Wednesday, November 24, 2010

Dunia Semakin Tua, Usiaku Semakin Singkat!

Wahai diriku yang faqir.. Sudahkah dipersiapkan bekalanmu? Untuk bekal di sana? Atau akhirat itu sekadar fatamorgana bagimu. Yang mungkin saja ada atau mungkin saja tiada? Kerana jelas perangai dan sikapmu seolah-olah kamu itu bisa sahaja hidup beratus tahun lamanya.

Ketahuilah saudaraku.. Alam semakin menjerit kepada kita. Amaran sang Pencipta kepada kita yang sering terlupa. Merapi menjerit mencetus isi perut yang bisanya bukan sahaja terkena manusia, tetapi haiwan dan tumbuhan juga. Taun menyerang ganas di Haiti dan banjir membelasah cukup-cukup Kedah dan Perlis.

Lalu apakah signifikasinya dengan hidupmu hari ini wahai diri. Adakah ada cetus risau? Cetusan bimbang? Atau tiada apa-apa. Adakah diri ini masih sibuk dengan urusan mencari harta dunia? Mengali lubang hutang di sini dan sana. Lalu mengeluh dari sehari ke sehari berfikir bagaimana untuk menimbus kembali hutang-hutang yang di gali.

Di mana amalmu wahai diri? Cukupkah solat fardhumu? Atau masih jauh dari sempurna. Belum lagi perkara yang sunat. Sudah lepaskah fardhu ainmu? Fardhu kifayahmu? Atau tutup sahaja telinga dan mata pasal kita masih ada lagi besok untuk membaiki diri?

Kelmarin adalah sejarah. Esok adalah belum pasti. Kini sajalah milik diri yang dianugerahkan Allah. Apakah kini diri berada dalam maksiat atau taat kepada Sang Pencipta? Banyakkah bekal untuk di bawa ke negeri yang kekal selamanya? Atau diri ini terus tertipu dengan tipu daya syaitan. Yang akan membuatkan dirimu menyesal di sana nanti.

Wahai diri! Sedarlah dunia itu ibarat perempuan tua yang sudah bongkok tiga, tapi di badannya penuh dengan perhiasan. Andainya kau tahu hakikat dunia yang membusuk seperti najis bisa saja kau lari sekuat hatimu. Hanya kerana sedikit tipu daya kau mengadaikan dirimu untuk dunia. Aduhai diri.

Sedarlah! Bangkitlah dari mimpi. Alam sudah menjerit. Memberi petanda akan kerosakan besar yang bakal terjadi. Hanya dengan kasih dan rahmat Allah sahaja engkau terselamat. Maka wahai diri, carilah gurumu. Pintalah tunjuk ajarnya. Membawa kamu ke jalan yang benar.

Wahai umat. Diriku bersama denganmu. Tapi adakah diri dan umat akan terus hanyut dan lena diulit mimpi yang panjang. Atau kembali terjaga dan merujuk kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah. Atau nafsu akan terus beraja di mata, bersultan di hati. Sungguh diri engkau sentiasa tertipu!! Hanya kembali kepada tuhanmu sahaja yang bisa menyelamatkan dirimu dari nafsu dan diri.

Tuesday, November 23, 2010

Tulisan Itu Amanah

Niat di hati memang teringin sangat nak update blog ni. Banyak sungguh yang ingin di kongsi. Tetapi dalam masa yang sama hati juga berat untuk membenarkan jari ini menaip bait-bait ayat. Pelbagai persoalan dan tanda tanya menghantui diri.

Sesungguhnya setiap amal dan perbuatan anak adam itu akan ditanya oleh tuhanNya Yang Maha Mengetahui. Namun ramai yang semakin tuli, buta dan bisu dalam perihal ini. Itulah yang menghantui benakku selama ini. Apakah tulisan-tulisan aku di sini benar-benar ikhlas niatnya kerana Allah. Untuk mengajak pembaca-pembaca kembali mengingati tuhannya.

Atau tulisan aku selama ini hanyalah kerana menurut hawa nafsu diriku yang serba lemah ini. Semakin sebak di dada ini apabila seringkali aku melayari tulisan-tulisan di alam internet ini, seolah-olah mereka itu sudah lupa mereka ada tuhan Yang Maha Menguasai. Penuh dengan maki-hamun, penuh dengan prasangka, penuh dengan emosi dan pelbagai hal keadaan lagi. Sedarlah sahabat-sahabat kita akan dipertanggungjawabkan pada suatu hari nanti atas semua tulisan-tulisan kita.

Tulisan-tulisan ini juga boleh menambahkan pahala dan dosa kita sekaligus pada masa yang sama. Setiap tulisan dapat mempengaruhi pembaca akan dinilai samada ia mempengaruhi ke arah yang hak atau yang batil. Janganlah sampai tulisan kita menyebabkan langkah kita ke neraka menjadi lebih luas lagi.

Lebih-lebih lagi dengan fenomena facebook hari ini yang memungkinkan 1001 kemungkinan. Baik digunakan, baiklah jadinya. Buruk digunakan, buruklah jadinya. Mungkin video di bawah ini sesuai untuk menjadi renungan kita. Jangan sampai facebook menjadi alat untuk kita mengandakan dosa-dosa kita. Nauzubillah minzalik.



p/s: tahniah kepada sahabat saya si M@t@haw yang kini dah pandai berblogging. Semoga sama-sama dapat berkongsi ke arah kebaikan.



Wednesday, September 29, 2010

Majlis Sambutan Haul Imam al-Haddad Bagi Tahun 1431H/2010M

Jangan kita lepaskan peluang untuk bersama-sama dengan ulama' ahlul bait yang muktabar ilmunya. Semoga sama-sama mendapat manfaat. Untuk jadual penuh boleh rujuk kepada alhawi.net atau di sini.

Sunday, July 25, 2010

Bulan Syaaban Bulan Barakah

Intisari daripada tausiah yang disampaikan oleh Habib Soleh Al-Aydrus di Ba'alawi KL.

Sesungguhnya bulan Sya'aban adalah bulan yang dipenuhi dengan keberkahan. Jika bulan Rejab merupakan bulan penanaman benih-benih ibadat dan amalan, maka bulan Syaaban adalah bulan untuk menyirami benih-benih tersebut. Semetara bulan Ramadhan pula adalah bulan untuk memetik hasil daripada benih-benih ketaatan dan ibadah ini.

Bulan Syaaban juga disebut sebagai bulan Rasulullah Sallahualaih wasalam. Di bulan inilah Allah mengurniakan pelbagai mukjizat yang besar kepada Rasulullah Sallahualaih wasalam. Pelbagai peristiwa besar juga berlaku pada bulan Sya'aban ini.

Peristiwa pertama adalah peristiwa pertukaran kiblat daripada Baitul Maqdis kepada Masjidil Haram. Semasa di Makkah nabi sering solat di Rukun Yamani kerana kedudukannya adalah menghadap kepada dua kiblat iaitu Baitul Maqdis dan Kaabah sekaligus. Nabi solat kerana tidak mahu membelakangkan Ka'abah. Namun apabila berada di Madinah, perkara tersebut tidak dapat dilakukan oleh Rasulullah Sallahualaih wasalam.

Nabi sering mengangkat mukanya ke langit dengan harapan akan turunnya wahyu supaya kiblat umat Islam diubah ke Masjidil Haram namun malu untuk diluahkan kepada Allah. Pada masa ini kaum Yahudi sering mengejek umat Islam kerana mereka beribadat juga menghadap masjidil haram.

Sehinggalah 16 bulan selepas Nabi berhijrah ke Madinah, maka turunlah perintah Allah untuk menukarkan kiblat umat Islam daripada baitul Maqdis kepada Masjidil Haram. Dan ini berlaku pada bulan Sya'aban.

Peristiwa kedua yang berlaku adalah pada bulan Syaaban tahun ke-5 kerasulan nabi. Di mana peristiwa bulan terbelah dua berlaku di Jabal Sofa. Allah juga menurunkan ayat memperbanyakkan selawat/solat ke atas nabi. Tiadalah satu ibadat pun yang mana diperintahkan oleh Allah kepada hambanya kecuali dilakukan dilakukan oleh Allah atas perintah Selawat ini. Ayat " sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas nabi, wahai orang-orang yang beriman maka selawat dan salamlah kamu ke atas nabi". Selawat merupakan pengikat antara kita dan Rasulullah. Dikatakan tiadalah amalan yang diterima tidak kira kita ikhlas atau tidak namun tetap diterima adalah selawat ke atas nabi.

Bulan Syaaban adalah bulan yang mana setiap amal ibadat orang-orang yang beriman akan dilaporkan secara tahunan kepada Allah S.W.T. Pada malam nisfu Syaaban inilah berlakunya peristiwa itu. Maka Rasulullah akan memperbanyakkan berpuasa pada bulan Ramadhan. Pada malam ini juga Allah akan menunjukkan senarai nama-nama manusia yang akan meninggal pada tahun itu. Secara tidak langsung ia sebagai penambah semangat untuk kita terus memperbanyakkan ibadat kita dan turut menjadi ancaman kepada ahli-ahli maksiat. Mana mungkin tidak, pada malam inilah nama kita akan tersenarai samaada kita masih dapat bernafas sehingga ke malam nisfu Syaaban yang berikutnya atau nama kita telah terpilih daftar sebagai ahli kubur pada tahun ini.

Di akhir tausiah beliau, Al-habib telah mengingatkan bahawa umur 40 tahun adalah merupakan peringatan yang paling penting kepada manusia. Apabila manusia sudah berumur 40 tahun, dia haruslah mempunyai senjata-senjatanya yang tersendiri untuk menghadapi dan di bawa ke akhirat. Yang pertama, apabila sudah berumur 40 tahun mestilah kita mengikat tempat tidurnya iaitu kita tidak mudah berehat dan tidur kerana kematian sudah hampir. Kedua kita harus menghargai setiap detik umur kita. Ia perlu diisi dengan ibadah dan perkara yang bermanfaat dan janganlah disia-siakan begitu sahaja.

Ketiga kita harus menyakini diri kita sedang musafir kepada Allah. Maka persiapkanlah sebaik-baik bekalan apabila masanya telah tiba untuk kita menghadap Allah. Yang keempat, kita tidak boleh lagi merebbut dunia dan mengutamakan dunia dan yang terakhir kita tidak boleh bergembira dengan kedudukan dan pimpinan yang diberikan kepada kita. Kerana itulah Imam Syafie telah memakai tongkat selepas berumur 40 tahun. Apabila ditanya oleh muridnya mengapa beliau memakai tongkat sedangkan beliau masih kuat dan muda maka dijawab oleh beliau bahawa tongkat tersebut adalah untuk mengingati dirinya bahawa beliau sudah tidak muda lagi. Wallahualam.

Tuesday, July 13, 2010

gelaran "Solehah'

Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita untuk menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima habuan syurga yang penuh keni'matan dari Allah s.w.t. . Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat sahaja, iaitu:

1. Taat kepada Allah dan RasulNya
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut:

1- Taat kepada Allah dan RasulNya.
- Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
- Wajib menutup aurat.
- Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah.
- Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki ajnabi kecuali ada bersamanya mahramnya.
- Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan takwa.
- Berbuat baik kepada dua ibubapa.
- Sentiasa bersedekah samada dalam keadaan susah ataupun senang.
- Tidak berkhalwat dengan lelaki ajnabi.
- Bersikap baik terhadap jiran tetangga.

2. Taat kepada suami.
- Memelihara kewajipan terhadap suami.
- Sentiasa menyenangkan suami.
- Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya semasa suami tiada di rumah.
- Tidak cerewet.
- Tidak menolak ajakan suami untuk tidur.
- Tidak keluar tanpa izin suami.
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya.
- Sentiasa memelihara diri, kebersihan fizikal dan kecantikannya serta kebersihan rumahtangga.

FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA

Apabila kita melihat bahawa punca rendahnya martabat wanita adalah datangnya dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaiamana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.

Faktor-faktor tersebut ialah:

1- Lupa mengingati Allah

Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan aktiviti luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairan jika ramai wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingati Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: Ertinya: " Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya."

Sabda Rasulullah s.a.w.: Ertinya: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang aku sampaikan." (Riwayat Tarmizi)

Mengingati Allah s.w.t. bukan sahaja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu, muzakrah atau sebagainya.

2- Mudah tertipu dengan keindahan dunia

Keindahan dunia dan keseronokkannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan setakat itu sahaja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Bukan sedikit yang sanggup menderhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana keni'matan dunia yang terlalu sedikit.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An'am: Ertinya:" Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir."

Moga ada manfaat.

والله أعلم

disalin tampal dari Sahabat Raudah

Tuesday, May 25, 2010

Kad Kafani Ilmu Robi - Cukup Bagiku Pengetahuan Tuhanku

Marilah kita sama-sama menghayati satu mutiara Qasidah daripada Al Arifbillah Al-Imam Abdullah Bin Alawi Al Haddad sebagai pegangan hidup kita. Beliau merupakan seorang ulama' dan wali kutub yang khazanah dan permata ilmunya terus dipakai dan diamalkan oleh umat Islam sehingga hari ini.



قد كفاني علم ربي

قَدْ كَفَانِي عِلْمُ رَبِّي
Cukup bagiku pengetahuan Tuhanku
مِنْ سُؤَالِي وَاخْتِيَارِي
Daripada permintaan dan usahaku
فَدُعَـائِي وابْتِهـَالِي
Doa serta permohonanku
شَـاهِدٌ لِي بِافْتِقَارِي
Sebagai bukti pada kefakiranku


فَلِهَذَا السِّرِّ أَدْعُـو
Oleh kerana rahsia itu aku berdoa
فِي يَسَارِيْ وَعَسَارِي
Pada saat aku senang dan susah
أَنَا عَبْدٌ صَارَ فَخْرِي
Aku adalah hamba, menjadi kebanggaanku
ضِمْنَ فَقْرِي وَاضْطِرَارِي
Dalam kefakiran dan keperluanku

يَا إِلَـهِي وَمَلِيْـكِي
Wahai tuhanku yang memiliki aku
أنْتَ تَعْلَمُ كَيْفَ حَالِي
Kau Maha tahu akan keadaanku
وَبِمَا قَدْ حَـلَّ قَلْبِـي
Dan apa yang berada dalam hatiku
مِنْ هُمُوْمٍ وَاشْتِغَالِـي
Dari kesedihan dan kesibukanku

فَتَـدَارَكْنِي بِلُطْفٍ
Maka tolonglah aku dengan kelembutan
مِنْكَ يَا مَوْلَى الْمَوَالِي
Dari-Mu Wahai Tuhan seluruh hamba
يَا كَرِيْمَ الْوًَجْهِ غِثْنِي
Wahai yang Maha Pemurah tolonglah hamba
قَبْلَ أنْ يَفْنَى اصْطِبَارِي
Sebelum lenyap kesabaran hamba

يَا سَرِيْعَ الْغَوْثِ غَوْثًا
Wahai pemberi pertolongan dengan segera
مِنْكَ يُدْرِكْنَا سَرِيْعًا
Berilah kami dengan segera pertolongan-Mu
يَهْزِمُ الْعُسْرَ وَيَأْتِي
Yang dapat menghilangkan kesulitan dan dapat mendatangkan
بِالَّذِي نَرْجُو جَمِيْـعًا
Dengan apa-apa yang kami harapkan semua

يا قَرِيْـبًا يا مُجِيْـبًا
Wahai yang Maha dekat, dan menjawab
يا عَلِيْمًا يا سَمِيْـعًا
Wahai yang Maha mengetahui dan mendengar
قَدْ تَحَقَّقْتُ بِعَجْزِي
Aku mengaku akan kelemahanku
وخُضُوْعِي وانْكِسَارِي
Dan ketaatan serta kesedihanku

لَمْ أَزَلْ بِالْبَابِ وَاقِفْ
Aku sentiasa menunggu di hadapan pintu rahmat-Mu
فَارْحَمَنْ ربِّي وُقُوْفِي
Wahai Tuhanku berikanlah rahmat padaku
وبِوَادِي الْفَضْلِ عَاكِفْ
Pada lembah kurnia-Mu aku berada
فَأَدِمْ ربِّي عُكُـوْفِي
Wahai Tuhanku tetapkanlah keberadaanku disana

ولِحُسْنِ الظَّنِّ لاَزِم
Aku sentiasa mempunyai prasangka baik
فَهُوَ خِلِّي وحَلِيْفِي
Ia (prasangka baik) adalah teman dan kawanku
وأَنِيْسِي وجَلِيْسِي
Juga penyenang bagiku dan yang setia bersamaku
طُوْلَ لَيْلِي ونَهَارِي
Sepanjang malam dan siangku

حَاجَةً فِي النَّفْسِ يَا ربّ
Wahai Tuhanku, dalam jiwa ini terdapat hajat
فَاقْضِهَا يا خَيْرَ قَاضِي
Tunaikanlah Wahai yang Maha Menunaikan
وأَرِحْ سِرِّي وقَلْبِي
Tenteramkanlah rahsia dan hatiku
مِنْ لَظاَهَا والشُّوَاظِ
Dari kebimbangan dan pergolakannya

فَالْهَنَا والْبَسْطُ حَالِي
Sungguh aku akan berada dalam ketenteraman dan ketenangan
وشِعَارِي ودِثَارِي

Dan juga (ketenteraman dan ketenangan) menjadi pakaianku
Lirik diambil dari alhawi.net

Tuesday, May 18, 2010

Rasuah Akhir Zaman

Tanda-tanda akhir zaman menandakan dunia semakin menghampiri kiamat sudah semakin jelas. Pada masa kini, manusia sudah tidak tahu menilai mana yang halal dan mana yang haram. Sejelasnya segala kejelekan dan larangan Allah dilakukan secara terang-terang. Tanpa bantahan pula, malah yang menyokong lagi ramai daripada yang membantah.

Pemimpin boleh sahaja berjanji itu dan ini. Tapi bila dah berani 'offer' rasuah macam ini, tunggulah kita akan kemurkaan Allah taala. Nauzubillah min zalik.



Allah.. Allah.. Masih ada lagikah ulama' yang berani untuk menegur kemungkaran ini secara terang. Berbangga dengan rasuah yang telah dilakukan, menyalahgunakan duit rakyat. Namun, perhiasan dunia menyilaukan mata kita ditambah dengan 'baik punya backup' dari media-media 'kita punya'. Nauzubillah hi min zalik.

Friday, May 14, 2010

Dunia Menangis Lagi

Semalam petang hujan turun begitu lebat sekali sebelum waktu Asar. Sewaktu azan Asar dikumandangkan, petir dan guruh masih lagi berbunyi dan sambar menyambar. Hujan turun begitu lebat sekali sehingga membuatkan saya lenjun sewaktu menuju ke masjid yang berada hanya seratus meter di depan rumah saya.

Masya Allah. Selepas Asar hujan lagi masih menangis. Merintih seolah-olah tidak mahu berhenti. Jalan raya di depan masjid sudah kelihatan dipenuhi air. Banjir kilat terjadi kebiasaannya jika hujan yang turun lebat dan lama.

Tapi apa yang terjadi semalam begitu luar biasa. Seolah-olah sesuatu telah terjadi. Namun diri yang pendosa ini tidak menangkap erti alamat yang ingin diungkapkan oleh alam semesta ini. Sehinggalah pada pukul sekitar enam lebih, sahabat yang dihormati dan dicintai - Ustaz Lah AlFanshuri menelefon dan memberitahu.
" Habib Ali Batu Pahat telah kembali ke rahmatullah petang tadi(khamis semalam bersamaan petang jumaat) pada pukul 5.10. Allahu Allah. Baru sahaja genap 40 hari pemergian seorang wali Allah Habib Abdul Qadir Assegaf kembali ke rahmatullah, seorang lagi wali Allah di tanah Melayu ini dipanggil Allah.

Patutlah alam begitu dukacita. Begitu sedih menyambut pemergian alhabib. Alhabib yang begitu zuhud di rumah kecilnya di belakang Batu Pahat mall tidak keluar rumah selama 40 tahun untuk mengabdikan diri kepada Tuhan yang dikasihi.

Ya Allah. Adakah ini tandanya rahmat mu semakin kecil untuk kami? Satu demi satu musibah kedukaan terlempar ke atas kami. Seorang demi seorang kekasih kekasih dan walimu dipanggil Allah. Al-Fatihah untuk Habib Ali Jaafar Al Aydrus, seorang wali Allah yang dikenali seantero ulama' di dunia Islam. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin ya robb.

Friday, April 30, 2010

Tazkirah Jumaat

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: "Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."
1: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan
percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT.
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan
kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat
persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

3 : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing
merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan
membantu orang yang dizalimi.

4: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan
nasihat menasihati.

5 : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan
sanggup menanggung kesusahan.

6: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI
AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka
membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada
ibubapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan
memperelok akhlak.

8: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala,
bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

9: HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat,
bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan
bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

10: HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari
kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."

Kredit untuk Syed Ikhwan.

Wednesday, April 28, 2010

Kapal Nabi Nuh Ditemui?

Nampaknya satu penemuan yang mengemparkan dunia didedahkan pada semalam. Sebuah kapal purba yang dikatakan berusia 4800 tahun ditemui di Gunung Ararat, Turki. Usia kapal itu dikatakan hampir sama dengan peristiwa banjir besar yang berlaku semasa zaman Nabi Nuh dahulu. Walaupun belum dapat disahkan 100%, tetapi 99.9% dikatakan peninggalan kapal Nabi Nuh alaih salam.

Sememangnya sebagai umat Islam, peristiwa banjir besar ini wajib dipercayai 100% begitu juga dengan kewujudan kapal nabi Nuh. (Jangan salah faham, disini penulis tidak menyatakan kapal ini sememangnya kapal nabi Nuh kerana ia perlu di analisis terlebih dahulu). Namun yang menjadi ralat pada kita kerana usaha ini jelas dipelopori oleh orang bukan islam.

Sewajibnya, usaha ini perlu dipelopori oleh umat Islam dan bukan umat lain. Tetapi memandangkan betapa lemah dan berpecahnya ummah pada hari ini ternyata kita hanya memandang dari jauh penemuan ini. Untuk berita lanjut boleh teliti di sini.

Juga video penemuan kapal tersebut di bawah.


Tuesday, April 27, 2010

Semoga dia ditempatkan di Syurga

Kelmarin Ahad, kawang ke kuliah tafsir Habib Ali Zainal Abidin di Ba'alawi. Begitu halus dan mendalam tafsiran yang dibuat oleh murid al-Muhaddis Habib Umar Al-Hafidz ini. Penafsiran yang jarang didengar dan huraian yang begitu mendalam. Patutlah. Beliau memang pakar dalam bidang tafsir dan kini sedang mengambil Phd di dalam bidang ini di UIA.

Kebetulan pula, tafsir kali ini menyambung siri tafsir dari Surah Al-Kahfi. Tetapi kali ini, sudah melangkaui kisah pemuda Kahfi yang lari ke sebuah gua untuk menyelamatkan akidah dan agama mereka dari raja yang zalim. Bersama mereka, hadir seekor anjing yang turut sama menjadi penjaga mereka di pintu gua. Walau dihalau dan diusir beberapa kali namun cekal untuk memilih bersama orang-orang yang soleh ini.

Ironinya, kisah kali ini adalah kisah mengenai pertemuan di antara Nabi Musa alaih salam bersama saudaranya Yusa' bin Nun untuk bertemu seorang hamba Allah yang diberikan ilmu yang tidak ada pada nabi Musa alaih salam.

Sekilas kita membaca terjemahan surah Al-Kahfi ini, kita seolah-olah melihat Allah memerintahkan Nabi Musa alaih salam pergi berjumpa Nabi Khaidir alaih salam kerana seolah-olah merasa dirinya yang paling alim. Tetapi bukanlah tujuan nabi Musa alaih salam untuk merasa yang sedemikian. Perkara ini terjadi selepas Nabi Musa alaih salam ditanya oleh pengikutnya setelah memberikan satu khutbah siapakah yang paling alim di dunia ini. Lalu dijawab oleh Nabi Musa alaih salam 'Akulah yang paling alim'. Sekilas bicara seolah-olah Nabi Musa alaih salam menjawab secara bongkak namun bukan begitu. Baginda menjawab atas kapasiti pada masa itu beliau merupakan seorang rasul, Ulul Azmi dan orang yang pernah berbicara dengan Allah. Lalu sampailah wahyu yang menyuruh baginda mencari seorang hamba Allah yang dikurniakan kelebihan oleh Allah dengan ilmu yang tidak ada pada nabi Musa alaih salam.

Di sini terdapat pengajaran yang halus. Di mana untuk memperolehi sesuatu ilmu itu perlulah ia didatangi dan dicari dan bukan ia datang dengan sendirinya. Ilmu itu juga diperolehi dengan susah payah dan bukan dengan senangnya datang mencari kita.

Di dalam pertemuan Nabi Musa alaih salam dan Nabi Khaidir alaih salam juga tersirat beberapa adab dalam menuntut ilmu di antara seorang murid dan guru. Walaupun seorang guru sudah mengetahui hasrat seorang murid untuk belajar dengannya tetapi seorang murid mesti meminta izin untuk belajar dari gurunya terlebih dahulu.

Nabi Khaidir alaih salam juga telah memberi peringatan kepada Nabi Musa alaih salam bahawa baginda tidak akan dapat bersabar dengan Nabi Khaidir alaih salam. Tetapi Nabi Musa alaih salam terus juga ingin menuntut ilmu tersebut. Disinilah tersirat bahawa tidak salah untuk kita mencuba belajar sesuatu ilmu itu walaupun susah dan jangan terlalu cepat dan mudah kita berputus asa.

Diringkaskan di sini peristiwa pelik kedua yang berlaku adalah apabila Nabi Khaidir alaih salam dan Nabi Musa alaih salam bertemu dengan seorang budak lelaki yang mana baik paras rupanya dan cergas perilakunya. Namun budak itu ditangkap oleh Nabi Khaidir alaih salam lalu dibunuh oleh Baginda. Peristiwa ini membuatkan nabi Musa alaih salam tidak dapat bersabar dan menegur Nabi Khaidir alaih salam apakah dosa budak ini sehingga sewaktu dia muda dan tidak berdosa lagi telah dibunuh.

Lalu dijawab oleh Nabi Khaidir alaih salam bahawa Nabi Musa tidak akan dapat bersabar dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Khaidir alaih salam. Lalu di akhir pengembaraan mereka Nabi Khaidir alaih salam memberitahu Nabi Musa alaih salam bahawa anak yang dibunuh itu adalah anak kepada dua orang suami isteri yang soleh. Ditakuti apabila dia besar nanti dia akan menjadi kufur dan mengajak ibu bapanya turut menjadi kufur.

Namun, pengajaran yang paling besar di sini adalah Allah melindungi hamba-hambanya yang beriman dengan cara yang tidak sampai akal kita untuk mengetahuinya. Allah mengizinkan Nabi Khaidir alaih salam untuk membunuh anak kecil itu supaya iman kedua orang ibu bapanya yang soleh itu terpelihara. Allah juga tidak menghampakan harapan dan doa ibu bapa yang soleh itu. Dengan kematian anak itu, sudah pasti syurga adalah tempat istirehatnya. Sudah tentu menjadi harapan setiap ibu bapa supaya anak mereka ditempatkan di tempat yang sebaik-baik tempat akhiran berbanding jika dia besar dan kufur kepada Allah.

Selepas itu, Allah menggantikan anak yang mati dibunuh tadi dengan seorang anak wanita yang jauh lebih baik. Daripada anak wanita ini, lahirlah ramai anbiya dan rasul-rasul yang mulia dari keturunan bani Israel. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Penyayang.

Hari ini juga hati menangis apabila teringatkan seorang anak remaja yang bernama Aminul Rashid Hamzah(15 tahun) mati ditembak di kepala di Seksyen 11 Shah Alam. Sekurang-kurangnya 4 das tembakan dilepaskan(menurut saksi hampir 10 das tembakan dilepaskan).

Boleh sahaja kita marah, kesal, mencarut dan maki hamun pihak polis. Tetapi saya memilih untuk merenung kembali kisah Nabi Musa dan Nabi Khaidir alaih salam yang hampir sahaja kebetulan disuakan kepada saya.(adakah kebetulan?) Saya menginsafi diri dan berserah kepada Allah kerana Dialah yang lebih mengetahui segala hikmahnya.

Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Dan keadilan dalam perkara ini dapat ditegakkan walaupun keadilan yang hak itu adalah kepunyaanNya semata-mata. Doa kami bersamamu adik Aminul Rashid. Al-Fatihah.


Monday, March 29, 2010

Yahoo... Runtuh Lagi...!!!

Lepas satu, satu perkara pelik di dalam negeri 1Malaysia pada hari ini. Abaikan sahaja sabda-sabda nabi tentang perkara akhir zaman. Kerana perut dan poket itu lebih penting. Kehidupan dunia yang fana itulah yang dicari, bukan hidup hakiki di akhirat yang dicari.

Baru sahaja kepala kawang pening macam mana pelakon star porno Malaysia boleh dilantik kembali menjadi presiden satu parti komponen BN, bertambah pulak satu cerita lain. Tapi yang peliknya kemenangan pelakon porno disambut dengan kegembiraan oleh yang terbijak Perdana Menteri satu Malaysia. Akal warasku memang separuh mereng berfikir. Mana mungkin seorang manusia yang jelas-jelas rosak akhlak seperti ini masih lagi diterima sebagai pemimpin. Malah dengan selamba dan tanpa malu boleh menebalkan mukannya untuk muncul di kaca televisyen setiap hari. Aduhai Malaysia Boleh!

Tapi berita yang gempar juga lah agaknya(pasal cari dekat utusan dengan Berita Hairan - tak keluar cerita ini) adalah pasal berlaku satu bangunan runtuh. Ye! Runtuh! Agaknya ini satu lagi projek pembangunan yang dicanangkan oleh kerajaan negeri. Tapi tak kisahlah agaknya, pasal kalau ikut kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Terengganu, Yahya Khatib Mohamad bangunan runtuh ni satu rahmat untuk rakyat Terengganu. Tak percaya? Boleh tengok video klip dia kat situ.

Patutlah bangunan kat Terengganu selalu runtuh. Pasal ia menandakan banyak rahmat turun untuk rakyat Terengganu. Aduh! Apa sebenarnya terjadi ni? Kalau macam ni, baiklah aku suruh budak darjah lima jadi exco negeri. Sama je tahap pemikiran dia. Politik melayu semakin memualkan.



Nasib baik yang runtuh dalam pembinaan. Tapi ada jugalah nyawa insan yang terkorban. Agak-agak kalau bangunan runtuh semasa pelajar-pelajar UMT tengah belajar macam mana ya? Nyawa anak-anak jadi pertaruhan dek kerana nafsu serakah manusia?

Sekarang ni nak buat macam mana? Macam biasalah kot, buat siasatan. Lepas tu tutup je kes tu. Tak siapa berani lawan pun. Kes-kes lain berlambak-lambak.. tak tahu bila nak selesai. Yang jelas, manusia semakin tak takut tuhan. Tak kenal nabi. Tak kenal dosa. Sebab tu lah depa berani buat macam depa tak mati-mati. Aduhai, Teganu Kite!


Friday, March 26, 2010

Open Our Eyes!!

Betapa kita tidak menghargai indahnya ciptaan Illahi. Dek kerana nafsu dan ego diri, manusia merasakan dirinyalah sebagai raja yang menguasai alam ini. Sembrono memuaskan apa yang dihajati sehingga terlupa akan asal kejadian diri sendiri.

Tidak sepatutnya terjadi penderaan kanak-kanak yang berleluasa saban hari. Tidak sepatutnya terjadi pembuangan bayi yang berleluasa kini. Tidak sepatutnya terjadi peperangan yang memakan bukan sedikit korban yang tidak berdosa.

Kita punya mata - tetapi tidak dapat melihat. Kita punya hati - tetapi naluri kita lebih kejam dari seekor binatang buas. Kita punya rasa - tetapi tidak merasa. Berhenti lah sekejap dan bukalah mata kita. Melihat kembali kebesaran yang Maha Esa dan rasalah betapa kerdilnya kita sebagai manusia di muka bumi ini.

Monday, March 22, 2010

Salahkah Aku Mencintaimu ?

Aku tidak pernah menyamakan dirimu sebagai tuhan. Di situ ada batas seperti yang disebut dalam bait-bait Qasidah Burdah karangan Imam Al-Busyiri. Selain daripada di atas, maka pujilah Rasul mu sekehendak hatimu. Ia adalah amalan sahabat-sahabat dan solaful soleh yang terdahulu darimu.

Allahuma Soli Ala Saidina Muhammad, Wa Ala Ali Muhammad.





Hayatilah bait-bait lagu di atas.

Monday, February 22, 2010

Maulid Nabi Pun Bidaahkah ?

(p/s:Tak payah kita bergaduh pasal Maulidur Rasul. Nak buat silakan. Tak ingin buat - duduk diam-diam sahaja.)

Mengenai Maulid Nabawi:
Kita sedia maklum "eid" cuma pada hari raya Aidil Fitri dan hari raya AidilAdha sahaja. Akan tetapi "youm elmaulid" lebih besar dan lebih agung dari hari raya, kerana tanpanya takkan wujud nuzul Al-Quran, Isra' dan Mikraj dan sebagainya. (m/s 10)

Kenapa kita merayakannya ?

Kita merayakannya kerana melahirkan rasa gembira dengan Nabi S.A.W , juga kerana melahirkan rasa kasih kepada junjungan Besar kita Nabi S.A.W. Kita berkumpul merayakannya untuk mendengar sirahnya dan menghayati "madeh" yang terkandung padanya sifat-sifat mulia NabiS.A.W(ms/ 12)

Perhimpunan ini merupakan "wasilah kubra" yang dikira sebagai "dakwah ila Allah Subhanahu Wa Ta'ala, yakni menyeru manusia kepada Allah Taala". Saat ini merupakan peluang keemasan. Bahkan menjadi kewajipan ke atas pendaie’ dan ulama' memperingatkan ummah terhadap Nabi S.A.W pada perkara-perkara yang berkaitan dengan akhlaknya,sirahnya , cara muamalahnya dan ibadat nabi s.a.w .(m/s 12)

Siapakah yang mula-mula nerayakan Maulid Nabawi?

Yang mula-mula merayakannya ialah Nabi S.A.W .sepertimana yang termaktub di dalam hadith sohih yang diriwayatkan oleh Muslim R.A : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab: Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku. m/s 15)

Adakan disyaratkan kita berpuasa pada hari perayaan maulid?

Jawapannya : terserahlah pada individu.(m/s 20)

Dalil yang menunjukkan harus merayakan Maulid Nabawi:

Bahawasanya kita melahirkan rasa gembira dengan Nabi S.A.W adalah sesuatu yang dituntut sebagaimana didalam surah Yunus ayat 58.Bergembira dengan Rasulullah S.A.W. adalah dituntut.

Firman Allah Taala bermaksud:
Katakanlah dengan kelebihan Allah dan rahmatNya maka demikian hendaklah mereka bergembira (Surah Yunus: Ayat 58)


Allah Ta’ala menyuruh kita supaya bergembira dengan rahmatNya maka Rasulullah S.A.W. adalah sebesar-besar rahmat.

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan tidaklah Kami utuskan kamu kecuali sebagai rahmat kepada sekalian alam.
(Surah Al-Anbiya: Ayat 107).

Maulidur Rasul akan menganjurkan kita untuk sentiasa berselawat dan salam yang sangat dituntut ini kepada Baginda S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud:
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Sambutan maulid adalah satu amalan baik yang diterima ulama dan umat Islam di serata tempat. Ia dilakukan di setiap penjuru dunia dan ia tentulah dituntut berdasarkan kaedah yang telah diterima pakai dari sebuah hadis Ibnu Masud:

Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah. (Riwayat Ahmad).

Perayaan Maulid dapat mengumpulkan kebanyakkan orang untuk membaca beberapa ayat al-Quran. Kemudian menerangkan kepada kita jalan-jalan dakwah yang dlaksankan oleh Nabi S.A.W sejak mula diutuskannya Rasulullah S.A.W. Pada majlis itu dihidangkan dengan makanan sebelum para hadirin kembali ke tempat masing-masing. Dengan tidak berlebihan saya katakan bahawa perayaan semacam itu tergolong dalam bidaah hasanah yang bila dilakukan akan mendapat pahala. Mereka telah mengagungkan kedudukan Nabi S.A.W. dan melahirkan kesyukuran mereka di atas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. sebagai penghulu umat.

Sesungguhnya "Maulid Nabawi" terangkum hal-hal yang berkaitan dengan kelahiran Nabi S.A.W, sirah Nabi S.A.W membicarakan tentang mukjizat Nabi S.A.W . sebagaimana yang kita maklum, kita semua disuruh atau diperintah beriman dengan mukjizat-mukijizat Nabi S.A.W dan membenarkannya. Dengan mengadakan maulid ,secara tidak lansung hal-hal sedemikian dapat kita fahami dan mengingatkan semula sirah Nabi S.A.W.

Bahawasanya dengan mengetahui "syamail" ,"mukjizat" dan "irhosah" menjadikan iman kita lebih sempurna dan menambahkan kecintaan kepada Nabi S.A.W .sedangkan kecintaan yang lebih dan keimanan yang sempurna merupakan suatu yang dituntut oleh syara'.

Sesungguhnya sambutan maulid ini adalah satu amalan baik yang diterima ulama dan umat Islam di serata tempat dan dilakukan di setiap penjuru dunia dan ia tentulah dituntut berdasarkan kaedah yang telah diterima pakai dari sebuah hadis Ibnu Masud:

Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah. (Riwayat Ahmad).

Adakah Kita Wajib Menyambut Maulid Nabawi?

Maulidur Rasul akan menganjurkan kita supaya sentiasa berselawat dan salam kepada Baginda. Perkara ini amatlah dituntut sebagaimana yang termaktub di dalam Surah Al-Ahzab.

Firman Allah Taala bermaksud:

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Bukanlah sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh “para salaf” ataupun perkara itu tidak berlaku pada waktu permulaan dikira "bid'ah munkarah sayyi'ah" yang ditegah untuk melakukannya.Hal seumpama ini, ulama' membahagikan "bid'ah" kepada lima bahagian.

Wajib :- Seperti mempelajari ilmu nahu,
Sunat/ mandubat :- Azan di atas mimbar.
Harus:- seperti Memperhiaskan masjid,
Makruh:- contohnya melebih-lebihkan pada makan dan minum.
Haram:- perkara yang menyalahi sunnah dan tidak berdalilkan syara'. Secara umumnya perkara-perkara yang tidak mengandungi kebaikan dari segi syara'.

Bukanlah setiap bid'ah itu haram hukumya. Sebagai contoh pengumpulan Al-Quran dan penulisannya di dalam mushaf. Jika tindakan pengumpulan ini haram,tentu ia tidak dilakukan oleh Saiyidina Abu Bakar R.A , Saiyidina Umar R.A dan Saiyidina Zaid R.A .(m/s 32).

Berkata Imam Shafie: Bidaah ada dua: Bidaah terpuji (mahmudah) dan bidaah yang dicela (mazmumah). Maka apa yang sesuai dengan sunnah tetap dipuji dan yang mencanggahinya tetap dicela. Imam Shafie R.A berkata lagi bahawa perkara-perkara baru (al-muhdathat) ada dua jenis:

Pertama: Perkara yang mencanggahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak dan ini dikira sebagai bidaah sesat.
Kedua: Perkara baik yang diadakan yang tidak mencanggahi mana-mana daripada keempat-empat sumber (al-Quran, sunnah, athar dan ijmak) adalah perkara baru yang tidak dicela.(Riwayat Abu Nuaim. Kitab: Hilyah al-Auliya).

Berdiri di dalam majlis maulid :
Termasuk dalam katogeri "ISTIHSAN" . Yang dimaksudkan istihsan ialah sesuatu yang dipandang elok atau bagus,dan perbuatan ini amatlah dituntut. Kita berdiri kerana menghormati orang-orang yang memiliki kelebihan adalah termasuk dalam perkara-perkara yang disyariatkan.

Berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Abu Said Al Khudri radiyallahu 'anhu bahawa ketika Banu Quraizah setelahmana menyerah kalah sanggup menerima hukuman yang dijatuhkan oleh Saad bin Muaz radiyallahu 'anhu, lalu Rasulullah Sallalahu 'alaihi wasallam mengutuskan utusan untuk menjemputnya ya’ini Saad R.A. Tak lama kemudian Saad pun tiba, lalu Rasulullah bersabda: "Bangunlah berdiri untuk tuan kamu." Atau di dalam satu riwayat:"....seorang yang terbaik di kalangan kamu."

Arahan ini adalah jelas supaya berdiri bangun untuk Saad r.a.dapatlah kita fahami menerusi hadith ini, bahawasanya perbuat berdiri ini dianjurkan oleh syara'. Jadilah adalah terlebih baik kita berdiri ketika menyambut maulidurasul.

Kita berdiri sebagai menghormati dan penghargaan yang timbul dari sanubari mereka terhadap syakhsiah yang mulia iaitu Rasulullah S.A.W sebagaimana di dalam majlis maulid nabawi adalah sesuatu perkara yang baik.

Kesimpulannya:
Sesungguhnya Perayaan Maulid Nabawi merupakan suatu ungkapan ataupun menampakkan kecintaan kita kepada Nabi S.AW, dan perkara ini menjadi salah satu bukti dari bukti atau tanda-tanda kecintaan dan kasih kita kepada Nabi S.A.W.

Di antara sebesar-besar nikmat Allah taala yang dianugerahkan kepada seluruh makhluknya di muka bumi ini ialah dengan diutuskan Baginda sallallahu alaihi wasallam.Kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam merupakan satu rahmat kepada seluruh alam.

Firman Allah
Subhanahu’ wa taala di dalam surah al-Anbiya’:

Maksudnya: Tidaklah kami utuskan kamu (wahai Muhammad sallallahu alaihi wasallam)melainkan ianya merupakan rahmat kepada seluruh alam.

Rujukan Kitab – Haul Al Ihtifal Bi Zikriil Maulidin Nabawi Al Shariff, Karangan , Al Muhadith As Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki Al Hasani, Makkah.

Dipetik daripada artikel di http://baalawi-kl.com

Wednesday, January 13, 2010

Kembara Mengejar Kekasih - episod 1

Memang kali ini perasaanku semacam sahaja. Rindunya cukup luar biasa. Mabuk nya sahaja bisa membuat aku tidak keruan. Kali ini ke mana saja dia pergi aku akan mengikutinya. Walau ke hujung semenanjung Tanah Melayu sana atau ke atas di utara sana.

Pertemuan diriku dan dirinya yang pertama kali berlaku di Masjid UIA pada pagi Subuh itu pada 10hb lalu. Ia rupanya menjadi satu kesempatan yang luar biasa kerana tidak ramai manusia yang turut sama memenuhi masjid UIA untuk menyambut kedatangan manusia yang luar biasa ini. Untuk yang tertanya sejak tadi biarlah aku beritahu. Aku sedang mabuk cinta dengan seorang manusia yang cukup lain dari yang lain. Aku mabuk, cinta dan kasih kepada seorang ahlu bait Rasulullah yang bernama Al-Musnid Al Habib Omar Al-Hafiz.

Pagi itu aku melihat seorang manusia yang begitu lemah-lembut budi pekertinya. Setiap hati yang memandang wajahnya akan terus jatuh kasih dan sayang kepada dirinya. Kasih dan sayang yang ikhlas dan bukan dibuat-buat atas kepentingan tertentu. Tetapi hadir lantaran keikhlasan dan ketinggian akhlak yang dimiliki oleh yang empunya diri. Masakan tidak, segala gerak-geri yang dilakukan sedaya-upaya mengikut sunnah kekasih dan rasul yang mulia - Nabi Muhammad Sallahu alaih wasalam.

Kami bertolak dari surau AnNur Bangi yang menjadi tempat pertemuan kerana hampir dengan rumah masing-masing. Dari situ kami menumpang unser milik rakan kami. Jam hampir pukul 4.15 apabila kami memulakan perjalanan. Masing-masing ghairah dan tidak sabar-sabar untuk sampai ke destinasinya. Destinasi kami ini ialah Pondok Baitul Qurro' yang terletak di Kampung Payasum, Sg Melaka.



Sampai di madrasah, jemaah sedang membacakan wirdul latif dengan dipimpin oleh Ustaz Azian, imam Masjid Al-Falah. Usai selepas solat Maghrib kami diminta untuk mengosongkan kawasan di belakang pentas utama kerana memberi ruang kepada tetamu-tetamu dan habaib-habaib dari Indonesia yang turut serta dalam program kali ini. Gambar di atas menunjukkan kawasan di luar surau dan surau pondok Baitul Qurro'.

Pentas dibelakang itu menjadi pentas utama. Padang yang kelihatan di belakang juga penuh sesak dengan jemaah yang hadir. Syabas kepada semua jemaah yang menunjukkan masih ramai yang kasih dan sayang kepada junjungan besar nabi Muhammad Sallahualaih wasalam dan ahli keluarganya.

Kawasan padang di depan pentas utama mula dipenuhi tetamu. Nampaknya sambutan yang diberi cukup luar biasa dan meriah. Majlis dimulakan dengan bacaan Maulidur Rasul. Seterusnya semasa Habib Umar sampai qasidah dinyanyikan. Suasana pada masa itu sedikit kelam kabut kerana semua jemaah turut berdiri pada masa itu. Terpaksalah pengerusi menenangkan jemaah yang agak kelam kabut.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis yang turut mengimbas kembali akan perihal kedatangan Islam ke Melaka pada suatu masa dahulu. Pengislaman Sultan Melaka yang pertama adalah hasil dakwah daripada ahlul Bait Rasulullah yang datang ke Melaka pada masa itu. Dengan jasa ahlul-ahlul bait inilah maka Islam telah tersebar ke seluruh negeri Melaka dan seterusnya ke seluruh nusantara. Kini Islam terus kekal dan terus dipertahankan walaupun Melaka telah berapa kali bertukar tangan kepada penjajah. Maka seharusnyalah kecintaan umat Islam di sini kepada Ahlul Bait perlulah dikekalkan.



Ustaz Zulkifli turut memberikan ucapan aluan di dalam bahasa Arab yang menekankan betapa besarnya jasa dan peranan ahlul Bait di dalam pengislaman Melaka. Maka perlulah perasaan berterima kasih dan kasih akan ahlul Bait terus di tanam di setiap sanubari umat Islam. Perkara itu turut diungkapkan kembali oleh al Habib Omar. Setiap kalimah yang disampaikan Habib itu begitu lembut dan menusuk ke kalbu setiap jemaah. Inti sari ucapan beliau akan cuba kusampaikan di dalam tulisan yang lain. Kelainan yang dapat dirasai oleh setiap kalimah beliau begitu anggun dan nyaman. Yang mana bisa sahaja menyentuh hati-hati manusia walaupun pada masa yang sama mereka tidak mengerti bahasa Arab. Namun, setiap ucapan al Habib Omar diterjemahkan oleh al Habib Ali Zainal Abidin iaitu salah seorang dari murid beliau yang juga sebulan sekali menjadi pengajar di Baitul Qurro'.

Tidak lupa juga di akhir ucapan AlHabib Omar, beliau mendoakan doa yang khusus untuk Tuan Guru Zulkifli dan juga para jemaah dan diaminkan beramai-ramai. Begitu luar biasa suasana malam itu kerana suasana itu berlaku di sebuah padang yang luas dan bukan di dalam masjid seperti yang biasa di adakan sebelum ini. Namun tidak langsung terdengar rungutan dari para jemaah dengan keadaan yang ala kadar sahaja.

Dengan berakhirnya majlis ini, maka berakhirlah juga peluang untuk kami untuk terus menyerap segala ilmu yang disampaikan oleh alhabib. Namun mutiara-mutiara ilmu yang disampaikan oleh alHabib akan terus menjadi permata berharga yang akan disimpan oleh kami sebagai bekalan untuk kami berjalan di muka bumi Allah ini. Terima kasih ya Habib. Sesungguhnya kecintaan kami terus subur merimbun dengan baja yang telah dikau semai. Allahuma soli ala muhammad wa ala ali saidina Muhammad. Semoga pertemuan ini bukanlah pertemuan yang terakhir untuk kami berjumpa Habib Omar. Amin.

Wednesday, January 6, 2010

Nama Allah dipermainkan kerana Polimik, Politik dan Gimik

Nampaknya, pancing yang diumpan oleh musuh-musuh Islam sudah mengena. Kini, mereka boleh tersenyum lebar. Nampaknya sinar harapan mereka semakin cemerlang di hadapan hari. Ya, kerana mereka telah mendapat umpan yang begitu baik dan ia bukan ia terakhir. Umpan-umpan yang lebih 'umpph' akan dihulur di kemudian hari supaya lebih ramai yang dapat memakan rakus-rakus.

Kerana isu nama 'Allah', mereka mampu tersenyum girang. Perpecahan pendapat yang bukan sedikit berlaku dikalangan orang Islam itu sendiri. Mereka hanya perlu 'cucuk' sedikit-sedikit sahaja. Kerana ternyata yang membela mereka untuk menggunakan nama 'Allah' oleh gereja bukan mereka, tetapi orang-orang yang bergelar Islam itu sendiri.

Selepas beratus-ratus tahun Islam itu bertapak di Tanah Melayu ini, belum pernah mereka mampu dan teringin menggunakan kalimah Allah itu sendiri. Memang pada dasarnya orang kafir atau Islam mengakui Allah yang menciptakan dunia ini sendiri. Tetapi apabila diperhalusi, mereka menegakkan kekufuran mereka dengan mencipta tuhan selain daripada Allah.

Jika tidak, mengapa perlunya wujudnya anak tuhan dan konsep trinity. Apakah kita sanggup berputih mata, melihat kalimah anak tuhan itu bertukar menjadi anak Allah? Maha Suci Allah dari sebarang kecacatan dan perkara-perkara yang menyamai makhluknya.

Malang seribu kali malang. Golongan-golongan yang merasa diri mereka bijak dan pandai sikit-sikit dalam agama terus mempertahankan tindakan golongan bukan Islam menggunakan nama 'Allah. Apakah sebenarnya tujuan mereka menggunakan nama Allah bererti akidah mereka telah bersih dan definasi Allah itu sama dengan apa yang kita fahami. Maha Suci Allah dari namanya yang suci dan tulus di persenda-sendakan oleh mereka yang sudah jelas kekufurannya kepada Allah.

Atas nama politik, kepentingan diri, liberalisasi betapa lidah kita merasa ringan dan mudah sekali berpolimik dan bertengkar atas perkara ini. Tidak terbayang oleh diri kita bahawa tersilap sedikit kata-kata dan iktikad kita, maka kita boleh terkeluar dari akidah Islam yang benar.

Maka hari ini saya memohon seribu kemaafan kepada tuan guru Nik Aziz. Saya tidak bersetuju dengan beliau.Dan lebih-lebih lagi penyokong-penyokong fanatik yang menyokong membabi buta. Di tambah lagi dengan sokongan puak-puak Islam liberal. Kerana kebencian beliau yang teramat sangat kepada Umno, maka beliau menjadi buta walaupun perkara yang melibatkan kepentingan umat. Maka hari ini saya mengistiharkan untuk mufarakah dari mengambil beliau sebagai imam saya. Semoga beliau kembali ke pangkal jalan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails