Thursday, October 1, 2009

Kita Kekurangan Pemimpin

Nampaknya krisis kepimpinan di negara ini semakin kritikal. Semakin kekurangan pemimpin yang berkaliber. Mungkin ada tersorok di celah-celah pohon kelapa sawit. Atau mungkin juga disorok di celah-celah kampung. Namun, dalam Islam sudah ada garis-garis panduan bagaimana memilih pemimpin. Pemimpin mana yang kita inginkan.

Pemimpin ini tanggungjawab yang terpikul di bahunya sungguh besar. Andai ajaran dan perlakuannya menjadi ikutan mereka-mereka yang dibawahnya, maka besarlah pahala yang diperolehinya. Dan ketahuilah doa pemimpin yang amanah itu antara doa-doa yang mudah dimakbulkan Allah. Namun jika sebaliknya yang berlaku, yang mana pemimpin itu memberikan contoh yang buruk dan akhlaknya juga buruk lalu menjadi ikutan mereka-mereka yang dibawahnya, maka besarlah juga noda dan dosa malah bahananya juga besar.

Pertandingan itu sesuatu yang sihat. Begitu juga dengan pilihanraya. Apabila berlaku pilihanraya maka pihak-pihak yang terlibat akan mengemukakan calon yang difikirkan terbaik. Namun, kriteria terbaik itu adalah subjektif. Terbaik pada satu pihak, mungkin berbeza pada pihak yang satu lagi. Di sini kepentingan pemimpin kepada rakyat juga sesuatu yang subjektif. Satu pihak mungkin memikirkan bahawa pembangunan semata-mata itulah yang perlu ditunjukkan kepada rakyat, Berjaya membawa pembangunan bermakna dia sudah berjaya sebagai pemimpin.

Bagaimana pula pemimpin dari segi spiritual dan memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam. Menentang penyelewengan, penghalang kezaliman, pembela yang lemah dan pembantu kepada mereka yang dizalimi. Adakah ini yang menjadi pilihan rakyat selama ini? Atau itu sudah dikesampingkan lama ke tepi kerana perkiraan dan titik ukurnya adalah material semata-mata.

Lalu apakah rasionalnya memilih seorang pemimpin yang sudah terkenal rasuah seantero negara? Adakah kerana beliau sudah bertaubat dengan taubat nasuha? Atau adakah kerana ramai rakyat di kawasan itu suka kepadanya? Atau peratus kemenangan akan bertambah dengan terpilihnya beliau menjadi calon?

Adakah tergamak tangan yang memangkah seorang yang telah dicop pada dahinya perkataan rasuah menjadi seorang pemimpin. Sesungguhnya hubungan pemimpin dan orang yang dipimpin itu akan kekal sehingga ke akhirat. Maka pemimpin jenis apakah yang dipilih oleh kita apabila memangkah? Adakah pemimpin yang membawa kita ke syurga atau yang membawa kita ke neraka?

1 comment:

Kak Seri said...

Sesuatu yang tak dapat kita nafikan adalah dunia ini semakin menuju akhir zaman, telah nyata dan jelas kerana dunia ini akan dipenuhi oleh pemimpin - pemimpin yang fasik, bencana alam bertali arus dan tanda-tanda kekuasaan Allah S.W.T semakin banyak kita lihat bagi mereka yang benar-benar MELIHAT.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails