Tuesday, June 30, 2009

Jangan Dilacurkan Agama Ini!

Siapa itu kabinet? Adakah kuasa mereka itu lebih tinggi daripada kesucian agama Islam? Oleh itu mereka berhak untuk melakukan sesuka hati dan membuat pindaan mengikut nafsu dan akal mereka semata-mata? Amatlah malang jika mereka merasakan mereka lebih berhak melakukan sesuatu itu dapat merujuk kepada mereka yang lebih tahu terlebih dahulu. Sekaligus bertindak selaku tuhan itu sendiri.

Apabila akal sudah diletak ke lutut, maka hilanglah pertimbangan masing-masing. Bagaimana mungkin seorang anak boleh membuat keputusan sendiri tanpa pertolongan ibu bapa. Lebih teruk lagi, anak dikehendaki kekal dalam agama asal ibu-bapa sedangkan kedua-dua ibu bapa sudah menukar agama lain. Alasan yang diberikan - supaya anak tidak menjadi mangsa keadaan.

Malangnya, yang membuat keputusan yang dikatakan kabinet itu bukanlah 100% daripada kalangan Melayu Islam. Lebih malang lagi, melayu yang turut sama terlibat membuat keputusan itu juga jahil akan keputusan yang dibuat. Malang sekali apabila hak diberikan kepada yang layak, maka kucar-kacirlah urusan agama itu.

Alhamdulillah, mujurlah masih ada benteng terakhir umat Islam tanah Melayu iaitu majlis raja-raja. Tapi ia baru ditangguhkan bukanlah bermakna tidak dilaksanakan. Namun kita berharap supaya keputusan kabinet ini ditolak kerana ia benar-benar merugikan umat Islam. Ini kerana agama Islam begitu menitik beratkan pendidikan agama anak-anak dan ibu bapa sebagai pemegang amanahlah yang perlu bertanggungjawab dan berusaha menjaga akidah anak-anak.

Harapannya semoga menteri-menteri yang jahil ini pada suatu hari kelak akan diggantikan dengan menteri yang benar-benar mempunyai ilmu dan tidak jahil pada agama. Bukan sebagai pencacai dan penjilat yang mengadaikan maruah janjinya atas lesen sebagai menteri. Umat Islam yang diluar sana sedarlah dari lena anda. Musuh-musuh islam menyerang dari kiri dan kanan tapi kita masih lagi lena diulit intan. Alahai!

Wednesday, June 24, 2009

Mencari Jati Diri - Siri 3

Mencari Melayu Sejati

Amat malang kerana generasi muda Melayu pada hari ini semakin tidak kenal sejarah bangsa, agama dan tanahair mereka sendiri. Ia bukanlah suatu perkara yang kebetulan berlaku malah merupakan satu perancangan yang teliti dan halus dibuat oleh musuh-musuh kita. Tidak kira musuh dari dalam atau luar. Ini kerana mereka inginkan bangsa Melayu terus lena diulit oleh mimpi indah dan jangan bangkit-bangkit. Ini kerana gergasi yang jika dikejutkan bisa sahaja akan mengegar dan mengoncangkan sebuah dunia.

Satu bangsa yang mengenal sejarah bangsa, agama dan tanahair akan mempunyai jatidiri dan identiti diri seterusnya akan melahirkan bangsa yang kuat ,berani dan bermaruah. Kita lihat di sekeliling kita pada hari ini. Adakah anak-anak bangsa kita didedahkan dan diajarkan dengan sejarah bangsa Melayu nusantara yang begitu hebat, gemilang dan bermaruah pada suatu ketika dahulu. Persoalannya, kemanakah hilangnya catatan-catan sejarah yang gemilang itu pada hari ini?

Bertambah malang lagi, sejarah yang diajar di sekolah- sekolah pada hari ini terdapat begitu banyak kepincangan. Rata-rata fakta dan rujukan lebih kepada orientalis Inggeris dan asing yang pernah menjajah dan merompak tanah air kita. Sememangnya sejarah ini lebih cenderung untuk merendahkan bangsa Melayu dan memperlekehkan kita. Di manakah catatan-catatan dan kitab-kitab Melayu yang menceritakn hakikat dan fakta sebenar tentang Melayu nusantara ini disembunyikan?

Ternyata selepas 52 tahun kita merdeka, kehebatan dan kegemilangan bangsa dan kerajaan Melayu suatu masa dahulu terus tersembunyi, peranan ulama dalam catatan perjuangan kemerdekaan hilang, kezaliman raja-raja melayu begitu tertonjol dan dalam masa yang sama kelihatan bangsa Melayu begitu dungu dan gentar terhadap tekanan bangsa asing. Di mana hilangnya kebijaksanaan dan kehebatan mereka dalam proses mengembangkan Islam di nusantara dan sekaligus membina tamadun-tamadun yang begitu hebat dan terkenal di seluruh dunia? Di mana keintelektualan bangsa Melayu yang pernah membina sebuah peradaban dan perdagangan yang melibatkan dunia antarabangsa dan tidak terhad kepada bangsa Melayu nusantara sahaja?

Di Mana Melayu Itu?
Siapakah bangsa Melayu ini sebenarnya? Sering kita mendengar persoalan yang sering ditanya dan sehingga kini belum ada jawapan yang konkrit mengenai siapa sebenarnya bangsa Melayu ini? Dari mana bangsa Melayu ini datang? Adakah ia timbul begitu sahaja. Pelbagai andaian dan teori yang dibuat sehingga kini namun terjumpa jawapan konkrit tentang siapakah Melayu yang sebenarnya?

Misteri yang menyelubungi bangsa melayu itu sendiri menjadi persoalan yang begitu sukar dijawab. Berapa banyakkah bangsa di dunia ini yang begitu misteri sehingga tidak diketahui punca asal mereka? Lebih-lebih lagi sebuah bangsa yang diketahui pernah membina tamadun-tamadun yang hebat dan canggih pada suatu masa dahulu.
Ini menambahkan lagi keistimewaan sebuah bangsa yang bernama Melayu itu. Tidak sepertimana bangsa-bangsa di eropah, mereka telah mengetahui di mana asal usul bangsa mereka. Kestimewaan bangsa Melayu yang dipendam dan misteri inilah yang menyebabkan kegerunan kepada penjajah suatu masa dahulu yang ingin terus-menerus memastikan bangsa Melayu ini terus ditekan dan lupa akan jati diri mereka.

Perhatikan sendiri adakah terdapat satu ciri-ciri utama bangsa melayu itu? Adakah terdapat satu persamaan yang khusus di antara individu yang bergelar bangsa melayu itu. Ironinya bangsa melayu itu boleh sahaja kelihatan seperti Cina, India, Iban dan Kadazan namun digelar melayu. Lebih ketara lagi jika seorang cina berkahwin dengan seorang india, campuran keduanya akan menghasilkan seorang individu yang mempunyai muka melayu. Adakah mungkin terdapat persamaan atau kebetulan terhadap simpton ini?

Yang nyatanya persamaan pada Melayu itu bukanlah terhadap ciri fizikal mereka, tetapi pada agamanya. Kita mengetahui didalam perlembagaan telah termaktub bahawa Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Di sinilah ramai orang Melayu itu sendiri tidak mengetahui apakah di sebalik rahsia kenyataan ini. Ini kerana melayu itu bukanlah bangsa semata-mata tetapi adalah satu proses pengislahan yang menyatukan nilai agama islam ke dalam bangsa itu. Maka dari pengasimilasian inilah terhasinnya Melayu yang begitu bertolak-ansur, bersopan santun, tinggi akhlak dan bukti pekertinya sehingga tidak mungkin kita menemui satu bangsa sebaik bangsa melayu. Yang jelasnya nilai-nilai Islam yang berjaya diserap dengan sempurna ke dalam sesebuah masyarakat itulah yang menghasilkan Melayu.

Dengan berhasil dan berjayanya penerapan islam inilah maka darah melayu itu pejal bersalut dengan nilai-nilai islam. Yang demikian itulah menjadi Islam dan Melayu itu satu. Jika Melayu tidak beragama Islam, maka dengan sendirinya dia bukanlah seorang Melayu. Kejayaan golongan-golongan pendakwah ini yang berjaya menerapkan nilai-nilai Islam inilah yang menyebabkan golongan-golongan yang bencikan Islam begitu giat untuk menghancurkan dan merendah-rendahkan umat Melayu. Berjaya menghancurkan umat Melayu sekaligus berjaya menghancurkan umat Islam. Namun, Melayu jangan;ah dipandang dari sudut yang sempit dari segi pandangan politik jumud pada hari ini.

Kesepaduan antara elemen bangsa dan agama ini begitu ketara pada suatu masa dahulu di mana walaupun seseorang melayu itu jahil pengamalan agamanya namun jangan dilabelkan ia sebagai seorang yang kafir atau fasik. Bisa sahaja satu kampung akan menjadi mangsa amukan dan belasahan. Begitu juga setelah kejayaan penaklukan yang dilakukan oleh Portugis terhadap Melaka. Mubaligh-mubaligh Kristian dihantar dan gereja didirikan namun orang Melayu ampuh bertahan bersama agama Islam walaupun diserang bertalu-talu dari luar dan dalam.

Amatlah menghairankan sebuah negara yang merdeka seperti Malaysia masih mempertahankan nilai-nilai sejarah yang menjadi bukti musnahnya sebuah kerajaan Islam berdaulat kepada sebuah kerajaan Kristian itu sendiri. Fakta tidak boleh diubah dan ia bukanlah kenyataan provokasi. Namun jika kita ke Melaka yang kita banggakan adalah kesan-kesan kemusnahan kerajaan Melaka itu sendiri seperti Kota A Famosa, gereja dan sebagainya. Di manakah kebanggaan kita terhadap pejuang-pejuang Islam yang berjuang bermati-matian mempertahankan Melaka seperti Raja Haji? Ternyata ia adalah satu bentuk agenda yang mengongkong pemikiran umat Melayu supaya mengingati kesan penjajah itu sendiri bukan terhadap nilai sejarah oleh pejuang-pejuang dan raja-raja Melayu itu sendiri.

Oleh itu tidak hairanlah nilai-nilai Melayu pada hari ini semakin goyang dan telah dibolosi oleh nilai-nilai negatif disebabkan jarum-jarum dakwah kristian dan yahudi. Oleh itu amatlah tidak layak seorang yang telah murtad itu bergelar melayu. Ini kerana mereka sudah jelas tidak memiliki ciri-ciri utama melayu itu sendiri iaitu mestilah beragama islam. Agama itu bukanlah untuk dipermainkan.

Persoalannya mengapakah bangsa melayu itu diserang dari pelbagai penjuru untuk melumpuhkan nilai jatidiri melayu? Anak-anak muda kita diserang dengan pelbagai serangan seperti dadah, rempit, gejalan negatif dan sebagainya. Adakah ia berlaku secara kebetulan atau terdapat tangan-tangan ghaib yang merancang ini semua? Apabila melayu itu sendiri tidak menyelidik dan mengetahui jati dirinya maka pincanglah melayu itu pada pandangan dirinya sendiri.

Sejarah itu untuk dipelajari, sejarah itu untuk mengenal diri. Siapa yang menguasai sejarah dia akan menguasai dunia. Hakikatnya pada hari ini sejarah kita telah dirompak dan dikuasai oleh orang-orang yang berkepentingan. Walaupun kita pada zahirnya telah merdeka tetapi hakikatnya masih menerima pakai perlembagaan, sistem dan pemikiran golongan penjajah yang pernah menjajah kita pada satu ketika dahulu. Sedangkan tamadun-tamadun Melayu yang hebat dan berdaulat ternyata mengguna pakai hukum-hukum Islam sehingga menjadi begitu perkasa. Kita naik kerana Islam, kita jatuh kerana Islam. Maka, kembalilah kita kepada Islam melampaui batas kepartian, bangsa dan negara. Islam yang menjadi asas dan cara hidup!

Thursday, June 18, 2009

Tepuk! Tepuk! Tepuk!

Benarlah kata-kata orang bijak pandai, " Dugaan yang terbesar itu bukanlah semasa kita sedang susah, tetapi semasa kita senang". Bertepatan sekali dengan suasana pada hari ini. Orang bergaduh bukan tengah susah, tetapi kerana senang. Kerana pada masa senang inilah masa yang paling sesuai untuk mengutip segala hasil dan menebus kembali segala jerih payah sewaktu senang dahulu.

Semasa susah dahulu, semua orang bersatu padu. Saling tolong-menolong. Susah payah saling berganding bahu untuk mengatasinya. Namun, apabila telah sedikit senang kawan semasa susah itu dicantas. Dipijak-pijak dan dipeteh-peteh. Kerana kawan itu bisa sahaja akan menjadi penghalang untuk dia menuju ke puncak jaya. Kerana matlamat, segala tarbiah dan pegangan yang selama ini tersemat kukuh di dada berciciran begitu sahaja.

Matlamat hidup adalah untuk Islam. Solatku, Ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah taala. Namun kerana diuji sedikit dengan kuasa dan kesenangan semuanya ditinggalkan. Hanyut dengan longgokan harta benda dan harta rampasan perang. Sepertimana peristiwa Perang Uhud. Setelah melihat harta yang berlonggok-longgok ditinggalkan, maka sang pemanah yang diamanahkan untuk menjaga bukit Uhud turun untuk mendapatkan harta rampasan perang. Akibatnya musuh menyerang dari belakang dan ramai yang gugur syahid. Jasad Nabi yang mulia turut terpukul dan berdarah terkena serangan musuh.

Kini bergembiralah orang yang ingin melihat Islam berpecah. Hanya kerana satu isu yang cukup mudah diselesaikan, hancurlah sebuah jemaah yang mendukung cita-cita mulia. Sedangkan musuh hanya duduk bersorak sambil bertepuk tangan. Melihat drama yang begitu mengikut skrip dan perancangan yang dikehendaki.

Wahai orang-orang yang mengejar harta benda dan duit. Pergilah kamu dan tonjolkan diri. Cukuplah membuat onar dan duri kepada saudara-saudara kamu yang lain. Kepada pejuang-pejuang Islam, usahlah lupa -kejutkan kembali saudaramu yang sedang lena diulit mimpi. Perjuangan masih panjang namun kita bercakaran sesama sendiri. Sedang musuh sedang girang sekali. Tepuk! Tepuk! Tepuk!

Tuesday, June 16, 2009

Kenapa Mesti Takut?

Dua tiga hari selepas muktamarPAS bising pasal isu pengharaman Sister In Islam(SIS). Maka berjela lah hujah perwakilan PAS mengapa SIS perlu diharamkan. Lalu usul tersebut diterima dengan sebulat suara. Tak payah debat-debat dan berhujah lagi kebanyakan ahli parti PAS tahu siapa SIS dan memang tidak setuju dengan apa yang diperjuangkan oleh SIS.

Malangnya, terdengarlah gegak gempita di kiri dan kanan. PKR membantah, DAP menghalang. Ini keterbukaan. Mengharamkan NGO bukanlah budaya kita. Maka serba salahlah pemimpin-pemimpin PAS. Yang mana nak buat ini, teruskan niat atau diamkan saja. Namun dalam pada itu sempat juga mufti Perak yang dah berbakul-bakul dikutuk dan dihina oleh penyokong PAS memberikan sokongan akan usaha ini. Namun mengambil pendekatan yang bijak dengan menyuruh dilakukan siasatan terlebih dahulu.

Malang seribu kali malang. Pejuang-pejuang Islam ini akhirnya tunduk dengan tekanan keadaan. Kerana terlalu ramainya yang menentang diharamkan SIS termasuklah mantan PM yang sedia tegar menyokong SIS ini akhirnya PAS kembali berlembut. Alasan yang dinyatakan oleh Naib Yang Dipertua PAS Shah Alam - supaya tindakan diambil dan dibetulkan. Di samping itu untuk mengukuhkan lagi ketakutan PAS mempertahankan tindakan itu dengan susulan ayat berikut - "Dalam perbincangan kita, kita bersetuju, perkataan itu (mengharamkan), menggambarkan kecenderungan dengan penggunaan kekerasan dan kuasa. Dan kalau itu yang dimaksudnya, ia bercanggah degan Islam itu sendiri," katanya dalam sidang media di Shah Alam.

Lalu ditambah lagi bahawa mereka bersetuju untuk memulihkan bukan mengharamkan. Apa yang ingin dipulihkan oleh PAS sebenarnya? Apa yang ditakutkan oleh PAS sebenarnya? Awal-awal lagi PAS telah tewas sebelum berjuang. Baru sahaja digertak sedikit angin kiri dan kanan. Lalu bergoyang-goyanglah pendirian pemimpin-pemimpin PAS. Lepas ini eloklah ditambah kita menegur SIS kerana kita sayangkan mereka. Lebih-lebih lagi rakyat Malaysia pun ramai yang menyokong SIS. Jadi janganlah kita menegur mereka kerana kita mungkin kehilangan sokongan pada PRU-13 nanti. Kasihan!

Thursday, June 11, 2009

Bangsa Melayu Akan Pupus Di Malaysia?

Adakah boleh dikira keterlaluan akan tajuk pada hari ini? Atau memang tuhan telah menjamin bahawa bangsa Melayu ini tidak akan pupus daripada Tanah Melayu ini? Atau kerana kita sentiasa berpegang teguh dengan kata Laksamana Hang Tuah," Takkan hilang Melayu di dunia? Atau kita sedang berada di dunia khayalan yang tidak berpijak pada bumi yang mana kita melayang-layang ke sana ke mari walaupun tanpa sayap dan boleh menjadi Superman yang mempunyai kuasa super hero yang hebat untuk memastikan kewujudan umat Melayu di Tanah Melayu ini?

Cuba intai kiri dan kanan kita. Lihat remaja-remaja kita di kiri dan kanan rumah kita. Bagaimana yang lelakinya? Bagaimana yang perempuannya? Lihatlah aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh remaja-remaja kita terutamanya pada musim cuti sekolah ini. Adakah mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah? Atau hanyut dengan permainan game PS2? Atau sekadar melepak-lepak ditepi jalan dari pagi hingga ke petang? Atau sibuk merempit dan mengembang pada malam harinya?

Cuba kira berapa ramai bilangan remaja Melayu lelaki di pusat serenti? Cuba kira berapa ramai remaja wanita kita di Universiti? Berapa bilangan peratus yang menjadi garis pemisah antara keduanya. Adakah jurangnya kecil - besar? Berapa besar jurangnya?

Belum dikira lagi anak-anak kita yang telah lama berpeleseran. Yang masih lagi mentah di bangku sekolah pun sudah sibuk berangan untuk menjadi artis. Akhirnya hanyut. Lalu berapa ramaikah anak bangsa kita yang melahirkan anak luar nikah? Berapa ramai yang dibuang di dalam tong sampah? Berapa ramaikah yang dibuang di dalam longkang?

Mengapa ditimbulkan persoalan ini? Ya, kebanyakan remaja wanita kita ini akan menjadi dewasa. Selepas belajar di Universiti akan bekerja. Punya status dan kerjaya. Bagaimana remaja lelaki kita pula? Berapa ramai yang akan keluar dari serenti? Yang akan meneruskan kerjaya sebagai pengedar dan peragut sepenuh masa. Lalu lahirlah simpton 'antara dua darjat' yang akan membarah dan memberi impak yang besar kepada bangsa Melayu kita akan datang.

Yang wanita tidak punya calon suami yang sesuai. Yang boleh dikira sekufu dan sesuai atau sekurang-kurangnya tidak terlalu tinggi jurangnya dengan suami. Lalu kebanyakan memilih untuk hidup sendiri kerana merasakan tidak ada ruginya hidup sendiri. Punya harta benda dan kepala pun tidak pusing.

Sementara yang lelaki pula tiada calon yang sesuai kerana kebanyakan tidak punya kerjaya dan lebih suka hidup di dalam dunia masing-masing. Hanyut dengan najis dadah dan hiburan. Fikir pasal generasi akan datang jauh sekali. Lalu ramai yang tewas dan tidak layak dijadikan calon suami.

Apabila digabungkan maka perkahwinan menjadi kurang. Perceraian melonjak naik kerana pergolakan rumahtangga akibat mengejar material yang melampau. Peratus kelahiran melalui perkahwinan yang sah menurun. Kelahiran bangsa asing semakin menaik. Lalu yang lahir secara sah ini juga terpaksa disaring kerana akan terpaksa melalui proses di atas.

Maka akhirnya bangsa Melayu akan tinggal nama sahaja. Mungkin sekadar tercatat di wikipedia atau kamus dewan bahasa Inggeris sebagai rujukan sahaja. Bahasa pun semakin pupus angkara pimpinan didikan penjajah yang terus menghakis identiti bangsa sendiri. Lalu Melayu menjadi sejarah dan dimuziumkan sahaja di muzium-muzium negeri. Mustahilkah?

Cuba taip melayu di google dan pilih samada teks atau imej. Yang akan mula keluar adalah yang berkaitan dengan seks. Adakah melayu begitu sinonim dengan seks? Yang nyata banyak gadis dan remaja melayu terkorban angkara seks. Fikir-fikirkan lah bangsaku!

Wednesday, June 10, 2009

Al-Fatihah Untuk Saudara Kita Di Pattani!

Di akhir zaman ini, umat Islam akan menjadi sasaran kezaliman dan kerakusan mereka-mereka yang memusuhi Islam. Mereka akan diganyang dari kiri dan kanan. Benarlah sabda junjungan besar Nabi Muhammad Sallahuailaih Wasalam, kita ramai tetapi seperti buih-buih di lautan. Walaupun jumlah kita begitu ramai tetapi ternyata kita lemah dan ditindas. Angkara umat Islam terkena penangan virus wahan. Cinta dunia dan takut mati.

Ironinya di mana-mana sahaja di seluruh dunia umat Islam ditindas sewenang-wenangnya. Tiada pembelaan. Selepas kejatuhan khalifah Othmaniyyah yang merupakan benteng terakhir ummah ini, tiada lagi kerajaan Islam yang benar-benar berdaulat untuk membela umat Islam. Ternyata amat berjaya sekali perancangan Barat yang didokong zionis untuk menghancurkan umat Islam. Ternyata pemecahan negara melalui negara dan idea-idea nasionalisme langsung menghasilkan jurang assabiyyah yang bukan kepalang mudah untuk di perbetulkan.

Ternyata kita telah merasakan masyarakat Indonesia itu berbeza dengan kita. Sepertimana juga Pattani berbeza dengan Malaysia. Seperti juga Sulu dan Filipina. Padahal suatu ketika dahulu kita merupakan satu. Satu rumpun. Satu badan. Tiada yang membezakan kita kerana kita adalah bersaudara. Kini walaupun pendatang Indonesia itu datang ke sini mencari rezeki adalah beragama Islam, tetapi kita merasakan mereka begitu asing dan jauh dari kita.

Padahal ia merupakan satu tradisi yang telah lama diwarisi. Anak muda merantau mencari ilmu dan rezeki di tempat orang. Maka benarlah pepatah Melayu - Jauh berjalan luas pemandangan. Namun yang jelas agenda penjajah untuk menjauhkan anak bangsa dari mengetahui sejarah dan jati diri mereka semakin berjaya. Di tambah dengan zaman kemodenan, hanya material dan wang ringgit menjadi ukuran.

Lalu kita dikejutkan sekali lagi dengan pembunuhan 11 jemaah Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Golok sewaktu mendirikan solat Isyak. Atau kita memang tak terkejut? Saudara seislam kita di bunuh di Pattani dengan sewenangnya! Sejarah Pattani yang dijajah oleh Thailand sejak 1902 menyebabkan berlakunya penentangan di kawasan tersebut.

Ternyata mereka telah mendapat kemenangan dengan dikurniakan anugerah syahid. Tetapi kita? keluarga kita? kerajaan kita? Masing-masing berlepas diri dan tidak merasakan apa-apa. Di mana sensitiviti kita? Di mana rasa kasih sayang kita? Di mana Iman kita? Bukankah nabi pernah bersabda - tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak menyintai saudaranya lebih dari dirinya sendiri.

Maka sedekahkanlah Al-Fatihah untuk saudara-saudara kita. Hulurkan juga doa dari kita untuk roh mereka dengan setulus hati. Jika berdaya hulurkan bantuan sedaya yang mampu. Kerana kita adalah ibarat satu badan. Satu anggota dipulas yang lain juga terasa. Namun, jika yang lain tak terasa bermakna badan kita sedang diserang angin ahmar.

Monday, June 8, 2009

Rumah Dah Siap, Pahat Masih Berbunyi!

Muktamar Pas baru sahaja dua tiga hari berakhir. Ada yang kata bagus, ada yang kata yummy! Ada yang kata best, tapi yang paling best ada yang kata langsung tak best. So, terserah kepada individu dan badan untuk menilainya. Tapi yang paling kawang tak best, kawang sendiri pun cakap tak best! Mungking pasal kawang tak ikut sekali muktamar, hanya ikut tak ikut perkembangan dari jauh.

Tapi kawang pening dan keliru. Dalam Islam kena ikut pemimpin. Tapi dalam muktamar sendiri pemimpin bercanggah pendapat! Baca dalam muktamar - dua tok guru iaitu Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi tak sama pemikiran.

Tok Guru Nik Aziz cakap kerajaan perpaduan mengarut. Tok Guru Haji Hadi pula cakap kita kita akan buat kajian dan rundingan secara terperinci tentang kerajaan perpaduan. Aduh! Yang mana satu kawang nak pakai ni? Cuba rakan-rakan kat luar tu bagi penjelasan sedikit. Tidak boleh ke pemimpin kita menggunakan perkataan yang senang dan ringkas untuk difahami. Nak kata nak! Kalau tak nak kata tak nak!

Dah kalau pemimpin kat atas pun terang-terang tak sekepala, apa lagi. Bersorak horeyy la media massa kat luar tu. Apa lagi, bola tanggung! Masa nilah nak laga-lagakan pakatan rakyat dan orang-orang PAS. Huk aloh! Dalam masa yang sama blogger-blogger pakatan rakyat sendiri di anak tirikan. Keutamaan diberikan kepada media massa kerajaan. Lepas tu bila dia orang pusing-pusing statement pemimpin kita, kita bising. Alahai. Bila la kita nak berubah? Tak serik-serik.

Satu lagi yang menjadi kemusykilan besar kepada kawan adalah semasa pengumuman dan pengistiharan pemenang jawatan Naib Presiden. Ingatkan dalam pilihanraya saja yang ada pengiraan semula, dalam Pas pun ada? Kita bising bila Persidangan Agung Umno melambat-lambatkan pengiraan undi. Lama dah pukul 1 pagi baru lah tahu keputusan siapa ketua pemuda Umno. Kita? Esok pagi baru tahu? Takkan SPR Pas pun pakai undi hantu jugak kot?

Besarlah harapan hati kawang jika kita dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan kita ini. Janganlah dok syok sendiri sahaja. Cakap rakyat sokong kita bla bla bla! Rakyat cuma dah meluat sangat dengan Umno bukannya sokong kita sangat pun! Sementara dia orang suka kat kita, gunalah kesempatan ini dekatkan diri kepada kita. Jangan penyokong pun pening, depa lagi lah? Belajar lah mengaku kesalahan diri! Kita masih belum cukup kuat, masih kena kerja kuat lagi? Kalau nak kata muktamar ini berjaya? Syoklah lu sendiri.


Thursday, June 4, 2009

Sumber Perisikan - Punca Stadium Sultan Mizan Runtuh

Nampaknya ciklee telah mendapat maklumat daripada sumber yang tak berapa sahih. Berita yang sebelum ini sebenarnya tidak lengkap. Terdapat beberapa gambar punca sebenar keruntuhan stadium yang dikategorikan sebagai top classified.

Gambar top classified pertama yang tercicir:
perlawanan bola antara makhluk2 ghaib dengan ultra fc di stadium Sultan Mizan



Gambar top classified yang kedua :
ultra berjaya bangkit ..tapi bunyi lampu merah linglonglinglong mengganggu...
sekali ade mis call la ...time tu gak dia kene laser


Peristiwa itu telah disaksikan oleh beberapa orang saksi. Tak percaya? Pandai-pandai la fikir sendiri.

Sumber : Forum Asyraaf

Wednesday, June 3, 2009

Punca Stadium Sultan Mizan Runtuh!

Tak payah lah sibuk-sibuk buat siasatan. Punca keruntuhan sudah dikenalpasti. Jadi yang pastinya tiada siapa akan dipersalahkan terhadap keruntuhan stadium yang berusia setahun dan berharga RM300 juta ini. Jadi halalkan sahajalah duit rakyat yang disonglap selama ini. Tak hairan pasal yang kena tangkap pun sure la scape-goat gaban.


Seekor raksasa dari planet Xeneon telah menghalakan mata lasernya ke stadium Sultan Mizan.


Apabila disedari oleh orang-orang Ganu, maka hanya ini sahajalah yang tinggal. Kasihan kat orang Terengganu menjadi mangsa keganasan raksasa angkasa lepas ini. Berhati-hati orang Ganu banyak lagi raksasa ganas di luar sana yang akan menyerang.

Monday, June 1, 2009

Reformasi Pendidikan!!

Ironinya pendidikan merupakan tulang belakang terpenting dalam sesebuah negara yang bertamadun. Tanpa pendidikan, sesuatu bangsa akan menjadi lumpuh dan buta. Kegagalan sesebuah kerajaan untuk membentuk generasi muda sebagai pelapis yang akan menentukan hala tuju sebuah negara akan menyebabkan sesebuah kerajaan akan menjadi mandul, jumud dan mudah untuk diperkotak-katikkan oleh negara yang lain.

Di sinilah betapa pendidikan sebagai elemen terpenting bagi mencorakkan masa depan sebuah tamadun dan peradaban. Pendidikan yang mementingkan material tanpa diperkukuh dengan ilmu agama akan membawa semua tamadun yang semput dan pendek jangka hayatnya. Ia akan menghasilkan sebuah negara yang koyak peradabannya dan dipenuhi korupsi yang menunggu masa untuk disembelih lehernya oleh musuh-musuh yang berkeliaran di luar sana.

Agama dan moral sebagai benteng yang melindungi sesebuah bangsa daripada mudah hanyut dengan arus dunia dan kemodenan. Tanpa benteng dan perisai ini akan melahirkan sebuah bangsa yang rapuh dan tidak punya nilai hidup. Sepertimana sejarah telah membuktikan apabila agama dan moral ditinggalkan maka sesebuah peradaban yang dibina beratus tahun akan ranap sekelip mata.

Kegagalan kerajaan untuk memahami aspirasi peradaban akan melahirkan sebuah masyarakat yang tempang. Sebuah masyarakat yang hanya memandang aspek material semata-mata. Seperti yang terbukti pada hari ini, setelah kita mencapai kemerdekaan selama 52 tahun lamanya, kita gagal menterjemahkannya ke dalam bidang pendidikan.

Ternyata dan terbukti sistem pendidikan kita begitu tempang sekali hari ini. Yang berjaya kita tonjolkan adalah sebuah generasi muda yang hanyut dengan seribu satu gejala sosial. Kita berjaya menghasilkan sebuah generasi yang kaya dengan budaya rempit, bohsia, bohjan, dadah, ragut dan seribu satu persoalan yang tidak dapat dibendung lagi.

Apakah kerajaan tidak menyedari apa yang terjadi pada hari ini. Tidak cukupkah selepas 52 tahun kita merdeka memberi ruang kita untuk berfikir akan ketempangan sistem pendidikan kita pada hari ini? Selepas Khir Mahadhir berjaya menghapuskan tulisan jawi daripada menjadi warisan masyarakat Melayu yang sama modus operandinya dengan Mustaffa Kamal Attarturk, ia terbukti berjaya melahirkan generasi-generasi muda yang buta Al-Quran dan tidak tahu membaca tulisan jawi.

Dengan sistem pendidikan hari ini, ia telah berjaya melumpuhkan sistem pendidikan pondok dan sekolah agama rakyat yang dianggap ketinggalan zaman. Maka ditonjolkan sistem yang diimport daripada rakyat yang didakwa berjaya memodenkan masyarakat kita pada hari ini. Walhal ia tidak lain daripada perangkap kepada masyarakat yang mengejar kemodenan.

Apakah selepas 52 tahun, kita tidak mampu untuk membentuk sistem pendidikan kita sendiri? Sistem pendidikan yang dapat melahirkan generasi-generasi kebal terhadap ancaman luar? Generasi yang mempunyai jati diri? Generasi yang dapat berjuang untuk kembali memartabatkan bangsa dan agama? Generasi yang mencipta peradaban baru yang lebih gemilang? Dengan sistem pendidikan pada hari ini? Rupanya aku bermimpi di siang hari.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails