Thursday, October 8, 2009

Sengketa Malaysia - Indonesia : siapa yang untung?

Apa yang berbeza di antara Malaysia dan Indonesia? Dari segi sejarahnya, keduanya adalah berasal dari rumpun bangsa yang sama. Bangsa Melayu yang bersatu di alam nusantara atau juga dikenali sebagai Jawi. Tiada beza antara kita. Dari segi bahasa, budaya dan agama juga langsung serupa. Rupa paras pun tidak jauh bezanya.

Pendek kata kita dan mereka bersaudara. Apalagi atas dasar rumpun Melayu yang suatu masa dulu begitu perkasa di nusantara. Dikuatkan lagi dengan persaudaraan sesama Islam. Maka tidak hairan jika ramai daripada kita mempunyai tali ikatan persaudaraan. Sehingga datanglah bangsa penjajah yang bernama Inggeris dan Belanda ke nusantara.

Ironinya, jika dilihat oleh bangsa Malaysia keseluruhannya kita tidak merasakan British itu adalah penjajah yang merogol kehormatan dan merompak segala hasil khazanah bumi tercinta ini. Biarpun tidak sedikit pejuang bangsa yang gugur tetapi ia ternyata hanya dipandang sepi oleh golongan muda pada hari ini. British dipandang sebagai wira yang memberikan kemerdekaan dan begitu 'baik hati' menyerahkan kembali negara ini kepada kita.

Kini kita begitu mencintai mereka melalui pasukan Manchester United, liverpool, chelsea, arsenal dan lain-lain. Tiada imbasan sejarah silam, yang tinggal hanyalah kecintaan semata-mata. Kerana pasukan-pasukan ini juga kita sanggup bermasam muka rakan-rakan musuh pasukan kita, juga sudah biasa pelbagai sindiran dikeluarkan.

Begitulah jua apa yang berlaku di antara Malaysia - Indonesia hari ini. Kerana termakan dengan fitnah-fitnah yang diatur oleh pihak-pihak tertentu, Malaysia dan Indonesia menjadi negara musuh yang saling benci-membenci. Jarak yang dekat kini kelihatan begitu jauh seolah-olah terpisah oleh satu benua yang jauh.

Kebencian ini begitu meluap-luap. Ia terus diluahkan walaupun pada masa kini indonesia berada dalam suasana yang payah. Walaupun baru sahaja ditimpa malapetaka, rakyat Indonesia tidak melepaskan peluang untuk melemparkan kemarahan kepada pasukan bantuan dari Malaysia. Batu-batu dilemparkan ke arah helikopter pasukan tentera Malaysia hanyalah setitis rentetan kebencian mereka. Mungkin kita tidak merasakan bahangnya kerana media kita begitu bijak menyembunyikan hakikat sebenar tetapi berbeza dengan mereka.

Betapa kita tidak dapat membayangkan sejauh manakah dalamnya kebencian mereka kepada kita yang ditanamkan oleh pihak-pihak berkepentingan di sana. Dalam keadaan ditimpa musibah sedemikian hebat pun mereka masih berupaya meluahkan kebencian mereka kepada kita.

Ianya bukan sesuatu yang terjadi dengan sendiri, tetapi disusun dengan penuh teliti oleh golongan-golongan yang mempunyai kepentingan. Hasil daripada pecah dan perintah ini serta tingginya nilai kebencian semakin tinggilah peluang keuntungan yang diperolehi.

Kerajaan Malaysia seharusnya memainkan peranan yang sepatutnya dan rakyat perlu didedahkan akan situasi yang sebenarnya. Ternyata kesan daripada peristiwa ini, tidak kelihatan langsung satu kemungkinan bahawa empayar nusantara ini bercantum kembali dan didaulatkan. Setiap pemerintah mempunyai kepentingan masing- masing dan sebarang usaha penyatuan kembali adalah mustahil. mungkinkah daulat Islam akan kembali tertegak di nusantara ini? Hanya masa yang dapat menjawabnya.




No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails