.

Rujukan Kitab – Haul Al Ihtifal Bi Zikriil Maulidin Nabawi Al Shariff, Karangan , Al Muhadith As Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki Al Hasani, Makkah.

Dipetik daripada artikel di http://baalawi-kl.com

Wednesday, January 13, 2010

Kembara Mengejar Kekasih - episod 1

Memang kali ini perasaanku semacam sahaja. Rindunya cukup luar biasa. Mabuk nya sahaja bisa membuat aku tidak keruan. Kali ini ke mana saja dia pergi aku akan mengikutinya. Walau ke hujung semenanjung Tanah Melayu sana atau ke atas di utara sana.

Pertemuan diriku dan dirinya yang pertama kali berlaku di Masjid UIA pada pagi Subuh itu pada 10hb lalu. Ia rupanya menjadi satu kesempatan yang luar biasa kerana tidak ramai manusia yang turut sama memenuhi masjid UIA untuk menyambut kedatangan manusia yang luar biasa ini. Untuk yang tertanya sejak tadi biarlah aku beritahu. Aku sedang mabuk cinta dengan seorang manusia yang cukup lain dari yang lain. Aku mabuk, cinta dan kasih kepada seorang ahlu bait Rasulullah yang bernama Al-Musnid Al Habib Omar Al-Hafiz.

Pagi itu aku melihat seorang manusia yang begitu lemah-lembut budi pekertinya. Setiap hati yang memandang wajahnya akan terus jatuh kasih dan sayang kepada dirinya. Kasih dan sayang yang ikhlas dan bukan dibuat-buat atas kepentingan tertentu. Tetapi hadir lantaran keikhlasan dan ketinggian akhlak yang dimiliki oleh yang empunya diri. Masakan tidak, segala gerak-geri yang dilakukan sedaya-upaya mengikut sunnah kekasih dan rasul yang mulia - Nabi Muhammad Sallahu alaih wasalam.

Kami bertolak dari surau AnNur Bangi yang menjadi tempat pertemuan kerana hampir dengan rumah masing-masing. Dari situ kami menumpang unser milik rakan kami. Jam hampir pukul 4.15 apabila kami memulakan perjalanan. Masing-masing ghairah dan tidak sabar-sabar untuk sampai ke destinasinya. Destinasi kami ini ialah Pondok Baitul Qurro' yang terletak di Kampung Payasum, Sg Melaka.



Sampai di madrasah, jemaah sedang membacakan wirdul latif dengan dipimpin oleh Ustaz Azian, imam Masjid Al-Falah. Usai selepas solat Maghrib kami diminta untuk mengosongkan kawasan di belakang pentas utama kerana memberi ruang kepada tetamu-tetamu dan habaib-habaib dari Indonesia yang turut serta dalam program kali ini. Gambar di atas menunjukkan kawasan di luar surau dan surau pondok Baitul Qurro'.

Pentas dibelakang itu menjadi pentas utama. Padang yang kelihatan di belakang juga penuh sesak dengan jemaah yang hadir. Syabas kepada semua jemaah yang menunjukkan masih ramai yang kasih dan sayang kepada junjungan besar nabi Muhammad Sallahualaih wasalam dan ahli keluarganya.

Kawasan padang di depan pentas utama mula dipenuhi tetamu. Nampaknya sambutan yang diberi cukup luar biasa dan meriah. Majlis dimulakan dengan bacaan Maulidur Rasul. Seterusnya semasa Habib Umar sampai qasidah dinyanyikan. Suasana pada masa itu sedikit kelam kabut kerana semua jemaah turut berdiri pada masa itu. Terpaksalah pengerusi menenangkan jemaah yang agak kelam kabut.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis yang turut mengimbas kembali akan perihal kedatangan Islam ke Melaka pada suatu masa dahulu. Pengislaman Sultan Melaka yang pertama adalah hasil dakwah daripada ahlul Bait Rasulullah yang datang ke Melaka pada masa itu. Dengan jasa ahlul-ahlul bait inilah maka Islam telah tersebar ke seluruh negeri Melaka dan seterusnya ke seluruh nusantara. Kini Islam terus kekal dan terus dipertahankan walaupun Melaka telah berapa kali bertukar tangan kepada penjajah. Maka seharusnyalah kecintaan umat Islam di sini kepada Ahlul Bait perlulah dikekalkan.



Ustaz Zulkifli turut memberikan ucapan aluan di dalam bahasa Arab yang menekankan betapa besarnya jasa dan peranan ahlul Bait di dalam pengislaman Melaka. Maka perlulah perasaan berterima kasih dan kasih akan ahlul Bait terus di tanam di setiap sanubari umat Islam. Perkara itu turut diungkapkan kembali oleh al Habib Omar. Setiap kalimah yang disampaikan Habib itu begitu lembut dan menusuk ke kalbu setiap jemaah. Inti sari ucapan beliau akan cuba kusampaikan di dalam tulisan yang lain. Kelainan yang dapat dirasai oleh setiap kalimah beliau begitu anggun dan nyaman. Yang mana bisa sahaja menyentuh hati-hati manusia walaupun pada masa yang sama mereka tidak mengerti bahasa Arab. Namun, setiap ucapan al Habib Omar diterjemahkan oleh al Habib Ali Zainal Abidin iaitu salah seorang dari murid beliau yang juga sebulan sekali menjadi pengajar di Baitul Qurro'.

Tidak lupa juga di akhir ucapan AlHabib Omar, beliau mendoakan doa yang khusus untuk Tuan Guru Zulkifli dan juga para jemaah dan diaminkan beramai-ramai. Begitu luar biasa suasana malam itu kerana suasana itu berlaku di sebuah padang yang luas dan bukan di dalam masjid seperti yang biasa di adakan sebelum ini. Namun tidak langsung terdengar rungutan dari para jemaah dengan keadaan yang ala kadar sahaja.

Dengan berakhirnya majlis ini, maka berakhirlah juga peluang untuk kami untuk terus menyerap segala ilmu yang disampaikan oleh alhabib. Namun mutiara-mutiara ilmu yang disampaikan oleh alHabib akan terus menjadi permata berharga yang akan disimpan oleh kami sebagai bekalan untuk kami berjalan di muka bumi Allah ini. Terima kasih ya Habib. Sesungguhnya kecintaan kami terus subur merimbun dengan baja yang telah dikau semai. Allahuma soli ala muhammad wa ala ali saidina Muhammad. Semoga pertemuan ini bukanlah pertemuan yang terakhir untuk kami berjumpa Habib Omar. Amin.

Wednesday, January 6, 2010

Nama Allah dipermainkan kerana Polimik, Politik dan Gimik

Nampaknya, pancing yang diumpan oleh musuh-musuh Islam sudah mengena. Kini, mereka boleh tersenyum lebar. Nampaknya sinar harapan mereka semakin cemerlang di hadapan hari. Ya, kerana mereka telah mendapat umpan yang begitu baik dan ia bukan ia terakhir. Umpan-umpan yang lebih 'umpph' akan dihulur di kemudian hari supaya lebih ramai yang dapat memakan rakus-rakus.

Kerana isu nama 'Allah', mereka mampu tersenyum girang. Perpecahan pendapat yang bukan sedikit berlaku dikalangan orang Islam itu sendiri. Mereka hanya perlu 'cucuk' sedikit-sedikit sahaja. Kerana ternyata yang membela mereka untuk menggunakan nama 'Allah' oleh gereja bukan mereka, tetapi orang-orang yang bergelar Islam itu sendiri.

Selepas beratus-ratus tahun Islam itu bertapak di Tanah Melayu ini, belum pernah mereka mampu dan teringin menggunakan kalimah Allah itu sendiri. Memang pada dasarnya orang kafir atau Islam mengakui Allah yang menciptakan dunia ini sendiri. Tetapi apabila diperhalusi, mereka menegakkan kekufuran mereka dengan mencipta tuhan selain daripada Allah.

Jika tidak, mengapa perlunya wujudnya anak tuhan dan konsep trinity. Apakah kita sanggup berputih mata, melihat kalimah anak tuhan itu bertukar menjadi anak Allah? Maha Suci Allah dari sebarang kecacatan dan perkara-perkara yang menyamai makhluknya.

Malang seribu kali malang. Golongan-golongan yang merasa diri mereka bijak dan pandai sikit-sikit dalam agama terus mempertahankan tindakan golongan bukan Islam menggunakan nama 'Allah. Apakah sebenarnya tujuan mereka menggunakan nama Allah bererti akidah mereka telah bersih dan definasi Allah itu sama dengan apa yang kita fahami. Maha Suci Allah dari namanya yang suci dan tulus di persenda-sendakan oleh mereka yang sudah jelas kekufurannya kepada Allah.

Atas nama politik, kepentingan diri, liberalisasi betapa lidah kita merasa ringan dan mudah sekali berpolimik dan bertengkar atas perkara ini. Tidak terbayang oleh diri kita bahawa tersilap sedikit kata-kata dan iktikad kita, maka kita boleh terkeluar dari akidah Islam yang benar.

Maka hari ini saya memohon seribu kemaafan kepada tuan guru Nik Aziz. Saya tidak bersetuju dengan beliau.Dan lebih-lebih lagi penyokong-penyokong fanatik yang menyokong membabi buta. Di tambah lagi dengan sokongan puak-puak Islam liberal. Kerana kebencian beliau yang teramat sangat kepada Umno, maka beliau menjadi buta walaupun perkara yang melibatkan kepentingan umat. Maka hari ini saya mengistiharkan untuk mufarakah dari mengambil beliau sebagai imam saya. Semoga beliau kembali ke pangkal jalan.

Thursday, December 24, 2009

Salam Maal Hijrah

Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan salam Maal Hijrah kepada semua umat Islam di luar sana. Alhamdulillah rasanya sambutan tahun Maal Hijrah begitu terasa pada diri saya dan mungkin berbeza dengan sambutan tahun Maal Hijrah sebelum-sebelum ini. Menyedari hakikat diri bahawa sambutan Maal Hijrah ini jauh lebih bermakna daripada sambutan tahun baru yang disambut tanggal tengah malam merupakan satu anugerah dari Illahi. Semoga diri terus menghargai dan mengucap syukur kepada Allah atas segala anugerah yang dicurahkan kepada hambanya selama ini.

Jadi marilah kita sama-sama menghayati dengan video ini. Moga-moga diri kita terus dicurahi rahmat dan kasih sayang Allah, Insya Allah berkat kita mencintai seorang manusia paling agung dan mulia iaitu Rasulullah Salallahu alaih wasalam.

Friday, December 4, 2009

Malang nya Melayu ! Politik Berjaya Memecahbelahkan kita!

Hati sedih tidak terkata. Gelora di dada kian membara. Melihat saban hari masyarakat Melayu semakin berpecah belah. Menjadi berkeping-keping buih di tengah lautan samudera. Fizikalnya kelihatan banyak mengunung, tetapi disentuh pecah berderai.

Kita tidak menyedari bahawa betapa parahnya keadaan bangsa kita pada hari ini. Betapa ramai yang memerlukan pembelaan dan pertolongan. Namun, seringkali diketepikan atas tiket politik. Dan betapa jua berjayanya bangsa kita menjadi musuh sesama mereka. Di kiri kanan musuh-musuh kita menunggu masa untuk meratah dan bersorak kegembiraan. Betapa segala kekayaan dikaut oleh orang lain, sedang kita merana di bumi sendiri.

Tidak habis-habis orang kita berpolimik politik. Umno dengan caranya, begitu juga pas dengan caranya. Ada nama politik kita mengenepikan semangat persaudaraan Islam sesama kita. Mulut bercerita pasal Islam, tetapi perbuatan kita langsung kontra dengan apa yang diucapkan. Tiadakah lagi sekelumit rasa cinta dan ukhuwah sesama Islam? Hanya kerana label Umno dan Pas , tembok permusuhan segagah tembok besar cina terbina dengan sendiri.

Politik itu ada di dalam Islam. Tetapi Islam masih di atas politik. Adakah kita berpolitik untuk memenangkan Islam, atau kita menggunakan istilah Islam sebagai alat politik. Ternyata kita semakin celaru. Yang terkeluar hanyalah maki hamun.

Utusan Melayu umumnya masyarakat sudah tahu akan perihal perangainya yang semula jadi menjadi pusat propaganda dan adu domba. Namun, bagaimana dengan perihal tuan guru kita yang asyik mencipta polemik dan bola tanggung yang terus menerus membingungkan orang awam seperti kita. Adakah kerana hanya satu perkara kecil iaitu doa, maka kita bergolok berparang untuk menegakkan kebenaran masing-masing?

Apakah tiada lagi istilah diplomasi di dalam kamus bangsa kita? Kerana doa maka kita terpaksa usung sepanduk ke sana ke mari. Lalu pihak yang satu lagi terpaksa juga mengadakan perhimpunan untuk 'counter-attack' tindakan yang di sebelah sini. Bukankah ia satu perbuatan yang bersifat kartun yang kadang-kadang susah diterima akal yang normal.

Andai kata isu di sini soal royalti, maka fokuskanlah kepada royalti. Usahlah dicanangkan bahawa kerana royalti itu disekat, maka kita hebahkan satu negara bahawa kita akan berdoa supaya yang menyekat itu akan diturunkan bala. Adakah itu sebenarnya akhlak dan adab seorang pemimpin Islam? Apakah itu contoh dan sunnah yang diturunkan oleh Rasulullah?

Cukup-cukuplah dengan polemik kita ini. Kembali lah fokus kepada perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Andai kata di dalam jemaah itu sendiri sudah berpecah-belah adakah mungkin agama itu akan terbela. Betulkan di dalam, barulah kita dapat fokus yang diluar. Andai di dalam rosak, maka hancur berkecailah jemaah itu. Rapatkan saf, betulkan barisan. Yang pasti islam itu bersaudara dan bukanlah perpecahan matlamat kita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails