SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: "Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."
1: HAK KEPADA DIRI. Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
2: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT. Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.
3 : HAK KEPADA KUBUR Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.
4: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
5 : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT) Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.
6: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT) Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
7: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA) Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibubapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.
8: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA) Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.
9: HAK KEPADA NABI SAW Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.
10: HAK KEPADA ALLAH SWT Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.
Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."
Nampaknya satu penemuan yang mengemparkan dunia didedahkan pada semalam. Sebuah kapal purba yang dikatakan berusia 4800 tahun ditemui di Gunung Ararat, Turki. Usia kapal itu dikatakan hampir sama dengan peristiwa banjir besar yang berlaku semasa zaman Nabi Nuh dahulu. Walaupun belum dapat disahkan 100%, tetapi 99.9% dikatakan peninggalan kapal Nabi Nuh alaih salam.
Sememangnya sebagai umat Islam, peristiwa banjir besar ini wajib dipercayai 100% begitu juga dengan kewujudan kapal nabi Nuh. (Jangan salah faham, disini penulis tidak menyatakan kapal ini sememangnya kapal nabi Nuh kerana ia perlu di analisis terlebih dahulu). Namun yang menjadi ralat pada kita kerana usaha ini jelas dipelopori oleh orang bukan islam.
Sewajibnya, usaha ini perlu dipelopori oleh umat Islam dan bukan umat lain. Tetapi memandangkan betapa lemah dan berpecahnya ummah pada hari ini ternyata kita hanya memandang dari jauh penemuan ini. Untuk berita lanjut boleh teliti di sini.
Kelmarin Ahad, kawang ke kuliah tafsir Habib Ali Zainal Abidin di Ba'alawi. Begitu halus dan mendalam tafsiran yang dibuat oleh murid al-Muhaddis Habib Umar Al-Hafidz ini. Penafsiran yang jarang didengar dan huraian yang begitu mendalam. Patutlah. Beliau memang pakar dalam bidang tafsir dan kini sedang mengambil Phd di dalam bidang ini di UIA.
Kebetulan pula, tafsir kali ini menyambung siri tafsir dari Surah Al-Kahfi. Tetapi kali ini, sudah melangkaui kisah pemuda Kahfi yang lari ke sebuah gua untuk menyelamatkan akidah dan agama mereka dari raja yang zalim. Bersama mereka, hadir seekor anjing yang turut sama menjadi penjaga mereka di pintu gua. Walau dihalau dan diusir beberapa kali namun cekal untuk memilih bersama orang-orang yang soleh ini.
Ironinya, kisah kali ini adalah kisah mengenai pertemuan di antara Nabi Musa alaih salam bersama saudaranya Yusa' bin Nun untuk bertemu seorang hamba Allah yang diberikan ilmu yang tidak ada pada nabi Musa alaih salam.
Sekilas kita membaca terjemahan surah Al-Kahfi ini, kita seolah-olah melihat Allah memerintahkan Nabi Musa alaih salam pergi berjumpa Nabi Khaidir alaih salam kerana seolah-olah merasa dirinya yang paling alim. Tetapi bukanlah tujuan nabi Musa alaih salam untuk merasa yang sedemikian. Perkara ini terjadi selepas Nabi Musa alaih salam ditanya oleh pengikutnya setelah memberikan satu khutbah siapakah yang paling alim di dunia ini. Lalu dijawab oleh Nabi Musa alaih salam 'Akulah yang paling alim'. Sekilas bicara seolah-olah Nabi Musa alaih salam menjawab secara bongkak namun bukan begitu. Baginda menjawab atas kapasiti pada masa itu beliau merupakan seorang rasul, Ulul Azmi dan orang yang pernah berbicara dengan Allah. Lalu sampailah wahyu yang menyuruh baginda mencari seorang hamba Allah yang dikurniakan kelebihan oleh Allah dengan ilmu yang tidak ada pada nabi Musa alaih salam.
Di sini terdapat pengajaran yang halus. Di mana untuk memperolehi sesuatu ilmu itu perlulah ia didatangi dan dicari dan bukan ia datang dengan sendirinya. Ilmu itu juga diperolehi dengan susah payah dan bukan dengan senangnya datang mencari kita.
Di dalam pertemuan Nabi Musa alaih salam dan Nabi Khaidir alaih salam juga tersirat beberapa adab dalam menuntut ilmu di antara seorang murid dan guru. Walaupun seorang guru sudah mengetahui hasrat seorang murid untuk belajar dengannya tetapi seorang murid mesti meminta izin untuk belajar dari gurunya terlebih dahulu.
Nabi Khaidir alaih salam juga telah memberi peringatan kepada Nabi Musa alaih salam bahawa baginda tidak akan dapat bersabar dengan Nabi Khaidir alaih salam. Tetapi Nabi Musa alaih salam terus juga ingin menuntut ilmu tersebut. Disinilah tersirat bahawa tidak salah untuk kita mencuba belajar sesuatu ilmu itu walaupun susah dan jangan terlalu cepat dan mudah kita berputus asa.
Diringkaskan di sini peristiwa pelik kedua yang berlaku adalah apabila Nabi Khaidir alaih salam dan Nabi Musa alaih salam bertemu dengan seorang budak lelaki yang mana baik paras rupanya dan cergas perilakunya. Namun budak itu ditangkap oleh Nabi Khaidir alaih salam lalu dibunuh oleh Baginda. Peristiwa ini membuatkan nabi Musa alaih salam tidak dapat bersabar dan menegur Nabi Khaidir alaih salam apakah dosa budak ini sehingga sewaktu dia muda dan tidak berdosa lagi telah dibunuh.
Lalu dijawab oleh Nabi Khaidir alaih salam bahawa Nabi Musa tidak akan dapat bersabar dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Khaidir alaih salam. Lalu di akhir pengembaraan mereka Nabi Khaidir alaih salam memberitahu Nabi Musa alaih salam bahawa anak yang dibunuh itu adalah anak kepada dua orang suami isteri yang soleh. Ditakuti apabila dia besar nanti dia akan menjadi kufur dan mengajak ibu bapanya turut menjadi kufur.
Namun, pengajaran yang paling besar di sini adalah Allah melindungi hamba-hambanya yang beriman dengan cara yang tidak sampai akal kita untuk mengetahuinya. Allah mengizinkan Nabi Khaidir alaih salam untuk membunuh anak kecil itu supaya iman kedua orang ibu bapanya yang soleh itu terpelihara. Allah juga tidak menghampakan harapan dan doa ibu bapa yang soleh itu. Dengan kematian anak itu, sudah pasti syurga adalah tempat istirehatnya. Sudah tentu menjadi harapan setiap ibu bapa supaya anak mereka ditempatkan di tempat yang sebaik-baik tempat akhiran berbanding jika dia besar dan kufur kepada Allah.
Selepas itu, Allah menggantikan anak yang mati dibunuh tadi dengan seorang anak wanita yang jauh lebih baik. Daripada anak wanita ini, lahirlah ramai anbiya dan rasul-rasul yang mulia dari keturunan bani Israel. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Penyayang.
Hari ini juga hati menangis apabila teringatkan seorang anak remaja yang bernama Aminul Rashid Hamzah(15 tahun) mati ditembak di kepala di Seksyen 11 Shah Alam. Sekurang-kurangnya 4 das tembakan dilepaskan(menurut saksi hampir 10 das tembakan dilepaskan).
Boleh sahaja kita marah, kesal, mencarut dan maki hamun pihak polis. Tetapi saya memilih untuk merenung kembali kisah Nabi Musa dan Nabi Khaidir alaih salam yang hampir sahaja kebetulan disuakan kepada saya.(adakah kebetulan?) Saya menginsafi diri dan berserah kepada Allah kerana Dialah yang lebih mengetahui segala hikmahnya.
Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Dan keadilan dalam perkara ini dapat ditegakkan walaupun keadilan yang hak itu adalah kepunyaanNya semata-mata. Doa kami bersamamu adik Aminul Rashid. Al-Fatihah.
Lepas satu, satu perkara pelik di dalam negeri 1Malaysia pada hari ini. Abaikan sahaja sabda-sabda nabi tentang perkara akhir zaman. Kerana perut dan poket itu lebih penting. Kehidupan dunia yang fana itulah yang dicari, bukan hidup hakiki di akhirat yang dicari.
Baru sahaja kepala kawang pening macam mana pelakon star porno Malaysia boleh dilantik kembali menjadi presiden satu parti komponen BN, bertambah pulak satu cerita lain. Tapi yang peliknya kemenangan pelakon porno disambut dengan kegembiraan oleh yang terbijak Perdana Menteri satu Malaysia. Akal warasku memang separuh mereng berfikir. Mana mungkin seorang manusia yang jelas-jelas rosak akhlak seperti ini masih lagi diterima sebagai pemimpin. Malah dengan selamba dan tanpa malu boleh menebalkan mukannya untuk muncul di kaca televisyen setiap hari. Aduhai Malaysia Boleh!
Tapi berita yang gempar juga lah agaknya(pasal cari dekat utusan dengan Berita Hairan - tak keluar cerita ini) adalah pasal berlaku satu bangunan runtuh. Ye! Runtuh! Agaknya ini satu lagi projek pembangunan yang dicanangkan oleh kerajaan negeri. Tapi tak kisahlah agaknya, pasal kalau ikut kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Terengganu, Yahya Khatib Mohamad bangunan runtuh ni satu rahmat untuk rakyat Terengganu. Tak percaya? Boleh tengok video klip dia kat situ.
Patutlah bangunan kat Terengganu selalu runtuh. Pasal ia menandakan banyak rahmat turun untuk rakyat Terengganu. Aduh! Apa sebenarnya terjadi ni? Kalau macam ni, baiklah aku suruh budak darjah lima jadi exco negeri. Sama je tahap pemikiran dia. Politik melayu semakin memualkan.
Nasib baik yang runtuh dalam pembinaan. Tapi ada jugalah nyawa insan yang terkorban. Agak-agak kalau bangunan runtuh semasa pelajar-pelajar UMT tengah belajar macam mana ya? Nyawa anak-anak jadi pertaruhan dek kerana nafsu serakah manusia?
Sekarang ni nak buat macam mana? Macam biasalah kot, buat siasatan. Lepas tu tutup je kes tu. Tak siapa berani lawan pun. Kes-kes lain berlambak-lambak.. tak tahu bila nak selesai. Yang jelas, manusia semakin tak takut tuhan. Tak kenal nabi. Tak kenal dosa. Sebab tu lah depa berani buat macam depa tak mati-mati. Aduhai, Teganu Kite!
Betapa kita tidak menghargai indahnya ciptaan Illahi. Dek kerana nafsu dan ego diri, manusia merasakan dirinyalah sebagai raja yang menguasai alam ini. Sembrono memuaskan apa yang dihajati sehingga terlupa akan asal kejadian diri sendiri.
Tidak sepatutnya terjadi penderaan kanak-kanak yang berleluasa saban hari. Tidak sepatutnya terjadi pembuangan bayi yang berleluasa kini. Tidak sepatutnya terjadi peperangan yang memakan bukan sedikit korban yang tidak berdosa.
Kita punya mata - tetapi tidak dapat melihat. Kita punya hati - tetapi naluri kita lebih kejam dari seekor binatang buas. Kita punya rasa - tetapi tidak merasa. Berhenti lah sekejap dan bukalah mata kita. Melihat kembali kebesaran yang Maha Esa dan rasalah betapa kerdilnya kita sebagai manusia di muka bumi ini.
Aku tidak pernah menyamakan dirimu sebagai tuhan. Di situ ada batas seperti yang disebut dalam bait-bait Qasidah Burdah karangan Imam Al-Busyiri. Selain daripada di atas, maka pujilah Rasul mu sekehendak hatimu. Ia adalah amalan sahabat-sahabat dan solaful soleh yang terdahulu darimu.
Allahuma Soli Ala Saidina Muhammad, Wa Ala Ali Muhammad.
(p/s:Tak payah kita bergaduh pasal Maulidur Rasul. Nak buat silakan. Tak ingin buat - duduk diam-diam sahaja.)
Mengenai Maulid Nabawi:
Kita sedia maklum "eid" cuma pada hari raya Aidil Fitri dan hari raya AidilAdha sahaja. Akan tetapi "youm elmaulid" lebih besar dan lebih agung dari hari raya, kerana tanpanya takkan wujud nuzul Al-Quran, Isra' dan Mikraj dan sebagainya. (m/s 10)
Kenapa kita merayakannya ?
Kita merayakannya kerana melahirkan rasa gembira dengan Nabi S.A.W , juga kerana melahirkan rasa kasih kepada junjungan Besar kita Nabi S.A.W. Kita berkumpul merayakannya untuk mendengar sirahnya dan menghayati "madeh" yang terkandung padanya sifat-sifat mulia NabiS.A.W(ms/ 12)
Perhimpunan ini merupakan "wasilah kubra" yang dikira sebagai "dakwah ila Allah Subhanahu Wa Ta'ala, yakni menyeru manusia kepada Allah Taala". Saat ini merupakan peluang keemasan. Bahkan menjadi kewajipan ke atas pendaie’ dan ulama' memperingatkan ummah terhadap Nabi S.A.W pada perkara-perkara yang berkaitan dengan akhlaknya,sirahnya , cara muamalahnya dan ibadat nabi s.a.w .(m/s 12)
Siapakah yang mula-mula nerayakan Maulid Nabawi?
Yang mula-mula merayakannya ialah Nabi S.A.W .sepertimana yang termaktub di dalam hadith sohih yang diriwayatkan oleh Muslim R.A : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab: Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku. m/s 15)
Adakan disyaratkan kita berpuasa pada hari perayaan maulid? Jawapannya : terserahlah pada individu.(m/s 20)
Dalil yang menunjukkan harus merayakan Maulid Nabawi:
Bahawasanya kita melahirkan rasa gembira dengan Nabi S.A.W adalah sesuatu yang dituntut sebagaimana didalam surah Yunus ayat 58.Bergembira dengan Rasulullah S.A.W. adalah dituntut.
Firman Allah Taala bermaksud:
Katakanlah dengan kelebihan Allah dan rahmatNya maka demikian hendaklah mereka bergembira (Surah Yunus: Ayat 58)
Allah Ta’ala menyuruh kita supaya bergembira dengan rahmatNya maka Rasulullah S.A.W. adalah sebesar-besar rahmat.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan tidaklah Kami utuskan kamu kecuali sebagai rahmat kepada sekalian alam.(Surah Al-Anbiya: Ayat 107).
Maulidur Rasul akan menganjurkan kita untuk sentiasa berselawat dan salam yang sangat dituntut ini kepada Baginda S.A.W.
Firman Allah Taala bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah al-Ahzab: ayat 56).
Sambutan maulid adalah satu amalan baik yang diterima ulama dan umat Islam di serata tempat. Ia dilakukan di setiap penjuru dunia dan ia tentulah dituntut berdasarkan kaedah yang telah diterima pakai dari sebuah hadis Ibnu Masud:
Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah. (Riwayat Ahmad).
Perayaan Maulid dapat mengumpulkan kebanyakkan orang untuk membaca beberapa ayat al-Quran. Kemudian menerangkan kepada kita jalan-jalan dakwah yang dlaksankan oleh Nabi S.A.W sejak mula diutuskannya Rasulullah S.A.W. Pada majlis itu dihidangkan dengan makanan sebelum para hadirin kembali ke tempat masing-masing. Dengan tidak berlebihan saya katakan bahawa perayaan semacam itu tergolong dalam bidaah hasanah yang bila dilakukan akan mendapat pahala. Mereka telah mengagungkan kedudukan Nabi S.A.W. dan melahirkan kesyukuran mereka di atas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. sebagai penghulu umat.
Sesungguhnya "Maulid Nabawi" terangkum hal-hal yang berkaitan dengan kelahiran Nabi S.A.W, sirah Nabi S.A.W membicarakan tentang mukjizat Nabi S.A.W . sebagaimana yang kita maklum, kita semua disuruh atau diperintah beriman dengan mukjizat-mukijizat Nabi S.A.W dan membenarkannya. Dengan mengadakan maulid ,secara tidak lansung hal-hal sedemikian dapat kita fahami dan mengingatkan semula sirah Nabi S.A.W.
Bahawasanya dengan mengetahui "syamail" ,"mukjizat" dan "irhosah" menjadikan iman kita lebih sempurna dan menambahkan kecintaan kepada Nabi S.A.W .sedangkan kecintaan yang lebih dan keimanan yang sempurna merupakan suatu yang dituntut oleh syara'.
Sesungguhnya sambutan maulid ini adalah satu amalan baik yang diterima ulama dan umat Islam di serata tempat dan dilakukan di setiap penjuru dunia dan ia tentulah dituntut berdasarkan kaedah yang telah diterima pakai dari sebuah hadis Ibnu Masud:
Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah. (Riwayat Ahmad).
Adakah Kita Wajib Menyambut Maulid Nabawi? Maulidur Rasul akan menganjurkan kita supaya sentiasa berselawat dan salam kepada Baginda. Perkara ini amatlah dituntut sebagaimana yang termaktub di dalam Surah Al-Ahzab.
Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).
Bukanlah sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh “para salaf” ataupun perkara itu tidak berlaku pada waktu permulaan dikira "bid'ah munkarah sayyi'ah" yang ditegah untuk melakukannya.Hal seumpama ini, ulama' membahagikan "bid'ah" kepada lima bahagian.
Wajib :- Seperti mempelajari ilmu nahu,
Sunat/ mandubat :- Azan di atas mimbar.
Harus:- seperti Memperhiaskan masjid,
Makruh:- contohnya melebih-lebihkan pada makan dan minum.
Haram:- perkara yang menyalahi sunnah dan tidak berdalilkan syara'. Secara umumnya perkara-perkara yang tidak mengandungi kebaikan dari segi syara'.
Bukanlah setiap bid'ah itu haram hukumya. Sebagai contoh pengumpulan Al-Quran dan penulisannya di dalam mushaf. Jika tindakan pengumpulan ini haram,tentu ia tidak dilakukan oleh Saiyidina Abu Bakar R.A , Saiyidina Umar R.A dan Saiyidina Zaid R.A .(m/s 32).
Berkata Imam Shafie: Bidaah ada dua: Bidaah terpuji (mahmudah) dan bidaah yang dicela (mazmumah). Maka apa yang sesuai dengan sunnah tetap dipuji dan yang mencanggahinya tetap dicela. Imam Shafie R.A berkata lagi bahawa perkara-perkara baru (al-muhdathat) ada dua jenis:
Pertama: Perkara yang mencanggahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak dan ini dikira sebagai bidaah sesat.
Kedua: Perkara baik yang diadakan yang tidak mencanggahi mana-mana daripada keempat-empat sumber (al-Quran, sunnah, athar dan ijmak) adalah perkara baru yang tidak dicela.(Riwayat Abu Nuaim. Kitab: Hilyah al-Auliya).
Berdiri di dalam majlis maulid : Termasuk dalam katogeri "ISTIHSAN" . Yang dimaksudkan istihsan ialah sesuatu yang dipandang elok atau bagus,dan perbuatan ini amatlah dituntut. Kita berdiri kerana menghormati orang-orang yang memiliki kelebihan adalah termasuk dalam perkara-perkara yang disyariatkan.
Berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Abu Said Al Khudri radiyallahu 'anhu bahawa ketika Banu Quraizah setelahmana menyerah kalah sanggup menerima hukuman yang dijatuhkan oleh Saad bin Muaz radiyallahu 'anhu, lalu Rasulullah Sallalahu 'alaihi wasallam mengutuskan utusan untuk menjemputnya ya’ini Saad R.A. Tak lama kemudian Saad pun tiba, lalu Rasulullah bersabda: "Bangunlah berdiri untuk tuan kamu." Atau di dalam satu riwayat:"....seorang yang terbaik di kalangan kamu."
Arahan ini adalah jelas supaya berdiri bangun untuk Saad r.a.dapatlah kita fahami menerusi hadith ini, bahawasanya perbuat berdiri ini dianjurkan oleh syara'. Jadilah adalah terlebih baik kita berdiri ketika menyambut maulidurasul.
Kita berdiri sebagai menghormati dan penghargaan yang timbul dari sanubari mereka terhadap syakhsiah yang mulia iaitu Rasulullah S.A.W sebagaimana di dalam majlis maulid nabawi adalah sesuatu perkara yang baik.
Kesimpulannya: Sesungguhnya Perayaan Maulid Nabawi merupakan suatu ungkapan ataupun menampakkan kecintaan kita kepada Nabi S.AW, dan perkara ini menjadi salah satu bukti dari bukti atau tanda-tanda kecintaan dan kasih kita kepada Nabi S.A.W.
Di antara sebesar-besar nikmat Allah taala yang dianugerahkan kepada seluruh makhluknya di muka bumi ini ialah dengan diutuskan Baginda sallallahu alaihi wasallam.Kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam merupakan satu rahmat kepada seluruh alam.
Firman Allah Subhanahu’ wa taala di dalam surah al-Anbiya’: Maksudnya: Tidaklah kami utuskan kamu (wahai Muhammad sallallahu alaihi wasallam)melainkan ianya merupakan rahmat kepada seluruh alam.
Rujukan Kitab – Haul Al Ihtifal Bi Zikriil Maulidin Nabawi Al Shariff, Karangan , Al Muhadith As Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki Al Hasani, Makkah.