Monday, September 8, 2008

Qasidah Burda Sharif

Bulan Ramadhan bulan yang mulia. Jadi posting berkaitan dengan politik dikurangkan, takut tergelincir dan dapat dosa free. Jadi sempena Ramadhan Al-Mubarak mari kita menghayati satu lagu yang cukup indah untuk kekasih yang tercinta iaitu Rasul kita Nabi Muhammad Sallahu alaih wasalam.



Mawla ya salli wa sallim daa'iman, abadann'Ala habeebika khayri khalqi kullihimi.
O Mawla (Protector, speaking to Allah), send prayers and peace always and forever Upon Your beloved, the best out of all of Creation.
Muhammadun sayyidul kawnayni wath-thaqalayn,Wal fareeqayni min 'urbiw-wa min 'ajami.
Muhammad is the Sayyid (Master) of the two worlds and the two groups (men and jinn),And the Guide of both the Arabs and the non-Arabs.
Nabiyyunal amirun-nahi fala ahadun,Abarra fi qawli la minhu wa la na'ami.
He is our Prophet, commanding the right and forbidding the wrong, and there is none,More true in word, saying "Yes" (meaning this is permitted) or "No" (meaning this is haram).
Huwal habeebul-ladhee turja shafaa'atuhuLi kulli hawlim-minal ahwali muqutahimi.
He is the Habib (beloved) of the One, from whom we have hopes of intercession (shafa)In (from) all the woes that have descended upon the humans.
Da'a ilallahi fal mustamsi koona bihiMustamsi koona bi hablin ghayri munfasimi.
He called us to the path of Allah, and those who cling to himHave held the rope of Allah so tight, that it would never break.
Faqan nabiyyina fi khalqiw-wa fi khuluqinWa lam yudaanuhu fi 'ilmiw-wa la karami.
He surpasses all the Prophets in khalq (creation/external appearance) and in khuluq (characters/internal apprearance)None could reach his rank in knowledge (ilm) and in generosity (karam).
Famablaghul 'ilmi feehi annahu basharunWa annahu khayru khalqillahi kullihimi.
Our utmost knowledge about him says that he is a bashar (human being)He is the most distinguished and the best, out of all of Creation.
Lyrics Contributed By: Sara A
Sumber : http://akhrat.blogspot.com/2007/09/qasida-burda-sharif.html

Thursday, September 4, 2008

Al Fatihah Untuk Pak Samad Ismail

Nampaknya seorang demi seorang sasterawan negara meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Bermula dari Pak Sako, Usman Awang, Othman Puteh dan kini Pak A. Samad Ismail. Mungkin ramai dari kita yang sedar, mungkin yang tak sedar. Yang tak sedar mari kita kejutkan. Yang sedar mari kita sama-sama insaf.

Mati itu pasti! Tidak ada seorang pun makhluk yang bernyawa di alam ini akan terlepas darinya! Cuma bergantung kepada kita samada kita sedar atau tidak sedar hakikat kematian. Ada yang sedar buat-buat tak sedar. Ada yang tak sedar, terus hanyut. Ada yang sedar, turut hanyut. Siapa pun kita yang pastinya kita pasti akan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia yang kita diami ini. Bezanya adakah kita memberi sedikit sumbangan kepada dunia dan alam ini. Jika besar maka besarlah jasanya. Maka benarlah peribahasa orang tua-tua, harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama. Terserah kepada kita generasi yang tinggal untuk menghargai atau tidak jasa-jasa mereka.

Pak Samad Ismail merupakan seorang sasterawan negara. Sumbangannya dalam bidang penulisan dan pemikiran negara usah dihitung. Ironinya Pak Samad dan Utusan Melayu tidak dapat dipisahkan. Namun seperti lazimnya mana-mana tokoh besar di negara kita mereka hanya dihargai selepas sudah tiada di dunia ini. Kita terserahlah kepada kerajaan bagaimana caranya untuk menghargai segala jasa dan sumbangan beliau.

Jenazah beliau disemadikan di Masjid UIA, PJ dan akan dikebumikan di tanah perkuburan bukit Kiara. Al-Fatihah untuk beliau. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Untuk membaca lebih lanjut tentang beliau boleh klik di sini.

Tuesday, September 2, 2008

Marhaban Ya Ramadhan!

Alhamdulillah! Maka kita sekali lagi tergolong dalam golongan manusia-manusia yang bertuah dan terpilih bagi menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Termakbullah doa yang sering kita ungkapkan sejak dari bulan Syaaban dan Rejab supaya kita disampaikan kepada Ramadhan untuk merebut segala keberkatan yang berada di dalamnya.

Ramadhan Al-Mubarak itu bergantung kepada persepsi diri kita. Ada orang apabila tiba musim Ramadhan sahaja akan berkobar-kobar semangatnya untuk berniaga. Ini kerana pada bulan Ramadhan inilah, apa sahaja yang dijual akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Nyatakan sahaja. Kuih, juadah berbuka puasa, kain, baju raya dan sebagainya. Begitu juga sesetengah daripada kita apabila sampai sahaja Ramadhan terus teringatkan kepada hari raya. Belum lagi puasa mencecah hari ke-3, sudah berkumandang lagu-lagu raya yang mengingatkan kita kepada kampung halaman yang kita jejakkan kakinya setahun sekali.

Belum lagi dicampur dengan promosi perayaan oleh pasaraya-pasaraya besar yang terdapat di sekeliling kita. Begitu juga dengan rangkaian-rangkaian televisyen di negara kita. Semua pihak berlumba-lumba merebut peluang yang terbuka pada bulan Ramadhan ini. Namun amat malang sekali bagi umat Islam. Ramadhan yang sepatutnya dijanjikan dengan seribu satu ganjaran yang berlipat kali ganda dipandang dari perspektif yang berbeza dan terpesong oleh umat Islam.

Sepatutnya hati kita terlonjak-lonjak kegembiraan untuk menunaikan ibadah-ibadah yang istimewa di bulan Ramadhan ini. Puasa yang tidak diwajibkan pada bulan selain bulan Ramadhan. Solat Tarawih yang hanya dilakukan pada bulan Ramadhan. Begitu juga zakat fitrah yang hanya dilaksanakan pada bulan Ramadhan. Namun kita sering terlupa untuk meningkatkan kualiti puasa kita. Begitu juga kualiti solat Tarawih kita. Begitu juga zakat fitrah kita.

Untuk meningkatkan kualiti ibadah kita maka amatlah perlu kepada ilmu.
Namun malang sering menimpa kita pada hari ini. Kita terlupa untuk mengejar ilmu-ilmu ibadah ini kerana guru-guru kita hanyalah Al-fadhil ustaz tv1, tv2, tv3, ntv7, tv8 dan tv9 yang dekat di hati. Bukan tiada rancangan pendidikan agama di rangkaian ini. Ada! Cumanya ia dalam bilangan yang terhad dan kadang-kadang ditayangkan semasa kita sedang lena diulit mimpi. Maka hanyutlah kita dengan rancangan-rancangan masakan yang diperhebatkan. Rancangan-rancangan televisyen yang sedikit insaf di tv3. Tidak dicampur lagi dengan rancangan-rancangan yang bakal di tayangkan pada hari raya nanti.

Persoalannya, sampai bilakah kita ingin terus lena dan terleka begini. Sampai bilakah kita akan terus rugi walhal Allah telah mempromosikan diskaun-diskaun hebat yang terdapat pada bulan Ramadhan ini. Sampai bilakah kita membiarkan Ramadhan berlalu tanpa mengisi dengan ibadat-ibadat yang sepatutnya? Mungkin kita terfikir tidak mengapa. Tahun depan masih ada lagi Ramadhan. Mungkin ya, mungkin tidak.

Mungkin Ramadhan menjelma ya, untuk orang lain tapi tidak untuk diri kita. Marilah kita kembali mengingatkan diri kita. Betapa peluang terbesar meraih ganjaran yang dijanjikan Allah terbuka luas. Jom kita bersama-sama merebut keberkatan Ramadhan. Janganlah kerana tempahan kuih yang membuak-buak maka kita mengorbankan solat Terawih dan ibadah-ibadah yang lain. Janganlah kerana tempahan kain yang menimbun, maka kita mengorbankan ibadat zikir dan membaca Al-Quran yang mulia.

Sesungguhnya rugi lah kita mengejar dunia yang sementara sedangkan akhiratlah yang sebenar-benar kehidupan. Dunia yang fana ini yang sering dikejar, sedangkan akhiratlah yang akan kekal selamanya. Cukupkah bekalan kita untuk dibawa bersama ke alam sana nanti. Sedangkan kita ini manusia-manusia yang mengembara di atas muka bumi ini. Apabila sampai masanya, maka kembalilah kita kepada pencipta yang Maha Esa. Masihkah kita terus ingin kerugian sedangkan kampung halaman kita memanggil-manggil kita? Syurga itu kampung halaman kita - di sana asalnya kita. Terlalu malang dan celaka untuk diri kita jika kita pulangnya tidak ke sana tetapi ke neraka! Nauzubillah min zalik.

Thursday, August 28, 2008

Hari Ini Dalam Sejarah

Jadi pada hari ini secara rasminya satu lembaran sejarah penting terpahat. Secara rasminya DSAI telah mengangkat sumpah sebagai seorang ahli Parlimen Malaysia yang sah pada hari ini. Dan turut berperanan besar sebagai Ketua Pembangkang Malaysia. Ironinya, jawatan ini mungkin dilucutkan tidak lama lagi. Kerana beliau tidak lagi berperanan sebagai ketua pembangkang tetapi memegang jawatan baru sebagai Perdana Menteri Malaysia ke - 6.

Sebelum ini, ramai yang kabur. Termasuklah saya tidak terkecuali. Apabila Anwar menguwar-uwarkan pertukaran kerajaan pada September 2008, ramai yang memandang sinis akan kenyataan tersebut. Lagilah media-media perdana. Mereka seolah-olah begitu berselera sekali setelah mendapat satu bahan baru untuk memperlekehkan dan memperkecilkan agenda berkenaan. Ekoran serangan bertalu-talu yang dilemparkan oleh media perdana tanpa kenal batas belas kasihan, kita turut menjadi keliru dan kadang-kadang hilang punca.

Bukan sahaja rakyat marhaen, golongan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga ragu-ragu adakah perlaksanaan agenda ini boleh menjadi kenyataan. Sepintas lalu ia mungkin hanya angan-angan. Ditambah dengan serangan kiri dan kanan ekoran isu demi isu terhadap DSAI. Namun ternyata selepas majlis angkat sumpah yang disempurnakan oleh DSAI pada pagi tadi terlihat begitu terang sekali jalan untuk Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Persoalan samada DSAI layak atau tidak menjadi Perdana Menteri kita tolak ke tepi dahulu. Yang nyatanya jelas percaturan yang dibuat telah membuahkan hasil. Seperti yang dinyatakan di dalam tajuk politik dan catur yang terdahulu, jelas pemikiran orang politik begitu kompleks sekali. Jelasnya plan A hinggalah plan Z sudah berada di dalam saku mereka.

Maka hari ini juga, jelas kebimbangan memuncak di pihak yang satu lagi. Apapun kita mengharapkan segala yang berlaku akan memberi sedikit kelegaan dan kebaikan kepada rakyat setelah puas diganyang oleh pemerintah yang langsung tidak peduli akan keperitan, kejerihan dan penderitaan rakyat bawahan. Seperti juga harapan seorang pemberita NTV 7 yang tersiar di internet, semoga perkataan liwat dan bersumpah dapat dilupuskan sementara. Cukuplah buat masa kini.

Tuesday, August 26, 2008

Mari Bersantai

Penat berkempen, mari kita minum dulu...

Puteri Umno yang Insaf



Mari Mengegar Parlimen!!




Sumber : hanief.blogspot.com
nuraflah.blogspot.com

Lembaran Baru Untuk Malaysia

Setelah pelbagai halangan ditempuhi, segala onak duri telah diredahi, setelah keringat membasahi bumi akhirnya hasil yang dinanti menunggu masa untuk dituai. Bukan seorang dua yang menanti untuk menuai hasilnya tetapi hampir keseluruhan rakyat marhaen menunggunya. Menanti hari yang menjanjikan masa depan yang lebih cerah. Masa depan yang lebih baik untuk bangsa Malaysia. Bukan masa depan perut hanya sesetengah golongan yang berkepentingan untuk kroni-kroni dan keluarga sahaja.

Akhirnya Anwar Ibrahim telah berjaya kembali menjadi seorang MP dengan begitu bergaya. Walaupun dengan pelbagai strategi yang disusun oleh SPR untuk menjadikan pilihanraya ini yang terkotor dalam sejarah namun perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Biarpun dengan hari pilihanraya yang diadakan pada hari kerja, senarai daftar pemiih yang meragukan, konspirasi-konspirasi yang memualkan dan pelbagai taktik yang dilakukan - ia akhirnya tidak berjaya menghalang penduduk Permatang Pauh untuk membuat pilihan yang bijak.

Undian mereka bukan hanya mewakili undi penduduk Permatang Pauh sahaja. Tetapi ia mewakili kesuluruhan rakyat Malaysia yang mengharapkan negara Malaysia akan berubah ke arah yang lebih baik. Sebelum ini Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama hampir 51 tahun. Tetapi pengisian kemerdekaan yang boleh diingati oleh minda kita adalah kadar rasuah yang semakin meruncing, kenaikan harga barang yang terus menekan, kehidupan yang semakin sempit dan kerosakan sosial yang semakin menghancurkan generasi muda.

Lalu adakah kita cuba untuk melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan mengharapkan keputusan yang berbeza. Kita ditakut-takutkan dan sering dimomokkan dengan ungkapan jika kita berubah maka kita akan menderita. Akan berlaku pelbagai keadaan yang akan semakin buruk dan menghantui bangsa kita. Lalu kita menunggu hampir 51 tahun untuk menolak segala tomahan yang jelas tiada asas tersebut.

Britain sering bertukar kerajaan. Amerika juga demikian. Parti Demokrat dan Parti Liberal sering berubah-rubah untuk menguasai kerajaan. Rakyat berfikiran rasional untuk memilih kerajaan yang telus dan berfikir untuk kebajikan masyarakat akan diberi keutamaan. Sedangkan di negara ini jelas segala kebobrokan dan penyelewangan dihidangkan kepada rakyat namun mereka takut untuk berubah. Takut jika keluar dari tempurung, maka dunia yang luas terbentang itu terpaksa dihadapi oleh kita.

Manusia akan memusuhi apa yang tidak mereka ketahui. Oleh itu, dengan konkongan media massa yang terus menghantui kita segala sumber maklumat dikuasai dan dimanipulasi sedemikian rupa. Sumpah yang dibuat sedemikian rupa di'make-up' sedemikian rupa untuk membenarkan apa yang dirancang. Lalu ia menghasilkan tindakan yang begitu memualkan sehingga terpaksa didedahkan sendiri oleh seorang iman muda masjid wilayah. Lalu bukan seorang dua yang terkena tempias dosanya, tetapi terus berjangkit kepada hampir seluruh rakyat Malaysia.

Lalu dengan kemenangan ini kita mengharapkan masa depan negara Malaysia yang semakin cerah. Politik yang lebih telus. Kebajikan rakyat yang lebih telus. Pasukan polis yang lebih baik. Pegawai kerajaan yang lebih cekap. Dan pelbagai harapan yang mengunung. Harap-harapnya dengan keadaan yang akan berubah ini, negara dapat menghasilkan suasana yang lebih harmoni. Lebih beragama dan lebih selamat untuk anak-anak dan generasi-generasi kita masa depan.


Sambutan Ramadhan Ala Malaysia

Dalam pada kita sibuk-sibuk membuat persiapan Ramadhan Al-Mubarak, lain pula yang terjadi di tanah air ini. Sambutannya begitu pelik dan tidak pernah dibuat dek orang-orang yang terdahulu. Namun tidak pada alaf millenium ini. Ya! Barisan kabinet kita yang kita gelar jemaah menteri telah memberi kelulusan untuk menjamu mata dan telinga kita pada bulan Ramadhan yang mulia ini dengan konsert Avril Lavigne. Secara tidak langsung untuk menghormati kedatang Ramadhan yang mulia.

Awalnya konsert ini telah dibatalkan oleh Kementerian Kesenian dan Warisan serta PUSPAL yang akan diadakan pada 29 Ogos ini. Namun peliknya ia telah kembali diluluskan oleh jemaah menteri yang baru sahaja dilantik selepas PRU 12 baru-baru ini. Puas kepala saya mencari di mana justifikasi untuk mengaitkan Avril Lavigne dan Ramadhan Al-Mubarak namun minda saya yang terhad kepandaiannya ini tidak berjumpa sebarang petunjuk.

Saya pun tidak kenal sangat siapa Avril Lavigne. Namun saya tahu beberapa lagu beliau yang memang 'hits' dan video-video klipnya yang memang serasi dengan anak-anak muda masa kini. Namun dari segi moralnya ia tidak sama langsung dengan moral agama yang kita anuti dan cuba kita terapkan kepada anak-anak muda Islam pada hari ini.

Bulan Ramadhan bulan yang mulia. Bulan yang penuh keberkatan. Yang mana tiada bulan-bulan yang sama dengannya. Pada bulan inilah perokok-perokok tegar berjaya membuang ketegaran mereka akibat daripada perintah berpuasa. Pada bulan ini jugalah masjid-masjid di mana sahaja berjaya dipenuhi pada waktu malamnya. Pada bulan ini jugalah Al-Quran dibaca dan diperdengarkan seoptimum mungkin. Pada bulan inilah manusia berbondong-bondong mengejar malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan. Dan pelbagai lagi keajaiban yang boleh terjadi pada bulan ini sesuai dengan keistimewaannya yang tersendiri.

Lalu ada sesuatu yang tidak kena apabila konsert ini diadakan pada ketika ini. Walhasil ia datang daripada sebuah parti yang memperjuangkan bangsa dan agama itu sendiri. Dan juga daripada sebuah negara yang dikatakan sebagai negara Islam. Tidak bolehkah Ramadhan itu dibiarkan dengan kesuciannya sendiri. Atau sudah menjadi tradisi ianya perlu dicemari sebagaimana satu masa dahulu pada sambutan alaf baru millenium. Tidak kira lah samada ia bulan Ramadhan, sambutan perlu diteruskan.

Di sini terasa kagum dengan ketegasan jemaah menteri hatta Shafie Apdal itu sendiri. Walaupun dengan bantahan yang keras daripada Dewan Pemuda Pas mereka masih bertegas untuk meneruskannya dengan alasan penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini. Jika begini dangkal alasan yang diberikan oleh seorang menteri apatah lagi yang diharapkan. Ke mana perginya penasihat-penasihat agama yang berada di dalam jemaah menteri itu sendiri?

Kepada pengundi-pengundi yang telah mengundi parti yang memerintah sekarang ini - bergembiralah. Kerana anda juga turut sama-sama mendapat habuan khas mencemarkan bulan yang mulia ini. Tidak mengapa, persetankan sahaja. Kubur masing-masing. Kami hanya mengundi mereka yang membuat keputusan. Islam hadhari lah katakan, apa nak dikata. Yang penting bagi kami perut kami sahaja. Alahai.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails