Wednesday, June 24, 2009

Mencari Jati Diri - Siri 3

Mencari Melayu Sejati

Amat malang kerana generasi muda Melayu pada hari ini semakin tidak kenal sejarah bangsa, agama dan tanahair mereka sendiri. Ia bukanlah suatu perkara yang kebetulan berlaku malah merupakan satu perancangan yang teliti dan halus dibuat oleh musuh-musuh kita. Tidak kira musuh dari dalam atau luar. Ini kerana mereka inginkan bangsa Melayu terus lena diulit oleh mimpi indah dan jangan bangkit-bangkit. Ini kerana gergasi yang jika dikejutkan bisa sahaja akan mengegar dan mengoncangkan sebuah dunia.

Satu bangsa yang mengenal sejarah bangsa, agama dan tanahair akan mempunyai jatidiri dan identiti diri seterusnya akan melahirkan bangsa yang kuat ,berani dan bermaruah. Kita lihat di sekeliling kita pada hari ini. Adakah anak-anak bangsa kita didedahkan dan diajarkan dengan sejarah bangsa Melayu nusantara yang begitu hebat, gemilang dan bermaruah pada suatu ketika dahulu. Persoalannya, kemanakah hilangnya catatan-catan sejarah yang gemilang itu pada hari ini?

Bertambah malang lagi, sejarah yang diajar di sekolah- sekolah pada hari ini terdapat begitu banyak kepincangan. Rata-rata fakta dan rujukan lebih kepada orientalis Inggeris dan asing yang pernah menjajah dan merompak tanah air kita. Sememangnya sejarah ini lebih cenderung untuk merendahkan bangsa Melayu dan memperlekehkan kita. Di manakah catatan-catatan dan kitab-kitab Melayu yang menceritakn hakikat dan fakta sebenar tentang Melayu nusantara ini disembunyikan?

Ternyata selepas 52 tahun kita merdeka, kehebatan dan kegemilangan bangsa dan kerajaan Melayu suatu masa dahulu terus tersembunyi, peranan ulama dalam catatan perjuangan kemerdekaan hilang, kezaliman raja-raja melayu begitu tertonjol dan dalam masa yang sama kelihatan bangsa Melayu begitu dungu dan gentar terhadap tekanan bangsa asing. Di mana hilangnya kebijaksanaan dan kehebatan mereka dalam proses mengembangkan Islam di nusantara dan sekaligus membina tamadun-tamadun yang begitu hebat dan terkenal di seluruh dunia? Di mana keintelektualan bangsa Melayu yang pernah membina sebuah peradaban dan perdagangan yang melibatkan dunia antarabangsa dan tidak terhad kepada bangsa Melayu nusantara sahaja?

Di Mana Melayu Itu?
Siapakah bangsa Melayu ini sebenarnya? Sering kita mendengar persoalan yang sering ditanya dan sehingga kini belum ada jawapan yang konkrit mengenai siapa sebenarnya bangsa Melayu ini? Dari mana bangsa Melayu ini datang? Adakah ia timbul begitu sahaja. Pelbagai andaian dan teori yang dibuat sehingga kini namun terjumpa jawapan konkrit tentang siapakah Melayu yang sebenarnya?

Misteri yang menyelubungi bangsa melayu itu sendiri menjadi persoalan yang begitu sukar dijawab. Berapa banyakkah bangsa di dunia ini yang begitu misteri sehingga tidak diketahui punca asal mereka? Lebih-lebih lagi sebuah bangsa yang diketahui pernah membina tamadun-tamadun yang hebat dan canggih pada suatu masa dahulu.
Ini menambahkan lagi keistimewaan sebuah bangsa yang bernama Melayu itu. Tidak sepertimana bangsa-bangsa di eropah, mereka telah mengetahui di mana asal usul bangsa mereka. Kestimewaan bangsa Melayu yang dipendam dan misteri inilah yang menyebabkan kegerunan kepada penjajah suatu masa dahulu yang ingin terus-menerus memastikan bangsa Melayu ini terus ditekan dan lupa akan jati diri mereka.

Perhatikan sendiri adakah terdapat satu ciri-ciri utama bangsa melayu itu? Adakah terdapat satu persamaan yang khusus di antara individu yang bergelar bangsa melayu itu. Ironinya bangsa melayu itu boleh sahaja kelihatan seperti Cina, India, Iban dan Kadazan namun digelar melayu. Lebih ketara lagi jika seorang cina berkahwin dengan seorang india, campuran keduanya akan menghasilkan seorang individu yang mempunyai muka melayu. Adakah mungkin terdapat persamaan atau kebetulan terhadap simpton ini?

Yang nyatanya persamaan pada Melayu itu bukanlah terhadap ciri fizikal mereka, tetapi pada agamanya. Kita mengetahui didalam perlembagaan telah termaktub bahawa Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Di sinilah ramai orang Melayu itu sendiri tidak mengetahui apakah di sebalik rahsia kenyataan ini. Ini kerana melayu itu bukanlah bangsa semata-mata tetapi adalah satu proses pengislahan yang menyatukan nilai agama islam ke dalam bangsa itu. Maka dari pengasimilasian inilah terhasinnya Melayu yang begitu bertolak-ansur, bersopan santun, tinggi akhlak dan bukti pekertinya sehingga tidak mungkin kita menemui satu bangsa sebaik bangsa melayu. Yang jelasnya nilai-nilai Islam yang berjaya diserap dengan sempurna ke dalam sesebuah masyarakat itulah yang menghasilkan Melayu.

Dengan berhasil dan berjayanya penerapan islam inilah maka darah melayu itu pejal bersalut dengan nilai-nilai islam. Yang demikian itulah menjadi Islam dan Melayu itu satu. Jika Melayu tidak beragama Islam, maka dengan sendirinya dia bukanlah seorang Melayu. Kejayaan golongan-golongan pendakwah ini yang berjaya menerapkan nilai-nilai Islam inilah yang menyebabkan golongan-golongan yang bencikan Islam begitu giat untuk menghancurkan dan merendah-rendahkan umat Melayu. Berjaya menghancurkan umat Melayu sekaligus berjaya menghancurkan umat Islam. Namun, Melayu jangan;ah dipandang dari sudut yang sempit dari segi pandangan politik jumud pada hari ini.

Kesepaduan antara elemen bangsa dan agama ini begitu ketara pada suatu masa dahulu di mana walaupun seseorang melayu itu jahil pengamalan agamanya namun jangan dilabelkan ia sebagai seorang yang kafir atau fasik. Bisa sahaja satu kampung akan menjadi mangsa amukan dan belasahan. Begitu juga setelah kejayaan penaklukan yang dilakukan oleh Portugis terhadap Melaka. Mubaligh-mubaligh Kristian dihantar dan gereja didirikan namun orang Melayu ampuh bertahan bersama agama Islam walaupun diserang bertalu-talu dari luar dan dalam.

Amatlah menghairankan sebuah negara yang merdeka seperti Malaysia masih mempertahankan nilai-nilai sejarah yang menjadi bukti musnahnya sebuah kerajaan Islam berdaulat kepada sebuah kerajaan Kristian itu sendiri. Fakta tidak boleh diubah dan ia bukanlah kenyataan provokasi. Namun jika kita ke Melaka yang kita banggakan adalah kesan-kesan kemusnahan kerajaan Melaka itu sendiri seperti Kota A Famosa, gereja dan sebagainya. Di manakah kebanggaan kita terhadap pejuang-pejuang Islam yang berjuang bermati-matian mempertahankan Melaka seperti Raja Haji? Ternyata ia adalah satu bentuk agenda yang mengongkong pemikiran umat Melayu supaya mengingati kesan penjajah itu sendiri bukan terhadap nilai sejarah oleh pejuang-pejuang dan raja-raja Melayu itu sendiri.

Oleh itu tidak hairanlah nilai-nilai Melayu pada hari ini semakin goyang dan telah dibolosi oleh nilai-nilai negatif disebabkan jarum-jarum dakwah kristian dan yahudi. Oleh itu amatlah tidak layak seorang yang telah murtad itu bergelar melayu. Ini kerana mereka sudah jelas tidak memiliki ciri-ciri utama melayu itu sendiri iaitu mestilah beragama islam. Agama itu bukanlah untuk dipermainkan.

Persoalannya mengapakah bangsa melayu itu diserang dari pelbagai penjuru untuk melumpuhkan nilai jatidiri melayu? Anak-anak muda kita diserang dengan pelbagai serangan seperti dadah, rempit, gejalan negatif dan sebagainya. Adakah ia berlaku secara kebetulan atau terdapat tangan-tangan ghaib yang merancang ini semua? Apabila melayu itu sendiri tidak menyelidik dan mengetahui jati dirinya maka pincanglah melayu itu pada pandangan dirinya sendiri.

Sejarah itu untuk dipelajari, sejarah itu untuk mengenal diri. Siapa yang menguasai sejarah dia akan menguasai dunia. Hakikatnya pada hari ini sejarah kita telah dirompak dan dikuasai oleh orang-orang yang berkepentingan. Walaupun kita pada zahirnya telah merdeka tetapi hakikatnya masih menerima pakai perlembagaan, sistem dan pemikiran golongan penjajah yang pernah menjajah kita pada satu ketika dahulu. Sedangkan tamadun-tamadun Melayu yang hebat dan berdaulat ternyata mengguna pakai hukum-hukum Islam sehingga menjadi begitu perkasa. Kita naik kerana Islam, kita jatuh kerana Islam. Maka, kembalilah kita kepada Islam melampaui batas kepartian, bangsa dan negara. Islam yang menjadi asas dan cara hidup!

1 comment:

Prof. Era Pasca said...

semua orang melayu mengaku melayu sejati... sejati macamana? tuuuut takde jawapan...

salam dr baginda untuk semua,

Khemah Polis giat dibina di Manek Urai, Masjid Rakyat pula diroboh Terengganu

link:
http://bagindareformasi.blogspot.com/2009/06/khemah-polis-giat-dibina-di-manek-urai.html

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails