Tuesday, August 26, 2008

Lembaran Baru Untuk Malaysia

Setelah pelbagai halangan ditempuhi, segala onak duri telah diredahi, setelah keringat membasahi bumi akhirnya hasil yang dinanti menunggu masa untuk dituai. Bukan seorang dua yang menanti untuk menuai hasilnya tetapi hampir keseluruhan rakyat marhaen menunggunya. Menanti hari yang menjanjikan masa depan yang lebih cerah. Masa depan yang lebih baik untuk bangsa Malaysia. Bukan masa depan perut hanya sesetengah golongan yang berkepentingan untuk kroni-kroni dan keluarga sahaja.

Akhirnya Anwar Ibrahim telah berjaya kembali menjadi seorang MP dengan begitu bergaya. Walaupun dengan pelbagai strategi yang disusun oleh SPR untuk menjadikan pilihanraya ini yang terkotor dalam sejarah namun perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Biarpun dengan hari pilihanraya yang diadakan pada hari kerja, senarai daftar pemiih yang meragukan, konspirasi-konspirasi yang memualkan dan pelbagai taktik yang dilakukan - ia akhirnya tidak berjaya menghalang penduduk Permatang Pauh untuk membuat pilihan yang bijak.

Undian mereka bukan hanya mewakili undi penduduk Permatang Pauh sahaja. Tetapi ia mewakili kesuluruhan rakyat Malaysia yang mengharapkan negara Malaysia akan berubah ke arah yang lebih baik. Sebelum ini Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama hampir 51 tahun. Tetapi pengisian kemerdekaan yang boleh diingati oleh minda kita adalah kadar rasuah yang semakin meruncing, kenaikan harga barang yang terus menekan, kehidupan yang semakin sempit dan kerosakan sosial yang semakin menghancurkan generasi muda.

Lalu adakah kita cuba untuk melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan mengharapkan keputusan yang berbeza. Kita ditakut-takutkan dan sering dimomokkan dengan ungkapan jika kita berubah maka kita akan menderita. Akan berlaku pelbagai keadaan yang akan semakin buruk dan menghantui bangsa kita. Lalu kita menunggu hampir 51 tahun untuk menolak segala tomahan yang jelas tiada asas tersebut.

Britain sering bertukar kerajaan. Amerika juga demikian. Parti Demokrat dan Parti Liberal sering berubah-rubah untuk menguasai kerajaan. Rakyat berfikiran rasional untuk memilih kerajaan yang telus dan berfikir untuk kebajikan masyarakat akan diberi keutamaan. Sedangkan di negara ini jelas segala kebobrokan dan penyelewangan dihidangkan kepada rakyat namun mereka takut untuk berubah. Takut jika keluar dari tempurung, maka dunia yang luas terbentang itu terpaksa dihadapi oleh kita.

Manusia akan memusuhi apa yang tidak mereka ketahui. Oleh itu, dengan konkongan media massa yang terus menghantui kita segala sumber maklumat dikuasai dan dimanipulasi sedemikian rupa. Sumpah yang dibuat sedemikian rupa di'make-up' sedemikian rupa untuk membenarkan apa yang dirancang. Lalu ia menghasilkan tindakan yang begitu memualkan sehingga terpaksa didedahkan sendiri oleh seorang iman muda masjid wilayah. Lalu bukan seorang dua yang terkena tempias dosanya, tetapi terus berjangkit kepada hampir seluruh rakyat Malaysia.

Lalu dengan kemenangan ini kita mengharapkan masa depan negara Malaysia yang semakin cerah. Politik yang lebih telus. Kebajikan rakyat yang lebih telus. Pasukan polis yang lebih baik. Pegawai kerajaan yang lebih cekap. Dan pelbagai harapan yang mengunung. Harap-harapnya dengan keadaan yang akan berubah ini, negara dapat menghasilkan suasana yang lebih harmoni. Lebih beragama dan lebih selamat untuk anak-anak dan generasi-generasi kita masa depan.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails