Monday, August 31, 2009

Mari Kita Berniaga Di Bulan Ramadhan

Umumnya rata-rata orang kita mengetahui, apabila disebut bulan Ramadhan atau bulan puasa maka sudah pasti ia adalah satu bulan yang memberi pulangan lumayan. Definasi lumayan pula terpulang kepada kita masing-masing. Ada orang yang dalam kepalanya sudah terbayang akan keuntungan berniaga yang akan diperolehi pada bulan puasa. Juallah apa sahaja di bulan puasa ini, jika batu goreng sekalipun - Insya Allah akan habis terjual. Apatah lagi jika juadah kuih-muih, baju raya, kuih raya dan sebagainya.

Keuntungan di bulan puasa memang mengkagumkan. Tidak pelik jika keuntungan berniaga di bulan puasa menyamai dengan perolehan setahun pendapatan berniaga. Jadi kesempatan berniaga ini digunakan untuk berniaga sepenuhnya oleh peniaga-peniaga kita. Pendek kata pulun habis. Apa sahaja barang yang boleh diniagakan, maka akan diusahakan untuk dijual dan memperolehi keuntungan yang maksimum.

Tidak pelik juga kerana keuntungan maksimum yang dikejar ini menyebabkan ramai orang kita berniaga secara short-cut. Jual kuih - kuih basi, jual baju raya - kualiti murah, jual tiket bas - tiket tipu dan 1001 macam jenis helah. Malang seribu kali malang, nilai ramadhan sebagai bulan ramadhan yang penuh keberkatan dijadikan sebagai bulan menempah bala dan dosa yang berlipat kali ganda. Sungguhlah kita orang yang rugi.

Bertambah malang lagi, semangat mengejar keuntungan perniagaan ini tidak ditranslatekan kepada amalan-amalan dan membuat pahala sepanjang bulan. Bila berniaga, kita lupa untuk bertaraweh. Bila menjahit, kita tinggalkan Al-Quran dan zikir. Bila buat kuih raya - kita lupa untuk berqiamulail.

Betapa kita terlupa bahawa pahala sedekah, berzikir, bersolat dan lain-lain amalan dilipatkali gandakan oleh Allah sebagai tanda kemurahan kepada hamba-hambanya yang begitu banyak berdosa. Pahala solat fardhu di bulan Ramadhan menjadi hampir 70 kali ganda solat fardhu di bulan biasa. Membaca satu ayat Al-Quran dilipatkaligandakan pahalanya. Begitu juga sedekah, memberi makan orang berbuka, memuliakan anak yatim, menyambung silaturahim dan sebagainya.

Namun kerana pahala-pahala ini bila dilakukan tidak kelihatan di depan mata kita - maka ia terabai. Andai kata pahala ini tiba-tiba sahaja bertukar menjadi wang ringgit atau emas sudah pasti masjid-masjid kita akan terus dipenuhi tidak kira waktu dan minggu ramadhan. Sudah menjadi tradisi apabila di penghujung ramadhan, masjid yang pada awalnya melimpah ruah sehingga keluar akan kembali kepada saf yang sedia kala ada sahaja.

Janganlah kita menjadi orang yang rugi. Ramadhan hanya setahun sekali. Entahkan jumpa entahkan tidak selepas ini. Janganlah kita terus-terusan terleka. Kerana kedai, ditinggalkan solat tarawih yang pahalanya tidak terbanding apatah lagi ia hanya dilakukan pada Ramadhan. Begitu juga dengan satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Dan yang paling kita harapkan agar kita keluar dari Ramadhan dalam keadaan yang fitrah. Suci daripada dosa sepertimana keadaan kita sewaktu dilahirkan.

Ambillah kesempatan ketika syaitan dan iblis dirantai untuk kita membebaskan diri dari belenggu-belenggu maksiat dan dosa. Bersihkanlah diri kita kerana Allah memang menyediakan ramadhan untuk membersihkan diri. Hindarilah dosa kerana dosa juga boleh menjadi berlipat kali ganda.

Sama-samalah kita berniaga dengan Allah pada Ramadhan ini. Keuntungannya dan keberkatan yang diperolehi jauh lebih besar daripada berniaga di pasar-pasar Ramadhan. Jangan disalah anggap, berniaga itu bagus - tetapi jangan juga dilupakan amalan-amalan dan perkara sunnah. Kerana ia akan memberi manfaat kita di dunia dan akhirat. Salam beramal!

2 comments:

azizi said...

kdg2 rasa bertuah berada ditmpt asing, kerana dapat menjalani ibadat ramadhan tanpa "diganggu" oleh kebiasaan ramadhan di malaysia.
terasa akan maksud sebenar ramadhan di sini,

Cik Lee said...

Pakcik Azizi : Betul! Betul! Betul! Bazar Ramadhan dah jadi festival makanan sehingga dapat liputan dalam tv kita? Hebat tu!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails