Thursday, June 11, 2009

Bangsa Melayu Akan Pupus Di Malaysia?

Adakah boleh dikira keterlaluan akan tajuk pada hari ini? Atau memang tuhan telah menjamin bahawa bangsa Melayu ini tidak akan pupus daripada Tanah Melayu ini? Atau kerana kita sentiasa berpegang teguh dengan kata Laksamana Hang Tuah," Takkan hilang Melayu di dunia? Atau kita sedang berada di dunia khayalan yang tidak berpijak pada bumi yang mana kita melayang-layang ke sana ke mari walaupun tanpa sayap dan boleh menjadi Superman yang mempunyai kuasa super hero yang hebat untuk memastikan kewujudan umat Melayu di Tanah Melayu ini?

Cuba intai kiri dan kanan kita. Lihat remaja-remaja kita di kiri dan kanan rumah kita. Bagaimana yang lelakinya? Bagaimana yang perempuannya? Lihatlah aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh remaja-remaja kita terutamanya pada musim cuti sekolah ini. Adakah mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah? Atau hanyut dengan permainan game PS2? Atau sekadar melepak-lepak ditepi jalan dari pagi hingga ke petang? Atau sibuk merempit dan mengembang pada malam harinya?

Cuba kira berapa ramai bilangan remaja Melayu lelaki di pusat serenti? Cuba kira berapa ramai remaja wanita kita di Universiti? Berapa bilangan peratus yang menjadi garis pemisah antara keduanya. Adakah jurangnya kecil - besar? Berapa besar jurangnya?

Belum dikira lagi anak-anak kita yang telah lama berpeleseran. Yang masih lagi mentah di bangku sekolah pun sudah sibuk berangan untuk menjadi artis. Akhirnya hanyut. Lalu berapa ramaikah anak bangsa kita yang melahirkan anak luar nikah? Berapa ramai yang dibuang di dalam tong sampah? Berapa ramaikah yang dibuang di dalam longkang?

Mengapa ditimbulkan persoalan ini? Ya, kebanyakan remaja wanita kita ini akan menjadi dewasa. Selepas belajar di Universiti akan bekerja. Punya status dan kerjaya. Bagaimana remaja lelaki kita pula? Berapa ramai yang akan keluar dari serenti? Yang akan meneruskan kerjaya sebagai pengedar dan peragut sepenuh masa. Lalu lahirlah simpton 'antara dua darjat' yang akan membarah dan memberi impak yang besar kepada bangsa Melayu kita akan datang.

Yang wanita tidak punya calon suami yang sesuai. Yang boleh dikira sekufu dan sesuai atau sekurang-kurangnya tidak terlalu tinggi jurangnya dengan suami. Lalu kebanyakan memilih untuk hidup sendiri kerana merasakan tidak ada ruginya hidup sendiri. Punya harta benda dan kepala pun tidak pusing.

Sementara yang lelaki pula tiada calon yang sesuai kerana kebanyakan tidak punya kerjaya dan lebih suka hidup di dalam dunia masing-masing. Hanyut dengan najis dadah dan hiburan. Fikir pasal generasi akan datang jauh sekali. Lalu ramai yang tewas dan tidak layak dijadikan calon suami.

Apabila digabungkan maka perkahwinan menjadi kurang. Perceraian melonjak naik kerana pergolakan rumahtangga akibat mengejar material yang melampau. Peratus kelahiran melalui perkahwinan yang sah menurun. Kelahiran bangsa asing semakin menaik. Lalu yang lahir secara sah ini juga terpaksa disaring kerana akan terpaksa melalui proses di atas.

Maka akhirnya bangsa Melayu akan tinggal nama sahaja. Mungkin sekadar tercatat di wikipedia atau kamus dewan bahasa Inggeris sebagai rujukan sahaja. Bahasa pun semakin pupus angkara pimpinan didikan penjajah yang terus menghakis identiti bangsa sendiri. Lalu Melayu menjadi sejarah dan dimuziumkan sahaja di muzium-muzium negeri. Mustahilkah?

Cuba taip melayu di google dan pilih samada teks atau imej. Yang akan mula keluar adalah yang berkaitan dengan seks. Adakah melayu begitu sinonim dengan seks? Yang nyata banyak gadis dan remaja melayu terkorban angkara seks. Fikir-fikirkan lah bangsaku!

2 comments:

Faizal R said...

Kita sbg rakyat sbnrnya x byk yg kita bloeh buat, pemerintah sesebuah negara perlu disalahkan jika sesuatu masalah itu tidak dapat diselesaikan malah bertambah parah.

sang kegelapan said...

btul..pemerintah dah tolak Islam dlm pentadbiran..kite tukar je pemerintah dulu..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails