Sunday, December 14, 2008

Apabila Alam Berbicara

Sumber Gambar : SaifulIslam

Maka apabila alam mula berbicara, gemparlah seluruh negara. Bukan sahaja Bukit Antarabangsa yang bergegar, malah banyak manusia lain yang turut sama digegarkannya. Daripada pihak JAS, Pemaju, PBT, kerajaan negeri, menteri-menteri, penduduk-penduduk termasuklah pemerhati-pemerhati bertauliah dan tidak bertauliah turut sama bergegar.

Ini salah dia, itu salah mereka dan kami menerima padahnya. Mungkin dialog ini telah berulang-ulang kali disiarkan dan digunakan di media massa. Yang pastinya mangsa yang sejak azali telah termaktub secara tidak bertulis adalah pembeli-pembeli dan pengguna-pengguna yang menghuni rumah-rumah tersebut. Yang lain sibuk melepaskan diri dan mengeliut daripada turut sama dipersalahkan. Untuk berkongsi rasa dan kesusahan mereka yang terlibat jawabnya jauh panggang dari api.

Menteri-menteri tidak terkecuali untuk bersuara dalam perkara ini. Maka menjeritlah menteri-menteri sampai keluar urat merih menjerit menyuruh semua projek perumahan di lereng bukit dihentikan. Lebih-lebih lagi kawasan yang terlibat merupakan kawasan tadahan hujan semulajadi yang amat diperlukan oleh sekalian makhluk disekelilingnya. Sejauh mana ia akan dilaksanakan, wallahualam. Samada mengundang episod yang sama seperti Highland Towers atau tidak sama-sama kita tunggu dan lihat.




Adakah tanah-tanah ini runtuh dengan sendirinya? Adakah pokok-pokok ini jatuh bersama runtuhan tanah-tanah ini secara kebetulan? Adakah kematian dan kemusnahan yang berlaku itu tiada kena-mengena dengan manusia itu sendiri?

Sesungguhnya manusia itu pelupa. Manusia juga dihinggapi pelbagai-pelbagai penyakit yang perlu dicari penawarnya. Penyakit tamak haloba, mementingkan diri-sendiri dan sebagainya yang semakin membarah dalam masyarakat kita. Kita sering lupa nasib masyarakat-masyarakat di sekeliling kita yang tidak mempunyai rumah sebesar rumah kita, kita sering lupa betapa ramainya masyarakat di sekeliling yang tidak mempunyai apa-apa untuk berteduh, untuk makan.

Tidak ramai yang melihat apa yang tersirat daripada bicara alam itu sendiri. Apa hikmah di sebalik malapetaka(jika itu yang kita mahu labelkan) ini. Ada bukit kita gondolkan, ada kawasan tadahan hujan kita cemari, ada rumah besar kita bangga, ada kenderaan pernahkah kita menumpangkan orang lain yang tidak berkenderaan? Sememangnya kita sudah jauh daripada prihatin antara satu sama lain.

Lalu apabila kita mengalami sedikit kesusahan sedikit yang diberi Allah, kita melenting. Kita marah-marah dan segala maki-hamun terkeluar dari mulut kita dihamburkan kepada semua orang. Tiadakah secebis rasa rendah diri untuk kita melihat ke dalam diri apa yang kita lakukan selama ini yang kian hari semakin lupa kepada tuhan, kepada alam.

Marilah kita sama-sama menghisab diri. Betapa banyaknya dosa kita kepada tuhan. Kita angkuh mendirikan banglo-banglo mewah dilereng bukit untuk mengambarkan kemewahan yang ada pada kita. Kita lupa tuhan boleh menariknya sekelip mata sahaja. Kita hanyut dengan segala nikmat yang melimpah-ruah yang dikurniakan setiap hari dan masa, sehingga lupa meluangkan seminit dua mengingatiNya.

Marilah kita menghisab kembali diri kita yang kerdil ini. Terlalu banyak dosa kita kepada tuhan namun untuk mengakuinya jauh panggang dari api. Sedarlah, ujian ini cukup kecil berbanding ujian pada hari kemudian nanti. Dari Allah kita datang, dariNya juga kita kembali.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails