Tuesday, December 30, 2008

Hentikan Keganasan di Palestin

Gambar dipetik dari : Palestinkini & http://jamna.blogspot.com/

Sewaktu kita di Malaysia ini sedang bersyukur kerana dapat menyambut Tahun 1430 Maal Hijrah, kita dikejutkan pula dengan kegilaan Israel yang rakus menghisap darah saudara-saudara kita di Palestin sana. Sehingga hari ini, jumlah umat Islam Palestin yang terkorban telah mencecah 300 orang ke atas. Tidak kira siapa sahaja akan menjadi korban. Orang tua, wanita dan kanak-kanak tidak terlepas dari serangan udara yang dilancarkan. Dalam masa itu Israel turut mengerakkan tentera kereta kebal mereka bagi persiapan serangan darat.


Alasan yang diggunakan untuk menghalalkan pembunuhan kejam ini adalah bagi menjatuhkan kerajaan Hamas yang telah dipilih oleh penduduk Palestin dalam pilihanraya lalu. Lebih malang lagi, negara-negara Arab di sekeliling Palestin turut bersengkongkol di dalam serangan ini. Mereka tidak terlibat secara langsung tetapi berselindung dan kononnya turut bersimpati di dalam serangan ini. Konspirasi ini dilaporkan telah dirancang 6 bulan yang lalu dan bukanlah kerana provokasi Hamas seperti yang dicanangkan oleh Israel. Adakah layak mereka-mereka ini mengaku beragama Islam tetapi dalam masa yang sama bersubahat dengan musuh umat Islam untuk melanyak saudara-saudara mereka yang tidak berdaya di Palestin.

Sungguh pedih di hati begitu terasa. Dalam era ini, ternyata umat Islam tiada upaya untuk bersatu-padu dan membela nasib saudara-saudara mereka. Mesir pula dalam masa yang sama berkeras untuk tidak membuka pintu sempadannya kepada Palestin bagi dihantar bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan. Begitu juga dengan penduduk Palestin yang lari ke sempadan untuk menyelamatkan diri masing-masing ke sempadan Mesir. Mereka disekat daripada mendapatkan perlindungan. Malang sekali nasib saudaraku. Sudah pasti jika mereka pulang, askar-askar Israel menanti untuk menyembelih mereka hidup-hidup.

Malang sekali, ada juga manusia yang masih menyokong keganasan Israel ini. Alasannya kerana dikatakan Hamas dan Palestin itu terdiri daripada golongan pengganas. Perlu dijelaskan di sini, Israellah yang telah merampas tanahair mereka di Palestin dan mendirikan negara haram Israel di kampung dan tanahair mereka. Seterusnya mereka dihalau dan dibunuh dari kampung halaman dan menjadi pelarian.

Aduhai ummah! Apa yang boleh kami lakukan kepada saudara kita. Doa kami dan Al-fatihah diiringkan kepada syuhada-syuhada yang syahid kerana berjuang mempertahankan tanahair tercinta. Kami memohon kepada saudara-saudara dan umat Islam sama-sama berdoa, menghadiahkan al-Fatihah kepada mereka yang meninggal dan menghulurkan bantuan setakat yang mampu.

Sesungguhnya kami tidak akan membiarkan saudara kami menderita. Umat Islam itu umpama satu badan, jika kaki kami sakit - satu badan terasa sakit. Persetankan mereka yang hanya mementingkan perut dan tembolok mereka. Tiada langsung secebis simpati di hati mereka. Malah hanya mulut sahaja yang bersuara mengutuk, tetapi hati langsung tiada terasa. Sesungguhnya kematian itu pasti namun bagaimana kamu mati itulah yang lebih utama.

Lagi berita-berita mengenai palestin boleh diperolehi di :-
http://Palestinikini.info
http://www.imemc.org
http://islamonline.com

Monday, December 22, 2008

Hulurkan Keprihatinan Kita Terhadap Bahasa Kita

Malang bangsaku bertimpa-timpa. Angkara amanah kuasa diberi kepada yang tidak amanah. Akibatnya nasib beratus-ratus ribu anak bangsaku menunggu untuk digadaikan. Masih adakah sedikit keprihatinan kita untuk membantah penggunaan Bahasa Inggeris di dalam Matematik dan Sains ?

Bukanlah bermakna kita menolak penggunaan bahasa Inggeris secara total. Cuma bahasa Ibunda perlulah diletakkan di tempat yang sepatutnya, di samping memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris itu sendiri. Bukannya dengan semakin melemahkan penguasaan Sains dan Matematik kerana di ajar di dalam bahasa yang asing bagi masyarakat di luar bandar.







E-book di atas adalah kajian Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan ROI(Return Of Investment) hasil daripada penggunaan bahasa Inggeris terhadap kedua-dua matapelajaran.

Tanda keprihatinan kita terhadap bahasa Ibunda marilah nyatakan bantahan penggunaan Bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran sains dan matematik. Petition boleh

ditandatangani di sini. Sila Panjang-panjangkan :





To: Kementerian Pelajaran Malaysia

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI


Petisyen kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

PPSMI : Kembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Kami warga Malaysia, yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan kepada peranan Bahasa Melayu, terutama sebagai bahasa imu dan pendidikan, yang terus berlaku di Malaysia.

Pada tahun 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan bahasa melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.

Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996, kedaulatan bahasa melayu harus dipertahankan sebagai bahasa teras dalam sistem pendidikan negara. Dasar tersebut dengan jelas menyatakan bahawa “dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama”. Hakikatnya, jika dasar Pendidikan Kebangsaan ini tidak dipelihara, ia akan membebankan guru dan pelajar luar bandar untuk menggunakpakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam pada itu, pelaksanaan dasar Pengajaran Sains dan Matemaik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilihat tergesa-gesa ini amat bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara. Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah memberi definisi jelas kepada maksud sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Menurut Seksyen 2, Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah Rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan— (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan - (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Seksyen 17(1) Akta Pendidikan juga menyatakan “Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini”

Adalah amat mengecewakan apabila pemimpin melayu kini sudah tidak memiliki sensitiviti untuk mempertahankan nasib bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama tidak menghormati peruntukan undang-undang tertinggi negara yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar yang menjamin kedudukan bahasa Melayu yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu juga sudah dianggap tidak relevan dan tidak dinali sebaik-baiknya.

Untuk memastikan agar kedudukan bahasa Melayu terjamin dalam negara ini dan tidak terus digugat, malah diangkat dan dimartabatkan, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia :

• Mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik di semua sekolah rendah kebangsaan dan menengah.

• Memelihara bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan kaum.

• Menghormati dan menguatkuasakan sepenuhnya segala peruntukan undang-undang yang ada yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan.

• Mengekalkan dasar-dasar negara yang menjamin kedaulatan bahasa melayu yang diwarisi oleh generasi pemimpin terdahulu.

Kami, dengan ikhlas dan tegas, dan penuh rasa tanggungjawab percaya bahawa kemajuan negara akan tetap tecapai walaupun kita mengekalkan bahasa, budaya dan jatidiri kita yang tulin. Perlu disedari bahawa bahasa merupakan jiwa dan cerminan kepada bangsa dan jika tidak dipertahankan akan hilanglah jatidiri bangsa kita sebagai Melayu dan Islam.


Muhamad Faisal Abdul Aziz
Pengerusi,
Gerakan Anti PPSMI (GAP)

Alamat Perhubungan :
Sekretariat PKPIM Pusat,
Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.

Tel : 03-61879520
Faks : 03-61842570
Web : www.pkpim.net
Email : spp@pkpim.net | spp_pkpim@yahoo.com

Sunday, December 21, 2008

Apakah Yang Kita Perolehi Dengan Membakar Replika Babi?

Foto : Malaysiakini

Nampaknya kita semakin melangkah ke belakang! Tercengang saya baca Malaysiakini pagi ini. Nak setuju salah. Taknak setuju pun macam salah. Garu-garu kepala yang tak gatal ini. Complicated? Sosphicated? Educated?

Bila tengok Dato Ma'amor bakar replika babi, saya terkejut beruk! Beruk pun tak terkejut macam saya. Iyalah, takkan level macam Dato Ma'amor yang terkenal dengan ubat gigi mukmin tersebut hanya layak bakar replika babi sahaja? Nampak macam sedikit perasaan megah dan bangga bila beliau diberi 'penghormatan' untuk membakar replika babi tersebut.

Persoalan yang bermain-main di benak yang sempit ini :-

1. Marah betul-betul pasal isu kepala babi digantung bersama 'banner' pewaris. Masalahnya, kita dah selidik atau belum siapa yang 'empunya' kerja tersebut. Adakah kita sapu bersih lalu terus menunding kepada pihak-pihak yang tertentu. Dalam istilah ini saya tercium adanya satu agenda yang ingin membawa provokasi ke arah peristiwa 13 Mei.

2. Jika ada pihak ketiga yang mengambil kesempatan untuk menambahkan kekeruhan yang sedia dicipta ini, sanggupkah kita menjadi alat? Dalam masa yang sama, berapa ramai orang yang tidak bersalah akan terlibat sama?

3. Tiada lagikah penyelesaian yang terbaik yang boleh di ambil? Jadi penyelesaian terbaik adalah bergaduh dan provokasi?

Kita sudah 52 tahun merdeka. Dan sepanjang tempoh itu, negara hanya diperintah oleh satu sahaja kerajaan dari dahulu hingga sekarang. Melaka juga adalah salah satu negeri yang dari dulu hingga sekarang diperintah oleh kerajaan negeri yang sama mazhab dengan kerajaan persekutuan. Justeru itu, adakah isu babi ini hanya wujud selepas 52 tahun kemudian dan selepas kerajaan persekutuan yang memerintah telah kehilangan beberapa buah negeri kepada pakatan Rakyat?

Saya meragui penglibatan Dato Ma'amor. Mungkin pewaris di anggotai oleh pelbagai NGO Melayu tetapi jika kita mengetahui bahawa Dato Ma'amor adalah orang kuat Umno Ampang apakah telah tumpul proses bersuara di dalam Umno itu sendiri. Negeri Melaka negeri Umno, maka tidak bolehkah kerajaan negeri bertindak terhadap isu babi ini?

Saya bersetuju jika pewaris bertindak untuk menyatukan orang Melayu dan bersama-sama mengembeleng tenaga dalam memantapkan ekonomi dan politik orang Melayu. Tetapi jika kita hanya menurut emosi dan semangat pendekar jantan tanpa berfikir maka padah yang akan menimpa kepada kita juga bukanlah calang-calang. Seperti drama-drama pendekar 80an dahulu, kebanyakan pendekar kita digambarkan sebagai golongan yang panas baran dan suka bertindak melulu. Langsung tidak mahu mendengar bicara orang tua-tua dan ikut kata hati. Selepas bertindak barulah nasi menjadi bubur.

Adakah kerana babi kita akan melihat sekali lagi pertumpahan darah. Jadi jika pembakaran replika itu tidak ke arah itu, jelaskanlah kepada saya apakah matlamat pembakarannya?

Thursday, December 18, 2008

Apabila Pusat Jantung 'Dikeparatkan'

Nampaknya akan bertambah ramailah pesakit yang terkena sakit jantung selepas ini. IJN ditubuhkan untuk memberi khidmat kepada rakyat yang tidak mampu mengeluarkan belanja bagi rawatan penyakit jantung yang semakin kronik di kalangan rakyat Malaysia. Bayangkan sahaja, 85% pesakit-pesakit di IJN ini terdiri daripada kalangan rakyat yang berpendapatan rendah dan mereka yang telah bersara dari perkhidmatan masing-masing.

Malang akan bertimpa-timpa menimpa rakyat marhaen yang telah sedia tersempit dengan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin yang berjuang kerana hidup melayu. Malangnya, golongan bangsa Melayu lah yang kebanyakannya semakin tersempit hari demi hari.

IJN lebih dikenali dengan Institusi Jantung Negara telah ditubuhkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4 iaitu Tun Dr. Mahathir pada September 1992. Ia dimiliki 99.99 oleh Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan. IJN telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada warga Malaysia sehingga Tun Dr. Mahathir sendiri mengiktiraf dan beberapa kali membuat pembedahan di sini. Kepakaran IJN ini telah diakui oleh banyak pihak dari luar dan dalam negara.

Namun awas! Telah hampir pasti bahawa IJN akan diambil alih oleh Sime Darby. Laporan dari Rockybru dan Simedarby watch menyatakan bahawa kerajaan telah membenarkan pengambil alihan IJN oleh Sime Darby Healthcare anak syarikat kepada Sime Darby. Namun Pak Najib dan Pak Dollah telah memberi jaminan bahawa mutu perkhidmatan dan bayaran rawatan akan tetap kekal dan tidak membebankan rakyat yang berpendapatan rendah. Percayakah anda?

Apakah kesannya jika IJN dikoporatkan ?
1. Kos rawatan akan meningkat kepada berkali ganda. Tiada lagi bayaran sama seperti di hospital kerajaan. Satu kos pembedahan sahaja akan meningkat kepada puluhan ribuan.

2. Pesakit-pesakit yang tiada sumber kewangan akan ditolak dan dihantar kepada hospital biasa sahaja. Tak percaya? Cuba lihat cerita-cerita kemalangan yang berlaku berhampiran di hospital-hospital swasta di Kuala Lumpur ini. No money no talk!

3. Adakah ini merupakan satu lagi konspirasi peringkat tertinggi. Umum mengetahui bahawa Sime Darby telah dikuasai oleh Synergy Drive yang mana pengerusinya mempunyai kaitan dengan Najib.

4. Apabila keuntungan menjadi matlamat, nilai nyawa manusia tidak bernilai lagi. Nyawa seorang datuk akan menjadi lebih berharga daripada Pakcik Samad yang telah menjadi pesara kerajaan setelah berkhidmat berpuluh tahun dengan kerajaan.

5. Apakah rasional sebenar di sebalik agenda pengkoporatan ini? Setakat ini IJN telah beroperasi dengan efisien dan kepakarannya diakui. IJN juga tidak mempunyai sekatan kewangan dan ia merupakan hak rakyat yang telah membayar cukai kepada kerajaan.

Jadi adakah anda sebagai rakyat Malaysia bersetuju jika IJN yang bertindak sebagai barisan depan terhadap pembunuh no.1 negara ini dikoporatkan dan dikeparatkan. Sekali lagi, lihatlah kebijaksanaan pemimpin-pemimpin kita dalam mengembungkan poket masing-masing. Nilai nyawa rakyat di mata mereka hanyalah isu picisan yang mungkin tidak perlu dipandang walau sebelah mata. Maafkan hamba, sedikit emosi di pagi Jumaat yang mulia ini.

Wednesday, December 17, 2008

Tazkirah

Sedikit tazkirah untuk dikongsi :-

Dari Ibnu Abas Radiallah anhu bahawa iblis laknatullah datang berjumpa dengan Rasulullah Sallahualaih wasalam. Lalu Rasulullah bertanya siapakah golongan yang paling dicintai dan dikasihi oleh iblis. Lalu iblis menjawab :-

  1. Pemimpin yang zalim, tidak amanah dan yang menyalahgunakan kuasanya.
  2. Orang yang sombong dan membangga-banggakan dirinya(al-mutakkabir)
  3. Orang yang kaya yang tidak memperdulikan dari mana datangnya harta kekayaan tersebut dan tidak peduli ke mana harta itu dibelanjakan.
  4. Seorang yang alim tetapi membenarkan pemimpin atau sultannya melakukan kezaliman.
  5. Peniaga yang menipu dalam perniagaannya seperti mengurangkan timbangan dsb.
  6. Orang yang menyimpan/menyorok barangan dagangan untuk tujuan monopoli atau manipulasi harga(muttakhir)
  7. Orang yang suka berzina
  8. Orang yang memakan riba
  9. Orang yang bakhil
  10. Peminum-peminum arak/khamar.

Semoga kita tidak termasuk di dalam golongan ini dan dijauhkan Allah dari menjadi golongan-golongan ini.

Sunday, December 14, 2008

Apabila Alam Berbicara

Sumber Gambar : SaifulIslam

Maka apabila alam mula berbicara, gemparlah seluruh negara. Bukan sahaja Bukit Antarabangsa yang bergegar, malah banyak manusia lain yang turut sama digegarkannya. Daripada pihak JAS, Pemaju, PBT, kerajaan negeri, menteri-menteri, penduduk-penduduk termasuklah pemerhati-pemerhati bertauliah dan tidak bertauliah turut sama bergegar.

Ini salah dia, itu salah mereka dan kami menerima padahnya. Mungkin dialog ini telah berulang-ulang kali disiarkan dan digunakan di media massa. Yang pastinya mangsa yang sejak azali telah termaktub secara tidak bertulis adalah pembeli-pembeli dan pengguna-pengguna yang menghuni rumah-rumah tersebut. Yang lain sibuk melepaskan diri dan mengeliut daripada turut sama dipersalahkan. Untuk berkongsi rasa dan kesusahan mereka yang terlibat jawabnya jauh panggang dari api.

Menteri-menteri tidak terkecuali untuk bersuara dalam perkara ini. Maka menjeritlah menteri-menteri sampai keluar urat merih menjerit menyuruh semua projek perumahan di lereng bukit dihentikan. Lebih-lebih lagi kawasan yang terlibat merupakan kawasan tadahan hujan semulajadi yang amat diperlukan oleh sekalian makhluk disekelilingnya. Sejauh mana ia akan dilaksanakan, wallahualam. Samada mengundang episod yang sama seperti Highland Towers atau tidak sama-sama kita tunggu dan lihat.




Adakah tanah-tanah ini runtuh dengan sendirinya? Adakah pokok-pokok ini jatuh bersama runtuhan tanah-tanah ini secara kebetulan? Adakah kematian dan kemusnahan yang berlaku itu tiada kena-mengena dengan manusia itu sendiri?

Sesungguhnya manusia itu pelupa. Manusia juga dihinggapi pelbagai-pelbagai penyakit yang perlu dicari penawarnya. Penyakit tamak haloba, mementingkan diri-sendiri dan sebagainya yang semakin membarah dalam masyarakat kita. Kita sering lupa nasib masyarakat-masyarakat di sekeliling kita yang tidak mempunyai rumah sebesar rumah kita, kita sering lupa betapa ramainya masyarakat di sekeliling yang tidak mempunyai apa-apa untuk berteduh, untuk makan.

Tidak ramai yang melihat apa yang tersirat daripada bicara alam itu sendiri. Apa hikmah di sebalik malapetaka(jika itu yang kita mahu labelkan) ini. Ada bukit kita gondolkan, ada kawasan tadahan hujan kita cemari, ada rumah besar kita bangga, ada kenderaan pernahkah kita menumpangkan orang lain yang tidak berkenderaan? Sememangnya kita sudah jauh daripada prihatin antara satu sama lain.

Lalu apabila kita mengalami sedikit kesusahan sedikit yang diberi Allah, kita melenting. Kita marah-marah dan segala maki-hamun terkeluar dari mulut kita dihamburkan kepada semua orang. Tiadakah secebis rasa rendah diri untuk kita melihat ke dalam diri apa yang kita lakukan selama ini yang kian hari semakin lupa kepada tuhan, kepada alam.

Marilah kita sama-sama menghisab diri. Betapa banyaknya dosa kita kepada tuhan. Kita angkuh mendirikan banglo-banglo mewah dilereng bukit untuk mengambarkan kemewahan yang ada pada kita. Kita lupa tuhan boleh menariknya sekelip mata sahaja. Kita hanyut dengan segala nikmat yang melimpah-ruah yang dikurniakan setiap hari dan masa, sehingga lupa meluangkan seminit dua mengingatiNya.

Marilah kita menghisab kembali diri kita yang kerdil ini. Terlalu banyak dosa kita kepada tuhan namun untuk mengakuinya jauh panggang dari api. Sedarlah, ujian ini cukup kecil berbanding ujian pada hari kemudian nanti. Dari Allah kita datang, dariNya juga kita kembali.

Wednesday, December 3, 2008

Kadar Kemalangan Turun Disebabkan Peraturan Tali Pinggang Belakang

Nak taip tajuk pun dah tergelak. Macam tak logik pun ada. Mungkin kepala saya dapat mengaitkan sedikit kaitan antara tali pinggang belakang dengan penurunan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia masa kini. Soalan pertama pihak JPJ sempat tak mengkaji punca-punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia? Soalan kedua pula berapa peratus pula kaitan antara pemakaian tali pinggang belakang dengan kadar pengurangan kemalangan jalan raya hari ini.

Kebanyakan polisi dan undang-undang yang dibuat oleh orang-orang yang tidak pernah memahami dan mendalami situasi dan keadaan yang sebenar masyarakat kita pada hari ini. Sebagai contoh - satu iklan jalan raya yang meminta pengguna motosikal menunggang pada kadar kelajuan 60k/m sejam. Secara teorinya mungkin ia satu tindakan yang boleh diterima pakai. Tetapi jika anda seorang penunggang motosikal tegar, anda boleh cuba membawa motosikal ini pada kelajuan ini dan mungkin pelbagai sumpah seranah yang keluar dari mulut anda.

Kadar kelajuan 60km/j itu mungkin sesuai di kampung, tetapi tidak di bandar. Bayangkanlah jika seorang pengguna berulang-alik dari Rawang ke Petaling Jaya setiap hari melalui lebuhraya PLUS. Bayangkan berapa panjang masa yang digunakan jika hanya menunggang pada kelajuan itu? Adakah kelajuan itu boleh diterima jika perjalanan itu dipratikkan apabila anda dari Kuala Lumpur pulang ke Ipoh ?

Begitu juga dengan pemakaian tali pinggang belakang ini. Umumnya ia akan menyusahkan kebanyakan rakyat marhaen yang rata-ratanya mempunyai anak yang ramai. Pada pendapat peribadi saya, punca utama penyumbang kematian di jalan raya adalah kualiti kereta tempatan yang ternyata bolos dari segi keselamatan dan teknologinya. Yang pasti, jika kemalangan tersebut melibatkan kereta kancil atau proton(bukan untuk memburukkan proton atau perodua), kadar pengguna untuk selamat mungkin terlalu tipis.

Jika seorang anak berumur 4 tahun, dapat duduk diam di belakang dengan memakai tali pinggang itu adalah satu keajaiban. Mungkin boleh untuk 10 minit tapi bagaimana 15 minit dan 20 minit berikutnya?

Begitu juga dengan kapasiti penumpang akan terhad hanya kepada 5 orang sahaja pada satu-satu masa. Bagaimana dengan rakyat marhaen yang mempunyai ramai anak-anak kecil. Apakah ada kertas cadangan yang dibuat sebelum peraturan ini dikuatkuasakan. Agak-agaknya jika ia dipratikkan, berapa banyakkah kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan ?

Pada saya satu kaedah yang lebih pratikal perlu dilakukan. Kebanyakan kaedah yang dikuatkuasakan tidak begitu pratikal. Pada saya banyak faktor yang boleh diperbaiki seperti keadaan jalan raya dan lebuh raya yang tidak mengikut spesifikasi. Contohnya jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Jika anda melalui jalan ini, perhatikan berapa banyak jalan yang sedang diperbaiki sedangkan lebuhraya PLUS yang sudah berpuluh tahun digunakan jarang sekali berlakunya pembaikan besar-besaran seperti yang dilakukan oleh LPT. Sedangkan LPT baru sahaja berapa tahun dibuka hampir tiap-tiap hari pembaikan dilakukan.

Begitu juga dengan keadaan jalan raya LPT itu sendiri. Jika anda melalui jalan ini sewaktu hujan lebat atau hujan renyai, anda akan dapat melihat pastinya ada kereta yang terbabas dikiri kanan jalan. Yang paling malang sekali banyak tempat yang air melintas dan menyebabkan kereta anda hilang keseimbangan.

Wal asal balik asal, diharapkan peraturan yang diguna pakai boleh memberi manfaat kepada semua pihak dan bukan semata-mata kerana mengikut kehendak menteri sahaja. Kasihanilah rakyat marhaen di bawah ini. Tanyalah Menteri-menteri adakah mereka akan menggunakan tali pinggang belakang apabila menaiki kereta mereka? Atau mereka tahu mereka tidak mungkin disaman di negeri Malaysia Boleh ini?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails