Tuesday, May 19, 2009

Mencari Jati Diri - Siri 2

Diri Bangsa Yang Masih Terjajah
Bangsa Melayu dan Malaysia telah diistiharkan merdeka secara rasminya pada 31 Ogos 1957. Memang ia adalah satu peluang terbaik kita untuk memerintah sendiri dan membina bangsa mengikut acuan kita sendiri. Ia turut memberikan harapan baru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk membina masa depan yang cemerlang.

Sememangnya untuk mengejar kemajuan bukanlah sesuatu yang mustahil. Dalam 52 tahun kita merdeka pelbagai kejayaan dan pembangunan dikecapi. Bangunan tinggi dibina, hutan digondolkan. Maka berlumbalah kita mengorbankan apa sahaja yang dimiliki oleh negara atas nama pembangunan. Dan memang kita berjaya mencapai kejayaan yang gilang-gemilang. Kejayaan yang diukur dari segi bangunan dan material, namun dari segi pembangunan insan dan bangsa, ia telah runtuh dan menjunam ke tahap yang paling bawah.

Perlukan bukti? Lihatlah di kiri dan kanan kita? Lihatlah apa yang telah terjadi kepada anak bangsa kita? Berapa ramai yang sibuk ke mari ke sana merempit? Berapa ramai yang menjadi bohsia? Berapa ramai bohjan yang terhasil? Berapa ramai anak luar nikah dihasilkan setiap kali pemimpin kita sibuk meraikan tahun baru dan sure heboh? Berapa ramai anak bangsa yang terlibat dengan dadah? Berapa ramai yang berzina di tempat-tempat peranginan? Berapa ramai yang menjadi peragut ? Berapa ramai yang menjadi perasuah terhormat? Adakah ini yang kita sebutkan sebagai kejayaan?

Di mana silap dan salahnya? Mengapa selepas 52 tahun kita memerintah sendiri kita semakin terkebelakang. Nilai moral dan tingkah laku bangsa Melayu yang majoriti beragama Islam. Apakah nilai agama di sisi masyarakat Islam kita pada hari ini. Apa pula nilai hiburan yang semakin bercambah di Tv1,Tv2,Tv3, ntv7, tv8 dan tv9? Itu tidak termasuk lagi saluran televisyen berbayar astro yang mempunyai beratus-ratus siaran. Semuanya bersedia untuk membaham dan memamah nilai-nilai moral dan jati diri yang bersarang pada setiap anak bangsa.

Media yang lupa tanggungjawab
Apakah sebenarnya peranan media? Adakah selepas 52 tahun merdeka peranan dan tanggungjawab media adakah untuk menyiapkan masyarakat untuk berhibur, berhibur dan berhibur sahaja? Hanya keseronokan dan kegembiraan semata-mata yang dikejar. Tidak kira siang,malam,pagi dan petang hanyalah hiburan yang disediakan.

Masyarakat dibiarkan untuk terus hanyut dalam hiburan. Peranan untuk membentuk pola dan pemikiran masyarakat hanyalah tidak sampai 5%. Marah? Berapa banyakkah rancangan hiburan dan penulisan majalah yang membawa masyarakat untuk berfikir dan mencana rencana bagi pembangunan ummah?

Lihat sahajalah kepada pemikiran remaja kita pada hari ini. Apa yang dibaca? Apa yang ditonton? Apa yang diminati? Apa yang disukai? Hanya berkisar kepada agenda-agenda zionis yang menghancurkan masyarakat. Kesannya - masyarakat yang mengejar kebendaan dan mabuk dalam dunia khayalan.

Tanggungjawab sebenar media dalam membentuk masyarakat dibakulsampahkan. Pengarang-pengarang Melayu terkenal sebelum era merdeka sudah tentu akan merasa amat sedih. Akhbar-akhbar mereka digunakan untuk menyebarkan propaganda dan jarum-jarum beracun dalam pemikiran masyarakat dan bukannya untuk memberi kesedaran dan menyuntik semangat juang ke dalam pembentukan jati diri masyarakat Melayu Islam.

Benteng Pendidikan Agama Yang Diruntuhkan
Sudah pastinya setiap kali menjelang kemerdekaan, yang diberikan penekanan dan paling berjasa sudah tentu parti-parti politik tertentu sahaja. Mana mungkin ada orang lain yang lebih berjasa berjuang untuk mempertahankan dan membebaskan negeri ini daripada penjajahan. Sudah pasti jika bukan kerana parti politik ini negara akan terjajah sampai bila-bila.

Di sinilah sebenarnya penyelewengan fakta sejarah yang terbesar berlaku. Semenjak daripada keruntuhan empayar Melaka, Acheh, Pasai, Demak dan lain-lain siapakah yang berjuang bermati darah dan air mata untuk membebaskan nusantara jawi ini? Adakah pada masa itu sudah wujud parti politik yang dikatakan terbesar dan berjuang kerana bangsa?

Di sinilah peranan tokoh-tokoh ulama dan pejuang bangsa. Peranan ulama dan raja-raja Melayu dahulu yang bersatu bersama rakyat menentang segala bentuk ancaman luar. Daripada Portugis, Belanda dan Inggeris. Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut, Tok Gajah, Tokku Paloh, Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Mat Salleh dan ramai lagi nama besar berjuang. Di manakah nama mereka di dalam lipatan sejarah? Berapa muka suratkah menceritakan peranan besar mereka di dalam buku sejarah anak-anak kita?

Di sinilah dilupakan peranan institusi sekolah pondok dan sekolah agama. Siapakah yang menyekat bantuan yang disalurkan kepada sekolah agama rakyat yang menyebabkan ia terus lumpuh? Di seluruh negara sekolah-sekolah agama rakyat terus tenat dan terus berkubur. Begitu juga peranan pondok yang menjadi benteng Ahli Sunnah Wal Jamaah berjuang dan melahirkan pelbagai ulama nusantara.

Di manakah diletakkan nama Raja Haji? Syeikh Daud Fathani? Syeikh Ahmad Fathani? Syeikh Samad Falimbani? Wali Songo ? Syeikh Jamaluddin Kubra? Adakah generasi baru mengetahui peranan mereka dalam mendaulatkan Islamiah di Nusantara. Adakah mengetahui golongan ulama ini yang telah menulis kitab-kitab Melayu Jawi yang terus digunakan sehingga ke hari ini di seluruh pelusuk dunia.

Malang sekali kerana penulisan jawi dihapuskan oleh Melayu itu sendiri dan menyebabkan anak bangsa tidak dapat menulis jawi dan membaca Al-Quran. Ia adalah taktik yang sama digunakan oleh Mustaffa Kamal Attarturk yang berjaya menjatuhkan Khalifah terakhir untuk mensekularkan Turki.

Adakah berdosa besar jika peranan pondok dan sekolah agama rakyat diperkasakan? Malah sekolah kebangsaan juga turut menghadkan pelajaran agama Islam kepada 2-3 jam sahaja dalam seminggu. Adakah ia cukup untuk memberi penghayatan dan pengajaran kepada anak-anak kita yang sememangnya dahagakan ilmu agama sebagai benteng diri mereka.

Akibat kejayaan dasar pendidikan kita pada hari ini, kita telah berjaya menghasilkan begitu ramai mat rempit, bohsia, bohjan, doktor phd sendiri, penyangak, penyamun, perasuah terhormat yang rata-ratanya adalah bangsa Melayu. Tidak adakah rasa insaf setelah 52 tahun kita merdeka untuk merujuk kepada ulama mengenai sistem pendidikan kita yang semakin berjaya menghasilkan anak-anak yang kejayaan mereka diukur dalam peperiksaan semata-mata.

Sukan Yang Beragenda
Rata-rata antara kita mempunyai pasukan kegemaran masing-masing terutamanya English Premier League. Sudah tentu ramai di antara kita begitu girang menyambut kemenangan Manchester United baru-baru ini yang berjaya menyamakan kejayaan mereka menjulang piala liga selama 18 kali. Tidak kurang juga kita bergaduh dan memerli sesama sendiri demi mempertahankan pasukan kesayangan kita.

Sungguh malang dirimu wahai bangsa Melayu. Siapakah England? Siapakah British. Merekalah bangsa yang telah memusnahkan tamadun Islam Melayu di negerimu yang mekar subur selama beratus tahun lamanya. Datuk dan nenek moyangmu beratus-ratus tahun untuk mempertahankan negerimu daripada dicerobohi dan dirompak oleh bangsa asing.

Andai kata mereka masih hidup sudah tentu mereka merasa sedih sekali. Sudah tentu kerana anak cucu mereka begitu menyanjung dan menghargai bangsa yang telah memusnahkan tamadun, jati diri dan kerajaan Islam mereka. Ya! Bangsa inilah yang merompak, membunuh dan menghancurkan bangsa ini tetapi hari ini mereka menjadi sanjungan di kalangan kita.

Bukan untuk berfikiran jumud. Tetapi jika dilihat ke belakang, merekalah yang dengan angkuh menceroboh negeri yang tercinta ini. Mereka juga dengan angkuh membunuh pejuang-pejuang bangsa ini. Mereka juga dengan angkuh memenjarakan, membuang negeri dan menjadi tuan kepada negara yang beratus-ratus kilometer jauhnya dari negeri asal mereka.

Mereka jugalah yang menjalankan dasar pecah dan perintah di dalam negeri ini. Seterusnya menghancurkan jati diri bangsa, mengubah cara hidup, merubah cara pemikiran dan kemusnahan yang dilakukan bukanlah sedikit. Namun, semuanya di maafkan begitu sahaja dan ia dilupakan sahaja. Anak bangsa terus hanyut dan menyanjung bangsa yang bertanggungjawab merosakkan ketamadunan mereka.

Agak kontroversi? Anda berhak untuk marah dan tidak puas hati. Tetapi berfikirlah dengan mata hati dan terbuka. Kajilah sejarah bangsa. Apa yang tertulis pada buku sekolah anak-anak kita belum tentu betul. Mengapa? Kerana tanpa sejarah butalah bangsa. Itulah sebabnya bahasa kita sendiri akan dikuburkan kerana kita tidak pernah menghargai sejarah. Tanpa bahasa musnahlah bangsa. Tanpa jati diri, jadilah melayu itu layu.

2 comments:

Unknown said...

salam... jemput ke blog kawe.

Unknown said...

salam .. jemput ke blog saya.. ;)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails