Wednesday, June 10, 2009

Al-Fatihah Untuk Saudara Kita Di Pattani!

Di akhir zaman ini, umat Islam akan menjadi sasaran kezaliman dan kerakusan mereka-mereka yang memusuhi Islam. Mereka akan diganyang dari kiri dan kanan. Benarlah sabda junjungan besar Nabi Muhammad Sallahuailaih Wasalam, kita ramai tetapi seperti buih-buih di lautan. Walaupun jumlah kita begitu ramai tetapi ternyata kita lemah dan ditindas. Angkara umat Islam terkena penangan virus wahan. Cinta dunia dan takut mati.

Ironinya di mana-mana sahaja di seluruh dunia umat Islam ditindas sewenang-wenangnya. Tiada pembelaan. Selepas kejatuhan khalifah Othmaniyyah yang merupakan benteng terakhir ummah ini, tiada lagi kerajaan Islam yang benar-benar berdaulat untuk membela umat Islam. Ternyata amat berjaya sekali perancangan Barat yang didokong zionis untuk menghancurkan umat Islam. Ternyata pemecahan negara melalui negara dan idea-idea nasionalisme langsung menghasilkan jurang assabiyyah yang bukan kepalang mudah untuk di perbetulkan.

Ternyata kita telah merasakan masyarakat Indonesia itu berbeza dengan kita. Sepertimana juga Pattani berbeza dengan Malaysia. Seperti juga Sulu dan Filipina. Padahal suatu ketika dahulu kita merupakan satu. Satu rumpun. Satu badan. Tiada yang membezakan kita kerana kita adalah bersaudara. Kini walaupun pendatang Indonesia itu datang ke sini mencari rezeki adalah beragama Islam, tetapi kita merasakan mereka begitu asing dan jauh dari kita.

Padahal ia merupakan satu tradisi yang telah lama diwarisi. Anak muda merantau mencari ilmu dan rezeki di tempat orang. Maka benarlah pepatah Melayu - Jauh berjalan luas pemandangan. Namun yang jelas agenda penjajah untuk menjauhkan anak bangsa dari mengetahui sejarah dan jati diri mereka semakin berjaya. Di tambah dengan zaman kemodenan, hanya material dan wang ringgit menjadi ukuran.

Lalu kita dikejutkan sekali lagi dengan pembunuhan 11 jemaah Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Golok sewaktu mendirikan solat Isyak. Atau kita memang tak terkejut? Saudara seislam kita di bunuh di Pattani dengan sewenangnya! Sejarah Pattani yang dijajah oleh Thailand sejak 1902 menyebabkan berlakunya penentangan di kawasan tersebut.

Ternyata mereka telah mendapat kemenangan dengan dikurniakan anugerah syahid. Tetapi kita? keluarga kita? kerajaan kita? Masing-masing berlepas diri dan tidak merasakan apa-apa. Di mana sensitiviti kita? Di mana rasa kasih sayang kita? Di mana Iman kita? Bukankah nabi pernah bersabda - tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak menyintai saudaranya lebih dari dirinya sendiri.

Maka sedekahkanlah Al-Fatihah untuk saudara-saudara kita. Hulurkan juga doa dari kita untuk roh mereka dengan setulus hati. Jika berdaya hulurkan bantuan sedaya yang mampu. Kerana kita adalah ibarat satu badan. Satu anggota dipulas yang lain juga terasa. Namun, jika yang lain tak terasa bermakna badan kita sedang diserang angin ahmar.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails