Showing posts with label ibadah. Show all posts
Showing posts with label ibadah. Show all posts

Tuesday, May 15, 2012




Aku tahu diri ini penuh maksiat kepada Mu ya Allah,
Tapi aku tidak pernah bertaubat menginsafi salah dan maksiatku...

Aku tahu diriku setiap masa dan saat hanya menambah dosa kepadaMu ya Allah,
Tapi aku tidak pernah memohon ampun akan segala dosaku ..

Sebenarnya diri aku ini sungguh malang,
tidak tahu siapa yang akan menyelamatkan aku nanti
di hari yang penuh pembalasan,
Namun aku masih mampu untuk gelak ketawa dan gembira
mendengar lawak-lawak yang didendangkan oleh sahabatku
dan yang diudarakan di corong-corong televisyen dan radio...

Diri ini hanya mengejar impian dan fulus semata-mata,
seolah-olah sebab itulah aku diciptakan di dunia ini,
sedangkan kuburku menyeru kepadaku setiap hari
dan mengingatkan bahawa suatu hari nanti aku akan menghuni isinya,

Pakaian dan kemewahan yang menyaluti aku,
akan diganti dengan kain kafan putih yang menjadi pakaian terakhirku,
sebelum jasad sementaraku dimamah ulat dan cacing,
sedangkan aku terlupa
malaikat munkar dan nakir
tidak pernah lupa untuk mengunjungiku sejenak aku sampai di sana...

Aku gembira di dunia ini,
seolah-olah aku tidak akan mati suatu hari nanti
seolah-olah aku akan hidup selamanya

dan sakratul maut itu pasti akan mengunjungiku suatu hari nanti!
dan aku sendiri terlupa!!
siapa sahabatku yang dapat menolongku,
siapa saudaraku yang dapat menolongku?

terlupa aku akan disoal apa yang aku lakukan di dunia ini,
setiap saat dan minit sedikit pun tidak akan terlepas
dari dirakam robbi izzati...

dan suruhan dan arahannya aku ingkari,
tanpa sesuatu persiapan pun untuk aku mentaatinya...
sering aku pekakkan telingaku daripada ayat-ayatMu,
sedangkan telingaku lebih enak bila dihidangkan dengan lagu-lagu
rock,r&b,keroncong sebagai pengubat jiwa(kononnya)..

dan sungguh celakalah aku,
pada hari manusia dikumpulkan,
sedangkan ianya sudah diberitahu oleh tuhanku,
1400 tahun yang lalu?

hanya taubat lah pintu keselamatan untukku,
jika aku sedar dan mengetahui..
bahawa biar sebesar mana banyak dosaku,
namun tidak dapat mengatasi besarnya keampunanMu...

Semoga penghijrahan ini
menambahkan kasih belasmu kepada kami,
semoga dengan taubat ini...
timbanganku memberat,
dan dihisab dengan ringan
kerana engkau ya Allah,
Maha pemberi Rahmat...




Tuesday, September 2, 2008

Marhaban Ya Ramadhan!

Alhamdulillah! Maka kita sekali lagi tergolong dalam golongan manusia-manusia yang bertuah dan terpilih bagi menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Termakbullah doa yang sering kita ungkapkan sejak dari bulan Syaaban dan Rejab supaya kita disampaikan kepada Ramadhan untuk merebut segala keberkatan yang berada di dalamnya.

Ramadhan Al-Mubarak itu bergantung kepada persepsi diri kita. Ada orang apabila tiba musim Ramadhan sahaja akan berkobar-kobar semangatnya untuk berniaga. Ini kerana pada bulan Ramadhan inilah, apa sahaja yang dijual akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Nyatakan sahaja. Kuih, juadah berbuka puasa, kain, baju raya dan sebagainya. Begitu juga sesetengah daripada kita apabila sampai sahaja Ramadhan terus teringatkan kepada hari raya. Belum lagi puasa mencecah hari ke-3, sudah berkumandang lagu-lagu raya yang mengingatkan kita kepada kampung halaman yang kita jejakkan kakinya setahun sekali.

Belum lagi dicampur dengan promosi perayaan oleh pasaraya-pasaraya besar yang terdapat di sekeliling kita. Begitu juga dengan rangkaian-rangkaian televisyen di negara kita. Semua pihak berlumba-lumba merebut peluang yang terbuka pada bulan Ramadhan ini. Namun amat malang sekali bagi umat Islam. Ramadhan yang sepatutnya dijanjikan dengan seribu satu ganjaran yang berlipat kali ganda dipandang dari perspektif yang berbeza dan terpesong oleh umat Islam.

Sepatutnya hati kita terlonjak-lonjak kegembiraan untuk menunaikan ibadah-ibadah yang istimewa di bulan Ramadhan ini. Puasa yang tidak diwajibkan pada bulan selain bulan Ramadhan. Solat Tarawih yang hanya dilakukan pada bulan Ramadhan. Begitu juga zakat fitrah yang hanya dilaksanakan pada bulan Ramadhan. Namun kita sering terlupa untuk meningkatkan kualiti puasa kita. Begitu juga kualiti solat Tarawih kita. Begitu juga zakat fitrah kita.

Untuk meningkatkan kualiti ibadah kita maka amatlah perlu kepada ilmu.
Namun malang sering menimpa kita pada hari ini. Kita terlupa untuk mengejar ilmu-ilmu ibadah ini kerana guru-guru kita hanyalah Al-fadhil ustaz tv1, tv2, tv3, ntv7, tv8 dan tv9 yang dekat di hati. Bukan tiada rancangan pendidikan agama di rangkaian ini. Ada! Cumanya ia dalam bilangan yang terhad dan kadang-kadang ditayangkan semasa kita sedang lena diulit mimpi. Maka hanyutlah kita dengan rancangan-rancangan masakan yang diperhebatkan. Rancangan-rancangan televisyen yang sedikit insaf di tv3. Tidak dicampur lagi dengan rancangan-rancangan yang bakal di tayangkan pada hari raya nanti.

Persoalannya, sampai bilakah kita ingin terus lena dan terleka begini. Sampai bilakah kita akan terus rugi walhal Allah telah mempromosikan diskaun-diskaun hebat yang terdapat pada bulan Ramadhan ini. Sampai bilakah kita membiarkan Ramadhan berlalu tanpa mengisi dengan ibadat-ibadat yang sepatutnya? Mungkin kita terfikir tidak mengapa. Tahun depan masih ada lagi Ramadhan. Mungkin ya, mungkin tidak.

Mungkin Ramadhan menjelma ya, untuk orang lain tapi tidak untuk diri kita. Marilah kita kembali mengingatkan diri kita. Betapa peluang terbesar meraih ganjaran yang dijanjikan Allah terbuka luas. Jom kita bersama-sama merebut keberkatan Ramadhan. Janganlah kerana tempahan kuih yang membuak-buak maka kita mengorbankan solat Terawih dan ibadah-ibadah yang lain. Janganlah kerana tempahan kain yang menimbun, maka kita mengorbankan ibadat zikir dan membaca Al-Quran yang mulia.

Sesungguhnya rugi lah kita mengejar dunia yang sementara sedangkan akhiratlah yang sebenar-benar kehidupan. Dunia yang fana ini yang sering dikejar, sedangkan akhiratlah yang akan kekal selamanya. Cukupkah bekalan kita untuk dibawa bersama ke alam sana nanti. Sedangkan kita ini manusia-manusia yang mengembara di atas muka bumi ini. Apabila sampai masanya, maka kembalilah kita kepada pencipta yang Maha Esa. Masihkah kita terus ingin kerugian sedangkan kampung halaman kita memanggil-manggil kita? Syurga itu kampung halaman kita - di sana asalnya kita. Terlalu malang dan celaka untuk diri kita jika kita pulangnya tidak ke sana tetapi ke neraka! Nauzubillah min zalik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails