Sumber : Dapat dari email seorang rakan. Sekadar berkongsi untuk renungan kita bersama yg berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini
Pada hari Isnin, 17hb. Mac 2008, sebelum memulakan kuliah pengubatan Islam, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din memberikan ulasan ringkas tetapi padat tentang keputusan Pilihanraya Parlimen Arau yang ditandingi oleh beliau. Berikut adalah transkrip ucapan beliau;
Saudara dan saudari sekalian, selesai sudah cerita pilihan raya. Setelah pengumuman keputusan pilihanraya, saya menerima banyak SMS, saya anggarkan hampir 120 semuanya, yang paling ramai mengucapkan takziah serta perasaan dukacita dan sebagainya. Yang saya suka (sambil tersenyum), ada juga yang mengucapkan tahniah.
Apa yang saya ingin nyatakan di sini bahawa, dalam sesuatu perjuangan yang begitu besar, seperti perjuangan untuk mendaulatkan Islam, ia berhajatkan kepada suatu pengorbanan yang cukup besar. Walaupun kemenangan yang semua orang kehendaki dan cita-citakan tetapi hendaklah jangan lari daripada landasan bahawa sesuatu yang besar itu kita tidak mengetahui adakah ia baik atau buruk.
Sebagai contoh, kekayaan, perkahwinan, jawatan dan kemenangan pilihanraya, tidak selama-lamanya ia baik dan tidak selama-lamanya ia buruk. Yang mengetahui kebaikannya dan keburukannya hanya Allah SWT sahaja.
Disyariatkan kepada kita supaya menghadap Allah SWT apabila kita hendak membuat sesuatu kerja-kerja besar. Rasulullah s.a.w. menyuruh kita beristikharah kepada Allah SWT, di antara mesej dalam Istikharah itu kita nyatakan;
Justeru itulah, sebelum menyertai pilihanraya ini, saya lakukan Solat Sunat Istikharah dan saya bermohon kepada Allah SWT, seandainya yang saya lakukan ini adalah baik bagi saya, bagi agama saya, bagi dunia saya dan akhirat saya, hidup saya yang segera, hidup saya yang panjang, sekiranya kesemuanya berfaedah bagi saya, maka Ya Allah saya bermohon agar ianya berjaya dan berilah kekuatan kepada saya untuk menanggung amanah tersebut.
Ya Allah, kalau yang saya buat ini, ianya tidak baik bagi saya, ianya jahat bagi saya, ianya tidak baik bagi agama saya, bagi dunia saya dan akhirat saya, kehidupan saya yang dekat atau yang jauh, jika kesemuanya tidak baik, maka janganlah Engkau anugerahkan kemenangan itu kepada saya. Saya serahkan kepada-Mu ya Allah.
Itulah yang saya bermohon kepada Allah SWT bila menghadapi persoalan yang seumpama ini. Dan akhirnya mendapat jawapan bahawa saya tidak kalah tetapi belum menang lagi. Tidak ada apa yang hendak dikecewakan.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada yang bersimpati kepada saya, yang telah pergi dari Bangi, Kuala Lumpur dan dari tempat lain ke Perlis, yang turut bersama saya berkempen, bergelomang dalam kancah pilihanraya, meninggalkan anak isteri, berkorban masa, wang ringgit, tenaga, baik muslimin dan juga muslimat, saya mengucapkan terima kasih, kesemuanya tidak sia-sia di sisi Allah SWT. Semoga Allah lah yang membalasnya.
Keputusan Pilihanraya Parlimen Arau Perlis
No comments:
Post a Comment