Thursday, July 30, 2009

Kuasa Media


Salam Jumaat untuk sekalian pembaca di luar sana. Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan penuh dengan keberkatan. Hari yang tidak akan terjadinya kiama kecuali pada hari Jumaat. Hari yang dituntut oleh kita untuk menumpukan diri kepada amal ibadat untuk akhirat, tetapi dek angkara kejahilan kita dan peranan musuh-musuh Islam, kita disibukkan dengan pelbagai urusan pada hari ini. Cuti kebanyakan negeri pada hari Jumaat juga ditukar kepada hari Ahad. Begitulah pandainya kita dalam menyiapkan diri kita menuju hari mati.

Hari ini masyarakat kita sudah jadi moden. Hebat sangat sehingga banyak kampung dah jadi bandar. Bandaraya pula dipenuhi oleh bangunan-bangunan yang tinggi-tinggi. Maka senyum panjanglah pemimpin-pemimpin kita apabila dipuji akan perihal betapa negara kita yang begitu maju. Sehingga benda-benda lain yang tak sepatutnya begitu maju turut maju sekali. Perihal dadah, pelacuran, jenayah dan lain-lain begitu maju. Sehingga pergi siasat dengan badan kerajaan boleh dihumban ke bawah begitu sahaja. Senang cerita, jadi tak payah siasat-siasat. Maka begitulah gambaran kemajuan kita.

Sekarang yang paling gempar pasal berita Kosmo mengorek balik kisah silam Yasmin Ahmad. Maka marah sungguhlah Marina Mahathir kerana mengaibkan Yasmin Ahmad yang telah meninggal dunia. Namun saya bukan nak mengulas perihal Marina marah dan kerana makhluk hina (istilah yang digunakan oleh Marina Mahathir terhadap kosmo). Tetapi yang saya ingin tarik perhatian kita adalah peranan media di dalam masyarakat kita pada hari ini.

Sengaja saya tulis lambat sikit isu ini pasal tak mahu menambah kecoh yang dah sedia ada. Kosmo pun hari ini dah minta maaf. Yalah, boleh sahaja minta maaf kepada orang hidup, tapi macam mana pula nak minta maaf kepada orang mati ye tak? Pasalnya kita dah terlampau bertamadun kononnya dan moden sangat sehingga dah tak peduli mana yang halal, mana yang haram. Mana dosa mana pahala. Yang penting bagi kita - ongkos pastinya.

Di sini bolehlah kita melihat peranan media dalam masyarakat kita yang begitu besar sekali. Saya setengah bersetuju dengan Marina Mahathir dalam perkara ini. Sebelum ini beliau begitu lantang memperjuangkan apa yang dikatakan oleh beliau kebebasan bersuara. Bebas sangat bersuara sehingga apa sahaja yang beliau rasa betul beliau utarakan. Kalau tak nak kena AIDS, boleh sahaja pakai k0ndom perisa durian, strawberry, oren dan lain-lain. Siap boleh sponsor free lagi. Bukan pemuda-pemudi disuruh jauhkan zina tapi gunakan kondom? Masya Allah!

Bila golongan artis kena tangkap kerana mabuk di kelab malam bernama Zouk, Marina lah antara tokoh yang begitu lantang mempertahankan tindakan artis tersebut. Lalu dikeluarkanlah artikel di dalam surat khabar mengapa mesti menghalang anak-anak gadis kita dari keluar malam. Mereka juga ingin bersosial, bebas bergaul dengan kawan-kawan. Jangan disekat kebebasan mereka nanti mereka memberontak. Sekali lagi media yang digunakan.

Tapi apabila kosmo mendedahkan kisah silam Yasmin Ahmad, tiba-tiba Marina melenting. Jangan salah faham, saya juga tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Tetapi mengapa mesti ada double standard dalam hal ini. Jika Marina sendiri sewenang-wenangnya menggunakan media untuk mengemukakan idea yang dirasakan bernas walau bertentangan dengan Islam sekalipun, tetapi apa berkaitan dengan perkara ini Marina melenting pula. Lalu bentuk bagaimana kebebasan media yang diingini oleh Marina sebenarnya?

Kebebasan media dalam definasi diri sendiri yang mana kalau kita rasa selari dengan pemikiran kita - kita terima dan yang tak selari dengan pemikiran kita - kita tolak. Atau gunakan Islam sebagai garis panduan. Atau menggunakan pemikiran liberal sebagai panduan. Atau menggunakan konsep pemikiran komunis dan bisa sahaja bentuk pemikiran sekular sebagai garis panduan.

Sedarlah wahai saudara-saudaraku. Di atas media itu ada pemilik-pemilik mereka. Dan mereka jauh sekali dari berusaha untuk membentuk kita atau masyarakat berfikir secara rasional. Sebabnya? Mereka akan memanipulasikan media untuk membentuk pemikiran masyarakat berfikir mengikut cara mereka ingin masyarakat berfikir. Pemikiran kelas C? Mereka tidak peduli. Asalkan masyarakat dapat diacu dan dibentuk mengikut apa yang mereka kehendaki. Contoh terdekat? Utusan Malaysia, Mangga?

Dalam konteks Malaysia kita boleh melihat perkara ini sedikit kecil. Namun dari kacamata dunia, siapa yang menguasai media dia akan menguasai dunia. Kerana? Masyarakat menerima media sebagai satu alat untuk maklumat, hiburan dan seribu satu jenis dan fungsi. Lalu apa mungkin tidak satu bentuk manipulasi baru ke atas masyarakat dunia pada hari ini. Belum percaya?

Lihatlah sekeliling kita. Apa yang remaja-remaja kita ikut. Berdasarkan daripada apa yang dilihat di dalam tv, radio dan suratkhabar. Andai kata perkara ini diputuskan dari mereka, bisa sahaja mereka hidup dalam kegelapan. Bukan remaja sahaja, ibu bapa tidak terkecuali. Bayangkan diri anda tanpa radio, televisyen dan suratkhabar? Agak mustahil bukan. Lalu apakah mustahil juga akan sedang di manipulasi oleh satu pihak/orang/kuasa dengan menggunakan media?

Persoalan ini agak rumit untuk dibincangkan. Namun sesuatu yang amat besar sedang berlaku di luar sana. Ada perkara besar? Agak sukar untuk anda mengetahuinya kerana anda sedang diulit dengan media-media ini. Hiburan, cara hidup, cara berfikir, rasa dan perasaan anda semuanya dikuasai oleh media ini.

Apa yang saya mengarut ini? Mungkin pada masa ini agak mengarut, tetapi saya akan cuba untuk membuat sedikit pendedahan pada masa yang akan datang. Ia adalah suatu perkara yang besar dalam dunia moden pada hari ini. Tetapi kerana kita sedang memanipulasi, kita langsung tidak menyedarinya. Sedikit-demi sedikit kita dimanipulasi sehingga seluruh kehidupan kita bergantung kepadanya.

Monday, July 27, 2009

Menginsafi Sejarah!

Mempelajari dan menjejaki kembali nilai-nilai sejarah bukanlah satu perkara yang mudah. Sejarah juga bukanlah satu subjek yang diminati ramai orang. Kebanyakan orang akan mengeluh apabila ditanya mengenai sejarah. Susah nak ingat tarikh, nak ingat nama, nak ingat tempat. Kalau kat sekolah pun sama macam tu, lagi-lagilah kalau masyarakat kita yang dah terlepas dari sekolah. Jauh sekali nak belajar dan kaji balik sejarah.

Akibatnya sejarah bukanlah satu benda yang diambil berat dan menjadi perhatian masyarakat kita. Terutama dalam keadaan masyarakat yang mengejar kebendaan dewasa ini, ia lagilah tercicir. Tapi sesungguhnya kita terlupa, siapa yang menguasai sejarah dia menguasai dunia. Bangsa yang tidak kenal sejarah bangsanya, akan hilang kekuatan dan akan lupus seperti masyarakat Red Indian di Amerika suatu masa dahulu.

Sejarah diambil mudah oleh kita, tetapi bukanlah sesetengah orang yang mempunyai kepentingan tersendiri. Siapa yang menang, sejarah akan ditulis mengikut acuannya. Tanpa kesedaran, ia tidak akan dicungkil dan diambil manfaat oleh generasi yang akan datang. Malangnya, ramai yang tahu sejarah akan berulang kembali, tetapi tidak ramai yang mahu mengambil manfaat darinya.

Kawang ingin berkongsi sedikit pengalaman apabila belajar dan mengumpul maklumat pasal sejarah. Mengkaji hanya sedikit-sedikit kerana keupayaan kawan sedikit terbatas. Tapi walaupun dengan kekangan-kekangan yang ada, kawang masih lagi terjumpa beberapa penemuan yang mengejutkan dan bisa mengetuk benak kepala otak kawang sampai benak.

Mungkin kita berfikir kenapa sejarah bangsa Melayu dan Nusantara ini, hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan? Adakah ia satu kebetulan atau ia merupakan satu perancangan teliti yang disengajakan? Daripada siri mengenal melayu yang kawan kongsikan sebelum ini kita mengetahui bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa terhebat di nusantara ini dan dikenali di seluruh dunia. Nusantara dan Melayu adalah rumpun yang besar dan bersaudara, tanpa sempadan, tiada Indonesia, Malaysia, Brunei, Sabah, Sarawak, Fathani dan lain-lain.

Agak-agaknya mengapalah sejarah kita yang hebat ini hilang dan lenyap begitu sahaja ya? Pernah dengan pasal Freemason? Agak-agak sejauh mana peranan Freemason ini dalam negara kita ya? Masyarakat kita? Dunia ini?

Siapa Stamford Raffles? Siapa Munsyi Abdullah? Kenapa Singapura dikatakan dibuka oleh Rafles padahal Parameswara pernah singgah di Singapura? Pasal Parameswara singgah tu tiada penghuni ke ? Cerita Singapura dilanggar todak itu agak-agak zaman bila ya?

Kita pasti pernah terdengar Munsyi Abdullah menjadi penterjemah Raffles apabila berkomunikasi dengan orang Melayu. Jasanya bukan setakat itu sahaja malah sampai sanggup menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa Melayu. Agak-agak tergamak tak seorang Islam menulis kitab terjemahan Bible yang pastinya digunakan untuk mengkristianisasikan orang Melayu pada masa itu?

Pernah terdengar cerita bahawa Raffles mengumpulkan segala khazanah dan kitab-kitab Melayu sebanyak 3 buah kapal. Lalu dikatakan kapal itu telah karam sewaktu belayar? Agak-agak betul tak? Karam atau tidak, kita kehilangan segala khazanah yang berharga dan maklumat mengenai bangsa kita. Bagaimana jika dikatakan Raffles itu juga seorang Freemason ? Lalu Freemason ini bekerja untuk siapa?

Banyak persoalan yang misteri dan tersembunyi yang perlu kita cari. Banyak sangat yang kita korek kerana ia signifikan dengan kita. Bangsa kita. Maruah kita. Atau itu tidak penting bagi kita? Nanti kita korek lagi misteri-misteri ini yang tersembunyi dan diselewengkan dari sejarah kita. Ingat Turki? Kerajaan Turki Othmanniyyah? Ada apa-apa kaitan kerajaan Nusantara dengan kerajaan Turki? Tak apa. Nanti kita tengok persamaan taktik yang digunakan oleh Mustaffa Kamal selepas berjaya menjatuhkan khalifah dengan apa yang terjadi kepada negara kita. Tunggu...




Tuesday, July 21, 2009

Menghayati Isra' dan Mikraj - 2

Sambungan dari Menghayati Isra' dan Mikraj - 1.

6) Allah telah menunjukkan kepada nabi segala amal dan balasan setiap kegiatan manusia di dunia

Ketahuilah olehmu, setiap saat dan detik segala perlakuanmu akan dihisab dan dihitung. Di hadapan makhamah Allah yang adil. Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan segala nikmat Allah tanpa menghiraukan batas dan dosa. Mata, mulut, telinga, tangan, kaki dan lain-lainnya merupakan amanah Allah yang akan menjadi saksi kepada setiap perbuatan kita.

Antara balasan yang ditunjukkan oleh Allah adalah balasan terhadap orang yang meninggalkan solat, orang yang mengamalkan riba, orang yang merebut jawatan dan lain-lain lagi. Ingatlah bahawa seluruh kegiatan manusia di muka bumi akan dibayar di akhirat. Segala sesuatu yang dibuat akan sampai di Padang Masyhar. Jadi berhati-hatilah dengan segala amal dan perbuatan kita, sesungguhnya dua malaikat di kiri kanan kita tidak pernah letih dari menulis apa yang kita buat.

7) Pengajaran Peristiwa Masyitah : akidah yang perlu dipertahankan walaupun dengan nyawa
Kita adalah manusia yang terlupa dan terleka. Lupa bahawa nikmat Islam dan Iman yang dianugerahkan kepada kita adalah sebesar-besar nikmat yang dianugerahkan oleh Allah. Dengan nikmat Islam dan Iman inilah kita berupaya meraih rahmat dan kasih sayang Allah. Seterusnya kita berpeluang untuk masuk ke syurga yang disediakan oleh Allah? Atau kita sanggup untuk menjadi bahan bakar api neraka untuk selama-lamanya?

Akidah merupakan perkara paling penting dan mahal dalam hidup kita. Ia merupakan satu perkara yang wajib dipertahankan. Pernahkah kita terfikir bagaimana akidah kita, anak-anak kita dan cucu-cucu kita nanti? Oleh itu berjaga-jagalah dengan perkara yang boleh menyebabkan terbatalnya akidah kita yang menyebabkan kematian kita hanyalah sebuah kematian yang sia-sia sahaja.

Peristiwa ini ditunjukkan kepada Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam dengan peristiwa seekor lembu besar
yang keluar dari sebuah lubang dan selepas itu gagal untuk masuk kembali ke dalam lubang tersebut. Ia membawa kepada simbolik bagi menjaga mulut kita supaya jangan sampai terbatal akidah disebabkan olehnya.

8) Di dalam syurga ramai orang yang miskin. Nabi tidak menyebut tentang orang kaya. Yang nyatanya majoriti penghuni syurga adalah orang misikin.

Jangan disalahertikan hakikat peristiwa ini. Dalam hal ini orang miskin yang disebutkan terbahagi kepada dua iaitu :-
i) Orang yang sanggup hidup miskin atau sederhana asalkan tidak melanggar perintah Allah. Mereka juga tidak melakukan perkara yang melanggar hukum Allah untuk hidup mewah.
ii)
Orang yang kaya tetapi segala hartanya habis dibelanjakan untuk Islam seperti sahabat-sahabat Nabi seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Omar, Osman, Ali, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain.

Orang yang mempunyai harta tetapi tidak digunakan bagi menyelamatkan dirinya daripada api neraka adalah orang yg rugi. Sejarah juga membuktikan bahawa
orang miskinlah yang biasa bersama rasul dan nabi-nabi. Orang kaya kebanyakkannya berada bersama Firaun dan Qarun.

Infa
qkanlah harta yang dimiliki untuk Islam. Hidup sederhana dan miskin menyebabkan ruang untuk buat perkara yang mungkar menjadi kecil. Tetapi ia tidak bermakna Islam mengalakkan kemiskinan. Harta yang diperolehi juga perlu disemak kembali samada dimiliki dari sumber yang halal atau sebaliknya. Yang terbaik bagi umat Islam adalah hidup sederhana. Walaupun mempunyai harta mereka tidak kedekut untuk mengorbankan harta mereka demi agama. Orang yang kaya dan berpangkat besar jarang sekali kelihatan di masjid.
(Catatan - hasil daripada perbincangan bersama-sama sahabat suasana ini agak kontra dengan masyarakat kota. Kebanyakan yang lupa dan tidak ingin ke masjid adalah mereka-mereka yang berada di rumah-rumah kos rendah atau pangsa, sementara yang sibuk ke masjid adalah golongan-golongan yang kaya)

9)
Nabi mengingatkan bahawa di dalam neraka yang paling ramai adalah wanita

Ini
bukanlah kerana mereka bilangan mereka lebih ramai dari lelaki tetapi adalah kerana kekufuran yang dilakukan oleh kaum wanita. Kebanyakan golongan wanita tidak cukup mendapatkan ilmu Islam. Jika dilihat di masjid, tidak ramai wanita yang datang untuk berjemaah dan mengikuti majlis ilmu.

i) Dalam hal ini suami wajib memberikan isteri mereka ilmu agama. Berkongsilah ilmu yang diperolehi kepada mereka. Bawalah sekali anak-anak dan isteri ke masjid jika mampu. Jika tidak mampu, isteri boleh keluar untuk mencari ilmu.

ii) sudut perintah Allah

lelaki dapat menutup aurat dengan sempurna, perempuan jarang yang dapat menutup aurat dengan sempurna.

ii) terpengaruh

lelaki jarang dipengaruhi oleh televisyen rencana Yahudi dan Nasrani. Wanita lebih mudah terutamanya apabila hanya menonton televisyen di rumah.

10) Meletakkan satu tanggungjawab untuk membina negara Islam

Ini kerana segala peristiwa yang berlaku di dalam Israk dan mikraj tidak dapat dilaksanakan kecuali melalui sistem islam.

Cth : riba hanya boleh dihapuskan dengan sistem islam

Semasa dalam peristiwa israk nabi diarahkan oleh Jibril untuk solat di suatu tempat iaitu Yathrib. Di situlah Nabi diberitahu tempat nabi akan berhijrah dan mendirikan sebuah negera Islam.

Monday, July 20, 2009

Menghayati Isra' dan Mikraj - 1

Hari ini kawang ingin berkongsi sedikit tazkirah hasil daripada catatan ringkas Israk dan Mikraj oleh Yang Berbahagia Ustaz Tarmidzi Abdul Rahman di Teluk Intan. Kawang begitu tertarik dengan isi ceramah yang disampaikan kerana ia menceritakan persoalan dan falsafah perjalanan Nabi pada malam Israk dan Mikraj. Kita sering berulangkali mendengar bagaimana perjalanan Israk dan Mikraj nabi tetapi jarang meneliti pengajaran dan simbolik daripada perjalanan ini. Semoga kita mendapat manfaat sedikit sebanyak daripada perkongsian ini.

Perlu ditegaskan bahawa perjalanan Israk dan Mikraj merupakan satu persoalan akidah yang wajib diiktikadkan oleh umat Islam.Ia merupakan perkara yang wajib diimani oleh seluruh umat Islam. Kedua-dua peristiwa Israk (perjalanan dari Masjidil Haram ke Baitul Maqdis) dan Mikraj (Baitul Maqdis ke Sidrotul Muntaha) perlu diterima. Kita tidak boleh menerima satu peristiwa dan menolak peristiwa yang lainnya.

Kebelakangan ini kedengaran banyak suara-suara sumbang yang mempersoalkan perjalanan Israk dan Mikraj ini. Logik akal telah menguasai umat kini. Apa yang tidak kedengaran logik kepada akal ditolak. Perlu dipertegaskan bahawa perjalanan Nabi adalah melalui roh dan jasad sekali. Keraguan terhadap peristiwa ini boleh menyebabkan terbatalnya iman.

Dari satu sudut pengajaran yang tersirat adalah :-

i)
Hadis Nabi :


"Kalaulah kamu dapat melihat apa yang aku lihat, hidup kamu akan berubah daripada ketawa sedikit kepada menangis banyak."

- Ia adalah antara ucapan pertama yang diberitahu kepada sahabat selepas daripada peristiwa Israk dan Mikraj. Ia menunjukkan betapa pentingnya apa yang diberitahu oleh Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam tentang hal ini. Ia perlu dihayati dan kita perlu menghisab diri kita.

- Kita setiap hari akan ketawa, namun ketawa itu janganlah sampai melampaui batas kerana banyak ketawa itu mematikan hati.

- Hidup kita perlu berubah. Berapa kali dalam hidup kita, kita menangis kerana berasa gerun dan takut akan Allah. Juga menangis kerana risau akan apa yang menanti kita di kubu, titian sirat, padang Masyhar dan akhirat nanti. Betapa diri kita ini terlalu banyak dosa dan penderhakaan kepada Allah.
- Mungkin kita tidak pernah menyedari bahawa tangisan jenis ini tidak pernah ada dalam hidup kita. Malah mungkin kita tidak pernah menangis sekalipun apabila didengarkan dengan ayat-ayat Allah. Malah jarang sekali kita mendengar ayat-ayat Allah di radio, sudah pasti ditukarkan dengan lagu-lagu hiburan yang terkini.
- Orang-orang yang beriman hanya ketawa besar pada hari akhirat nanti apabila mereka mendapat suratan amalan pada tangan kanan. Pada masa itulah mereka kembali kepada keluarga mereka dan bergelak ketawa kerana telah mendapat kemenangan yang besar.
- Orang yang tidak beriman sudah ketawa besar di dunia. Oleh itu tiada apa lagi yang tinggal kepada mereka di akhirat nanti.
- Adakah kita pernah menangis di dalam solat, apabila ayat Al-Quran dibacakan kepada kita. Ini menunjukkan betapa hati kita telah menjadi keras.
- Gunakanlah ramadhan yang mana ia merupakan bulan yang dipenuhi dengan tangisan oleh sahabat-sahabat Rasulullah Sallahualaih Wasalam.

2) Israk dan Mikraj merupakan suatu perjalanan untuk mengadap Allah S.w.t
- di dunia ini juga kita sedang dalam proses untuk menghadap Allah.
- Nikmat yang terbesar di akhirat adalah melihat zat Allah. Ia hanya boleh diperolehi oleh penghuni
syurga sahaja.
- Oleh itu apakah bekalan yang dibawa oleh kita semasa mengadap Allah nanti. Apakah telah siap
amalan dan bekalan dengan masa yang diberikan oleh Allah.
- Apakah persiapan kita terhadap akidah, syariat, perjuangan, anak yang soleh, ilmu yang
bermanfaat dan sebagainya.
- Sakit adalah merupakan peringatan dari Allah.
- Hidup ini perhentiannya adalah untuk menghadap Allah.
- Roh kita juga akan mengalami perjalanan yang dilakukan oleh nabi apabila sampai masanya.
Dengan diuruskan oleh malaikat, roh kita akan naik ke langit pertama sehinggalah ke -7.

3) Perjalanan dimulakan dengan proses pembersihan hati terlebih dahulu.

Semasa nabi di Baitullah, dada nabi telah dibelah dan diisi dengan 3 perkara: ilmu, iman dan hikmah. Ia merupakan perkara yang menjadi mukjizat nabi. Begitu juga dengan kita, sebelum memulakan perjalanan, proses pembersihan hati perlu dilakukan terlebih dahulu. Di sinilah kita perlu mengetahui cara dan kaedah pembersihan hati. Untuk menghadap Allah, perlu kembali dengan hati yang bersih.

i) pembersihan akidah

Bersih dari syirik, kufur, munafik dan nifa’ serta perkara-perkara yang membatalkan iman, syahadah, islam dan akidah.

ii) Pembersihan diri dari dosa-dosa besar dan kecil(pembersihan syariah).

Dosa besar memerlukan kepada taubat nasuha, sementara dosa kecil dengan istighfar.

iii) Pembersihan akhlak/ tasawwuf

membersihkan diri dari sifat-sifat nafsu mazmumah – takabur, ujub dan riak

menanamkan sifat-sifat mahmudah

tidak akan masuk syurga jika kita masih memiliki sifat takabur walau sebesar zarah

(Tambahan) Akhir-akhir ini kita mendengar banyak-banyak perkara sumbang yang menolak thariqah dan tassawuf ini. Ini kerana banyak Tariqah yang dikatakan sesat walhal banyak tariqah yang muktabar masih lagi terdapat di luar sana. Rujuklah kepada alim ulama kita. Janganlah kita tergolong orang yang rugi dan buta hati dan hanya menyedari kerugian tersebut setelah kita mati.

4) Perjalanan Rasulullah dihalang/ dikacau serta cuba disesatkan dari 4 penjuru. Melalui 4 peristiwa berikut:

i) Syaitan yang mengejar dari arah belakang bersama obor api

ii) Wanita cantik dengan tubuh yang dibalut dengan perhiasan dari hadapan (dunia dan isinya – harta, pangkat, jawatan)

iii) Suara dari sebelah kanan (Yahudi)

iv) Suara dari sebelah kiri (Nasrani)

Nabi dikepong daripada 4 penjuru. Depan, belakang, kiri dan kanan. Begitu juga perjalanan hidup kita ini untuk menuju ke jalan yang lurus. Namun, dalam perjalanan itu kita dikepong dari 4 penjuru. Syaitan yang menjadi musuh nyata kepada manusia sentiasa mencari peluang setiap masa dan ketika untuk menyesatkan kita. Ia sentiasa berbisik kepada hati dan nafsu untuk mengalakkan kita melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah.

Dunia pula merupakan sebuah tempat yang indah dan cantik. Ia sentiasa menggoda kita untuk mencintainya dan melupakan akhirat yang merupakan tempat yang kekal dan abadi.

Hollywood, bollywood dan lain-lain hiburan pula merupakan media yang dikuasai oleh Yahudi yang berperanan besar menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar.


Persoalannya, adakah kita mempunyai ruang dan peluang untuk melepaskan diri daripada serangan 4 penjuru ini? Lalu hanya 2 penjuru yang tertinggal kepada kita untuk menyelamatkan dari serangan-serangan ini iaitu dari penjuru atas dan bawah.

Ia membawa maksud penjuru bawah adalah supaya kita sentiasa sujud dan mengingati Allah sentiasa. Dari bahagian atas pula kita perlu sentiasa mengangkat tangan memohon hidayah, doa dan keampunan daripada Allah. Semoga Allah membimbing kita ke jalan yang benar dan diredhainya.

5)
Perjalanan dimulakan dari dua tempat suci umat Islam iaitu Tanah Haram – Mekah dan Baitul Maqdis
Kita mengetahui bahawa Baitul Maqdis sedang dikuasai dan dijajah oleh kaum Yahudi Zionis dan wajib dibebaskan. Ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap umat Islam. Ini kerana ia merupakan sebuah tempat yang suci dan wajib dipelihara.
Nifsu Syaaban yang disambut umat Islam setiap tahun merupakan hari pertukaran kiblat dari Baitul Maqdis kepada Masjidil Haram. Walaupun demikian ia merupakan kiblat pertama umat Islam.

Cara untuk mengembalikan
Palestin adalah dengan memenangkan perjuangan Islam di setiap tempat. Dengan itu barulah khalifah Islamiah boleh diwujudkan kembali. Mahu atau tidak usaha dakwah ini perlu didukung oleh setiap umat Islam. Usaha untuk memenangkan Islam perlulah dipertingkatkan dan didokong oleh setiap umat Islam.


Simbolik bagi bendera Israel

Dua garisan pada bendera Israel merupakan sempadan dari Sg Nil sehingga sungai Qura’ dan Dajlah di Iraq.Ia merupakan perancangan besar Yahudi Zionis untuk membentuk sebuah negara Israel. Oleh itu, matlamat utama mereka adalah untuk menguasai seluruh negara Arab. Penjajahan Palestin kita hanyalah sebahagian usaha mereka untuk menguasai tempat yang lebih besar. Mahu tidak mahu umat Islam perlu berusaha untuk melahirkan Sallahuddin Al-Ayubi yang kedua. Dengan demikian, Israk dan Mikraj bukan sekadar cerita semata-mata tetapi memerlukan kepada pengamalan.

Wednesday, July 15, 2009

Madrasah Manik Urai

Pilihanraya kecil Manik Urai sudah berlalu. Keputusan sudah diketahui. Banyak pelajaran dan pengajaran yang boleh diperolehi dari dua parti ini - untuk mereka yang ingin mengambil pengajaran. Kepada yang tidak ingin mengambil pengajaran dan tetap keras 'keng' anda itu teruskanlah berbuat demikian. Moga-moga dengan sikap yang demikian akan terus menghanyutkan anda di alam syok sendiri yang dimitoskan oleh anda sendiri.

Melihat daripada sudut neutral seboleh mungkin rumusan yang boleh diperolehi daripada PRK Manik Urai :

Umno
- Tak pernah berubah dari dulu, kini dan selamanya. Sibuk cerita nak kembali kepada agama, tetapi senjata utama tetap pitih, pitih dan pitih.
- Taktik lapuk tetap digunakan. Tak kiralah secara terang atau tak terang TPM sendiri menawarkan tawaran rasuah kepada pengundi Manik Urai. Menang Umno dapat jambatan, kalau kalah maka macam biasalah. Semua kita sekat - royalti, peruntukan pusat. (Siapa suruh tak undi Umno kan kan kan?)
- Segala taktik dan harta benda kerajaan digunakan. Frasa kerajaan itu adalah Umno dan Umno itu adalah kerajaan tetap akan diguna pakai sampai bila-bila.
- Misteri beg hitam yang belum terbongkar memang bikin malu satu negara. Ini rupanya insan-insan yang mengaku Islam dan 1Malaysia rupanya.
- Media-media pencacai terus memainkan peranan mengampu masing-masing. Walaupun tekak rakyat dah muntah berbaldi-baldi, tak kisahlah. Janji teruskan menipu rakyat. Bilalah agaknya dia orang ni nak berubah.

PAS
- Dari awal-awal lagi dah over confident.
- Pengarah Pilihanraya berapa kali menipu secara terbuka. Habis difitnah Ustaz Nasa pasal 'malu mata' nak turun Kelantan. Padahal beliau dihalang dari masuk ke Kelantan. Tak kisahlah sokong ke tak UG, tapi hari itu cakap dah selesai macam mana boleh jadi macam tu?
- Kelantan dilocalise. Minta maaf - tapi sebab gelombang-gelombang riak dah mula menguasai Pas Kelantan, maka nyaris-nyaris kalah. Kenyataan Datuk Husam Musa pasal Umno guna politik wang tak boleh diguna pakai. Masa bila Umno lawan pilihanraya tak guna duit?
- Tang ni paling sensitif - TG Nik Aziz menghina Ustaz Nasa di khalayak ramai dan satu Malaysia tahu. Label 'sampah' itu agak keterlaluan. Di mana adab kita dalam berjemaah dan TG sendiri sebagai ulama? Adakah perlu kita memalukan seseoang itu sehingga satu Malaysia tahu? Sedangkan yang dimalukan itu Timbalan Presiden PAS sendiri.
- TG Haji Hadi sendiri dihalang dari turun ke Kelantan sehingga saat-saat terakhir. Mengapa? Pas Kelantan dah rasa kuat sangat ke? Apabila putusnya jemaah, macam mana pertolongan Allah nak sampai?

Macam-macam lagi. Tapi rasanya mesti ramai yang tak puas hati. Iyalah, kita kena pastikan Pas terus berpuak-puak ya tak? Pas Kelantan boleh ovewrite keputusan PAS pusat. Baru rock gitu. Selagi kita tuding jari dekat orang lain, selagi itu lah kita tak nampak kesalahan kita sendiri. Silap-silap PRU 13 semua negeri dapat balik kat Umno. Mustahil ke? Dah kalau Yang Atas nak macam tu siapa boleh halang. Jomlah hisab diri!


Betapa Hatiku Dihiris-Hiris Pedih!

Aku orang Terengganu. Mak asal dari Terengganu, Ayah pun asal dari Terengganu. Jadi pendek kata aku anak Terengganu jati. Betapa aku suatu masa dulu berasa bangga jadi anak Terengganu. Kerana Terengganu ada minyak dan Terengganu sahaja yang dinamakan dengan Darul Iman. Betapa maksudnya orang-orang Terengganu ini kebanyakkanya beriman! Meletakkan agama di depan!

Tapi aku sedih dan marah bila duit royalti itu tidak diagihkan seadilnya kepada rakyat-rakyat negeri Terengganu yang berhak. Dari zaman Wan Mokhtar dulu sehinggalah kini. Sebut sahaja Kuwait Malaysia, tapi bayang duitnya pun tak nampak. Kerajaan negeri buat duit tu macam mak bapak dia orang punya. Siapa sokong dia bagi, tak sokong boleh blah!

Lepas tu ditukar pula duit royalti jadi duit ehsan dan apa sahajalah. Tapi tak apalah esok-esok nanti dia orang telan lah duit tu kenyang-kenyang. Bila aku duduk KL, aku rasa KL ni sangat dasyhat. Kehidupan anak-anak muda dan remaja-remaja Melayu yang mana akhlak mereka hampir null. Tak dapat dibayangkan bangsa Melayu yang satu masa dahulu dipuji dan dipuja kerana akhlak mulia mereka hanya tinggal sejarah sahaja.

Tapi seingat aku, pemimpin-pemimpin sekarang tak pernah ambil peduli pun apa yang terjadi pada anak-anak muda zaman le nih. Rupa-rupanya perangai dia orang pun lagi boleh tahan dasyhat. Cuma macam biasalah, surat khabar dia orang baik punya 'cover'. Sesak dada dan nafas aku duduk kat KL apabila tengok budak-budak Melayu yang macam-macam peel dan ragam.

Jadi aku tanamkan azam untuk balik ke Terengganu dan didik anak-anak di sana. Dengan harapan Terengganu masih lagi 'suci' dan bebas daripada ancaman-ancaman yang melanda KL dan bandar-bandar besar lain. Namun, bila tengok video kat bawah ini hancur harapan aku. Begini ke rupa-rupa budak-budak perempuan Melayu Terengganu. Berjaya sungguh pendidikan ibu bapa kita sehingga air tin 'tiger' pun jadi biasa bagi mereka.



Ke mana aku nak sorokkan anak-anak aku daripada gejala-gejala negatif ini. Kiri, kanan, depan dan belakang penuh dengan fitnah. Apa yang ada dalam kepala budak-budak le ni nak jadi artis, penyanyi, pelakon, selebriti. Terima kasihlah kat media-media kita sekarang. Berjaya sungguh mendidik anak-anak dan generasi muda kita. Apa yang bermain dalam kepala aku, masih adakah sedikit ruang dan harapan untuk anak-anak kita ini terselamat akidah dan akhlak mereka? Harap-harap kita samalah fikirkan.


Tuesday, July 7, 2009

Apa Perasaan Kita?

Tidak dapat dinafikan negara kita sekarang dalam keadaan mesra politik? Sedikit dicuit suasana itu akan mengelegak dengan sendirinya. Sana politik sini politik. Sampai masanya kita terlupa terlalu banyak agenda yang lebih penting. Berpolitik tidak salah, tetapi janganlah sehingga melampaui batas yang telah ditetapkan agama.

Mari kita melihat satu realiti yang mengejutkan kita semua yang mana mungkin kita tidak terfikir selama ini. Saudara-saudara kita yang menghidapi HIV yang beragama Islam terpaksa menumpang di gereja? Dan ia bukan berlaku di negeri asing tetapi di negara kita sendiri. Ambillah masa untuk kita sama-sama berfikir bagaimana caranya untuk membantu dan mengeluarkan mereka daripada gereja ini.

Sumber : Ustaz Amin

Universiti Kehidupan 92 - Mereka Wajib Dikeluarkan

7 Julai 09, saya, Kak Liza, Mak Esah dan dua orang lagi hari ini ke gereja, tempat meletakkan pesakit HIV yang muslim ini.

Alhamdulillah, hari ini, dapat diusahakan untuk mengeluarkan seorang lagi pesakit dari gereja dan ditempatkan dirumah yang telah diusahakan.

Kami sampai lebih kurang pukul 12.30. Kebanyakkan penghuni waktu ini sedang tidur kerana kebiasaannya, mereka akan berehat setelah makan ubat.

Kami memasuki kawasan gereja. Hati saya tidak putus-putus mengharapakan terbaik dari Allah.

Sesampainya kami disana, kami disambut oleh Razak, salah seorang penghuni di sini. Dia memang suka berceloteh.

"Hah, ni kawan sorang ni, dah tahu nak keluar hari ini, pun tidur lagi kat atas" katanya.

Saya naik ke tingkat atas. Di katil-katil, saya melihat saudara seIslam kita sedang berehat.

Saya bersalaman dengan yang terjaga. Mereka melemparkan senyuman pada saya.

"Kenapa orang Islam belum membuat rumah perlindungan seperti ini di sini? Adakan terlalu susah, atau kita semua sedang sibukkan perkara lain hingga terlepas pandangan hal-hal besar seperti ini" bisik hati saya.

Di tingkat atas, saya merenung jauh ke kawasan belakang gereja ini. Di sana terdapat kebun orang menanam sayuran.

Adakah, sayur ketika ditanam, terus besar dan terus boleh dipetik?. Sudah tentu tidak, ketika ia ditanam, petani harus bersabar menjaganya, menyiramnya setiap hari, membuang siput yang ingin merosakkan tanaman, membajanya dan seterusnya. Begitulah resam petani dan sayurnya.

Kenapa setelah beberapa ketika, petani boleh menuai hasil sayur. Kerana kesabaran mereka. Kenapa ada sayur yang gemuk-gemuk. Kerana ada langkah permulaan iaitu menanamnya.

Ya, langkah permulaan.

Apa yang kurang kita sekarang bukannya tenaga kerja, bukannya modal, bukannya tempat, tetapi usaha membuat langkah permulaan.

Penempatan HIV yang saya sedang berpijak sekarang, bukan dari sebuah gereja yang besar, mereka bermula dengan sebuah rumah kecil. Dengan tujuan memberi perlindungan kepada pesakit kemudian akhirnya, di sebuah gereja untuk penempatan mereka.

"Apa langkah permulaan yang perlu dibuat? Ya, carikan alternatif segera," bisik hati saya.

Saya turun kembali ke tingkat bawah. Melihat, Razali yang sudah siap untuk bersama kami.

Di hati kecil setiap penghuni, mereka mahu keluar dari sini. Tetapi ke mana?

Wajah ceria Razali menggembirakan hati saya. Saya bukakan bahagian belakang van untuk barang-barangnya. Kami semua menaiki van. Alhamdulillah, hari ini, kita dapat keluarkan seorang lagi dari gereja ini.

Semoga, Allah terus membantu untuk tujuan ini. Satu yang kita cita-citakan. Islam sebagai agama kasih sayang bukan sahaja pada lisan. Tetapi dapat diterjemahkan di dalam tindakan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails