Sunday, April 5, 2009

Politik Gempak!

Gempar! Memang Gempar! Satu Malaysia gempar! Macam biasa apa sahaja yang Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan, apa saja yang dia cakap akan di masukkan ke dalam kategori 'gempar'. Seawal pasca PRU-12 sehinggalah hari ini, DSAI tak habis-habis buat cerita gempar. Tapi hasil atau keputusan daripada pengemuman-pengumuman ini tidaklah gempar macam ceritanya. Lebih banyak yang melantun balik kat muka Pakatan Rakyat daripada muka Umno Barisan Nasional(UBN).

Kalau dalam dunia artis kita kategorikan ia sebagai publisiti murahan. Contohnya di dalam majalah mangga. Pakai dedah dada, dedah betis, pakai bogel 3/4 suku - ambil gambar lepas itu cakap saya inginkan seorang suami yang beriman. Suami yang tak tinggal solat, suami yang rajin mengaji, yang akan membimbing hidup dia ke arah hidup yang lebih beragama. Sambil-sambil tu posing dekat kolam renang sambil tunjuk lurah dendam sampai orang yang tengok naik geram.

Semalam pun diwar-warkan bahawa DSAI akan membuat pengumuman kategori tergempar. Ingatkan berita gempar tu mampu mengegarkan bukit Selambau atau Bukit Gantang. Cuba-cuba juga merisik di mana gemparnya. Rupa-rupanya naib Presiden PPP nak masuk PKR. Alahai. PPP tu parti mana? Saya tak tahu pun PPP tu parti komponen UBN. Kiranya itu ke berita yang bertaraf gempar itu?

Dengar khabarnya 6,000 orang yang akan mengikut jejak langkah beliau. Semua sokong Pakatan Rakyat dan akan sertai PKR. Persoalannya betulkah jumlah ahlinya seramai itu. Juga adakah kategori 6,000 orang dibahagikan dengan 22 juta orang rakyat Malaysia boleh termasuk dalam berita gempar?

Saya rasa DSAI perlulah menukar strategi. Tidak usahlah lagi sibuk dengan publisiti murahan dan politik gempar ni. Kata orang muda gempak beb! Yang ditakuti bukan sahaja UBN nanti yang gelak dan meluat dengar berita yang gempak tapi sekadar tahap picisan - malah penyokong-penyokong pakatan Rakyat pun turut tersengih nanti bila momokan itu diulang-ulang. Belajarlah daripada kesilapan lalu.

Sepertimana isu lompatan parti ahli Parlimen BN ke Pakatan Rakyat suatu masa dulu, isu ini turut memakan Pakatan Rakyat di Perak. Ia, memang Pakatan Rakyat di pihak yang benar. Cuma ia bukan satu tugas mudah untuk memberi penerangan dan memotong hujah pihak UBN yang dilengkapi jentera-jentera media berat daripada televisyen dan surat khabar. Ia turut menjadi satu beban kepada jentera-jentera Pakatan Rakyat untuk memberi penerangan semula terutamanya kepada mereka yang di atas pagar. Juga menjadi modal untuk penyokong-penyokong UBN menghalalkan apa yang terjadi di Perak.

Dan bagi saya ia telah berjangkit kepada Hindraf pula. Malaysiakini mengatakan masyarakat India akan memberi sokongan penuh kembali kepada BN jika pemimpin mereka dibebaskan. Ia umpama serampang dua mata. Memberi harapan kepada PM yang baru dan juga sebagai umpan supaya pemimpin mereka dibebaskan. Andai kata pemimpin mereka berjaya dibebaskan ia sudah tentu satu rahmat buat mereka.

Sokongan masyarakat India adalah satu yang subjektif. Akhir-akhir ini banyak isu tuntutan Hindraf dan juga isu Kugan menjadi pemangkin kemarahan masyarakat India. Ia akan memakan masa yang panjang untuk menarik kembali sokongan yang pernah diberi kepada BN kerana luka mereka sudah terlalu dalam. Dalam masa yang sama, masyarakat India telah mula mengenali ketulusan PAS dan Pakatan Rakyat yang sebelum ini amat ditakuti mereka untuk didekati. Kejayaan media-media UBN menjadikan ia satu mitos yang akhirnya berjaya diruntuhkan masa kini.

Namun kita mengharapkan politik gempak ini tidak akan berterusan dan menjadi satu budaya baru kepada suasana politik tanahair. Cukuplah dengan budaya politik yang tidak sihat yang mewarnai politik Malaysia hari ini. Pulihkanlah kembali suasana politik yang sihat dan memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia keseluruhannya. Kepada DSAI eloklah kita menumpukan perhatian kepada memperkukuhkan Pakatan Rakyat supaya setiakawan yang dibentuk tidak akan menjadi sia-sia. Juga memberi fokus kepada PM baru yang akan menjadi senjata baru kepada UBN.

sumber gambar : Malaysiakini

Friday, April 3, 2009

Jangan Gembira Dahulu!

Dalam masa beberapa jam sahaja dari sekarang rakyat di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai akan menjalankan kewajipan mereka memilih pemimpin yang akan memegang amanah di tempat mereka. Mereka turut membawa suara rakyat untuk memberi isyarat kepada pemerintah sekarang iaitu Umno dan Barisan Nasional supaya tidak lupa diri. Rakyat masih ingat bagaimana apabila kuasa dan rasuah disalahgunakan sehingga suara rakyat dikerdilkan.

Kini Umno dan Barisan Nasional mempunyai seorang pemimpin yang baru. Yang lebih berwibawa kononnya daripada Pak Lah. Maka seronoklah kita apabila akhbar Harakah dan Suara Keadilan dibebaskan dari tahanan. Begitu juga dengan 13 orang tahanan ISA telah dibebaskan. Dan dalam masa yang sama kerajaan akan turut mengkaji semula akta ISA. Tapi tunggu dulu. Mari kita huraikan satu-persatu permasalahan di atas.

Pertamanya - siapa yang menyekat akhbar Harakah dan Suara Keadilan? Adakah yang menyekat itu pemimpin dari Pakatan Rakyat? Adakah PAS, Keadilan atau DAP yang menyekat kebebasan akhbar-akhbar ini? Atau pemimpin Umno dan Barisan Nasional? Jika demikian, mereka yang menyekat dan mereka membebaskan - apa yang peliknya? Ia ibarat bermain silap mata. Tetapi bisa sahaja menjolok psikologi rakyat supaya gembira dan tidak pelik jika tidak berfikir panjang, kita terdorong untuk bersorak sorai dengan mereka.

Keduanya - siapa yang menahan dan memasukkan tahanan-tahanan ini dalam ISA. Sudah tentu mereka yang berkuasa dari Umno dan Barisan Nasional. Tidak bolehkah tahanan ini dimasukkan kembali? Sudah tentu tiada jaminan. Dan mungkin juga 13 tempat kosong ini akan diisi kembali oleh 13 tahanan baru sesudah berlalunya pengundian di ketiga tempat itu pada 7hb April nanti. Pendekatan populis digunakan oleh Najib sudah tentu daripada penasihat-penasihat di sekeliling beliau sedikit sebanyak memberi 'kejutan' dan mengambus sedikit isu pembersihan diri Najib daripada pelbagai kontroversi yang menyelubungi diri beliau ketika ini.

Mari kita berbalik kepada perkara pokok mengapa rakyat begitu ghairah menantikan keputusan pengundian di ketiga tempat ini? Pertama di Perak - mengapa Bukit Gantang begitu menaikkan keghairahan rakyat untuk menghukum Umno dan Barisan Nasional? Ia akibat daripada krisis di Perak yang mana jangan lupa jasa yang dihulurkan oleh Perdana Menteri Malaysia sekarang ini. Beranikah kiranya Perdana Menteri ini menjejakkan kakinya di Perak kerana jasa beliaulah maka krisis di Perak ini terus berterusan dan bergolak.

Begitu juga dengan apa yang terjadi di Bukit Selambau. Mengapakah kerusi Adun di Bukit Selambau dikosongkan. Tidak teringatkah kita kenyataan bekas Adun Selambau yang mana beliau tidak tahan lagi di ugut siang dan malam supaya melompat parti. Kerana maruah beliau tekad untuk meletakkan jawatan. Untuk apa? Supaya pergolakan di Perak akan berjangkit kepada negeri Kedah pula. Jasa siapa itu? Siapa di balik tirai semua agenda ini? Jangan kita lupa itu.

Begitu juga dengan air muka Malaysia di seluruh dunia ketika ini. Ternyata wajah Malaysia memang dimalukan dan jatuh aibnya kerana menerima seorang pemimpin yang diselubungi isu antarabangsa. Pembunuhan Sang Matahari dari Mongolia. Isu politik wang di dalam Umno usahlah dikaitkan dengan Khairy Jamaluddin sahaja. Adakah pemimpin lain bebas daripada politik wang dan memang bersih? Jangan lupa! Nanti kena ketawan dengan Che Det pasal dia kata Melayu mudah lupa!

Hari Ini Dalam Sejarah!

Maka tercatitlah akan tarikh 3hb April 2009 sebagai satu tarikh besar. Pada hari ini lengkaplah teori RAHMAN yang sering bermain-main di mulut peminat-peminat politik. Hari ini juga maka lengkaplah Malaysia apabila memiliki seorang Perdana Menteri yang keenam. Pada hari ini jugalah menjadi saksi terlantiknya seorang Perdana Menteri yang penuh kontroversi. Walau apapun kata rakyat di luar sana, Najib Tun Razak telah nyata menjadi Perdana Menteri menggantikan Abdullah Ahmad Badawi.

Ironinya, sesetengah pihak suka. Ada yang tidak suka. Walaupun Perdana Menteri yang sebelum ini dilantik dikenali sebagai 'Mr. Clean', anak didik mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 ini penuh dengan cerita-cerita yang sudah lama tersohor di kalangan rakyat. Walaupun banyak juga kebaikan yang dibuat beliau tetapi cerita-cerita yang tersebar kebanyakannya tidak beberapa baik adanya.

Mungkin akan ada orang yang mengatakan Malaysia hari yang malang pada hari ini. Demokrasi yang memang telah lama mati kini mati lagi. Ibarat seekor kucing yang dikatakan ada 9 nyawa. Biar apapun telahan kita, dunia belum kiamat. Ia tidak akan kiamat selagi matahari belum terbit dari sebelah barat. Ia tidak akan kiamat sebelum Imam Mahadi yang sebenar muncul. Ia tidak akan tamat sebelum Yahudi dibinasakan dari muka bumi. Ia tidak akan tamat selagi Yajuj dan Ma'juj keluar dari perut bumu. Ia tidak akan kiamat selagi Dajjal belum keluar menampakkan diri. Ia tidak akan kiamat selagi Nabi Isa turun semula untuk membunuh Dajjal.

Oleh itu, tidak perlu berkeluh resah. Memang liku-liku perjuangan itu penuh dengan onak dan duri. Manisnya sebentar, pahitnya kekal sampai ke mati. Berapa ramai pahlawan sejati mati di dalam medan perjuangan, beberapa ramai tokoh negarawan yang mati di dalam penjara. Berapa ramai rakyat yang tidak bernama terkorban angkara nafsu serakah manusia. Namun ia tidak akan merencatkan langsung semangat yang dinamakan perjuangan.

Perjuangan yang batil dan hak itu akan sentiasa berterusan. Ia tidak akan selesai sehinggalah hari kiamat. Mati seorang pemimpin akan diganti dengan pemimpin yang lain. Mati seorang ulama' akan muncul ulama' yang lain. Mati seorang lelaki akan muncul lelaki yang lain. Namun ingatlah. Perjuangan untuk menegakkan Islam di muka bumi sebagai pemerintah tidak akan terpadam. Sehinggalah Islam itu berjaya didaulatkan.

Semakin pahit semakin manislah nilai perjuangan itu. Tidak sedikit yang teluka, cedera parah, digomol dan terkorban. Ia hanyalah secebis kisah perjuangan. Oleh itu, kita perlu istiqamahkan diri dalam perjuangan ini. Kerana perjuangan yang pahit itu matlamatnya hanya satu. Kepada keredhaan Illahi dan membawa ke syurga. Ayuh! Berkorbanlah walaupun pengorbanan itu pahit.

Thursday, April 2, 2009

Kami Berjuang Kerana Bangsa, Agama Dan Negara!

Kami memang benar-benar berjuang untuk anak-anak bangsa. Berjuang demi agama kami dan berjuang untuk negara yang tercinta. Mesti kita dah biasa akan kata-kata yang diucapkan. Tak salah pun! Biasa yang pakai ayat-ayat ini apabila waktu persidangan Agung Pekembar. Banyak ucapan-ucapan berapi yang akan ditayangkan di Tv, Suratkhabar dan radio untuk memberitahu rakyat betapa tulus dan ikhlasnya mereka berjuang untuk rakyat.

Jadi anggaplah ia semuanya benar. Rakyat akan menelan bulat-bulat apa sahaja yang diucapkan oleh tv dan surat khabar ini. Al maklumlah saingan utama akhbar Harakah dan Suara Keadilan pun telah berjaya di'isa'kan oleh pejuang-pejuang ini. Jadi siapa lagi rakyat nak dengar.

Tapi kami terlupa nak beritahu, kami pun berjuang kerana fulus beb. Kalau tak ada fulus macam mana nak buat kerja. Macam mana nak gantung poster, macam mana nak beli bendera, upah budak-budak gi berkempen. Ada fulus baru lah semua kerja jadi deras.

Jadi, sekadar peruntukan sikit-sikit tu apa salahnya. Sikit ya? Habis duit ayah aku, mak aku, atuk aku, aku , bini aku hangpa kebas hang kata sikit? Tak caya? Jeling sebelah. Tu dia. Peruntukan Bukit Gantang.

A. Ahli Umno Seisi Keluarga - RM 1,000
B. Penyokong Seisi Rumah - RM 500
C. Pemuda / Wanita/ Umno - RM 100 setiap hari
D. Minyak kereta - RM 100 setiap hari
E. Minyak Motosikal - RM 50 setiap hari

Mak ai. Agak-agak le kalau nak merompak pun. Kalau aku ahli Umno aku at least dapat RM 1,000. Itu kalau aku pusing-pusing claim mesti dapat senang-senang RM 2- 3 ribu. Mana agaknya dia orang dapat duit banyak-banyak ni. Kalau 20,000 orang penyokong kiralah banyak mana fulus yang dia orang pakai ni.

Sumber Gambar: Anje Online

Patutlah bersungguh-sungguh depa cakap kami berjuang demi bangsa, agama dan negara. Percaya sangatlah tu. Hang pa tipu orang-orang tak sekolah boleh la. Kami ni pergi sekolah, belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu lagi. Oleh itu lagu ini didedikasikan kepada semua mereka yang terlibat dengan surat di atas.



Zahid Hamidi Hina Budaya Orang Cina?

Boleh tahan juga kempen BN di Kampung Baru Kuala Sepetang - Bukit Gantang. Berkempen tak salah. Cuma janganlah sampai melampaui etika dan moral. Tidak kiralah parti mana pun, dalam pilihanraya siapa sahaja tidak di larang untuk berkempen. Gunakanlah apa sahaja daripada banner, pemplate, poster, ceramah dan apa saja.

Tapi kali ini ia memang membuka mata. Juga mampu membeliakkan mata sesiapa sahaja yang melihat. Zahid Hamidi yang seringkali menonjolkan diri sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan agama kerana latar belakang beliau dari aliran agama menyokong konsert gadis seksi sewaktu menghadiri kempen di situ. Pentas tarian hanya diletakkan di belakang Zahid Hamidi yang pada masa itu sedang mengadakan sidang akhbar.

Tidak pasti samada untuk membodek atau mengampu, Zahid Hamidi secara sedar atau tidak dia telah menghina kaum Cina. Kata beliau dia memahami mengapa tarian ini dibuat kerana ia adalah budaya Cina. Pertama kali rasanya kita diperkenalkan budaya tarian seksi ini adalah berasal dari kaum Cina.

Sebelum ini tidak pernah pula kita diperkenalkan tarian ala Barat ini sebahagian daripada budaya masyarakat Cina. Dengan mengatakan ini adalah budaya masyarakat Cina ia seolah-olah satu penghinaan kerana budaya Cina juga mengetahui batas-batas susila dan kesopanan. Pakaian penari-penari dan juga gerak tari yang lebih kepada tarian tiger show bukanlah budaya yang ingin ditonjolkan oleh masyarakat Cina. Ia adalah satu budaya sonsang dari Barat yang tidak ingin diperkenalkan langsung kepada golongan muda kerana ini mengundang kepada masalah sosial dan budaya seperti hari ini.

Seingat saya ini bukan kali pertama BN Perak menggunakan konsert seperti ini bagi kempen pilihan raya. Semasa PRU 12 dahulu ia pernah digunakan di Tambun, Ipoh. Bagaimana agaknya Pak Haji dan Mak Haji yang tengok tarian ini dekat majlis itu. Mesti dia orang seronok sambil-sambil goyang badan dan ikut lenggok tarian. Ke ini bukan budaya kita? Pak-pak Aji Umno mesti suka kan ? Patutlah Umno Parti Ajaib. Umno juga yang kena!

Gambar sumber: Malaysiakini. Untuk video boleh lihat di sini

Wednesday, April 1, 2009

MB Haram Perak Merapu Di Tv1

Ingatkan apa lah halnya dekat rtm ini. Siang malam dok bising. Rupa-rupanya depa dok kempen pilihanraya. Tak kira siang malam pagi petang. Kerjanya asyik kutuk Pakatan Rakyat. Ngomel-ngomel bla bla bla. Umno sahajalah bawa kemajuan.. bla bla bla.. Jangan lupa jasa Umno... bla bla bla.. Pakatan Rakyat mengamalkan politik perkauman.. bla bla bla.. Pakatan Rakyat tak bagus.. bla bla bla..

Pagi petang siang malam kempen. Live pulak tu. Itupun masa persidangan hari tu depa kata tak cukup. Maklumat tak sampai. Kena gunakan IT juga. Kena lawan media IT Pakatan rakyat. Tak faham aku. Surat khabar, tv semua depa sapu. Tak cukup lagi rupanya. Internet pun dia sapu. Lepas tu sibuk cakap orang fitnah itu ini. Agaknya apa yang orang lain cerita semua fitnah, kalau dia orang cerita semua betul!

Aku pun tak faham macam mana tadi aku boleh terlayan tv1 pulak. Macam kenal la seorang mamat ni, tapi di mana ya! Oh, Zambry. Kempen Bukit Gantang rupa-rupanya. Macam best! Pentas lawa. Tapi bila tengok kat bawah kenapa semua orang tua-tua je yang join. Orang muda tak de ke? Lepas tu soalan yang dia orang tanya pun macam baca skrip jer. Rasa-rasa dah plan kot. Takde tokoh pun macam orang rajin tanya soalan.

Oh, sibuk cerita pasal Nizar take over dia masa dekat masjid masa hari penamaan calon tu. Bukan main marah dalam senyum nampaknya. Bising dia pasal Nizar cerita apa yang jadi dekat blog. Kononnya benda-benda macam itu pun dibesar-besarkan. Kasihan sungguh dia ni. Dah jadi MB haram pun emosional lagi. Last-last sekali dia punya ayat - siapa-siapa boleh jadi imam, saya pun boleh jadi imam. Mak ai. Hang mengaji kat mana ni Zambry? Kitab mana hang pakai. Kalau nak goreng pun ingat-ingatlah. Nampak sangat kejahilan tu tanpa dapat dicover lagi.

Macam mana lah orang Perak nak terima kalau MB dia sejahil macam ini. Kalau Ali Rustam cakap macam tu mungkin boleh terima pasal dah tengok cd dia cakap Haji Hadi Kafir. Cakap terang-terang je tak ada cover-cover. Cuma confirm tak masuk tv. Sibuk dia kecoh Nizar politikkan masjid. Yang hairannya sejak bila Umno guna masjid buat majlis depa ni? Kata tak nak politikkan masjid. Pergilah baca Yassin kat rumah ke. Nak guna masjid juga. Tapi yang sensasikan cerita ini siang malam aku tengok tv, suratkhabar. Tv, suratkhabar. Lepas tu salahkan Nizar. Yenadeyyy!!!

Kemudian sibuk pusing pasal kuasa Sultan dekat Perak. Lepas tu tuduh Pakatan Rakyat amalkan politik perkauman. Hairan betul! Yang aku baca kat blog-blog depa semua pakat tuduh Nizar jadi boneka pasal bagi tanah kat kaum Cina. Marah betul dia orang. Tapi yang Umno bagi satu bukit Genting dekat Lim Goh Tong tak apa pulak. Betul-betul kerjanya kasik pusing sahaja. Corner baring pun takpe.

Tun Mahathir Pun Nak Turun Kempen Di Bukit Gantang

Dalam hal ini Pakatan Rakyat kena berhati-hati. Tidak dapat dinafikan Mahathir masih lagi mempunyai auranya yang tersendiri. Walaupun diri ini memang dah lama meluat dengan dia, tetapi orang lain belum tentu. Walaupun kalau kita menilai secara rasional, kemasukan Tun kembali ke dalam Umno tidak akan memberi kesan kepada kadar kebersihan Umno, tetapi sebagai orang lama beliau sudah masak dengan permainan politik.

Biarpun di akhir hayat pemerintahan beliau, kebanyakan orang membenci beliau di atas kediktatoran beliau tetapi masa bisa sahaja memadamkan ingatan-ingatan tersebut. Namun saya juga menasihatkan beliau supaya berehat sahaja. Sesungguhnya sisa-sisa umur yang ada eloklah digunakan sepenuhnya. Namun jika beliau masih juga ingin meneruskan sisa-sisa perjuangan beliau membela parti yang sudah reput, dipersilakan sahaja.

Kini, akan berlaku pertembungan aura lama dan baru. Aura mahathir dan Nizar. Najib sudah pasti tidak berani menunjukkan rupanya di Perak. Osman Jailu tiga bersaudara pun sudah tentu tidak sudi membantu jentera BN. Seperti kelihatan jentera mereka tidak bersemangat untuk mengempur Bukit Gantang, tetapi jangan kita alpa dan leka. Yang penting konsentrasi jangan hilang. Lawan tetap lawan tidak kira siapa pun yang datang. Kepada Tun semoga kekal di dalam Umno - dulu, kini dan selamanya. Seeloknya biarlah Tun menjadi presiden Umno antara yang meninggal dan terus kekal di dalam Umno.


Anak-Anak Kita!

Hari ini, mari kita berkongsi sedikit pengalaman cik daung mengenai perilaku ataupun peribadi anak-anak bangsa kita. Setiap hari cik daung akan menghantar anak-anak ke taska mereka yang terletak berhampiran rumah. Taska mereka ini terletak di sebuah apartment kos rendah. Sebenarnya ia sebuah rumah yang dijadikan tempat jagaan kanak-kanak. Namun apa yang agak menyedihkan dan mengkusutkan kepala cik daung adalah tingkah laku anak-anak remaja dan sekolah rendah yang rata-ratanya adalah anak bangsa kita.

Senario 1:
Sesudah menghantar anak-anak cik daung, seperti biasa cik daung masuk ke dalam lif. Sudah ada di dalam itu seorang remaja perempuan dalam tingkatan 2 atau 3 kot. Pakaian baju singlet yang macam baju pagoda yang nampak ketiak tu dan seluar pendek. Ada iras baru bangun tidur pun ada. Bangsanya sama dengan cik daung. Tapi yang sedihnya lepas sahaja keluar lif dia lihat kiri kanan. Ternampak seorang budak lelaki yang mungkin adiknya. Celak* kau. Bab*, lahan*t, orang tunggu dah lama kau duduk kat sini je. &^*(%#@. Masya Allah. Tak dapat cik daung bayangkan anak bangsa cik daung - seorang remaja perempuan boleh mengeluarkan kata-kata kesat yang sedemikian rupa.

Agaknya bagaimana dia dididik dalam keluarganya. Adakah kerana di bandar ini memang penuh dengan sosial sana sini maka anak-anak kita telah hilang kelembutan bahasa dan pakaian?

Senario 2:
Cik daung ingin menaiki lif seorang diri untuk balik ke rumah. Kemudian datang dua orang remaja perempuan Melayu yang turut ingin pulang. Kemudian apabila lif sampai kami masuk sekali. Tapi yang tak tahannya, sambil duduk dalam lif tu dia orang punya sembang macam kat kedai mamak. Punya kuat. Tak ada cover-cover ataupun rasa sikit malu dekat orang laki seorang ini. Sebaliknya cik daung pula yang rasa malu. Dunia sudah terbalik agaknya. Ke mana budi bahasa wanita-wanita Melayu. Masih ada tersisa ke atau dah dimamah dek hidup di bandar yang serba-serbi moden ini. Rasanya elok lah kalau mereka cover-cover suara sikit, takkan dah hilang rasa malu kot.

Senario 3:
Keluar dari lif, ternampak seorang lelaki sedang menunggu rakannya. Ada kawan dia seorang perempuan Melayu dalam umur 25-27 tahun. Cik daung pergi tengok-tengok surat kat tepi lif(almaklum rumah apartment). Tengah-tengah cari kot-kot ada surat yang sangkut si perempuan ini selamba sahaja cakap kat member dia yang seorang tu ," Tunggu aku kejap. Nak pergi kencing ah!". Mak ai bahasa. Nak pitam cik daung dengar.

Senario 4:
Sekumpulan budak-budak sekolah dalam tingkatan 2-3 masuk ke dalam lif sama-sama cik daung dan beberapa orang remaja tua. Dia orang seronok bercerita macam lif itu mak bapak dia orang yang punya. Gelak ramai-ramai. Sambil cakap kasar-kasar. Agaknya tak belajar tatabahasa kot. Istilah yang dia orang guna susah nak sebut pasal indah-indah sangat. Hakikatnya cik daung sedih sungguh kerana anak bangsa cik daung dah tak tau hormat orang tua dan sedikit bersopan santun.

Sekurang-kurangnya hormatlah orang yang lebih tua. Dulu cik daung pun pernah remaja macam dia orang. Tapi cik daung rasa tak berani nak bertindak di luar batasan dan masih hormat dengan orang tua. Di mana salahnya semua yang senario di atas ini. Didikan ibu bapa, guru-guru, rakan sebaya atau masyarakat kita sendiri?

Remaja-remaja ini merupakan pemangkin kepada pemimpin-pemimpin yang akan datang. Merekalah yang akan mengepalai negara ini satu hari nanti. Bagaimana rupa anak-anak bangsa apabila mereka telah menjadi dewasa kelak. Adakah kerana pembangunan yang dikejar oleh kita selama ini memakan segala nilai budi bahasa dan jati diri Melayu yang ada pada diri kita. Atau anak-anak kita ini salah dididik oleh kita kerana kita sibuk mengejar wang dan kebendaan. Inikah harga satu kemajuan?


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails