Thursday, July 30, 2009

Kuasa Media


Salam Jumaat untuk sekalian pembaca di luar sana. Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan penuh dengan keberkatan. Hari yang tidak akan terjadinya kiama kecuali pada hari Jumaat. Hari yang dituntut oleh kita untuk menumpukan diri kepada amal ibadat untuk akhirat, tetapi dek angkara kejahilan kita dan peranan musuh-musuh Islam, kita disibukkan dengan pelbagai urusan pada hari ini. Cuti kebanyakan negeri pada hari Jumaat juga ditukar kepada hari Ahad. Begitulah pandainya kita dalam menyiapkan diri kita menuju hari mati.

Hari ini masyarakat kita sudah jadi moden. Hebat sangat sehingga banyak kampung dah jadi bandar. Bandaraya pula dipenuhi oleh bangunan-bangunan yang tinggi-tinggi. Maka senyum panjanglah pemimpin-pemimpin kita apabila dipuji akan perihal betapa negara kita yang begitu maju. Sehingga benda-benda lain yang tak sepatutnya begitu maju turut maju sekali. Perihal dadah, pelacuran, jenayah dan lain-lain begitu maju. Sehingga pergi siasat dengan badan kerajaan boleh dihumban ke bawah begitu sahaja. Senang cerita, jadi tak payah siasat-siasat. Maka begitulah gambaran kemajuan kita.

Sekarang yang paling gempar pasal berita Kosmo mengorek balik kisah silam Yasmin Ahmad. Maka marah sungguhlah Marina Mahathir kerana mengaibkan Yasmin Ahmad yang telah meninggal dunia. Namun saya bukan nak mengulas perihal Marina marah dan kerana makhluk hina (istilah yang digunakan oleh Marina Mahathir terhadap kosmo). Tetapi yang saya ingin tarik perhatian kita adalah peranan media di dalam masyarakat kita pada hari ini.

Sengaja saya tulis lambat sikit isu ini pasal tak mahu menambah kecoh yang dah sedia ada. Kosmo pun hari ini dah minta maaf. Yalah, boleh sahaja minta maaf kepada orang hidup, tapi macam mana pula nak minta maaf kepada orang mati ye tak? Pasalnya kita dah terlampau bertamadun kononnya dan moden sangat sehingga dah tak peduli mana yang halal, mana yang haram. Mana dosa mana pahala. Yang penting bagi kita - ongkos pastinya.

Di sini bolehlah kita melihat peranan media dalam masyarakat kita yang begitu besar sekali. Saya setengah bersetuju dengan Marina Mahathir dalam perkara ini. Sebelum ini beliau begitu lantang memperjuangkan apa yang dikatakan oleh beliau kebebasan bersuara. Bebas sangat bersuara sehingga apa sahaja yang beliau rasa betul beliau utarakan. Kalau tak nak kena AIDS, boleh sahaja pakai k0ndom perisa durian, strawberry, oren dan lain-lain. Siap boleh sponsor free lagi. Bukan pemuda-pemudi disuruh jauhkan zina tapi gunakan kondom? Masya Allah!

Bila golongan artis kena tangkap kerana mabuk di kelab malam bernama Zouk, Marina lah antara tokoh yang begitu lantang mempertahankan tindakan artis tersebut. Lalu dikeluarkanlah artikel di dalam surat khabar mengapa mesti menghalang anak-anak gadis kita dari keluar malam. Mereka juga ingin bersosial, bebas bergaul dengan kawan-kawan. Jangan disekat kebebasan mereka nanti mereka memberontak. Sekali lagi media yang digunakan.

Tapi apabila kosmo mendedahkan kisah silam Yasmin Ahmad, tiba-tiba Marina melenting. Jangan salah faham, saya juga tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Tetapi mengapa mesti ada double standard dalam hal ini. Jika Marina sendiri sewenang-wenangnya menggunakan media untuk mengemukakan idea yang dirasakan bernas walau bertentangan dengan Islam sekalipun, tetapi apa berkaitan dengan perkara ini Marina melenting pula. Lalu bentuk bagaimana kebebasan media yang diingini oleh Marina sebenarnya?

Kebebasan media dalam definasi diri sendiri yang mana kalau kita rasa selari dengan pemikiran kita - kita terima dan yang tak selari dengan pemikiran kita - kita tolak. Atau gunakan Islam sebagai garis panduan. Atau menggunakan pemikiran liberal sebagai panduan. Atau menggunakan konsep pemikiran komunis dan bisa sahaja bentuk pemikiran sekular sebagai garis panduan.

Sedarlah wahai saudara-saudaraku. Di atas media itu ada pemilik-pemilik mereka. Dan mereka jauh sekali dari berusaha untuk membentuk kita atau masyarakat berfikir secara rasional. Sebabnya? Mereka akan memanipulasikan media untuk membentuk pemikiran masyarakat berfikir mengikut cara mereka ingin masyarakat berfikir. Pemikiran kelas C? Mereka tidak peduli. Asalkan masyarakat dapat diacu dan dibentuk mengikut apa yang mereka kehendaki. Contoh terdekat? Utusan Malaysia, Mangga?

Dalam konteks Malaysia kita boleh melihat perkara ini sedikit kecil. Namun dari kacamata dunia, siapa yang menguasai media dia akan menguasai dunia. Kerana? Masyarakat menerima media sebagai satu alat untuk maklumat, hiburan dan seribu satu jenis dan fungsi. Lalu apa mungkin tidak satu bentuk manipulasi baru ke atas masyarakat dunia pada hari ini. Belum percaya?

Lihatlah sekeliling kita. Apa yang remaja-remaja kita ikut. Berdasarkan daripada apa yang dilihat di dalam tv, radio dan suratkhabar. Andai kata perkara ini diputuskan dari mereka, bisa sahaja mereka hidup dalam kegelapan. Bukan remaja sahaja, ibu bapa tidak terkecuali. Bayangkan diri anda tanpa radio, televisyen dan suratkhabar? Agak mustahil bukan. Lalu apakah mustahil juga akan sedang di manipulasi oleh satu pihak/orang/kuasa dengan menggunakan media?

Persoalan ini agak rumit untuk dibincangkan. Namun sesuatu yang amat besar sedang berlaku di luar sana. Ada perkara besar? Agak sukar untuk anda mengetahuinya kerana anda sedang diulit dengan media-media ini. Hiburan, cara hidup, cara berfikir, rasa dan perasaan anda semuanya dikuasai oleh media ini.

Apa yang saya mengarut ini? Mungkin pada masa ini agak mengarut, tetapi saya akan cuba untuk membuat sedikit pendedahan pada masa yang akan datang. Ia adalah suatu perkara yang besar dalam dunia moden pada hari ini. Tetapi kerana kita sedang memanipulasi, kita langsung tidak menyedarinya. Sedikit-demi sedikit kita dimanipulasi sehingga seluruh kehidupan kita bergantung kepadanya.

1 comment:

azizi said...

setuju.
pemikiran kita telah dibentuk sebegitu rupa oleh media.
moga kita diberikan kekuatan utk melawan,

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails