Sunday, February 8, 2009

Najib Cakap BN Sedia Berubah (Menjadi Lebih Brutal)

Macam tak percaya. Wow! Ini sudah cukup bagus. Setelah apa yang terjadi di Perak, Najib cakap kerajaan BN sedia berubah. Katanya kerajaan sedia meneliti semula dan membuat perubahan sewajarnya terhadap dasar-dasar kerajaan. Satu kali banyak bagus. Dua kali baca bagus juga. Tiga kali baca sungguh tak bagus. Kerana nampaknya dasar yang diteliti dan perubahan yang dibuat adalah menggunakan cara brutal.

Selepas Perak, tiba giliran Kedah. Cepat sungguh depa bertindak. Politik apa nak panggil ni yek. Kegilaan yang dihasilkan oleh Najib disambung pula ke Kedah. Akibatnya Adun Bukit Selambau tidak lagi tahan dengan ugutan terhadap keluarganya dan bertindak untuk meletakkan jawatan. Ternyata ia memberi tamparan yang pedih kepada orang Melayu Islam terutamanya. Ternyata orang bukan Islam lebih bermaruah daripada orang Islam itu sendiri. Nampaknya bersiaplah pula kita untuk pilihanraya kecil di Bukit Selambau pula. Namun yang menjadi persoalan pada kita siapakah yang dapat menghentikan pemimpin kita dari bertindak gila dan lebih gila lagi kerana wang dan kuasa?

Sementara itu, sambutan orang perak terhadap Menteri Besar yang baru cukup hangat. Sama seperti di tv-tv dan media utama yang cukup hebat memutar belitkan keadaan, ianya memang cukup hebat sehingga tidak pernah seorang MB menteri sambutan sedemikian rupa. Sehingga tidak pernah dalam sejarah Malaysia seorang Menteri Besar diberikan hadiah batu nesan dan bunga kuning sembahyang kubur oleh warga Tionghua malam kelmarin di Ipoh. Jangan cari berita ini di dalam Utusan Melayu, Berita Harian, Tv3 dan rtm. Ini kerana rata-rata pada mereka rakyat Perak telah menemui kebenaran yang azali dan menyambut baik MB besar baru bagaikan sebuah pewira.(uweekk!)

Sementara itu, di Jelapang masyarakat Cina di sana telah melakukan tindakan yang drastik sekali dengan memboikot daripada menjual barang-barang pasar kepada keluarga Hee. Pada mulanya mereka merancang untuk mengadakan perhimpunan membantah tindakan Hee itu di depan rumah keluarga beliau, tetapi akhirnya membatalkannya selepas dinasihatkan oleh ketua DAP kawasan. Ia telah ditukarkan kepada kawasan pasar berkenaan. Ternyata Hee telah bertukar menjadi musuh wanita nombor wahid di kawasan tersebut. Kesian Hee kerana pemergiannya kerana tidak dilantik menjadi exco negeri telah memakan diri sendiri. Selamat berjaya menjadi exco kerajaan Perak yang baru Ms Hee.

Sementara itu dalam perkembangan yang lain, Timbalan YDP Pas Beruas telah ditangkap. Tuan Hj. Nazeer Hamid, yang juga merupakan Penyelia DUN Pengkalan Baru merupakan lelaki yang berbaring sambil memegang bendera diatas jalan, ketika konvoi Sultan melalui jalan ke Istana Iskandariah.

Tidak ketinggalan juga, jutaan penghargaan daripada saya mewakili rakyat Malaysia buat blogger-blogger Perak yang sanggup bermandi embun di kediaman MB untuk memberikan maklumat-maklumat terkini. Oleh kerana pengorbanan kalianlah, kami tidak perlu meneguk titisan maklumat daripada utusan meloya dan tv3 suku yang bagaikan cacing kepanasan dua tiga hari ini. Ternyata kegilaan media-media pimpinan kerajaan ini sanggup melakukan apa sahaja demi pemimpin-pemimpin mereka. Lawan tetap lawan!

Saturday, February 7, 2009

Sampai Masanya Kembali Rasional

Memang kita kecewa! Memang kita sedih! Apa yang terjadi memang betul-betul pondan, tak macam orang jantan. Main kotor dan tikam belakang. Kalau kita yang terkait sikit-sikit dengan Perak dah jadi camtu apatah lagi yang memang berkait terus. Usahlah dikata sakit hati dan sakit jiwa.

Tapi jangan lupa, itulah adatnya berjuang. Kalau tak ada luka, tak ada duri, tak ada sengsara, tak ada derita dan tak ada kecewa bukan berjuang namanya tu. Tak ada berjuang yang senang je belaka. Tak luka, tak cedera, tak kecewa dan tak sengsara. Makin banyak kecewa dan sengsara makin besarlah perjuangan itu. Dan orang yang sabar dan tabah itu banyak ganjarannya. Dan memang perjuangan dibentuk sedemikian rupa, kerana ganjarannya juga bukan alang-kepalang.

Jadi kita tarik nafas. Hembus perlahan-lahan dan fikir dalam-dalam. Lagi bagus kalau dapat buat masa dekat tikar sejadah. Pandang balik belakang. Bukan banyak yang silap dan salah. Ujian tuhan bermakna tuhan masih sayang kat kita. Tuhan tengah bercakap dengan kita. Seperti mana dalam ayat-ayat cinta Tuhan mengajarmu tentang erti ikhlas.

Jangan sampai kita lupa. Marah kat Sultan, benci kat sultan pun jangan sampai orang lain ambil kesempatan. Jangan lupa Sultan merupakan kubu terakhir orang Islam dan Melayu di Malaysia. Walaupun mungkin ada waktunya buat salah, ada banyak kali juga dia bertindak benar. Sama seperti isteri kita. Kalau marahkan satu kesalahan dia, ingatlah seribu kebaikan dia.

Jangan dijadikan alat orang lain ambil kesempatan. Boleh sahaja bawa sultan ke makhamah. Tiada hal. Tapi jangan menyesal kemudian. Dek pendek akal kita, kita diperguna. Kat luar sana memang ramai orang tunggu nak condemn sultan kita. Saudara Karpal tunggu je masa. Sorry la brader Karpal ada masa saya sokong u, ada masa kita tak sokong u.

Jadi penyataan YB Nizar perlu diteliti sebaiknya. Yang dibawa ke makhamah bukannya sultan. Cuma mencabar perlantikan MB baru (boleh bagi sendiri definasi MB tu) yang tidak mengikut perlembagaan. Boleh sahaja baling batu dengan kereta raja. Tapi tanpa simbol ini, kita kehilangan sesuatu yang berharga. Sultan adalah lambang khalifah. Khalifah sudah lama hilang dari dunia kita. Sebab itulah Sultan tonggak agama dan bangsa. Walaupun tak semua Sultan sama, tapi harapan kita agar simbol ini menjadi simbol yang sebenarnya. Kebangkitan Islam di akhir zaman.

Jadi perbanyakkan bersabar. Allah bersama orang-orang yang sabar. Mungkin orang-orang itu boleh tersenyum lebar semasa ini. Memulangkan balik isu lompat kononnya dimulakan oleh PR. Kononnya kita pun guna rasuah atau politik wang sama macam dia. Tak apa, yang penting imejnya sudah rosak di depan mata semua. Menunggu masa untuk rebah bersama masa. Tangan yang ada angkatlah ke langit. Itulah senjata yang paling ampuh bekal tuhan untuk orang beriman.

Kepada MB baru, jangan harap kami nak terima. Boleh sahaja berkuasa. Buatlah negeri ini macam kamu yang punya. Tapi kami lawan tetap lawan. Jangan lupa semasa saat yang paling kita rasa tertekan dan genting itulah, sebenarnya kemenangan semakin hampir. Buktinya? PRU-12 kita di asak kiri dan kanan. Tetapi selepas itu ? Kemenangan tak terjangka jadi anugerah tuhan. Oleh itu La- Tahzan. Usah bersedih. Rapatkan saf dan teguhkan tekad. Insya Allah kita di barisan yang benar.

Friday, February 6, 2009

Seloka Duka Lara

Bermulalah sebuah seloka lama
di negeri bawah angin jauh nun di sana
Tanah Melayu jua nama diberi
negeri kaya tanah subur.

maka gundah gulana dan dukacita
Pak Dogol terhadap musibah menimpa
entah apa nasib menimpa
negeri takluk terlepas hampir semua
dek negeri seberang yang dari dulu lagi dia sebel
asyik kacau daun saja

Fikir punya fikir
Pak Dogol tak boleh tunggu lagi
dia kena tunjuk dekat Pak Hussin akan peri pandainya
nak menunjuk bagus kerana hanya menghitung hari
bila lagi la aku nak jadi pemerintah negeri

Sudah dua kali kalah bertaruh
satu di utara, satu di Timur
gelak dek sakan oleh geng yang lagi satu
hari-hari kena gelak
mana boleh tahan
mesti kena buat sesuatu
baru mereka tahu siapa Pak Dogol yang satu

maka konspirasi terhebat di abad ini pun dirancang,
hasil inspirasi yang dicurah oleh arwah ayahanda
rupa-rupanya masih lagi boleh dipakai
cuma kena asah-asah dan gilap-gilap sikit
ajak Pak Ngok join sekali
mesti dia suka punya
plan sudah cantik semua..
jom kita mengena


maka di hantarlah seorang hulubalang kepercayaan
dari Bota asalnya
gagah perkasa dan terkenal bijaksana
kali ini pasti mengena
dihantar ke kampung seberang sana
dikata ia sudah insaf dan terbuka mata
ingin berjasa kepada penduduk kampung sini
sebab katanya geng sana lanun belaka
satu lagi korupsi yang nyata


maka disambutlah dengan sukanya
sekalian tok ketua dan juga pengikut setia
terus alpa dan leka
tak sedar negeri bakal dilanda celaka
dek hulubalang bota
keliling kampung dibawa hulubalang bota
beritahu penduduk kampung apa yang dia rasa



dek kerana leka
rupa-rupanya ada orang besar kampung dah diciluk
diam-diam dah berpakat dengan hulubalang bota
menunggu masa lari ke kampung seberang sana
yang dikata lanun dan musuh di sana
walhal masih tetap di hati
berjumpa dengan ketua


akhirnya penghulu dapat tahu
dua budaknya sudah hilang entah ke mana
musykil dan risau juga fikirkannya
tak boleh jadi ini
macam ada benda tak kena
something must happened...






terus penghulu berjumpa raja
melaporkan budaknya dah hilang ke mana
penghulu akhirnya dapat rahsia
geng-geng lanun kampung seberang
nak melanggar kampung
lalu minta bantuan raja
lalu raja kata tak apa.. tak apa...




akhirnya berkubulah penghulu bersama orang kampung
menjaga kuala dari bala bahaya
berjaga-jaga di depan, kiri dan kanan
rupanya terlupa di belakang
banyaknya musuh
datang dan tikam dari belakang
lalu di beritahu akan raja
raja kata sabar sahaja..


Maka lanun-lanun dan badut-badut pun gelak,
mari kita sama-sama gelak,
kita dah berjaya rampas kuasa,
padan muka penghulu..
padan muka dia... padan muka dia...
kita awal-awal lagi dah pakat ngan raja
kata penghulu nak derhaka..
sekarang baru kau rasa
aku suka... aku suka...

Duit punya pasal semua hati suka
kuasa punya pasal buat apa saja tak apa
hari ini juga kita angkat kuasa,
opss.. terlambat sehari pun tak ngape
janji mike jadi penghulu yop
penghulu haram?
mana adanya
raja dah perkenan
yang lain nyemak saja
tapi penghulu lama taknak letak jawatan
dah kalah pun taknak keluar kampung
raja pun dah suruh dia balik kampung
degil punya penghulu
tak apa.. tak apa
tunggu mike..

akhirnya Pak Dogol dapat idea
upah barua yang jaga tempat penghulu kerja
halau ajer penghulu tu...
maka apalagi pak yop kidai
menjerit sakanlah iyaaa
oitt.. keluar!!
mak ai baik punya bahasa
pergh penghulu pun dihalau sesukanya
dasar manusia tak reti bahasa
tak apa.. tak apa..
padan muka mike penghulu
siapa tak pecat aku awal-awal
dah tahu aku geng kampung sana, suruh juga aku jaga tempat kerja sini

Maka turunlah penduduk kampung
menyatakan ketaksukaan mereka
minta sultan batalkan penjanjian Pangkor 2
tak kira tekanan macam mana
orang kampung bersedia bersuara
kami nak penghulu kami balik
dia baik, boleh dipercaya,
tak ambik rasuah

namun Pak Dogol dah ada perancangan
seperti biasa...
jeng.. jeng.. jeng..
dihantar geng topi merah untuk menghalang
gunakan gas dan apa saja
janji rakyat tak sampai istana
pasal istana ini hak kita,
depa takde hak ke sana

tak kira kat rumah Allah ke rumah siapa

penghulu baru pun baik punya janji
akan ku pelihara sekalian negeri
ku belai-belai rakyat negeri
mesti dia suka kat aku
pasal aku lagi hensem sikit dari penghulu lama
sengeh-sengeh dia terlupa nengok cermin
mula-mula keluar tv senyum sampai ke telinga
bukan senang nak jadi penghulu ni
tak payah undi-undi pun bisa jadi camni



Nun jauh di luar negara sana
Nama Tanah Melayu dah jatuh merudum,
Lagi sekali Melayu haprak punya kerja,
pasal kes samun kampung
buat macam terhormat
tapi satu dunia tahu siapa busuk tak mandi subuh
tak percaya bacalah apa AlJazeera cerita

Sumber : Al Jazeera
The Barisan Nasional (BN) claimed control of the state government after the three elected representatives, two of whom are facing corruption charges, quit their parties and backed the ruling party as independents.

Memalukan Bangsa, agama dan negara
maka rakyat pun marah sama
bersama-sama berkumpul menunjuk rasa
memujuk sultan supaya jangan terpedaya
nasib la dapat poster pun jadilah


sampai sini saja seloka lara
mungkin jumpa lagi mungkin juga tak jumpa-jumpa
kalau nasib baik ketua dogol pesan kita ada next target
selangor, kedah, pulau pinang dan kelantan,
tak payah tunggu pilihanraya
dah dapat majoriti kukuh lebih dari 2/3,
hahaha.. mari kita sambung gelak gembira.

Thursday, February 5, 2009

Salah Skrip ni Yop!!

Sudah jadi semacam huru-hara di Perak sana. FRU dah mula naik angin satu badan dah tembak gas permata kepada rakyat yang berkumpul di depan Masjid Ubudiah. Baca di sini depan Masjid Ubudiah. Nampaknya spesies yang letak otak di kepala lutut ini tidak kira masjid ke, surau ke apa ke. Janji ikut perintah tuan yang bagi mereka makan. Soal siapa bagi rezeki tu tak timbul. Depalah tuan depalah tuhan.

TPM apa lagi. Senyum sampai ke telinga. Wa cakap lu, dah dapat satu negeri. Lepas ni Selangor pulak next target. Senang-senang je tu. Ada beras semua deras, ada duit semua jadik jer. Tapi skrip yang sebenar depa nak susun lain sebenarnya. Percayalah jangan tak percaya. Beginilah rupa perancangan dan skrip yang ditulis oleh Umno sebenarnya.

2 minggu lepas :
Nasharuddin Bota melompat ke PKR. Sepatutnya bukan kerana dia sedar, tapi pasal dia dah di tawar 50 juta untuk lompat parti.

Seminggu lepas :
Dua orang PKR yang dikatakan hilang diculik itu sebenarnya menziarah ke rumah TPM di Pekan. Ini kerana meraka sudah tidak lagi menaruh kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kerana terlalu banyak rasuah dan salah guna kuasa.

Dua hari lepas :
Sultan Perak menitahkan MB Perak iaitu YB Nizar untuk meletakkan jawatan. YB Nizar dengan perasaan rendah hati dan merafakkan sembah menerima perintah Tuanku Sultan. Ini kerana kerajaan yang baru dibentuk dengan cara yang halalan toyyibah tanpa sebarang bahan-bahan yang meragukan.

Sehari Lepas :
YB Perak yang baru mengangkat sumpah dengan diiringi oleh bekas menteri besar Perak. Suasana berlangsung dengan harmoni

3-4 bulan selepas ni :
Semua Menteri Besar dan ketua menteri di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat juga turut meletakkan jawatan masing-masing kerana diminta oleh Sultan dan YDP negeri. Ini kerana mereka tidak ingin menderhaka. Sepertimana juga di Perak ia berlaku dengan penuh harmoni.

3-4 tahun selepas ini :
Najib Razak telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Sepanjang beliau menjawat jawatan tersebut, Malaysia terus berkembang pesat. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah berjaya dihapuskan sama sekali kerana kebijaksanaan beliau.

Sama macam skrip cerita melayu lama. Kena jajah pun tak apa. Janji Melayu jangan derhaka kat Sultan. Biar la camana rupanya pun perangai depa anak beranak. Mintak maaflah tuanku, kami belajar dalam tv tuanku. Dia orang pernah tulis banner macam-macam dalam tu. Jadi kami mintak ampun dulu tuanku. Daulat Tuanku!

Post yang ke 201

Nampaknya post ke-200 dan 201 tak berapa cun masanya untuk kawang. Takpe lah, setiap yang terjadi itu ada hikmahnya. Kena lah banyak-banyak sabar dan menghisab diri. Diri dah tak terkata apa-apa jadi saya biarkan penyataan Tuan Guru Nik Aziz di bawah sebagai mewakili harapan rakyat-rakyat di luar sana dan saya jua hendaknya.

RAJA DAN DEMOKRASI

1. Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.

2. Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain. Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: “Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri.”

3. Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.

4. Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.

5. Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.

6. Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak. Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman. Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas. Firman Allah S.W.T. bermaksud : “Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam.” (Surah Al An’aam: Ayat 45).

Wallahua’lam.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Wednesday, February 4, 2009

Melayu Dan Pemimpin Jadong

Tak sangka. Sungguh tak sangka. Tahap taraf politik Malaysia dah merudum jatuh lebih dari politik negara-negara Afrika. Dek kerana talian hayat yang semakin pendek, maka usaha terakhir adalah melakukan apa sahaja tidak kira yang halal atau yang haram. Soal dosa, pahala, syurga dan neraka kita tolak ketepi. Lagipun hidup hanya sekali, bila lagi nak buat benda-benda ni semua kan?

Jadong adalah singkatan daripada jahat, bodoh dan sombong. Istilah ini telah direka oleh Syed Hussein Al-Attas. Dan nyatanya negara ini dikuasai oleh pemimpin-pemimpin yang sebegini. Oleh kerana yang mendokong mereka adalah rakyat-rakyat marhaen itu sendiri maka kesannya akan kembali kepada rakyat juga adanya.

Yang nyatanya 2-3 hari ini, kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak dah sampai talian hayatnya. Ramai orang marah dan melenting. Tak terkecuali dengan pemimpin pakatan-pakatan rakyat sekali. Tapi jangan lupa dalam musibah ada hikmah dia. Tak ada orang yang tahu apa hikmah di sebalik musibah yang menimpa. Tapi sekurang-kurangnya kita sudah kenal siapa kawan siapa lawan.

Yang nyata keempat YB yang berpaling tadah tidak akan lagi dihormati oleh rakyat. Ternyata saham mereka akan jatuh merundum lebih teruk daripada saham Bursa Malaysia lagi. Yang nyata sokongan yang diberi kepada mereka tidak lagi diguna pakai oleh golongan rakyat marhaen. Mungkin boleh diterima oleh golongan BN dan Umno, tetapi golongan ini sudah semakin pupus. Bahtera Umno juga semakin hari semakin mereput dan hanya menunggu masa untuk karam. Tambahan lagi jika benar-benar Najib yang akan menjadi kaptennya suatu hari nanti.

Duit dan Umno memang tidak dapat dipisahkan. Ibarat irama dan lagu, ombak dan lautan. Yang nyatanya tidak kira golongan genius atau golongan yang tak pernah sekolah mengetahui punca pergolakan ini adalah disebabkan oleh duit. Semuanya kerana duit. Ini kerana jelas sekali perjuangan mereka adalah berasaskan duit. Jika bukan kerana duit adakah ketiga-tiga mereka yang berubah arah ini sanggup berubah arah. Maka suatu hari nanti, apabila duit menjadi matlamat maka apa jua cara sekalipun akan menjadi halalan toyyibah.

Lalu apabila motto yang sering-sering diucapkan iaitu perjuangan bangsa, agama dan negara sudah tidak relevan lagi. Saya mencadangkan untuk persidangan umno yang akan datang seeloknya digunakanlah motto yang baru iaitu duit!duit! perut! Kepada MB Perak dan orang-orang Perak usahlah berdukacita. Sudah pastinya ia akan digantikan dengan yang lebih baik. Kuncinya - kenalah sabar dahulu.

Monday, February 2, 2009

Berhati-hati Di Alam Maya

Kebelakangan ini terlalu banyak email yang boleh menganggu-gugat ketenteraman diri-sendiri dan masyarakat sekeliling berkeliaran di alam maya ini. Hanya dengan sekali klik sahaja, ia boleh membuatkan pemangsanya merana seumur hidup. Oleh itu posting kali ini memberi peringatan kepada kita semua.

Kebanyakan email yang berbentuk picisan, spamming dan palsu(fake) ini telah dikemaskini sehingga amat-amat menyerupai email-email yang benar. Kebanyakan ia kononnya dikeluarkan oleh bank-bank yang sering digunakan oleh kita dalam seharian seperti maybank2u, cimbbank dan apa sahaja bank yang sering digunakan. Saya melihat ia bukan sahaja boleh mengelirukan pengguna-pengguna yang tidak mengetahui mengenai IT sahaja, malah yang terlibat secara langsung dengan IT juga boleh tertipu.

Saya lampirkan seperti email di bawah ini :-

CIMB Group
to me
Dear Valued CIMB Customers,

As from February 2009, We are introducing the online GX-5 banking method which is aimed at preventing internet hackers and phishing experts from getting access to your online banking details in any way. All Online banking users are required to adhere strictly to this warning and follow up the process to this upgrade.

Register your online banking access, click on the link below and follow the instructions:

http://www.cimbclicks.com.my/security

CIMB Bank will not be responsible for loss of funds to online phishers as a result of failure to comply with this important new directives. We are committed to serving you better.

Bank and stay safe online.

Security Management,


Sekali pandang seolah-olah ianya benar. Email ini dihantar kerana saya sebagai seorang pengguna cimbclicks. Namun agak menghairankan bagaimana email ini dapat mengenalpasti saya seorang pengguna akaun ini. Mungkin terdapat spyware atau virus-virus tertentu di dalam notebook atau PC saya.

Saya mula-mulanya hampir percaya, namun apabila link tersebut ditekan, mozilla firefox saya telah memberi amaran bahawa web ini tidak selamat untuk dimasuki. Di sini diturunkan beberapa petua untuk mengenalpasti email tersebut palsu atau tidak.

1. Perhatikan secara terperinci header details email tersebut.
fromCIMB Group
reply-toCIMB Group
toaxxxxx
dateMon, Feb 2, 2009 at 7:09 AM
subjectImportant Message

Jika kita perhatikan cimbbank.com.my hampir tepat akaun tersebut. Tetapi importantmsg@ terdapat keraguan. Ini kerana didepannya dilabelkan sebagai CIMB Group. CIMB Group = importantmsg??

2. Bank-bank tidak akan mengeluarkan notification sebegini. Seeloknya anda sendiri menghubungi talian hotline bank berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang paling tepat. Sekali salah klik, habis lesap semua yang ada dalam akaun.

3. Gunakan mozilla firefox. Ini kerana mozilla mempunyai sistem keselamatan(security features) yang lebih selamat daripada Internet explorer.

4. http://www.cimbclicks.com.my/security
Untuk tujuan keselamatan, biasanya bank akan menggunakan port 443 atau SSL. Ia berformat https://. Namun, format ini juga kini boleh dipalsukan.

Beringat sebelum kena. Tidak mustahil suatu hari nanti mereka-mereka ini akan dengan beraninya menelefon anda dan meminta username dan password anda atas sebab-sebab keselamatan. Memang perbankan internet selamat dan mudah, tetapi ia juga tidak selamat dan mudah untuk disalahgunakan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails