Tuesday, August 26, 2008

Sambutan Ramadhan Ala Malaysia

Dalam pada kita sibuk-sibuk membuat persiapan Ramadhan Al-Mubarak, lain pula yang terjadi di tanah air ini. Sambutannya begitu pelik dan tidak pernah dibuat dek orang-orang yang terdahulu. Namun tidak pada alaf millenium ini. Ya! Barisan kabinet kita yang kita gelar jemaah menteri telah memberi kelulusan untuk menjamu mata dan telinga kita pada bulan Ramadhan yang mulia ini dengan konsert Avril Lavigne. Secara tidak langsung untuk menghormati kedatang Ramadhan yang mulia.

Awalnya konsert ini telah dibatalkan oleh Kementerian Kesenian dan Warisan serta PUSPAL yang akan diadakan pada 29 Ogos ini. Namun peliknya ia telah kembali diluluskan oleh jemaah menteri yang baru sahaja dilantik selepas PRU 12 baru-baru ini. Puas kepala saya mencari di mana justifikasi untuk mengaitkan Avril Lavigne dan Ramadhan Al-Mubarak namun minda saya yang terhad kepandaiannya ini tidak berjumpa sebarang petunjuk.

Saya pun tidak kenal sangat siapa Avril Lavigne. Namun saya tahu beberapa lagu beliau yang memang 'hits' dan video-video klipnya yang memang serasi dengan anak-anak muda masa kini. Namun dari segi moralnya ia tidak sama langsung dengan moral agama yang kita anuti dan cuba kita terapkan kepada anak-anak muda Islam pada hari ini.

Bulan Ramadhan bulan yang mulia. Bulan yang penuh keberkatan. Yang mana tiada bulan-bulan yang sama dengannya. Pada bulan inilah perokok-perokok tegar berjaya membuang ketegaran mereka akibat daripada perintah berpuasa. Pada bulan ini jugalah masjid-masjid di mana sahaja berjaya dipenuhi pada waktu malamnya. Pada bulan ini jugalah Al-Quran dibaca dan diperdengarkan seoptimum mungkin. Pada bulan inilah manusia berbondong-bondong mengejar malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan. Dan pelbagai lagi keajaiban yang boleh terjadi pada bulan ini sesuai dengan keistimewaannya yang tersendiri.

Lalu ada sesuatu yang tidak kena apabila konsert ini diadakan pada ketika ini. Walhasil ia datang daripada sebuah parti yang memperjuangkan bangsa dan agama itu sendiri. Dan juga daripada sebuah negara yang dikatakan sebagai negara Islam. Tidak bolehkah Ramadhan itu dibiarkan dengan kesuciannya sendiri. Atau sudah menjadi tradisi ianya perlu dicemari sebagaimana satu masa dahulu pada sambutan alaf baru millenium. Tidak kira lah samada ia bulan Ramadhan, sambutan perlu diteruskan.

Di sini terasa kagum dengan ketegasan jemaah menteri hatta Shafie Apdal itu sendiri. Walaupun dengan bantahan yang keras daripada Dewan Pemuda Pas mereka masih bertegas untuk meneruskannya dengan alasan penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini. Jika begini dangkal alasan yang diberikan oleh seorang menteri apatah lagi yang diharapkan. Ke mana perginya penasihat-penasihat agama yang berada di dalam jemaah menteri itu sendiri?

Kepada pengundi-pengundi yang telah mengundi parti yang memerintah sekarang ini - bergembiralah. Kerana anda juga turut sama-sama mendapat habuan khas mencemarkan bulan yang mulia ini. Tidak mengapa, persetankan sahaja. Kubur masing-masing. Kami hanya mengundi mereka yang membuat keputusan. Islam hadhari lah katakan, apa nak dikata. Yang penting bagi kami perut kami sahaja. Alahai.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails