Thursday, October 29, 2009

Marahkan Nyamuk Kelambu Dibakar

Satu Malaysia sedang tertumpu kepada isu-isu dalaman dalam PAS yang kini sedang hebat digembar-gemburkan oleh media-media massa. Samada sedar atau tidak, pemimpin PAS sendiri seolah-olah memberi bola tanggung yang mana bukan sedikit persepsi negatif yang ditelan dan dihirup oleh rakyat. Namun mungkin kerana terlupa atau tidak sengaja, kenyataan Tuan Guru Nik Aziz begitu mirip dengan kenyataan Tuan Guru Haji Hadi sewaktu Pas berjaya merampas Terengganu.

Dan sejarah telah merakamkan. Akibat kenyataan-kenyataan kencang inilah, Pas ditendang padu oleh rakyat Terengganu dan tinggal nyawa-nyawa ikan di Kelantan. Dan kini, Tuan Guru Nik Aziz mengulangi perkara yang sama yang mungkin menyebabkan Pas hanya tinggal nyawa-nyawa ikan pada PRU-13 nanti.



Tidak pasti samada kenyataan ini didorong oleh perasaan benci yang membuak-buak atau mungkin sahaja kemarahan yang tidak terbendung, maka tok guru meluahkan perasaan sehingga ke jurai keturunan Datuk Syed Alhabsee. Biarpun tidak puas hati dengan kenyataan Datuk Syed namun biarlah hanya antara Tuan Guru Nik Aziz dan Datuk Syed sahaja. Malangnya, kenyataan ini disambut dengan tidak bijaksana oleh Tuan Guru dengan mengungkit keturunan Datuk Syed Ali Alhabsee.

Di sini pelbagai keributan bisa sahaja timbul. Pertamanya, gelaran syed itu sendiri bukanlah diberi kepada bapa saudara Rasulullah Sallahu alaih wasalam. Gelaran itu hanya dimulai oleh Sayyidina Husin dan Sayyidina Hassan Radhiallahuanhu. Ia bukan sahaja akan menimbulkan keributan kerana apabila disebut istilah yang luar biasa dan kasar dalam bahasa kelantan iaitu 'pengat' seolah-olah kurang percaya ianya keluar daripada mulut seorang tuan guru yang bergelar ulama.

Seharusnya keluarga Rasulullah Sallahu Alaih wasalam ini dicintai, dihormati dan dikasihi tanpa melampaui batas. Sepertimana pesan Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam sendiri di akhir hayat baginda meminta supaya pertalian antara umat Baginda dan ahli keluarga baginda dikekalkan supaya tidak terputus hubungan baginda dengan umatnya.

Kesan maksima yang akan berlaku dari kenyataan tuan guru ini akan menyebabkan hilangnya rasa hormat umat Islam terhadap golongan Syed itu sendiri. Tidak sepatutnya kenyataan ini diguna pakai untuk 'pukul rata' semua golongan saadah sebagai sama sifatnya dengan yang dimaksudkan. Apatah lagi kerana beberapa golongan artis daripada keturunan Syed dan Syarifah berkecimpung sebagai artis maka rosaklah susu sebelanga.

Melayu mudah lupa. Jika disusuri kembali sejarah pengislaman tanah Melayu - janganlah lupa bahawa keturunan Syed yang bepekerti mulia ketika itulah yang memulakan misi untuk mengislamkan seluruh nusantara. Jangan dilupa Syeikh Ahmad Baghdadi, Syed Hussin Jamadil Kubra, Sunan Ampel, Tokku Pulau Manis dan golongan-golongan keturunan Ahlu Bait yang lainnya.

Politik bukanlah alat untuk memberi lampu hijau kepada umat Islam untuk menghina golongan Ahlul Bait. Kerana leluhur mereka berkait terus dengan junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu Alaih wasalam. Hatta, Imam Malik apabila diseksa di penjara oleh seorang Ahlul Bait di dalam penjara menyuruh orang disekelilingnya bersaksi bahawa bermula dari hari pertama lagi penyeksaan dilakukan ke atas beliau, beliau telah memaafkan Ahlul Bait tersebut. Ini kerana beliau tidak mahu menjadi penyebab dan malu kepada Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam yang mana kerana beliau seorang Ahlul Bait baginda dihumban ke dalam neraka.

Begitu juga pegangan umat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Yang mana golongan ini bukanlah diminta untuk dimuliakan tetapi berpegang kepada pesanan Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam yang menyuruh kita terus menghargai Ahlul Bait ini. Usahlah dipermainkan sunnah Rasulullah semata-mata kita menyangka bahawa kita sudah berjuang untuk tok nenek Syed ini. Allahuma Soli Ala Saidina Muhammad.

Wednesday, October 14, 2009

Aku Malu Tetapi Mereka Ketawa Besar

Minggu ini aku sering termenung sendiri. Banyak sangat benda yang menganggu fikiranku. Fikir masalah bangsa, masalah negara, masalah agama dan macam-macam lagi. Aku bukan pemimpin negara, jauh lagi dari ketua kampung. Tetapi benakku tetap cuba untuk mengambil tahu apa yang terjadi di sekeliling aku.

Sedih bercampur pilu. Ngilu pun ada. Bangsaku yang bernamaMelayu telah mabuk bergelumang dengan najis rasuah. Tapi untuk memperlihatkan benda itu sebagai bukan satu perkara yangmenjijikkan maka ditukar nama yang lebih indah sedikit iaitu politik wang. Bagi mereka babi itu haram, memang menjadi pantang larang bagi mereka. Tapi lain pula dengan politik wang itu sudah perkara biasa dan wajib ada.

Lalu dikatalah bahawa parti itu sudah separuh ditransformasi. Mungkin maknanya yang tak pandai rasuah perlu belajar dengan otai rasuah. Kalau setakat rasuah sikit-sikit tidak akan menang pilihan raya maka perlu menang banyak-banyak. Lepas itu barulah kita boleh kata bahawa rakyat sudah kembali perjuangan kita.

Tanda dunia itu semakin hampir kiamat semakin jelas dan ketara. Apabila Islam itu menjadi dagang sehingga yang haram bisa sahaja menjadi halal bila ditukar namanya. Hanya yang tidak bisa diletakkab disitu cop tanda halal jalim sahaja. Jika tidak sudah pasti ianya akan menjadi halalan toyyibah. Kepala aku sudah terbalik atau mereka yang terbalik.Alahai...

Thursday, October 8, 2009

Sengketa Malaysia - Indonesia : siapa yang untung?

Apa yang berbeza di antara Malaysia dan Indonesia? Dari segi sejarahnya, keduanya adalah berasal dari rumpun bangsa yang sama. Bangsa Melayu yang bersatu di alam nusantara atau juga dikenali sebagai Jawi. Tiada beza antara kita. Dari segi bahasa, budaya dan agama juga langsung serupa. Rupa paras pun tidak jauh bezanya.

Pendek kata kita dan mereka bersaudara. Apalagi atas dasar rumpun Melayu yang suatu masa dulu begitu perkasa di nusantara. Dikuatkan lagi dengan persaudaraan sesama Islam. Maka tidak hairan jika ramai daripada kita mempunyai tali ikatan persaudaraan. Sehingga datanglah bangsa penjajah yang bernama Inggeris dan Belanda ke nusantara.

Ironinya, jika dilihat oleh bangsa Malaysia keseluruhannya kita tidak merasakan British itu adalah penjajah yang merogol kehormatan dan merompak segala hasil khazanah bumi tercinta ini. Biarpun tidak sedikit pejuang bangsa yang gugur tetapi ia ternyata hanya dipandang sepi oleh golongan muda pada hari ini. British dipandang sebagai wira yang memberikan kemerdekaan dan begitu 'baik hati' menyerahkan kembali negara ini kepada kita.

Kini kita begitu mencintai mereka melalui pasukan Manchester United, liverpool, chelsea, arsenal dan lain-lain. Tiada imbasan sejarah silam, yang tinggal hanyalah kecintaan semata-mata. Kerana pasukan-pasukan ini juga kita sanggup bermasam muka rakan-rakan musuh pasukan kita, juga sudah biasa pelbagai sindiran dikeluarkan.

Begitulah jua apa yang berlaku di antara Malaysia - Indonesia hari ini. Kerana termakan dengan fitnah-fitnah yang diatur oleh pihak-pihak tertentu, Malaysia dan Indonesia menjadi negara musuh yang saling benci-membenci. Jarak yang dekat kini kelihatan begitu jauh seolah-olah terpisah oleh satu benua yang jauh.

Kebencian ini begitu meluap-luap. Ia terus diluahkan walaupun pada masa kini indonesia berada dalam suasana yang payah. Walaupun baru sahaja ditimpa malapetaka, rakyat Indonesia tidak melepaskan peluang untuk melemparkan kemarahan kepada pasukan bantuan dari Malaysia. Batu-batu dilemparkan ke arah helikopter pasukan tentera Malaysia hanyalah setitis rentetan kebencian mereka. Mungkin kita tidak merasakan bahangnya kerana media kita begitu bijak menyembunyikan hakikat sebenar tetapi berbeza dengan mereka.

Betapa kita tidak dapat membayangkan sejauh manakah dalamnya kebencian mereka kepada kita yang ditanamkan oleh pihak-pihak berkepentingan di sana. Dalam keadaan ditimpa musibah sedemikian hebat pun mereka masih berupaya meluahkan kebencian mereka kepada kita.

Ianya bukan sesuatu yang terjadi dengan sendiri, tetapi disusun dengan penuh teliti oleh golongan-golongan yang mempunyai kepentingan. Hasil daripada pecah dan perintah ini serta tingginya nilai kebencian semakin tinggilah peluang keuntungan yang diperolehi.

Kerajaan Malaysia seharusnya memainkan peranan yang sepatutnya dan rakyat perlu didedahkan akan situasi yang sebenarnya. Ternyata kesan daripada peristiwa ini, tidak kelihatan langsung satu kemungkinan bahawa empayar nusantara ini bercantum kembali dan didaulatkan. Setiap pemerintah mempunyai kepentingan masing- masing dan sebarang usaha penyatuan kembali adalah mustahil. mungkinkah daulat Islam akan kembali tertegak di nusantara ini? Hanya masa yang dapat menjawabnya.




Thursday, October 1, 2009

Kita Kekurangan Pemimpin

Nampaknya krisis kepimpinan di negara ini semakin kritikal. Semakin kekurangan pemimpin yang berkaliber. Mungkin ada tersorok di celah-celah pohon kelapa sawit. Atau mungkin juga disorok di celah-celah kampung. Namun, dalam Islam sudah ada garis-garis panduan bagaimana memilih pemimpin. Pemimpin mana yang kita inginkan.

Pemimpin ini tanggungjawab yang terpikul di bahunya sungguh besar. Andai ajaran dan perlakuannya menjadi ikutan mereka-mereka yang dibawahnya, maka besarlah pahala yang diperolehinya. Dan ketahuilah doa pemimpin yang amanah itu antara doa-doa yang mudah dimakbulkan Allah. Namun jika sebaliknya yang berlaku, yang mana pemimpin itu memberikan contoh yang buruk dan akhlaknya juga buruk lalu menjadi ikutan mereka-mereka yang dibawahnya, maka besarlah juga noda dan dosa malah bahananya juga besar.

Pertandingan itu sesuatu yang sihat. Begitu juga dengan pilihanraya. Apabila berlaku pilihanraya maka pihak-pihak yang terlibat akan mengemukakan calon yang difikirkan terbaik. Namun, kriteria terbaik itu adalah subjektif. Terbaik pada satu pihak, mungkin berbeza pada pihak yang satu lagi. Di sini kepentingan pemimpin kepada rakyat juga sesuatu yang subjektif. Satu pihak mungkin memikirkan bahawa pembangunan semata-mata itulah yang perlu ditunjukkan kepada rakyat, Berjaya membawa pembangunan bermakna dia sudah berjaya sebagai pemimpin.

Bagaimana pula pemimpin dari segi spiritual dan memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam. Menentang penyelewengan, penghalang kezaliman, pembela yang lemah dan pembantu kepada mereka yang dizalimi. Adakah ini yang menjadi pilihan rakyat selama ini? Atau itu sudah dikesampingkan lama ke tepi kerana perkiraan dan titik ukurnya adalah material semata-mata.

Lalu apakah rasionalnya memilih seorang pemimpin yang sudah terkenal rasuah seantero negara? Adakah kerana beliau sudah bertaubat dengan taubat nasuha? Atau adakah kerana ramai rakyat di kawasan itu suka kepadanya? Atau peratus kemenangan akan bertambah dengan terpilihnya beliau menjadi calon?

Adakah tergamak tangan yang memangkah seorang yang telah dicop pada dahinya perkataan rasuah menjadi seorang pemimpin. Sesungguhnya hubungan pemimpin dan orang yang dipimpin itu akan kekal sehingga ke akhirat. Maka pemimpin jenis apakah yang dipilih oleh kita apabila memangkah? Adakah pemimpin yang membawa kita ke syurga atau yang membawa kita ke neraka?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails