Saturday, May 17, 2008

Sekitar Majlis Ulangtahun Pemergian Ustaz Wan SaghirU

Mesti ramai yang tak kenal dengan Ustaz Wan Saghir ini. Saya juga tidak terkecuali. Selepas mengikuti majlis ini dan pembentangan kertas kerja oleh dua orang ahli panelnya yang memang rapat hubungan mereka dengan Ustaz Wan Saghir barulah jelas kepada saya, siapa Almarhum Ustaz Wan Saghir ini sebenarnya dan apakah peranannya di dalam memartabatkan kembali tulisan melayu jawi yang semakin luput ditelan zaman.

Terlebih dahulu, majlis ini telah dianjurkan oleh Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia(PENGKAJI) & Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur. Dua kertas kerja yang dibentangkan oleh YBhg. Ustaz Hj Ahmad Shukri bin Hj Ghazali (Penyelidik Manuskrip & Khazanah Klasik) & YBhg. Ustaz Muhatir bin Hj Joll (Pensyarah di Pusat Asasi, UIA). Rupa-rupanya sumbangan Ustaz Wan Saghir terlalu besar untuk diceritakan.

Pada saya beliau merupakan seorang pejuang Islam tulen. Berjuang bukan kerana nama. Juga bukan kerana pangkat atau harta. Tetapi kerana hati yang tulus dan ikhlas yang kebanyakannya telah hilang di hati kebanyakan umat Islam hari ini. Biarpun namanya tidak tersohor di dada akhbar, tidak menerima anugerah namun jasanya terhadap pengumpulan sejarah-sejarah Islam Melayu tidak terhitung banyaknya

Perjuangan ustaz Wan Saghir menyelidik dan membongkar perjuangan ulamak-ulamak besar nusantara melayu pada suatu masa dahulu sungguh menyentuh hati saya. Beliau menyelidik, melakukan translatesi dan menjejak kembali kitab-kita Melayu Jawi lama karangan ulamak-ulamak besar di nusantara. Ulamak-ulamak masyhur terutamanya Syeikh Daud al-fathani dan Syeikh Ahmad Al-Fathani dijejaki. Ditambah lagi beliau sendiri merupakan cucu kepada ulamak besar tersebut. Mungkin agak mengejutkan kerana salah satu kitab karangan ulamak tersebut dicetak di India dan kitab-kitab tersebut juga ada digunakan dan di ajari di nun benua afrika sana.

Bermula dari 12 tahun, beliau menjelajah ke nusantara untuk menjejaki kembali sejarah-sejarah perjuangan ulamak silam. Nantilah sampai masanya saya akan menyampaikan ceritanya tidak di blog ini, mungkin di blog yang satu lagi. Sesungguhnya masih ramai masyarakat kita nun di luar sana yang masih mencintai warisan bangsa dan agama.

Antara yang hadir ke majlis tersebut termasuklah Ustaz Hassan Shukri, Subky Latif, penulis Radzi Sapie dan ramai lagi. Untuk foto berkaitan majlis tersebut boleh masuk ke sini. Di maklumkan juga kepada peminat-peminat sejarah ulamak Islam termasuk kitab-kitab karang mereka boleh datang untuk membuat kajian pada waktu-waktu pejabat di Dewan Sheikh Daud Al-Fathani dan Dewan Sheikh Ahmad al-Fathani. Alamatnya nombor 36 & 38, Jalan Batu Geliga Satu, Taman Melewar, 68100 Batu Caves, Selangor . Atau boleh menghubungi terlebih dahulu Ustaz Abdul Halim (013-356 4496) atau Ustaz Azrul (016-352 0094).

Kepada pejuang-pejuang sejarah tanpa nama di luar sana, syabas diucapkan. Bukan dunia yang dicari, akhirat lah sebenar yang dikejar. Tidak kenal bangsa sendiri, maka tidak kenallah kita akan jati diri. Berita-berkaitan boleh ke blog ini.



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails