Showing posts with label anwar. Show all posts
Showing posts with label anwar. Show all posts

Sunday, April 5, 2009

Politik Gempak!

Gempar! Memang Gempar! Satu Malaysia gempar! Macam biasa apa sahaja yang Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan, apa saja yang dia cakap akan di masukkan ke dalam kategori 'gempar'. Seawal pasca PRU-12 sehinggalah hari ini, DSAI tak habis-habis buat cerita gempar. Tapi hasil atau keputusan daripada pengemuman-pengumuman ini tidaklah gempar macam ceritanya. Lebih banyak yang melantun balik kat muka Pakatan Rakyat daripada muka Umno Barisan Nasional(UBN).

Kalau dalam dunia artis kita kategorikan ia sebagai publisiti murahan. Contohnya di dalam majalah mangga. Pakai dedah dada, dedah betis, pakai bogel 3/4 suku - ambil gambar lepas itu cakap saya inginkan seorang suami yang beriman. Suami yang tak tinggal solat, suami yang rajin mengaji, yang akan membimbing hidup dia ke arah hidup yang lebih beragama. Sambil-sambil tu posing dekat kolam renang sambil tunjuk lurah dendam sampai orang yang tengok naik geram.

Semalam pun diwar-warkan bahawa DSAI akan membuat pengumuman kategori tergempar. Ingatkan berita gempar tu mampu mengegarkan bukit Selambau atau Bukit Gantang. Cuba-cuba juga merisik di mana gemparnya. Rupa-rupanya naib Presiden PPP nak masuk PKR. Alahai. PPP tu parti mana? Saya tak tahu pun PPP tu parti komponen UBN. Kiranya itu ke berita yang bertaraf gempar itu?

Dengar khabarnya 6,000 orang yang akan mengikut jejak langkah beliau. Semua sokong Pakatan Rakyat dan akan sertai PKR. Persoalannya betulkah jumlah ahlinya seramai itu. Juga adakah kategori 6,000 orang dibahagikan dengan 22 juta orang rakyat Malaysia boleh termasuk dalam berita gempar?

Saya rasa DSAI perlulah menukar strategi. Tidak usahlah lagi sibuk dengan publisiti murahan dan politik gempar ni. Kata orang muda gempak beb! Yang ditakuti bukan sahaja UBN nanti yang gelak dan meluat dengar berita yang gempak tapi sekadar tahap picisan - malah penyokong-penyokong pakatan Rakyat pun turut tersengih nanti bila momokan itu diulang-ulang. Belajarlah daripada kesilapan lalu.

Sepertimana isu lompatan parti ahli Parlimen BN ke Pakatan Rakyat suatu masa dulu, isu ini turut memakan Pakatan Rakyat di Perak. Ia, memang Pakatan Rakyat di pihak yang benar. Cuma ia bukan satu tugas mudah untuk memberi penerangan dan memotong hujah pihak UBN yang dilengkapi jentera-jentera media berat daripada televisyen dan surat khabar. Ia turut menjadi satu beban kepada jentera-jentera Pakatan Rakyat untuk memberi penerangan semula terutamanya kepada mereka yang di atas pagar. Juga menjadi modal untuk penyokong-penyokong UBN menghalalkan apa yang terjadi di Perak.

Dan bagi saya ia telah berjangkit kepada Hindraf pula. Malaysiakini mengatakan masyarakat India akan memberi sokongan penuh kembali kepada BN jika pemimpin mereka dibebaskan. Ia umpama serampang dua mata. Memberi harapan kepada PM yang baru dan juga sebagai umpan supaya pemimpin mereka dibebaskan. Andai kata pemimpin mereka berjaya dibebaskan ia sudah tentu satu rahmat buat mereka.

Sokongan masyarakat India adalah satu yang subjektif. Akhir-akhir ini banyak isu tuntutan Hindraf dan juga isu Kugan menjadi pemangkin kemarahan masyarakat India. Ia akan memakan masa yang panjang untuk menarik kembali sokongan yang pernah diberi kepada BN kerana luka mereka sudah terlalu dalam. Dalam masa yang sama, masyarakat India telah mula mengenali ketulusan PAS dan Pakatan Rakyat yang sebelum ini amat ditakuti mereka untuk didekati. Kejayaan media-media UBN menjadikan ia satu mitos yang akhirnya berjaya diruntuhkan masa kini.

Namun kita mengharapkan politik gempak ini tidak akan berterusan dan menjadi satu budaya baru kepada suasana politik tanahair. Cukuplah dengan budaya politik yang tidak sihat yang mewarnai politik Malaysia hari ini. Pulihkanlah kembali suasana politik yang sihat dan memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia keseluruhannya. Kepada DSAI eloklah kita menumpukan perhatian kepada memperkukuhkan Pakatan Rakyat supaya setiakawan yang dibentuk tidak akan menjadi sia-sia. Juga memberi fokus kepada PM baru yang akan menjadi senjata baru kepada UBN.

sumber gambar : Malaysiakini

Thursday, August 28, 2008

Hari Ini Dalam Sejarah

Jadi pada hari ini secara rasminya satu lembaran sejarah penting terpahat. Secara rasminya DSAI telah mengangkat sumpah sebagai seorang ahli Parlimen Malaysia yang sah pada hari ini. Dan turut berperanan besar sebagai Ketua Pembangkang Malaysia. Ironinya, jawatan ini mungkin dilucutkan tidak lama lagi. Kerana beliau tidak lagi berperanan sebagai ketua pembangkang tetapi memegang jawatan baru sebagai Perdana Menteri Malaysia ke - 6.

Sebelum ini, ramai yang kabur. Termasuklah saya tidak terkecuali. Apabila Anwar menguwar-uwarkan pertukaran kerajaan pada September 2008, ramai yang memandang sinis akan kenyataan tersebut. Lagilah media-media perdana. Mereka seolah-olah begitu berselera sekali setelah mendapat satu bahan baru untuk memperlekehkan dan memperkecilkan agenda berkenaan. Ekoran serangan bertalu-talu yang dilemparkan oleh media perdana tanpa kenal batas belas kasihan, kita turut menjadi keliru dan kadang-kadang hilang punca.

Bukan sahaja rakyat marhaen, golongan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga ragu-ragu adakah perlaksanaan agenda ini boleh menjadi kenyataan. Sepintas lalu ia mungkin hanya angan-angan. Ditambah dengan serangan kiri dan kanan ekoran isu demi isu terhadap DSAI. Namun ternyata selepas majlis angkat sumpah yang disempurnakan oleh DSAI pada pagi tadi terlihat begitu terang sekali jalan untuk Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Persoalan samada DSAI layak atau tidak menjadi Perdana Menteri kita tolak ke tepi dahulu. Yang nyatanya jelas percaturan yang dibuat telah membuahkan hasil. Seperti yang dinyatakan di dalam tajuk politik dan catur yang terdahulu, jelas pemikiran orang politik begitu kompleks sekali. Jelasnya plan A hinggalah plan Z sudah berada di dalam saku mereka.

Maka hari ini juga, jelas kebimbangan memuncak di pihak yang satu lagi. Apapun kita mengharapkan segala yang berlaku akan memberi sedikit kelegaan dan kebaikan kepada rakyat setelah puas diganyang oleh pemerintah yang langsung tidak peduli akan keperitan, kejerihan dan penderitaan rakyat bawahan. Seperti juga harapan seorang pemberita NTV 7 yang tersiar di internet, semoga perkataan liwat dan bersumpah dapat dilupuskan sementara. Cukuplah buat masa kini.

Tuesday, August 26, 2008

Lembaran Baru Untuk Malaysia

Setelah pelbagai halangan ditempuhi, segala onak duri telah diredahi, setelah keringat membasahi bumi akhirnya hasil yang dinanti menunggu masa untuk dituai. Bukan seorang dua yang menanti untuk menuai hasilnya tetapi hampir keseluruhan rakyat marhaen menunggunya. Menanti hari yang menjanjikan masa depan yang lebih cerah. Masa depan yang lebih baik untuk bangsa Malaysia. Bukan masa depan perut hanya sesetengah golongan yang berkepentingan untuk kroni-kroni dan keluarga sahaja.

Akhirnya Anwar Ibrahim telah berjaya kembali menjadi seorang MP dengan begitu bergaya. Walaupun dengan pelbagai strategi yang disusun oleh SPR untuk menjadikan pilihanraya ini yang terkotor dalam sejarah namun perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Biarpun dengan hari pilihanraya yang diadakan pada hari kerja, senarai daftar pemiih yang meragukan, konspirasi-konspirasi yang memualkan dan pelbagai taktik yang dilakukan - ia akhirnya tidak berjaya menghalang penduduk Permatang Pauh untuk membuat pilihan yang bijak.

Undian mereka bukan hanya mewakili undi penduduk Permatang Pauh sahaja. Tetapi ia mewakili kesuluruhan rakyat Malaysia yang mengharapkan negara Malaysia akan berubah ke arah yang lebih baik. Sebelum ini Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama hampir 51 tahun. Tetapi pengisian kemerdekaan yang boleh diingati oleh minda kita adalah kadar rasuah yang semakin meruncing, kenaikan harga barang yang terus menekan, kehidupan yang semakin sempit dan kerosakan sosial yang semakin menghancurkan generasi muda.

Lalu adakah kita cuba untuk melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan mengharapkan keputusan yang berbeza. Kita ditakut-takutkan dan sering dimomokkan dengan ungkapan jika kita berubah maka kita akan menderita. Akan berlaku pelbagai keadaan yang akan semakin buruk dan menghantui bangsa kita. Lalu kita menunggu hampir 51 tahun untuk menolak segala tomahan yang jelas tiada asas tersebut.

Britain sering bertukar kerajaan. Amerika juga demikian. Parti Demokrat dan Parti Liberal sering berubah-rubah untuk menguasai kerajaan. Rakyat berfikiran rasional untuk memilih kerajaan yang telus dan berfikir untuk kebajikan masyarakat akan diberi keutamaan. Sedangkan di negara ini jelas segala kebobrokan dan penyelewangan dihidangkan kepada rakyat namun mereka takut untuk berubah. Takut jika keluar dari tempurung, maka dunia yang luas terbentang itu terpaksa dihadapi oleh kita.

Manusia akan memusuhi apa yang tidak mereka ketahui. Oleh itu, dengan konkongan media massa yang terus menghantui kita segala sumber maklumat dikuasai dan dimanipulasi sedemikian rupa. Sumpah yang dibuat sedemikian rupa di'make-up' sedemikian rupa untuk membenarkan apa yang dirancang. Lalu ia menghasilkan tindakan yang begitu memualkan sehingga terpaksa didedahkan sendiri oleh seorang iman muda masjid wilayah. Lalu bukan seorang dua yang terkena tempias dosanya, tetapi terus berjangkit kepada hampir seluruh rakyat Malaysia.

Lalu dengan kemenangan ini kita mengharapkan masa depan negara Malaysia yang semakin cerah. Politik yang lebih telus. Kebajikan rakyat yang lebih telus. Pasukan polis yang lebih baik. Pegawai kerajaan yang lebih cekap. Dan pelbagai harapan yang mengunung. Harap-harapnya dengan keadaan yang akan berubah ini, negara dapat menghasilkan suasana yang lebih harmoni. Lebih beragama dan lebih selamat untuk anak-anak dan generasi-generasi kita masa depan.


Monday, August 25, 2008

Selamat Membuat Pilihan

Jadi pada hari ini semua mata akan tertumpu kepada keputusan pada malam ini. Nampaknya, orang akan menantinya lebih daripada orang menanti keputusan anak bulan Ramadhan. Kalau anak bulan dinanti maksudnya untuk tahu jadi atau tidak puasanya pada esok hari. Kalau jadi maka berduyun-duyunlah manusia untuk ke masjid nak solat tarawih. Orang-orang yang sebelum ini tak pernah nampak dekat masjid boleh dilihat pada masa ini. Apatah lagi malam pertama pun dah ada jamuan 'more'.

Namun malam ini lain pula ceritanya. Seperti juga anak bulan Ramadhan keputusan ini untuk melihat jadi atau tidaknya pertukaran kerajaan yang diwar-warkan. Jika menang, cerahlah peluangnya. Jika kalah maka dunia seolah-olah akan menjadi gelap gulita. Mungkin lebih gelap daripada dunia Kassim Selamat lagi.

Dah macam-macam ulasan pasal 'pertempuran maut' di Permatang Pauh. Boleh kata 'winners takes all' - (betul ke ayat ni?). Kerananya Permatang Pauh ini menjadi penentu samada agenda pertukaran kerajaan yang diwar-warkan itu akan berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan atau tidak. Bagi satu pihak memang keputusan ini akan menentukan hidup dan mati mereka dalam arena politik.

Masakan tidak - berpuluh biji fail sudah menunggu untuk dibuka jika pertukaran kerajaan menjadi kenyataan. Sudah pasti semuanya akan dikorek sehingga ke lubang cacing. Dan rakyat sendiri menunggu saat tersebut untuk menghukum semua pemimpin yang selama ini telah mengkhianati amanah yang telah diberi kepada mereka. Bukan sahaja harta rakyat telah licin disapu tetapi juga segala harta milik negara juga turut habis diberi kepada negara asing yang tiada kena mengena dengan negara.

Sementara satu pihak lagi akan melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka terus bernafas dan berkuasa di bumi Malaysia ini. Strategi disusun dari strategi a, b, c, d sampai lah z. Malangnya, kerana mereka terlalu berkuasa maka tiada batasan bentuk strategi yang disusun. Ia boleh melangkaui apa jua batasan. Dari batasan agama, bangsa dan kemanusiaan. Asalkan matlamat yang ditujui berjaya, cara apa sahaja secara automatiknya akan menjadi halal.

Di sinilah kita melihat betapa manusia itu lupa segala-galanya. Begitu juga diri kita. Dalam keghairahan diri kita untuk menyokong pihak yang disokongi kita, janganlah kita melangkau batas-batas dan sempadan diri kita sebagai seorang yang beragama. Jelasnya, Islam itu agama yang sempurna. Yang telah memberi jalan yang jelas bagaimana untuk kita melaksanakan dan menuju kepada matlamat kita secara halal dan diberkati.

Di sini janganlah kita turut sama terbabit dengan keadaan yang tidak sihat yang memungkinkan segala amalan yang diperbuat kepada kita menjadi sia-sia sahaja. Marah memang marah. Sakit hati juga sakit hati. Geram juga hampir sampai ke batasnya. Tetapi bila marah haruslah mengikut marah kerana agama, sakit hati kerana agama dan juga geram kerana agama. Islam tidak menghalang kita marah, sakit hati dan geram. Namun semuanya perlu diletakkan pada tempatnya.

Jadi jagalah diri kita dan etika kita sewaktu suasana yang getir ini. Janganlah kita juga turut mengikut hawa nafsu dan menggunakan konsep matlamat menghalalkan cara. Sesungguhnya yang hak itu akan sentiasa menang ke atas kebatilan. Jika kita percaya sepenuhnya apa yang telah dijanjikan di dalam Al-Quran maka tiada perasaan gundah gulana yang melanda diri kita.

Akhir kalam selamat mengundi kepada semua pengundi-pengundi di Permatang Pauh. Doa kami supaya kebenaran akan sentiasa di atas dan agama akan sentiasa menjadi junjungan. Sesungguhnya solat kita, ibadat kita, , hidup kita dan mati kita hanyalah keranaNya. Atau kita akan ditempelak kerana ia hanyalah sekadar di bibir sahaja tidak pernah dilakukan dengan hati dan perbuatan. Kita sahaja yang tahu jawapannya. Dari Dia kita datang dan dariNya juga kita akan kembali.

Thursday, July 31, 2008

Nonaku Azizah Letak Jawatan!

Tu dia, baru orang panggil gempar namanya. Kali ini sudah tentu satu Malaysia akan bergoncang dan bergegar. Ini barulah gegak-gempita kali ini. Acah-acah Anwar menjadi kali ini. Aku pun dah confuse. Betul lah orang politik ini, dia punya catur ada 14-15 step ke depan. Macam kita orang biasa ini, boleh fikir 2-3 langkah ke depan sahaja. Patut lah aku tak boleh masuk politik. Politik pejabat pun asyik kena buli sahaja.

Mula-mula Anwar announce nak bertanding dekat Kulim. Dah tentu geng-geng Umno sibuk buat persiapan ke sini. Tiba-tiba pusing balik ke Permatang Pauh. Mengancam itu. Strategi yang sarat dengan tipu muslihat yang memeningkan pihak kawan dan lawan. Sama juga macam strategi Tok Guru Haji Hadi. Buat announcement kat depan orang ramai. Tapi for sure tak ramai yang cakap Anwar tipu. Tapi giliran Haji Hadi pasti orang cakap tok guru menipu. Betul tak??

Tindakan yang sama, strategi berbeza dari orang yang berbeza menghasilkan result yang berbeza juga. Kedua-duanya tindakan strategi. Tapi mengapa hasil dia berbeza? Pasal satu tindakan orang akan nampak memang bijak, satu lagi orang nampak kurang bijak. Bukan saya cakap tok guru Haji Hadi kurang bijak. Namun, impak maksima dari tindakan itu sekarang ini menghasilkan pecah-belah dan muha'balah' sesama ahli Pas sendiri. Kita dah terkena racun dan duri yang sendiri dicari.

Tanpa berniat mengecilkan tok guru Haji Hadi, sudah pasti kena lebih berhati-hati. Kena belajar dari Anwar Ibrahim mungkin. Bagaimana mengurangkan impak maksima. Saya yakin dan percaya apa yang tok guru Haji Hadi buat pun strategi juga. Tak faham dek saya orang biasa. Kerana biasanya strategi hanya nampak berhasil bila sampai di hujungnya.

Tapi bila saya baca shadow government yang Kula cerita dan impikan, maka nampaklah apa strateginya. Boleh baca juga apa saudara RoslanSMS, tulis di sini. Kalau rupa begini bayangan kabinet yang disusun, masalah besar dan bala yang akan menimpa. Tak terbayang dek kepala. Jadi kepada penyokong Pas di luar sana, saya menyeru lagi supaya berlapang dada. Jangan cepat sangat kita melatah dan terlompat tak tentu hala. Yang ruginya kita juga.

Jadi rakyat Malaysia, nak mengundi pun tak boleh pasal bukan tempat kita Permatang Pauh tu. Marilah kita sama-sama berdoa supaya Allah berikan yang terbaik kepada kita. Tak kira menang atau kalah, dah kalau itu yang terbaik untuk kita - kita terima sahaja. Lumrahnya manusia dan senang dan menang senantiasa, walhal tuhanlah yang lebih mengetahuinya. Peace.

Monday, July 28, 2008

Mengapa DSAI Pilih Kulim

Sumber gambar : Blog Zulkifli Nordin

Tak tahulah saya apa strategi politik Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih Kulim sebagai destinasi beliau sebagai tempat untuk beliau bertanding. Keputusan di makhamah bagi petisyen Parlimen Bandar Baru Kulim belum lagi diputuskan. Dan perbicaraan juga masih berjalan.

Memang tak salah untuk DSAI memilih mana-mana tempat untuk bertanding. Rakyat juga menantikan kehadiran beliau di Parlimen Malaysia bagi mengetuai barisan rakyat. Namun pandangan peribadi saya, saya kurang bersetuju DSAI memilih Kulim sebagai destinasi beliau bertanding. Atas faktor-faktor berikut saya merasakan DSAI patut memilih Kelana Jaya atau tempat yang lain kerana :-

i) Prestasi Sdr. Zulkifli Nordin amat memberansangkan. Dengan menggunakan pendekatannya yang tersendiri, beliau dapat menarik perhatian media. Antaranya bermotosikal dan berbasikal ke Parlimen. Secara tidak langsung ia memberi nafas baru kepada suasana politik yang dicitakan rakyat di Malaysia.

ii) Pada saya, rakyat marhaen di Kulim lebih memerlukan Sdr. Zulkifli Nordin lebih daripada DSAI. Ini kerana, mereka lebih mengenali dan lebih rapat dengan Sdr. Zulkifli Nordin. Dengan status sebagai ketua pakatan rakyat nanti, Anwar tidak mungkin dapat bersama rakyat Kulim sebagaimana Sdr. Zulkifli Nordin.

iii) Ada prestasi di kalangan MP amat mengecewakan. Terlalu muda dan cetek pengatahuan politiknya. Saya rasa DSAI lebih patut mengambil kerusi parlimen Kelana Jaya. Rakyat sentiasa menilai prestasi MP Pakatan Rakyat. Janganlah kerana susu setitik, rosak susu sebelanga. Pemilihan beliau bukan atas kapasiti kebolehan beliau, tetapi kerana arus perubahan yang terlalu kencang.
Gambar : RoslanSMS

iv) Sdr. Zulkifli Nordin juga merupakan antara MP yang berpotensi. Adalah kurang cerdik kita mencantas dahan yang sedang merimbun. Sedangkan banyak lagi dahan-dahan yang bantut dan sakit.

Akhir kalam, saya bukanlah penulis upahan ataupun bertujuan memburukkan keadaan. Pandangan di atas ikhlas demi untuk kebaikan rakyat. Di harapkan sesiapa yang terbaca di luar sana mengenai catatan ini boleh menyampaikannya kepada DSAI. Janganlah keikhlasan Sdr. Zulkifli Nordin dipergunakan dan dikorbankan atas sesuatu yang tidak hak. Salam perjuangan.

Wednesday, July 16, 2008

Terkini!! Anwar Dibebaskan Dengan Ikat Jamin

Sumber: Malaysiakini


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan pagi ini.

Beliau dilihat keluar bersama anggota keluarga dan peguamnya dengan kereta pada jam 9.45 pagi.

Beliau balik ke rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur dan dijangka mengadakan sidang akhbar pada jam 2 petang.

Anwar tidak menghadapi sebarang dakwaan tetapi diminta datang semula ke balai polis pada 18 Ogos depan.

Awal pagi ini,Sankara memberitahu pemberita di luar ibupejabat polis Kuala Lumpur, tempat Anwar ditahan semalaman, bahawa mantan timbalan perdana menteri itu akan dibebaskan jam 1 petang.

Pada jam 9.30 pagi isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba bersama anak-anaknya dan masuk ke dalam bangunan IPK Kuala Lumpur.

Berapa Banyak Bohong Daaa...

Tak faham, tak reti dan tak tahu. Berapa banyak manusia-manusia di Malaysia ini yang suka berbohong dan terang-terang kelentong orang di sana-sini. Daripada Perdana Menteri, Timbalan Menteri, Menteri-Menteri, Ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat. Yang terbaru, berjangkit pula kepada sang Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Di dalam Buletin Utama tadi, beliau dengan selambanya menyatakan penangkapan Anwar adalah di buat secara professional. Gambar ini menjelaskan keprofesionalan yang dimaksudkan beliau. Gambar bersumber Mr. HardT.

Inilah gambaran yang dimaksudkan, professional oleh si pengarah tadi. Menangkap seorang yang dituduh meliwat seperti juga sepuluh tahun dahulu, memerlukan unit anggota polis bertopeng. Sedangkan pada masa yang sama, pembunuh Altantuya di luar sana masih bebas. Senang ceritanya, beliau mendakwa tangkapan terhadap Anwar terpaksa dilakukan kerana Anwar tidak memberikan kerjasama yang sepatutnya. Sedangkan Anwar baru sahaja pulang dari memberi keterangan kepada BPR.

Dalam masa yang sama, si pengarah ini juga memaklumkan semalam DSAI diberi sehingga pukul 2 untuk memberi kenyataan kepada pihak polis.(Anwar ditangkap sebelum pukul 2). Agaknya inilah gambaran professional yang dinyatakan olehnya.

Keselamatan anggota polis juga dikatakan diberi keutamaan pada masa yang sama. Terlintas di fikiran saya, kenapalah dia orang ini takut sangat kepada DSAI. Adakah selama ini apabila mereka cuba menangkap Anwar akan berlaku peristiwa tembak-menembak atau ancaman nyawa kepada anggota mereka? Adakah seorang tertuduh meliwat itu sangat merbahaya, sama bahayanya dengan Bentong Kali dan Mat Komando?

Pelik dan ajaib rentetan peristiwa-peristiwa minggu ini. Berbohonglah lagi dan lagi dan lagi. Memang rakyat beri duit gaji anda untuk anda berbohong. Rentetan kejadian-kejadian ajaib sepanjang minggu ini.

* Road-block luar biasa diadakan di sekitar Kuala Lumpur pada Ahad dan Isnin yang menyebabkan kesesakan yang luar biasa. Gambaran betapa professionalnya anggota polis.

* Anwar dihalang dari mendekati bangunan Parlimen. Buat julung kalinya seorang individu dikenakan perintah makhamah supaya menjauhi parlimen. Hairan bin ajaib.

* Debat Anwar-Shabery. Walaupun dihentam teruk, Shabery tetap diberi pujian melambung oleh media-media kerajaan. Media yang bukan kerajaan memberi gambaran sebaliknya.

* Anwar ditarik oleh anggota polis bertopeng. Ada atau tidak seorang yang dituduh meliwat ditangkap dengan menggunakan anggota unit khas? sekali lagi hairan bin ajaib.

* Raja Petra diperintahkan melaporkan diri esok pukul 10 pagi. Pergi jangan tak pergi.

Yang jelas, kebobrokan pemerintah dalam penyalahgunaan kuasa semua jabatan kerajaan begitu jelas sekali. Lalu, siapakah yang diharapkan untuk mengatasi penyalahgunaan kuasa ini. Ingatlah manusia, di dunia mungkin terlepas. Akhirat belum tentu.

Terkini!! Anwar Ditangkap Polis Bertopeng!

Nampaknya peristiwa 98 berulang kembali. Untuk kali keduanya, Anwar telah ditangkap atas tuduhan meliwat. Boleh rujuk di sini. Nampaknya zaman reformasi akan berulang kembali. Kerajaan Pak Lah kembali melakukan kebobrokan seperti zaman Che Det dahulu.

Sumber malaysiakini.


Anwar ditahan polis bertopeng
Jul 16, 08 1:15pm

kemaskini 3:59pm Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.

anwar ibrahim and policeBeliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket - dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.

anwar ibrahim arrest wan azizah parliament 160708 03Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

anwar ibrahim arrest wan azizah parliament 160708 01Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.

Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 40 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur, sementara lebih 200 orang berada di jalan utama menuju bangunan itu, depan bekas Penjara Pudu.

bm version arrest of anwar ibrahim timeline 160708Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.

Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Kelihatan sepasukan anggota polis memantau pergerakan para penyokong yang berhimpun di situ. Turut kelihatan ialah sebuah trak meriam air.

Ahli Parlimen PKR, Wee Choo Keong, yang berada di dalam bangunan itu berkata, Wan Azizah dan dua anaknya - Nurul Izzah dan Nurul Nuha - dibenarkan menemui Anwar di tingkat tujuh pada kira-kira jam 2 petang.

anwar ibrahim arrest 160708 04Pada jam 2.35 petang, Wan Azizah dan anak-anaknya, serta peguam Sankara Nair muncul dari bangunan tersebut.

Pada jam 2.40 petang, ahli Parlimen DAP termasuk Lim Kit Siang, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Anthony Loke juga kelihatan meninggal dari bangunan tersebut.

Loke berkata, mereka hanya dibenarkan menunggu di kantin, dan semua ahli Parlimen Pakatan akan balik ke Parlimen untuk "membangkitkan isu tersebut".

Pada jam 2.50 petang, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar berkata, pihak polis sudah mula menyoalsiasat Anwar.

anwar ibrahim arrest 160708 08Katanya, perhimpunan sokongan kerdipan lilin akan diadakan di luar bangunan tersebut jika Anwar tidak dibebaskan hari ini.

Peguam Latheefa Koya pula berkata, Anwar ditahan sebagai suspek, tetapi pihak polis mahu merakamkan kenyataannya sebagai saksi mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

"(Pada kira-kira jam 2.40 petang, peguam) Sulaiman Abdullah masuk bersama peguam Param Cumaraswamy. Anwar akan diwakili oleh tiga peguam termasuk Sulaiman. Param berada di situ sebagai tokoh antarabangsa," katanya.

(Param merupakan bekas pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kebebasan hakim dan peguam).

Sementara itu, pada jam 5.40 petang, peguam N Sankara Nair memberitahu, Anwar masih lagi memberi kenyataan kepada pihak polis.

Monday, July 14, 2008

Kami Bekerja Untuk Rakyat?

Satu Kuala Lumpur bengang, marah, geram dan macam-macam lagi. Sumpah seranah usah lagi kita cerita, jika boleh dikumpulkan sudah tentu berbakul-bakul banyaknya sampai tak larat pekerja alam flora membersihkannya. Bersepah-sepah di tepi jalan, kaki lima, atas jalan raya kalau ia boleh dizahirkan.

Apabila sekatan jalan raya di adakan di merata-rata tempat yang tidak relevan, kerana sebab yang tidak relevan maka ia akan menghasilkan emosi yang tidak relevan juga. Tidak terkira ramainya berapa ramai yang lambat sampai ke pejabat, tak terkira berapa banyak harga minyak yang terbazir begitu sahaja, tak terkira banyak mana hati yang terbakar kepanasan. Mungkin kerugian ini boleh mencapai billion-billion RM(boleh rujuk di sini) .

Semua kerana satu sahaja, lantaran menerima arahan orang-orang tertentu yang mengikut hati dan nafsu semata-mata. Ia turut berpunca dari berita risikan yang tepat dan canggih di mana memaklumkan terdapat segerombolan besar penyokong-penyokong pakatan rakyat yang akan berhimpun dan ingin mengadakan demo di Parlimen. Malangnya, penyokong-penyokong itu sendiri kebanyakannya sedang berada di dalam kereta mereka sendiri sewaktu sekatan jalan raya itu dan terpinga-pinga serta kehairanan kerana mereka sendiri tidak tahu menahu perihal tersebut dan dalam perjalanan ke pejabat masing-masing.

Lalu di manakah relevannya sekatan tersebut. Adakah ia satu rekaan semata-mata berasaskan perkembangan politik mutakhir pada masa kini. Lalu berapa ramai anggota polis yang dikerah untuk melakukan sekatan-sekatan ini di seluruh Kuala Lumpur? Duit siapakah yang membayar gaji-gaji mereka selama ini. Adakah perbuatan ini bukan satu perbuatan membazir. Mengerahkan beratus-ratus mungkin beribu-ribu anggota polis untuk menangkap hantu. Lalu, bukankah ia merupakan terang-terang satu pembaziran.

Bila sampai giliran rakyat, maka menteri-menteri sibuk menyuruh rakyat ubah cara hidup dan berjimat-cermat. Sesungguhnya, banyak duit negara yang perlu dijimatkan kerana ekonomi kita sekarang dalam keadaan meruncing. Namun, dalam masa yang sama pembaziran yang rata-rata di depan mata jelas dilakukan begitu sahaja. Itu tidak termasuk lagi pembaziran minyak pada hari itu, wang, tenaga dan emosi pada hari itu. Semuanya kerana menurut nafsu serakah oleh orang-orang tertentu. Tapi, tidak mustahil juga jika sekatan ini untuk memerangkap Anwar Ibrahim dan seterusnya menangkap beliau dan menyimpannya di dalam penjara. Kita sama-sama tengok dan lihat.

Malam Ini (Kalau Anwar Tidak Ditangkap Dahulu)

Sunday, July 13, 2008

Bila Pula Ada Demonstrasi??

Baru saya melangkah masuk ke pejabat, seorang rakan menyapa, " Mung tak tahu ke polis ada buat road block semalam dengan hari ini? ".

Tergamam sekejap saya," Kenapa? Tak ada pulak dengar cerita kita nak buat demonstrasi. Isu Protes hari itu pun belum selesai lagi ".

Sambung rakan saya pula, "Dia orang sibuk buat road-block. Diaorang cakap pembangkang nak buat demonstrasi dekat Parlimen. Agaknya ada kaitan dengan undi tak percaya kepada Pak Lah tu kot".

Sejenak saya berfikir lalu berkata," Mungkin juga. Tapi tak ada hujan tak ada ribut, tiba-tiba kecoh pasal demonstrasi. Ada udang di sebalik mee ni".

Perbualan kami terhenti di situ. Hilang mood nak kerja sekejap. Dalam hati saya, pasti ada rancangan lain yang dia orang tengah nak buat ini. Road-block dan isu demonstrasi ini hanya untuk cover-line sahaja. Lagipun, hebat juga makhamah dekat Malaysia ini. Hari Ahad pun dia orang kerja. Polis dah dapatkan perintah makhamah melarang Anwar dari duduk dekat dengan Parlimen.

Hebat Anwar Ibrahim ini. Selama ini, tak ada pula saya dengar ada orang dilarang dari menghampiri bangunan Parlimen. Ini nak dekat pun tak boleh. Ilmu apa lah Anwar ini pakai, agaknya kalau dia duduk dengan Parlimen boleh meletup kot bangunan tu. Itu belum lagi Anwar betul-betul duduk dalam bangunan tu.

Terkini, saya dapat tahu usul undi tak percaya tu dah ditolak mentah-mentah oleh Pak Pandikar. Iyalah, parlimen tu bapak dia yang punya. Suka hati dia lah nak terima ke tak. Pusing-pusing, dia boleh buat apa saja. Sampai tergagap pun ada masa nak kawal ahli Parlimen berbahas.

Saya tak ada idea lagi, kenapa polis sibuk-sibuk nak tampal memo banyak-banyak tak bagi orang berkumpul dan berdemontrasi. Memang tak ada orang nak buat demonstrasi pun. Dah macam iklan dah, merata-rata ada memorandum. Dah tukar profession pulak dah depa ini. Saya rasa ada benda lain depa nak buat ini. mesti ada punya. Mesti ada ni, tapi apa ya?

Thursday, July 3, 2008

Maka Tamatlah Kareer Politik Seorang TPM...

Maka sudah jelaslah kemana akhirnya permainan catur ini yang hampir berakhir episod pertamanya. Jejak kaki 'King' sudah diikat dan telah hampir 'check mate'. Saya belum terasa mahu mengulas tentang ini dengan lebih lanjut pasal banyak episod yang menarik sudah pasti terhidang. Anda boleh membaca ulasan saudara Black di sini, akan perihal yang demikian.

Maka, pesanan terakhir jangan main belakang. Merbahaya untuk kesihatan diri dan survival politik.

Sunday, June 29, 2008

Jalan Ke Putrajaya Semakin Hampir...(Updated)

Apabila DSAI dituduh sekali lagi meliwat seseorang dan dalam pada masa yang sama sedang diancam nyawanya, ia memberi satu isyarat yang semakin jelas! Proses pertukaran kuasa semakin hampir dan menunggu hari sahaja.

Sejarah telah membuktikan pemimpin-pemimpin yang korup dan berkepentingan akan menggunakan apa sahaja untuk memastikan mereka akan terus berkuasa. Tidak kira dengan menggunakan apa cara sekalipun, kerana bagi mereka matlamat menghalalkan cara.

Namun, dalam masa yang sama pelbagai teori turut muncul di kalangan bloggers-bloggers di alam maya ini. Mari kita menganalisis sedikit berita-berita yang sedang hangat diutarakan :-

a) Anwar telah dilaporkan meliwat pembantu peribadinya sendiri.
Pembantu Khas beliau Saiful Bukhari Azlan, 23 telah membuat laporan polis mendakwa beliau telah diliwat oleh DSAI.

b) Anwar telah meminta perlindungan daripada kedutaan Turki bagi memastikan
keselamatan dirinya.
Ini adalah untuk mengelakkan peristiwa 1998 di mana rumah Anwar diserbu oleh UTK polis, diberi pukulan maut oleh ketua polis negara pada masa itu dan juga dihidangkan dengan racun Arsenik.


Memang peranan media untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap berita-berita utama masa kini seperti kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak dan juga isu Najib-Rosmah. Peliknya, bila Raja Petra mengemukakan akuan bersumpah beliau terhadap kehadiran Rosmah di tempat pembunuhan Altantuya, Pak Lah hanya mengatakan tidak percaya. Ia dengan segera dinafikan oleh Pak Lah. Beliau menegaskan tidak pernah menerima apa-apa laporan bertulis daripada pihak perisikan tentera bahkan menantu beliau, Khairy Jamaluddin turut menafikan ada menyimpan laporan tersebut. Pada masa yang sama Khairy turut menyifatkan akuan tersebut berniat jahat dan mencemarkan kredibiliti beliau. Najib sendiri turut menafikan isteri kesayangannya terbabit dalam pembunuhan Altantuya seperti didakwa oleh Raja Petra.

Namun, apabila mengulas mengenai kes liwat melibatkan Anwar dengan pantasnya Pak lah akan menyerahkan kepada polis untuk membuat penyiasatan mereka. Polis kenalah siasat kerana aduan telah dibuat. Agaknya Pak Lah masih mamai agaknya. Kuman di seberang laut memang jelas dia nampak, tapi gajah depan mata tak nampak.

Tidak pelik, kerana di Malaysia apa sahaja pun boleh. Pendakwaan terpilih? Tangkapan terpilih. Apa sahaja boleh, asalkan anda mempunyai pangkat dan harta. Jangan lupa, menuduh orang meliwat itu jika tidak benar, adalah besar dosanya. Bukan alang-kepalang. Tapi jika anda seorang yang ikut sahaja kata hati tetapi tidak mengira dosa pahala - dipersilakan. Yang pastinya semuanya akan dihitung dan dikira di hari yang paling huru-hara nanti.

Yang pastinya rakyat yang semakin pening. Dan ramai juga yang akan menonton wayang siri-siri baru yang belum terdapat di pasaran. Jangan lupa kita beramai-ramai ke Amcorp Mall Ahad ini. (Agak susah untuk menganalisis dalam keadaan kepala yang pening dan kurang sihat rupanya.)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails