Thursday, October 16, 2008

Tazkirah Jumaat

Sekadar berkongsi sedikit ilmu yang diperolehi :-

Dalam beribadat, kita mesti :-

1. Percaya, yakin & merasai amalan kita adalah taufik dan hidayah dari Allah. Jangan sampai kita merasa sombong dan takbur kerana dirasakan banyaknya amalan kita itu.

2. Berniat agar mendapat keredhaan Allah. Dengan berniat sedemikian moga-moga Allah memelihara kita dari takjub, ujub dan membanding-bandingkan amalan atau pahala kita dengan orang lain.

3. Setiap yang dilakukan mestilah niatnya kerana Allah Taala supaya tidak menyebabkan berlakunya riak.

Al-Kisah..

Sambil-sambil mencari idea. Terjumpa pulak sebuah blog yang memang bagus untuk dibuat rujukan satira rakyat. Di bawah disertakan satu wawancara khas yang memang dapat mencuit hati dan perut. Untuk lain-lain satira boleh klik di sini


Wawancara ini di antara sebuah robot dan seekor ayam.


Assalamualaikum
waalaikum salam

boleh terangkan serba sedikit tentang diri saudara?
saya seekor ayam, makanan kegemaran saya adalah rumput dan dedak,

bagaimana dengan aiskrim, saudara suka aiskrim?
tidak. tetapi saya suka ulat dan cacing.

mungkin saudara boleh terangkan asal-usul saudara pada para pembaca kita?
saya berasal dari telur. Sekarang ini saya tinggal di dalam reban.

Sudahkah saudara berkeluarga?
Sudah.. sudah... saya ada 5 ibu ayam dan 27 anak ayam

Tahniah! Mereka sudah bersekolah?
Ayam mana ada sekolah? Mereka sedang makan tanah

Tidakkah saudara mahu masa depan anak-anak lebih cerah jika mereka ke sekolah??
Cerah macam mana tu?

Ilmu pengetahuan boleh diguna untuk menaikkan taraf hidup mereka..
sebagai resmi ayam, kami tidak berapa fikirkan tentang masa depan sangat

jika mereka bersekolah mereka boleh mendapat kerja yang baik
encik ni waras ke? kalau mereka kerja, apa yang boleh mereka dapat?

mereka boleh mendapat wang.. kehidupan mereka akan menjadi lebih senang
cuba encik fikir, orang yang bekerja atau ayam yang hidup senang?

bagaimana saudara menghabiskam masa lapang saudara?
selain daripada mengais tanah, saya suka berkokok dan berjalan mundar-mandir

Saudara sering berhubungan dengan ayam-ayam lain?
mereka buat hal mereka sendiri. kami berbual juga kadang-kadang, sambil berkokok..

negara kita akan menyambut merdeka tak lama lagi, apa pendapat saudara?
saya tidak berapa kisah, kami ayam tidak diberi taraf kerakyatan di negara ini.

sebagai kata penutup,mungkin saudara ada kata-kata mahu disampaikan kepada para pembaca kita?
Hmm... kena daku dalam doamu?

terima kasih kerana sanggup meluangkan masa bersama kami...
sama-sama..

Untuk lebih banyak cerita boleh ke sini .

Tuesday, October 14, 2008

Minyak turun lagi... La la la...

Macam biasa lah. Sekarang musim minyak turun. Tapi harga barang tak turun-turun. Semalam dikhabarkan turun lagi sebanyak 15 sen. Maknanya kalau dulu harga RM 2.45 kini harga baru RM 2.30. Tolak campur RM 2.30 - RM 1.92 = 38 sen. Mak ai. Banyak lagi tu beza dia. Sedangkan di dada-dada akhbar dikhabarkan harga minyak dunia turun pada kadar yang terendah.

Tapi terlebih dahulu, terima kasih kepada Pak Lah. Tapi sebagai rakyat marhaen, kami mengharapkan kalau boleh harga minyak turun sampai kepada RM1. Yang pasti kami akan puji Pak Lah melangit tinggi. Tapi kalau pada harga sekarang, masih lagi menyeksa jiwa dan raga. Dalam pada rakyat menaruh harapan yang tinggi untuk bertukar kerajaan - kehampaan jelas terbayang. Kini tumpuan tertumpu pula kepada pertukaran kuasa daripada Pak Lah kepada Najib.

Harapan kami turunlah lagi harga minyak. Harga minyak dunia dah turun, jadi tak ada alasan lagi untuk kerajaan terus membebankan rakyat. Sudah lah pak Lah! Sudahlah. Seeloknya harga minyak itu diturunkan pula kepada kadar yang terendah. Sudah tentu rakyat marhaen akan menghargai jasa Pak Lah kepada negara buat kali yang terakhir.

Friday, October 10, 2008

Malang Terus Menyelubungi

Awan mendung terus menyelubungi bumi Malaysia. Begitu juga mega hitam yang entah dari mana datangnya. Kebal menyelubungi bumi bertuah ini dan seolah-olah tidak mahu berganjak pergi. Entah di mana silapnya, satu demi satu bala terus memunculkan diri. Seolah-olah satu hukuman mati daripada Illahi. Yang mati datang sebelum mati yang sebenar.

Dah confuse? Tak payah la confuse. Kalau melihat senario politik tanahair pada hari ini dengan coretan di atas, ia berkaitan antara satu sama lain. Cuba bayangkan di satu hari yang tak berapa dingin, Najib Tun Razak dilantik sebagai seorang Perdana Menteri dan Khairy Jamaluddin pula dipilih sebagai ketua pemuda Umno. Alahai. Malang sungguh nasib diri ini. Tiada lagi kah manusia amanah di bumi ini yang boleh dipilih sebagai seorang calon ketua daripada mereka yang berdua ini.

Najib dan Altantuya begitu sinonim sekali. Seolah-olah irama dan lagu. Begitu juga Najib dan C4. Begitu akrab. Tidak mungkin dalam fikiran saya dapat dipisahkan keduanya. Namun, dalam keadaan demikian beliau begitu bernasib baik. Akan memegang jawatan Perdana Menteri yang akan menjaga kebajikan 22 juta rakyat Malaysia. Apakah beliau dapat menjaga kebajikan kami atau ramai lagi rakyat Malaysia yang akan dihadiahkan dengan C4 suatu masa nanti. Hati ini menangis. Mungkin juga zaman pemerintahan Pol Pot yang kejam di kampuchea akan berulang di negeri ini nanti.

Khairy pula begitu sinonim dengan label penjual harta karun negara. Bumi mana yang mungkin mampu digapai tidak ingin dijualnya. Begitu juga syarikat-syarikat besar negara. Mana mungkin dibiarkan begitu sahaja tanpa sedikit sebanyak cuba dikikisnya sehingga ada sedikit sebanyak bahagian yang akan masyuk ke dalam sakunya. Sebut sahaja Pantai Medical Center, Telekom Malaysia, ECM Libra dan sebagainya tidak akan terlepas dari genggamannya.

Betapa amanah yang diberikan kepada segelintir golongan pemimpin tidak kira kecil atau besar hanya dapat dinilai dengan wang dan ringgit semata-mata. Buktinya, nantikanlah drama-drama pencalonan di peringkat negeri dan bahagian yang sedang berlangsung ini. Kepada Pak Lah, selamat berehat. Rakyat amat menghargai kesudian Pak Lah untuk mengundurkan diri supaya keadaan negara ini tidak menjadi lebih parah lagi. Marilah kita sama-sama berdoa supaya pemimpin-pemimpin akan datang adalah yang amanah dan menepati kriteria seorang pemimpin yang ditetapkan dalam Islam. Amin ya robal Alamin.


Tuesday, October 7, 2008

Mari Merenung..!!

Maka belum hilang jualah akan mood raya aidilfitri di setiap pelusuk bumi nusantara ini. Raya yang biasanya dahulu disambut sekadar dua ke tiga hari kini, telah dilanjutkan sehingga ke sebulan. Maka jadilah bulan Syawal itu bulan raya adanya. Dan tiada jua akan anak-anak adam menjadikan bulan Syawal itu akan bulan muhasabah diri. Yang mana setelah perginya satu bulan yang penuh keberkatan setahun sekali iaitu Ramadhan Al-Mubarak, maka tertutup jualah biasanya hati-hati anak Adam untuk kembali beristiqamah menjalankan ibadat yang telah ditunaikan selama ini.

Wah! Tuan empunya diri dah kembali. Terasa senang dan agak seronok di hati. Dapat kembali mengetuk-ngetuk kepingan keyboard ini. Untuk kembali berkongsi pandangan dan rasa hati. Kadang-kadang menegur mana yang perlu di samping menginsafi kembali amanah besar yang dipikul diri kita sebagai manusia makhluk terbaik ciptaan Ilahi.

Mesti ramai yang masih dalam mood raya. Terbawa-bawa sampai ke hari ini. Tak terkecuali diri ini sendiri. Almaklumlah, kebetulan minggu ini adalah minggu pertama masuk kerja. Mungkin ada yang sudah mula untuk berpuasa sunat Syawal, syabas diucapkan! Yang baru nak start - sila-silakanlah. Yang qadha puasa, selamat menqadha'kan puasa.

Hari ini nak ajak kita bermuhasabah diri sedikit. Agaknya berapa ramai lagi antara kita sedikit merasa hiba. Ya, hiba dan sedikit kesedihan walaupun sekelumit cuma. Pemergian Ramadhan diratapi. Dengan hati yang tulus dan ikhlas, adakah kita sudah mencapai objektif Ramadhan itu sendiri. Yang mana taqwa adalah objektif utamanya. Adakah kita berjaya mencapai taqwa itu, ataupun hanya sebutan di bibir tanpa secebis penghayatan.

Teringat satu hadis yang menyatakan amat malangnya bagi kita jika Ramadhan meninggalkan kita tetapi tiada title taqwa diperolehi oleh kita. Malang, sungguh malangnya kita. Apakah ukuran taqwa itu. Apakah terdapat secebis taqwa terlekat di hati kita?

Mungkin kita boleh menoleh kebelakang. Seminggu sebelum kita menyambut syawal. Apakah yang telah dilakukan oleh diri kita. Mungkin diri kita sedang bergembira. Kerana setiap malamnya kita dapat bertarawih di masjid-masjid. Yang mana terawih itu hanya dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja. Namun, hari ini. Bulan ini, adakah kita terlupa akan masjid itu. Terlupa akan suara iman yang mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran yang merdu. Lupa untuk singgah ke rumah Allah ini, setelah sebulan kita bertungkus-lumus memenuhinya dengan pelbagai ibadat yang dilipatgandakan oleh Allah khusus pada bulan Ramadhan sahaja.

Selama ini mungkin bulan Ramadhan ini, tv-tv di rumah kita asyik mendendangkan tazkirah Ramadhan sahaja. Mungkin sibuk dipendengarkan dengan bacaan-bacaan tadarus Al-Quran, solat sunat Terawih di Masjidil Haram. Namun, kini semuanya telah berubah. Masuk sahaja satu Syawal, kita sibuk berhimpun di hadapan televisyen. Kerana menantikan rancangan-rancangan yang menarik sepanjang hari raya. Lantas tetamu yang datang bertandang pun dijemput sekali. Menyertai kita menyaksikan rancangan-rancangan ini.

Sepanjang Ramadhan kita menjaga solat kita. Setiap waktu, kita pastikan sentiasa menepati masa. Pentingnya sembahyang berjemaah itu. Namun, masuk sahaja satu syawal kemanakah perginya itu. Sudah pasti pada hari raya pertama, masjid-masjid akan lengang sahaja. Kemana jemaahnya pergi? Semuanya sibuk bertandang ke rumah-rumah saudara. Jika berjemaah di rumah Alhamdulillah. Tetapi kalau waktu yang dijaga itu diluputkan sahaja, kemana mungkin tarbiah yang telah sebulan dilaksanakan kita?

Bagaimana pula tahap kesabaran kita? Yang selama ini cuba kita pupuk sepanjang Ramadhan ini. Apakah kita mampu bersabar terhadap kesesakan yang dihadapi sepanjang bertandang ke rumah saudara-saudara. Atau hampir berbakul-bakul maki hamun tersembur didepan anak-anak sepanjang perjalanan tersebut.

Tamat dulu bahagian pertama selepas raya. Mungkin bersambung lagi di esok hari ini. Sekadar untuk renungan diri dan saudara-saudari. Salam Syawal dan seribu kemaafan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails