Thursday, December 24, 2009

Salam Maal Hijrah

Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan salam Maal Hijrah kepada semua umat Islam di luar sana. Alhamdulillah rasanya sambutan tahun Maal Hijrah begitu terasa pada diri saya dan mungkin berbeza dengan sambutan tahun Maal Hijrah sebelum-sebelum ini. Menyedari hakikat diri bahawa sambutan Maal Hijrah ini jauh lebih bermakna daripada sambutan tahun baru yang disambut tanggal tengah malam merupakan satu anugerah dari Illahi. Semoga diri terus menghargai dan mengucap syukur kepada Allah atas segala anugerah yang dicurahkan kepada hambanya selama ini.

Jadi marilah kita sama-sama menghayati dengan video ini. Moga-moga diri kita terus dicurahi rahmat dan kasih sayang Allah, Insya Allah berkat kita mencintai seorang manusia paling agung dan mulia iaitu Rasulullah Salallahu alaih wasalam.

Friday, December 4, 2009

Malang nya Melayu ! Politik Berjaya Memecahbelahkan kita!

Hati sedih tidak terkata. Gelora di dada kian membara. Melihat saban hari masyarakat Melayu semakin berpecah belah. Menjadi berkeping-keping buih di tengah lautan samudera. Fizikalnya kelihatan banyak mengunung, tetapi disentuh pecah berderai.

Kita tidak menyedari bahawa betapa parahnya keadaan bangsa kita pada hari ini. Betapa ramai yang memerlukan pembelaan dan pertolongan. Namun, seringkali diketepikan atas tiket politik. Dan betapa jua berjayanya bangsa kita menjadi musuh sesama mereka. Di kiri kanan musuh-musuh kita menunggu masa untuk meratah dan bersorak kegembiraan. Betapa segala kekayaan dikaut oleh orang lain, sedang kita merana di bumi sendiri.

Tidak habis-habis orang kita berpolimik politik. Umno dengan caranya, begitu juga pas dengan caranya. Ada nama politik kita mengenepikan semangat persaudaraan Islam sesama kita. Mulut bercerita pasal Islam, tetapi perbuatan kita langsung kontra dengan apa yang diucapkan. Tiadakah lagi sekelumit rasa cinta dan ukhuwah sesama Islam? Hanya kerana label Umno dan Pas , tembok permusuhan segagah tembok besar cina terbina dengan sendiri.

Politik itu ada di dalam Islam. Tetapi Islam masih di atas politik. Adakah kita berpolitik untuk memenangkan Islam, atau kita menggunakan istilah Islam sebagai alat politik. Ternyata kita semakin celaru. Yang terkeluar hanyalah maki hamun.

Utusan Melayu umumnya masyarakat sudah tahu akan perihal perangainya yang semula jadi menjadi pusat propaganda dan adu domba. Namun, bagaimana dengan perihal tuan guru kita yang asyik mencipta polemik dan bola tanggung yang terus menerus membingungkan orang awam seperti kita. Adakah kerana hanya satu perkara kecil iaitu doa, maka kita bergolok berparang untuk menegakkan kebenaran masing-masing?

Apakah tiada lagi istilah diplomasi di dalam kamus bangsa kita? Kerana doa maka kita terpaksa usung sepanduk ke sana ke mari. Lalu pihak yang satu lagi terpaksa juga mengadakan perhimpunan untuk 'counter-attack' tindakan yang di sebelah sini. Bukankah ia satu perbuatan yang bersifat kartun yang kadang-kadang susah diterima akal yang normal.

Andai kata isu di sini soal royalti, maka fokuskanlah kepada royalti. Usahlah dicanangkan bahawa kerana royalti itu disekat, maka kita hebahkan satu negara bahawa kita akan berdoa supaya yang menyekat itu akan diturunkan bala. Adakah itu sebenarnya akhlak dan adab seorang pemimpin Islam? Apakah itu contoh dan sunnah yang diturunkan oleh Rasulullah?

Cukup-cukuplah dengan polemik kita ini. Kembali lah fokus kepada perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Andai kata di dalam jemaah itu sendiri sudah berpecah-belah adakah mungkin agama itu akan terbela. Betulkan di dalam, barulah kita dapat fokus yang diluar. Andai di dalam rosak, maka hancur berkecailah jemaah itu. Rapatkan saf, betulkan barisan. Yang pasti islam itu bersaudara dan bukanlah perpecahan matlamat kita.

Sunday, November 29, 2009

Badan-badanku Sengal Semua

Nampaknya belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat hari raya korban kepada semua saudara-saudara Islam di luar sana. Walaupun raya dah habis, tapi harapan kita agar semangat dan falsafah hari raya korban yang kita fahami itu turut diterapkan sehingga setelah habisnya hari raya korban.

Berkorban itu bukan setakat menyembelih lembu, kerbau dan kambing semata-mata. Tetapi nilai korban itu dinilai daripada erti kasih sayang, pengorbanan, keimanan dan ketakwaan. Pengorbanan terhadap agama akan menuntut pengorbanan yang tinggi. Bukanlah sekadar menghabiskan dua tiga ratus setahun kerana sudah menjadi tradisi tahunan sahaja.

Tutup cerita pasal korban, kita cerita pasal benda lain pula. Minta maaf kerana lama dah tak menulis. Biasalah syndrom 'writters block' (entahkan betul entahkan idak istilah ini) menghantui diri penulis. Banyak sangat benda nak diluahkan tapi bila di depan keyboard hanyalah melihat huruf-huruf yang tertera. Menekannya susah sekali.

Jadi bagi merobohkan benteng ini, maka diriku ingin sedikit membebel tentang sistem lebuhraya pantai timur (LPT) yang pada aku lebuhraya kelas C. Namun kelas C itu dinilai pada kualiti jalan yang berombak-ombak, tidak rata dan air melimpahi jalan sewaktu hujan yang membahayakan pengguna jalan raya tetapi bukan daripada nilai kutipan tolnya. Nilai tolnya walaupun baru setahun jagung sudah setaraf dengan Lebuhraya PLUS, walaupun mutunya jauh sekali.

Agaknya kerana memang orang pantai timur ini dari dulu, kini dan selamanya akan dianaktirikan maka dibuatlah lebuhraya yang ibarat melepaskan batuk di tangga. Mungkin pada persepsi pembina lebuhraya ini tak ramai pengguna yang akan menggunakan lebuh raya ini. Maka digunakanlah bahan yang murah, bukit-bukit yang menunggu masa untuk runtuh, dan kaunter tol yang sebiji dua sahaja.

Maka kami yang bersemangat untuk pulang ke kampung terpaksa lah menahan bahananya. Andai kata kesesakan di PLUS itu boleh dimaafkan kerana penghuni kotaraya pulang terlalu ramai sehingga menyebabkan kesesakan, apa kata anda jika kesesakan berkilometer hanya kerana beratur untuk membayar tol. Mungkin pihak lebuhraya LPT tidak pernah mengambil cakna sangat atau belajar daripada apa yang terjadi di PLUS.

Terpaksalah kaunter-kaunter tol tambahan dibuka. Hairannya mengapalah mereka tidak boleh menjangka perkara ini tidak akan terjadi awal-awal lagi sewaktu ingin membuka lebuhraya tersebut. Yang pastinya kaunter yang dibuka 'defaultnya' 1 tol touch 'n' go, satu tol fastlane dan satu sahaja tol tunai. Habis banyak kaunter tunai ada 2.

Maka berbakul-bakul lah agaknya sumpah seranah yang keluar dari pembawa kenderaan ini yang terpaksa mengorbankan tenaga, minyak dan wang ringgit. Namun jika diluahkan sudah pasti akan terkeluar kata-kata kelas pertama dari pemimpin kita yang mendakwa sistem lebuhraya di Malaysia antara yang terbaik di dunia. Maka jika terjadi kesesakan seperti ini maka itu adalah salah pengguna sendiri. Tidak pandai merancang perjalanan dan tidak pandai bersyukur.

Maka sebagai pengguna-pengguna kecil ini, terpaksalah menerima hakikat bahawa perkara ini akan berterusan sampai bila-bila. Mungkin ada sedikit perubahan tetapi faham-faham sahajalah. Andai kata Menteri Kerja Raya dahulu sudah pasti yang didahulukan adalah kos tol tersebut. Agaknya inilah aplikasi cogankata rakyat diutamakan.

Maka terpaksalah penulis mengambil cuti satu hari kerana habis urat saraf terasa berdenyut-denyut. Ini mungkin perkara kecil sahaja kerana rasanya pengguna PLUS mengalami kesesakan yang lebih dasyhat lagi. Merancang perjalanan ? Nak buat macam mana penulis memang cuti pada hari ini tetapi isteri bekerja maka terpaksalah balik walau tahu apa yang menanti. Agaknya bila mimpi ngeri kami ini akan berakhir.

p/s: Minta maaf, bukti tidak dapat disertakan kerana telefon buat hal semasa ingin mengambil gambar kesesakan tersebut.

Sunday, November 8, 2009

Puisi Untuk Si Dia

Wahhabi

Saudara,

kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak berqunut Subuh;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak bertahlil arwah;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak wirid berjemaah lepas sholat;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak membaca Yaasin malam Jumaat;
kita bermusuh denganWahhabi,
bukan kerana dia tak nak bermawlid;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak bertawassul;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak bertalqin;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak berlafaz niat "usholli";
kita bermusuh dengan Wahhabi,
bukan kerana dia tak nak Tarawih 20 rakaat;
kita bermusuh dengan Wahhabi bukan kerana dia Wahhabi;

TAPI;

kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi memusuhi kita;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita sesat;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita ahli bid`ah;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita khurafat;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita syirik;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi kata kita tak ikut Qur`an dan Sunnah;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi halalkan darah kita kerana kita sudah syirik;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi biadap dengan ulama-ulama kita;
kita bermusuh dengan Wahhabi,
kerana Wahhabi tak biarkan kita beramal dengan aman tanpa cemohan;

dipetik dari blog Bahrus Sofa

Tuesday, November 3, 2009

Berhati-Hatilah Dengan Fitnah Akhir Zaman

Kita sudah berada di penghujung akhir dunia ini. Zaman yang mana disebut akhir zaman. Semua tanda-tanda kiamat kecil sudah dipenuhi. Hanya menunggu tanda-tanda kiamat besar yang hanya menunggu masa memperlihatkan diri. Betapa malangnya umat Islam hari ini langsung tidak menghiraukan amaran dan tanda-tanda ini yang telah diberitahu oleh Rasulullah Salallahu Alaih wasalam 1400 tahun yang dulu. Malah kita semakin hari semakin jauh dari ajaran Islam yang sebenar. Malah kebanyakan manusia hari ini berlumba-lumba untuk mengejar nikmat dan harta dunia yang hanya sementara.

Hakikat bahawa kehidupan kita ini adalah ujian dan sementara dipandang remeh-temeh sahaja. Kita mengejar dunia seolah-olah kita tidak akan langsung mati. Dunialah segalanya. Kerana harta dan wang, maruah diri dan agama sendiri diperdagangkan. Terlupa bahawa kita pengembara dunia yang bila-bila masa akan dipanggil oleh Yang Maha Pencipta. Lalu segala yang digariskan di dalam Kitab Suci dan hadis nabi ditinggalkan begitu sahaja.

Semakin dunia tua, semakin jauhlah juga manusia dengan tuhannya. Ditambah dengan perancangan teliti Dajjal dan musuh-musuh Islam, umat manusia semakin lena. Lena yang ditambah dengan dengkuran yang keras. Tidak langsung mengetahui mereka sudah terperangkap dengan syurga dunia yang dibawa oleh Dajjal al-masih. Lalu jadilah mereka alat dan goyyim pihak musuh dan zionis. Di mana goyyim adalah lembu atau binatang ternakan, malah bisa sahaja lebih teruk dari itu.

Maka berhati-hatilah dengan segelintir mereka yang kononnya mempunya ilmu agama yang tinggi. Yang mana bisa sahaja mempunyai pelbagai gelaran dan sijil. Namun yang jelasnya ajaran yang dibawa tidak sinonim dengan ajaran Islam dan mazhab Fiqh Shafiee yang diwarisi oleh kita dari ulama-ulama yang terdahulu. Bukan sedikit yang keliru dan terjebak. Antara sedar atau tidak, racun-racun ini telah menyusup masuk ke dalam urat saraf ummah.

Negeri ini dari dahulu lagi berpegang kepada Mazhab Fiqh As-Syafie, akidah ASyairah dan berpegang kepada tasawuf Imam Ghazali dan Imam Junaid Al-Baghdadi. Ia dipegang kukuh oleh umat Islam nusantara sehingga menjadi darah daging umat Islam di sini lalu terhasillah umat Melayu yang bersopan santun dan baik budi bahasa.

Malangnya adab bertandang ke rumah orang semakin dilupakan orang Melayu dewasa ini. Masuk ke rumah orang lalu mengomel dan tidak puas hati dengan hiasan dan susunan perabot tuan rumah. Di sini tidak sesuai, di sana tidak cantik. Andai kita sebagai tuan rumah, apakah perasaan kita apabila bertemu dengan tetamu seperti ini.

Imam Shafie apabila menjadi imam solat di masjid Imam Abu Hanifah pada waktu subuh tidak membaca doa qunut. Apabila ditanya mengapa beliau tidak membaca doa qunut, sedangkan dalam mazhab Shafie doa qunut hukumnya sunat Muakad beliau menjawab bahawa beliau menghormati tuan rumah. Menghormati Imam Abu Hanifah yang telah menghadap Allah pada masa itu.

Begitulah ketinggian adab dan perlakuan seorang ulama dan mujtahid mutlak. Tidak seperti kebanyakan orang pada hari ini yang merasakan ilmunya sudah cukup tinggi. Maka habis semua yang dilakukan oleh ulama-ulama terdahulu dilabelkan sebagai bidaah. Ini tiada nas, itu tidak pernah dilakukan oleh nabi. Semakin banyak dia bercakap, semakin terserlah kejelekan peribadi yang ada pada dirinya. Di mana perginya adab sebagai seorang yang berilmu?

Maka fahaman-fahaman ini semakin meresap terutamanya kepada pelajar-pelajar IPT. Mula bertanyakan soalan-soalan yang bisa sahaja merentap jantung dan perasaan. Mengapa kita perlu bermazhab? Bukankah mazhab itu juga satu bidaah. Amalan ini tidak pernah dilakukan oleh nabi. Bermaksud Islam yang selama ini diamalkan oleh nenek moyang kita ini terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Maka perlulah satu gerakan pembaharuan yang membetulkan kembali ajaran Islam yang diamalkan pada hari ini. Betapa malang dan jumudnya pemikiran seperti ini. Tidak pernahkah mereka mengetahui berapa ramai wali-wali Allah pernah muncul di bumi Nusantara ini? Yang selama ini menjadi pemangkin dan benteng ahli sunnah wal jamaah di bumi bertuah ini?

Maka kita sendiri usahlah menjadi alat-alat tanpa disedari. Menyokong secara membabi buta. Sibuk bertanya di mana dalil ini di mana dalil itu. Analoginya cukup mudah. Jika kita menjadi seorang Imam solat, lalu apabila selesai sahaja kita memberi salam, dilihat makmum yang 2-3 saf tadi sudah hilang. Hanya tinggal kita sahaja. Agaknya apakah perasaan kita? Adakah itu adab dan nilai akhlak Islam 'sebenar' yang ingin dibawa. Adakah itu cantik dan itulah yang dituntut di dalam Islam ? Sedangkan akhlak-akhlak orang terdahulu cukup tinggi. Begitu juga ulama-ulama' yang terdahulu. Amalan yang sedikit semakin disempitkan dengan larangan itu dan ini. Hasilnya, tidak payah beramal kerana ternyata itu semua tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah.

Berhati-hatilah wahai saudaraku. Lidah mereka begitu lembut menutur kata. Tetapi ia bisa sahaja membelit akidah dan pegangan kita. Dicanang mereka bahawa ini masalah furu'. Masalah ranting. Memang betul itu masalah furu'. Tetapi siapakah yang mencanangkan masalah-masalah furu' ini menjadi begitu besar seolah-olah ia adalah satu syirik yang wajib diperangi.

Berhati-hatilah wahai saudaraku. Tangan-tangan ghaib yang dimanipulasi oleh 'hidden hand' akhir zaman cukup licik menjalankan peranannya. Peristiwa tempoh hari seolah-olah satu bola tanggung untuk memperlihatkan dan mengumpan simpati masyarakat seolah-olah merekalah di pihak yang teraniaya. Perasan atau tidak, 2-3 hari ini di muka utama tiada muka orang lain yang dipaparkan. Begitu juga selepas berlakunya peristiwa itu, maka sidang media besar-besaran di jalankan untuk memberi publisiti hebat kepada orang itu.

Berhati-hatilah. Belajarlah. Jangan lupa juga adab dalam menuntut ilmu dan cara mencari guru. Kerana barakah guru-guru inilah yang membentuk diri kita adakah semakin hari semakin baik atau sebaliknya. Janganlah kita menjadi di kalangan orang yang rugi. Minta dijauhkan Allah di waktu nyawa kita di halkum barulah kita mengetahui hakikat yang sebenarnya. Sesungguhnya fitnah akhir zaman itu terlalu hebat dan terpalit kepada semua umat manusia! Untuk menjaga akidah diri dan berpegang kepada ajaran Islam pada masa ini bukanlah sesuatu yang mudah. Berhati-hatilah saudaraku.


Thursday, October 29, 2009

Marahkan Nyamuk Kelambu Dibakar

Satu Malaysia sedang tertumpu kepada isu-isu dalaman dalam PAS yang kini sedang hebat digembar-gemburkan oleh media-media massa. Samada sedar atau tidak, pemimpin PAS sendiri seolah-olah memberi bola tanggung yang mana bukan sedikit persepsi negatif yang ditelan dan dihirup oleh rakyat. Namun mungkin kerana terlupa atau tidak sengaja, kenyataan Tuan Guru Nik Aziz begitu mirip dengan kenyataan Tuan Guru Haji Hadi sewaktu Pas berjaya merampas Terengganu.

Dan sejarah telah merakamkan. Akibat kenyataan-kenyataan kencang inilah, Pas ditendang padu oleh rakyat Terengganu dan tinggal nyawa-nyawa ikan di Kelantan. Dan kini, Tuan Guru Nik Aziz mengulangi perkara yang sama yang mungkin menyebabkan Pas hanya tinggal nyawa-nyawa ikan pada PRU-13 nanti.



Tidak pasti samada kenyataan ini didorong oleh perasaan benci yang membuak-buak atau mungkin sahaja kemarahan yang tidak terbendung, maka tok guru meluahkan perasaan sehingga ke jurai keturunan Datuk Syed Alhabsee. Biarpun tidak puas hati dengan kenyataan Datuk Syed namun biarlah hanya antara Tuan Guru Nik Aziz dan Datuk Syed sahaja. Malangnya, kenyataan ini disambut dengan tidak bijaksana oleh Tuan Guru dengan mengungkit keturunan Datuk Syed Ali Alhabsee.

Di sini pelbagai keributan bisa sahaja timbul. Pertamanya, gelaran syed itu sendiri bukanlah diberi kepada bapa saudara Rasulullah Sallahu alaih wasalam. Gelaran itu hanya dimulai oleh Sayyidina Husin dan Sayyidina Hassan Radhiallahuanhu. Ia bukan sahaja akan menimbulkan keributan kerana apabila disebut istilah yang luar biasa dan kasar dalam bahasa kelantan iaitu 'pengat' seolah-olah kurang percaya ianya keluar daripada mulut seorang tuan guru yang bergelar ulama.

Seharusnya keluarga Rasulullah Sallahu Alaih wasalam ini dicintai, dihormati dan dikasihi tanpa melampaui batas. Sepertimana pesan Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam sendiri di akhir hayat baginda meminta supaya pertalian antara umat Baginda dan ahli keluarga baginda dikekalkan supaya tidak terputus hubungan baginda dengan umatnya.

Kesan maksima yang akan berlaku dari kenyataan tuan guru ini akan menyebabkan hilangnya rasa hormat umat Islam terhadap golongan Syed itu sendiri. Tidak sepatutnya kenyataan ini diguna pakai untuk 'pukul rata' semua golongan saadah sebagai sama sifatnya dengan yang dimaksudkan. Apatah lagi kerana beberapa golongan artis daripada keturunan Syed dan Syarifah berkecimpung sebagai artis maka rosaklah susu sebelanga.

Melayu mudah lupa. Jika disusuri kembali sejarah pengislaman tanah Melayu - janganlah lupa bahawa keturunan Syed yang bepekerti mulia ketika itulah yang memulakan misi untuk mengislamkan seluruh nusantara. Jangan dilupa Syeikh Ahmad Baghdadi, Syed Hussin Jamadil Kubra, Sunan Ampel, Tokku Pulau Manis dan golongan-golongan keturunan Ahlu Bait yang lainnya.

Politik bukanlah alat untuk memberi lampu hijau kepada umat Islam untuk menghina golongan Ahlul Bait. Kerana leluhur mereka berkait terus dengan junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu Alaih wasalam. Hatta, Imam Malik apabila diseksa di penjara oleh seorang Ahlul Bait di dalam penjara menyuruh orang disekelilingnya bersaksi bahawa bermula dari hari pertama lagi penyeksaan dilakukan ke atas beliau, beliau telah memaafkan Ahlul Bait tersebut. Ini kerana beliau tidak mahu menjadi penyebab dan malu kepada Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam yang mana kerana beliau seorang Ahlul Bait baginda dihumban ke dalam neraka.

Begitu juga pegangan umat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Yang mana golongan ini bukanlah diminta untuk dimuliakan tetapi berpegang kepada pesanan Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam yang menyuruh kita terus menghargai Ahlul Bait ini. Usahlah dipermainkan sunnah Rasulullah semata-mata kita menyangka bahawa kita sudah berjuang untuk tok nenek Syed ini. Allahuma Soli Ala Saidina Muhammad.

Wednesday, October 14, 2009

Aku Malu Tetapi Mereka Ketawa Besar

Minggu ini aku sering termenung sendiri. Banyak sangat benda yang menganggu fikiranku. Fikir masalah bangsa, masalah negara, masalah agama dan macam-macam lagi. Aku bukan pemimpin negara, jauh lagi dari ketua kampung. Tetapi benakku tetap cuba untuk mengambil tahu apa yang terjadi di sekeliling aku.

Sedih bercampur pilu. Ngilu pun ada. Bangsaku yang bernamaMelayu telah mabuk bergelumang dengan najis rasuah. Tapi untuk memperlihatkan benda itu sebagai bukan satu perkara yangmenjijikkan maka ditukar nama yang lebih indah sedikit iaitu politik wang. Bagi mereka babi itu haram, memang menjadi pantang larang bagi mereka. Tapi lain pula dengan politik wang itu sudah perkara biasa dan wajib ada.

Lalu dikatalah bahawa parti itu sudah separuh ditransformasi. Mungkin maknanya yang tak pandai rasuah perlu belajar dengan otai rasuah. Kalau setakat rasuah sikit-sikit tidak akan menang pilihan raya maka perlu menang banyak-banyak. Lepas itu barulah kita boleh kata bahawa rakyat sudah kembali perjuangan kita.

Tanda dunia itu semakin hampir kiamat semakin jelas dan ketara. Apabila Islam itu menjadi dagang sehingga yang haram bisa sahaja menjadi halal bila ditukar namanya. Hanya yang tidak bisa diletakkab disitu cop tanda halal jalim sahaja. Jika tidak sudah pasti ianya akan menjadi halalan toyyibah. Kepala aku sudah terbalik atau mereka yang terbalik.Alahai...

Thursday, October 8, 2009

Sengketa Malaysia - Indonesia : siapa yang untung?

Apa yang berbeza di antara Malaysia dan Indonesia? Dari segi sejarahnya, keduanya adalah berasal dari rumpun bangsa yang sama. Bangsa Melayu yang bersatu di alam nusantara atau juga dikenali sebagai Jawi. Tiada beza antara kita. Dari segi bahasa, budaya dan agama juga langsung serupa. Rupa paras pun tidak jauh bezanya.

Pendek kata kita dan mereka bersaudara. Apalagi atas dasar rumpun Melayu yang suatu masa dulu begitu perkasa di nusantara. Dikuatkan lagi dengan persaudaraan sesama Islam. Maka tidak hairan jika ramai daripada kita mempunyai tali ikatan persaudaraan. Sehingga datanglah bangsa penjajah yang bernama Inggeris dan Belanda ke nusantara.

Ironinya, jika dilihat oleh bangsa Malaysia keseluruhannya kita tidak merasakan British itu adalah penjajah yang merogol kehormatan dan merompak segala hasil khazanah bumi tercinta ini. Biarpun tidak sedikit pejuang bangsa yang gugur tetapi ia ternyata hanya dipandang sepi oleh golongan muda pada hari ini. British dipandang sebagai wira yang memberikan kemerdekaan dan begitu 'baik hati' menyerahkan kembali negara ini kepada kita.

Kini kita begitu mencintai mereka melalui pasukan Manchester United, liverpool, chelsea, arsenal dan lain-lain. Tiada imbasan sejarah silam, yang tinggal hanyalah kecintaan semata-mata. Kerana pasukan-pasukan ini juga kita sanggup bermasam muka rakan-rakan musuh pasukan kita, juga sudah biasa pelbagai sindiran dikeluarkan.

Begitulah jua apa yang berlaku di antara Malaysia - Indonesia hari ini. Kerana termakan dengan fitnah-fitnah yang diatur oleh pihak-pihak tertentu, Malaysia dan Indonesia menjadi negara musuh yang saling benci-membenci. Jarak yang dekat kini kelihatan begitu jauh seolah-olah terpisah oleh satu benua yang jauh.

Kebencian ini begitu meluap-luap. Ia terus diluahkan walaupun pada masa kini indonesia berada dalam suasana yang payah. Walaupun baru sahaja ditimpa malapetaka, rakyat Indonesia tidak melepaskan peluang untuk melemparkan kemarahan kepada pasukan bantuan dari Malaysia. Batu-batu dilemparkan ke arah helikopter pasukan tentera Malaysia hanyalah setitis rentetan kebencian mereka. Mungkin kita tidak merasakan bahangnya kerana media kita begitu bijak menyembunyikan hakikat sebenar tetapi berbeza dengan mereka.

Betapa kita tidak dapat membayangkan sejauh manakah dalamnya kebencian mereka kepada kita yang ditanamkan oleh pihak-pihak berkepentingan di sana. Dalam keadaan ditimpa musibah sedemikian hebat pun mereka masih berupaya meluahkan kebencian mereka kepada kita.

Ianya bukan sesuatu yang terjadi dengan sendiri, tetapi disusun dengan penuh teliti oleh golongan-golongan yang mempunyai kepentingan. Hasil daripada pecah dan perintah ini serta tingginya nilai kebencian semakin tinggilah peluang keuntungan yang diperolehi.

Kerajaan Malaysia seharusnya memainkan peranan yang sepatutnya dan rakyat perlu didedahkan akan situasi yang sebenarnya. Ternyata kesan daripada peristiwa ini, tidak kelihatan langsung satu kemungkinan bahawa empayar nusantara ini bercantum kembali dan didaulatkan. Setiap pemerintah mempunyai kepentingan masing- masing dan sebarang usaha penyatuan kembali adalah mustahil. mungkinkah daulat Islam akan kembali tertegak di nusantara ini? Hanya masa yang dapat menjawabnya.




Thursday, October 1, 2009

Kita Kekurangan Pemimpin

Nampaknya krisis kepimpinan di negara ini semakin kritikal. Semakin kekurangan pemimpin yang berkaliber. Mungkin ada tersorok di celah-celah pohon kelapa sawit. Atau mungkin juga disorok di celah-celah kampung. Namun, dalam Islam sudah ada garis-garis panduan bagaimana memilih pemimpin. Pemimpin mana yang kita inginkan.

Pemimpin ini tanggungjawab yang terpikul di bahunya sungguh besar. Andai ajaran dan perlakuannya menjadi ikutan mereka-mereka yang dibawahnya, maka besarlah pahala yang diperolehinya. Dan ketahuilah doa pemimpin yang amanah itu antara doa-doa yang mudah dimakbulkan Allah. Namun jika sebaliknya yang berlaku, yang mana pemimpin itu memberikan contoh yang buruk dan akhlaknya juga buruk lalu menjadi ikutan mereka-mereka yang dibawahnya, maka besarlah juga noda dan dosa malah bahananya juga besar.

Pertandingan itu sesuatu yang sihat. Begitu juga dengan pilihanraya. Apabila berlaku pilihanraya maka pihak-pihak yang terlibat akan mengemukakan calon yang difikirkan terbaik. Namun, kriteria terbaik itu adalah subjektif. Terbaik pada satu pihak, mungkin berbeza pada pihak yang satu lagi. Di sini kepentingan pemimpin kepada rakyat juga sesuatu yang subjektif. Satu pihak mungkin memikirkan bahawa pembangunan semata-mata itulah yang perlu ditunjukkan kepada rakyat, Berjaya membawa pembangunan bermakna dia sudah berjaya sebagai pemimpin.

Bagaimana pula pemimpin dari segi spiritual dan memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam. Menentang penyelewengan, penghalang kezaliman, pembela yang lemah dan pembantu kepada mereka yang dizalimi. Adakah ini yang menjadi pilihan rakyat selama ini? Atau itu sudah dikesampingkan lama ke tepi kerana perkiraan dan titik ukurnya adalah material semata-mata.

Lalu apakah rasionalnya memilih seorang pemimpin yang sudah terkenal rasuah seantero negara? Adakah kerana beliau sudah bertaubat dengan taubat nasuha? Atau adakah kerana ramai rakyat di kawasan itu suka kepadanya? Atau peratus kemenangan akan bertambah dengan terpilihnya beliau menjadi calon?

Adakah tergamak tangan yang memangkah seorang yang telah dicop pada dahinya perkataan rasuah menjadi seorang pemimpin. Sesungguhnya hubungan pemimpin dan orang yang dipimpin itu akan kekal sehingga ke akhirat. Maka pemimpin jenis apakah yang dipilih oleh kita apabila memangkah? Adakah pemimpin yang membawa kita ke syurga atau yang membawa kita ke neraka?

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya Fitrah!


Syawal datang lagi. Universiti Ramadhan akan meninggalkan kita untuk tahun ini. Entahkan berjumpa entahkan tidak pada tahun depan. Semoga tarbiah dan latih tubi yang kita jalankan sepanjang Ramadhan al Mubarak dapat dibawa rohnya ke bulan depan, bulan-bulan depan dan seterusnya. Hasil pendidikan selama 30 hari moga-moga dapat melahirkan kita sebagai manusia yang beroleh takwa. Yang takut akan Allah, yang kenal akan siapa diri kita sebagai hamba dan keluar dari Ramadhan dalam keadaan fitrah.

Fitrah daripada dosa. Suci dan bersih seperti mana bayi yang baru dilahirkan. Fitrahnya lahir bebas dari sebarang maksiat. Seterusnya mereka yang berjaya mendapat keampunan, rahmat dan perlepasan daripada daftar ahli neraka sudah tentu adalah golongan orang-orang yang berjaya. Yang mana tidak melepaskan peluang yang terhidang setahun sekali untuk pulun habis dalam melakukan segala kebaikan dan suruhan yang disuruh oleh Allah.

Di kesempatan ini, dengan merendah diri saya memohon ribuan kemaafan samada sengaja atau tidak sengaja di atas segala yang tercoret di blog ini. Sebagai manusia biasa, tidak mungkin lari daripada mencoret sesuatu yang bisa sahaja membuat hati-hati yang membaca resah dan gelisah. Perkongsian yang tidak seberapa ini diharapkan ianya sedikit sebanyak memberi kemanfaatan kepada manusia-manusia musafir seperti kita ini,

Akhir kalam, Selamat Hari Raya dari kami sekeluarga. Ramadhan kali ini memang bererti untuk kami sekeluarga kerana keluarga kami telah bertambah seorang lagi. Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua umat Islam di mana berada dengan lafaz ' Takobalallah Huminna Waminkum'. Semoga syawal ini tidak membatalkan segala pahala yang diperolehi sewaktu ramadhan dahulu. Semoga tarbiah Ramadhan berjaya mengurangkan dosa-dosa yang mungkin dilakukan pada hari raya nanti. Salam Syawal!

Wednesday, September 16, 2009

Ramadhan Ini Penuh Makna!

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar! Kali ini kegembiraan saya benar-benar luar biasa. Hati terasa sungguh gembira dengan kurniaan ini. Walaupun ianya bukan anugerah yang secara terus untuk saya, tetapi kegembiraan itu turut dikongsi dengan perasaan yang sukar digambarkan. Walaupun sokongan dari saya hanyalah sekelumit, tapi saya turut menyatakan rasa syukur kepada Allah pada hari ini.

Tahniah untuk Puan Laila sekeluarga. Suami yang tersayang - Mat Sah Mohamad Satray telah dibebaskan dari tahanan ISA bersama empat lagi tahanan ISA yang lain. Beliau dikatakan terlibat dengan Jemaah Islam (JI) dan ditahan sejak 2002.

7 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. 7 tahun yang tidak boleh dijual beli. 7 tahun yang tidak boleh ditukar ganti. Betapa seorang anak yang berumur 9 tahun kini telah berumur 16 tahun. Betapa anak yang memerlukan kasih sayang yang selama ini hanya sekali-sekala dapat mencium dan menyentuh ayahnya kini telah hampir dewasa.

Betapa begitu besar dugaan dan cubaan untuk keluarga ini. Betapa ujian yang ditempuh bukan calang-calang untuk dilalui. Betapa pengorbanan seorang isteri, seorang bapa, seorang anak hatta seorang ibu. Betapa nilai pengorbanan yang dipenuhi air mata dan keringat yang tidak terhitung banyaknya.

Untuk cerita lanjut boleh ke blog Puan Laila sendiri di sini.
Mungkin tidak ramai yang dapat menilai penderitaan, ketabahan, kasih sayang dan kecekalan yang diperlihatkan Allah kepada kita melalui hamba-hambaNya yang dipilih. Tapi sedarlah, ia adalah satu renungan dan pengajaran bagi kita hamba-hambaNya yang berdosa. Bersatu mansuhkan ISA. Lawan tetap lawan!

Wednesday, September 9, 2009

Tazkirah Ustaz Sabri Rani - Siri 2

Kisah-kisah menarik untuk dijadikan iktibar. Semoga kita bersyukur atas apa yang Allah kurniakan kepada kita selama ini. Fahamilah juga keadilan Allah yang telah berjalan selama ini ke atas kita.

Kisah 1 :
Kisah seorang pakcik yang bekerja di sebuah Felcra di Kedah. Hasil daripada jualan kayu getahnya yang telah ditebang untuk ditanam semula, beliau memperolehi sejumlah wang yang agak banyak iaitu Rm70 ribu. Seumur hidup beliau tidak pernah memegang duit sebanyak itu. Beliau lalu mengajak seorang teman untuk bersama beliau pergi ke Agro Bank menguruskan duit tersebut ke dalam buku akaunnya.

Sampai di sana, di muka pintu bank beliau berjumpa dengan seorang kanak-kanak yang sedang memegang tabung derma. Lalu budak itu meminta derma daripada beliau lalu beliau berkata spontan, "Kejap, pakcik nak masuk dalam".

Selesai urusan bank beliau berkata kepada sahabatnya. "Kau kenal aku kan? Aku orang kampung biasa tetapi aku lebih miskin dari engkau. Aku bawa kemiskinan warisan yang diwarisi daripada ibu bapak aku. Seingat aku, aku tak pernah letak dalam tabung masjid lebih dari rm1. Tapi kali ini tuhan bagi aku rezeki lebih RM 70 ribu. Aku nak kau jadi saksi di akhirat nanti, aku nak masukkan rm10."

Sememangnya pakcik ini seorang kampung yang lurus. Lalu dia membaca bismillah lalu meletakkan sejumlah rm10 ke dalam tabung tersebut. Selepas itu, beliau pun berbual dengan budak itu. Sahabatnya berkata kepada beliau," kau sembanglah dulu, aku tunggu di kereta".

Sepuluh minit selepas itu beliau bergegas ke kereta sahabatnya. Sewaktu melintas jalan, beliau tidak perasan sebuah kereta dari sebelah kanan beliau sedang bergerak laju. Kereta itu melanggar lalu beliau melambung dan terjatuh di atas boot kereta itu. Kereta itu melanggar beliau untuk kali kedua. Beliau mati serta merta dengan memegang buku bank ditangan kanan beliau.

Kisah 2:
Kisah yang mungkin tidak pernah terfikir dan didengar oleh kita. Seorang Pakcik yang duduk di sebuah felda bersama isterinya. Memiliki dua orang anak yang baik dan mempunyai kerja yang bagus. Seorang telah berkahwin selama 11 tahun tetapi belum mempunyai anak dan seorang lagi belum berkahwin. Setiap bulan mereka akan mengirim sejumlah wang yang berjumlah seribu lebih setiap orang. Dengan kiriman wang tersebut pakcik itu tidak lagi bekerja dan mengupah orang untuk mengerjakan ladang miliknya.

Sampai masanya, ladang itu diserah milik kepada beliau. Suatu hari sebuah konsortium berminat untuk membeli tanah-tanah di felda itu dan berunding dengan penduduk felda. Akhirnya semua penduduk di tanah rancangan itu bersetuju menjual tanah mereka dan menandatangani perjanjian dengan konsortium tersebut.

Tuah diperolehi dan ladang pakcik itu dijual dengan harga RM900,000. Bukan satu jumlah yang kecil. Namun apa yang dilakukan oleh pakcik itu suami isteri? Pakcik itu membuka sebuah buku akaun semasa di sebuah bank. Seterusnya beliau suami isteri dengan kereta milik beliau pergi menjelajah dari Pahang ke Kedah. Kemudian dari Perlis ke Kelantan, Terengganu sehinggalah habis seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Apa yang dilakukan oleh beliau suami isteri? Beliau singgah di setiap masjid dan surau yang dilalui. Seterusnya berjumpa dengan AJK surau di situ lalu bertanya," Jika orang ingin berderma, atas nama apa?" Seterusnya beliau akan menulis sebuah cek yang berjumlah RM 10,000. Begitulah yang dilakukan oleh pakcik ini di setiap surau dan masjid sehinggalah akaun beliau hanya tinggal RM20,000 sahaja.

Baki itu digunakan untuk beliau suami isteri untuk mengerjakan umrah. Beliau mempunyai satu hajat yang benar-benar dihajati untuk dipohon kepada Allah. Di depan Kaabah dan Raudhah beliau bermohon dengan sungguh-sungguh." Ya Allah aku memohon satu hajat kepadaMu setelah segala apa yang kau kurniakan kepada aku. Aku bersyukur kepadaMu setelah apa yang Engkau mudahkan untuk aku. Aku telah memberi sesuatu yang Engkau kurniakan atas mudahnya segala yang Engkau berikan kepada aku."

" Hanya tinggal dua orang anak yang engkau kurniakan kepadaku. Dan ini permintaanku kepadaMu. Aku minta Engkau bahagiakan hidup mereka, bertemu dengan isteri yang baik dan mendapat anak-anak yang soleh. Aku pohon kepada Engkau agar mereka jangan menyusahkan aku dan isteriku di dalam kuburku nanti." Itu lah doa yang dipohon oleh beliau dengan bersungguh-sungguh.

Setelah pulang daripada umrah setibanya di KLIA beliau disambut oleh dua orang anak lelaki beliau. Kehairanan. Beliau bertanya di mana menantu beliau. Lalu anak lelaki beliau terus meminta beliau masuk terlebih dahulu ke dalam kereta. Lalu mereka bercerita. "Abah, kami dah bercerai". Terkejut besar. Pada masa itu pakcik itu merasakan dada beliau seperti meletup.

Beliau merintih," Ya Allah! Di mana keadilanMu? Inikah jawapanMu setelah aku bermunajat kepadaMu? Aku telah memberikan sesuatu yang paling baik di dalam hidup aku, aku minta satu saja supaya anak aku bahagia. Tapi ini jawapanMu terhadap permintaanku." Sungguh si ayah merasakan Allah itu sedang menzalimi beliau. Hampir-hampir beliau hilang pertimbangan.

Masalah itu diketahui oleh seorang ustaz lalu beliau bergegas berjumpa dengan guru beliau. Guru beliau yang mempunyai banyak pengalaman ini meminta supaya beliau dijumpakan dengan si ayah dan anak secara personal.

Apabila sampai masa yang ditetapkan maka sang ayah dan anak berjumpa dengan tuan guru tersebut. " Duhai anak, ceritakanlah sebenarnya apa yang berlaku sepanjang 11 tahun kamu berkahwin dengan isteri kamu. Beritahu perkara sebenar supaya ayah kamu mengetahui apa yang terjadi kepada kamu berdua", pinta tuan guru tersebut kepada anak pakcik itu.

Betapa sang ayah terkejut. Apa yang diberitahu oleh anak beliau betul-betul membuka mata beliau. "Duhai ayah, sebelas tahun kami bersama tetapi kami tidak pernah tidur bersama sekalipun. Kami berkahwin bukan atas suka tetapi kerana pertunangan kami diatur oleh ayah dan bapa mertua saya sewaktu di felda. Selama ini kami berpura-pura dan berlakon di depan ayah".

Kata anak beliau itu menyebabkan beliau terduduk. Langsung tidak disangka itu yang terjadi sebenarnya. Segala apa yang dilihat hanya untuk mengambil hati beliau. Lalu beliau kembali bermunajat," Ya Allah! Aku terima ketentuan dari Engkau. Tapi takkanlah macam ni...".

Akhirnya selepas 6 bulan berjauhan, sesuatu yang ajaib terjadi. Si anak begitu mengambil berat perihal bekas isterinya. Begitu juga isteri terhadap bekas suaminya. Kedua-duanya begitu mengambil berat antara satu sama lain. Sakit, pening, makan dan minum semuanya cuba diuruskan oleh masing-masing. Maka timbullah rasa rindu dan kasih. Maka timbullah hati untuk kembali bertaut dan akhirnya mereka kembali berkahwin dan hidup bersama.

Alhamdulillah, baru sahaja dua minggu lepas si ayah mendapat cucu yang pertama. Lalu sang ayah kembali berdoa," Ya Allah! Kini aku mengerti akan keadilanMu. Ampunilah aku." Di sinilah sang ayah mengerti bagaimana keadilan itu berjalan. Bagaimana dengan kita?

Benar! Cerita di atas bukannya sebuah kisah rekaan. Tetapi kisah benar sebagai renungan bersama.

Pengajaran kisah 1: Mana harta lelaki itu yang sebenar? RM 70 ribu atau RM 10 yang didermakan. Sudah tentu hanya RM10. Ini kerana harta adalah yang kita bawa pulang ke akhirat sana. Apa yang tidak boleh di bawa pulang maka dia bukan harta kita yang sebenarnya. Beruntung lelaki itu memberi RM10.

Mungkin ramai di antara kita yang mengatakan bahawa sungguh beruntung lelaki itu jika beliau mendermakan keseluruhan duit yang beliau ada iaitu sebanyak rm70 ribu sebelum mati. Itu pandangan kita sebagai orang awam - "Ish! Kalaulah dia tahu selepas itu dia mati, sepatutnya dia derma RM 70ribu.

Namun, jika dia memberi RM70 ribu tidak semestinya dia lelaki yang baik. Ini kerana berasaskan hadis-hadis sahih Rasulullah," Jangan kamu mati dengan meninggalkan anak-anak kamu sebagai fakir dan meminta-minta kepada manusia. Lelaki itu sudah membuat suatu perkara yang besar. Iaitu menamatkan kemiskinan warisan. Dia telah meninggalkan sesuatu untuk anak dan isterinya menyambung hidup.

Yang lebih bermakna, tercetus rasa untuk dia menderma sebanyak rm10 dan tidak berkira. Mungkin biasa bagi kita, tetapi pada dia amat besar nilainya rm10 itu. Disisi Allah mungkin nilai itu untuk orang seperti dia melebihi RM1 juta. Setiap rasa ada nilai di sisi Allah.

Pengajaran kisah 2: Bagaimana keadilan Allah berjalan tanpa kita memahaminya. Sesungguhnya Allah melaksanakan segala qada dan qadarnya dan ia sesuatu di luar kemampuan akal kita untuk berfikir. Semoga kita tergolong dalam manusia yang sabar dan redha dengan ujian Allah.

Monday, September 7, 2009

Ringkasan Tazkirah Ramadhan oleh Ustaz Sabri Rani - Siri 1

Ketahuilah oleh kita bahawa Kuliah Ilmu itu lebih wajib dari solat Tarawih. Hukum solat tarawih adalah sunat muakad tetapi hukum kuliah ilmu itu adalah fardhu Ain kepada setiap umat Islam. Ini sering disalah fahami oleh umat Islam pada hari ini.

Qada' adalah sistem, Qadar adalah hasil. Kaedah ini telah ditentukan oleh Allah kepada kita. Perlu diingat ketentuan Allah ini sentiasa berjalan walaupun kita tidak pernah mengambil kisah mengenainya. Di antaranya adalah mengenai persepsi kita mengenai makanan. Semoga perkongsian yang diberi dapat sedikit sebanyak mengubah diri kita berkat bulan Ramadhan ini.

Peribahasa rezeki secupak tidak akan jadi segantang sering digunakan oleh orang-orang kita pada suatu masa dahulu. Tetapi kebanyakan orang kini sudah tidak lagi menguna pakai peribahasa ini. Namun di dalam tauhid ia adalah suatu ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Perlu diingat kematian itu datang dengan tiba-tiba. Seperti mana kematian Ustaz Asri Rabbani. Bukan sahaja kita terkejut dengan kematian beliau yang datang secara tiba-tiba, malah beliau sendiri turut terkejut apabila tempoh hayat beliau telah sampai ke penghujungnya.

Oleh itu, sebelum mati yang mana ianya adalah musim menuai - perlulah disediakan bekalan sebanyak yang mungkin bagi bekalan di sana. Tiada lagi jalan pulang walaupun air mata darah ditumpahkan. Peluang yang diberi di dunia ini perlu dimanfaatkan sebaiknya. Apabila Nabi Adam diciptakan maka lebihan tanah daripadanya telah Allah tumbuhkan pohon tamar.

Oleh itu, jika kita perhatikan pendebungaan pohon tamar hanya boleh dilakukan oleh tangan manusia. Tanpa perlakuan ini, pohon tamar tidak akan berbuah melalui pendebungaan biasa iaitu binatang atau angin. Betapa tamar dan manusia itu begitu signifikan. Begitulah hebatnya hikmah mengapa kita digalakkan berbuka dengan biji tamar. Tamar itu sendiri kaya dengan pelbagai mineral yang baik untuk badan kita.

Betapa dalamnya neraka jahanam itu bilamana Rasulullah duduk bersama sahabat-sahabat beliau lalu terdengar dentuman yang dasyhat di langit. Lalu Rasulullah bertanya", tahukah kamu bunyi apakah itu". Lalu sahabat menjawab "Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui". Lalu Nabi bersabda,"itulah bunyi seketul batu yang dilepaskan oleh Malaikat Zabaniah dari puncak jahannam sampai ke dasarnya selepas 70 tahun.

Tamsilannya jika seorang budak dilemparkan ke dalam neraka maka apabila sampai ke dasarnya dia telah menjadi seorang yang tua. Begitulah dalamnya neraka Jahannam, maka takut dan gerunlah akan azab yang telah disediakan oleh Allah kepada mereka-mereka yang ingkar kepadaNya.

Maka bersama-samalah kita memburu Lailatul Qadar pada malam-malam terakhir Ramadhan ini. Janganlah dilepaskan peluang yang hanya datang setahun sekali. Semoga saya dan anda sama-sama mendapat keberkatan dan kerahmatan yang maha besar ini.

Monday, August 31, 2009

Mari Kita Berniaga Di Bulan Ramadhan

Umumnya rata-rata orang kita mengetahui, apabila disebut bulan Ramadhan atau bulan puasa maka sudah pasti ia adalah satu bulan yang memberi pulangan lumayan. Definasi lumayan pula terpulang kepada kita masing-masing. Ada orang yang dalam kepalanya sudah terbayang akan keuntungan berniaga yang akan diperolehi pada bulan puasa. Juallah apa sahaja di bulan puasa ini, jika batu goreng sekalipun - Insya Allah akan habis terjual. Apatah lagi jika juadah kuih-muih, baju raya, kuih raya dan sebagainya.

Keuntungan di bulan puasa memang mengkagumkan. Tidak pelik jika keuntungan berniaga di bulan puasa menyamai dengan perolehan setahun pendapatan berniaga. Jadi kesempatan berniaga ini digunakan untuk berniaga sepenuhnya oleh peniaga-peniaga kita. Pendek kata pulun habis. Apa sahaja barang yang boleh diniagakan, maka akan diusahakan untuk dijual dan memperolehi keuntungan yang maksimum.

Tidak pelik juga kerana keuntungan maksimum yang dikejar ini menyebabkan ramai orang kita berniaga secara short-cut. Jual kuih - kuih basi, jual baju raya - kualiti murah, jual tiket bas - tiket tipu dan 1001 macam jenis helah. Malang seribu kali malang, nilai ramadhan sebagai bulan ramadhan yang penuh keberkatan dijadikan sebagai bulan menempah bala dan dosa yang berlipat kali ganda. Sungguhlah kita orang yang rugi.

Bertambah malang lagi, semangat mengejar keuntungan perniagaan ini tidak ditranslatekan kepada amalan-amalan dan membuat pahala sepanjang bulan. Bila berniaga, kita lupa untuk bertaraweh. Bila menjahit, kita tinggalkan Al-Quran dan zikir. Bila buat kuih raya - kita lupa untuk berqiamulail.

Betapa kita terlupa bahawa pahala sedekah, berzikir, bersolat dan lain-lain amalan dilipatkali gandakan oleh Allah sebagai tanda kemurahan kepada hamba-hambanya yang begitu banyak berdosa. Pahala solat fardhu di bulan Ramadhan menjadi hampir 70 kali ganda solat fardhu di bulan biasa. Membaca satu ayat Al-Quran dilipatkaligandakan pahalanya. Begitu juga sedekah, memberi makan orang berbuka, memuliakan anak yatim, menyambung silaturahim dan sebagainya.

Namun kerana pahala-pahala ini bila dilakukan tidak kelihatan di depan mata kita - maka ia terabai. Andai kata pahala ini tiba-tiba sahaja bertukar menjadi wang ringgit atau emas sudah pasti masjid-masjid kita akan terus dipenuhi tidak kira waktu dan minggu ramadhan. Sudah menjadi tradisi apabila di penghujung ramadhan, masjid yang pada awalnya melimpah ruah sehingga keluar akan kembali kepada saf yang sedia kala ada sahaja.

Janganlah kita menjadi orang yang rugi. Ramadhan hanya setahun sekali. Entahkan jumpa entahkan tidak selepas ini. Janganlah kita terus-terusan terleka. Kerana kedai, ditinggalkan solat tarawih yang pahalanya tidak terbanding apatah lagi ia hanya dilakukan pada Ramadhan. Begitu juga dengan satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Dan yang paling kita harapkan agar kita keluar dari Ramadhan dalam keadaan yang fitrah. Suci daripada dosa sepertimana keadaan kita sewaktu dilahirkan.

Ambillah kesempatan ketika syaitan dan iblis dirantai untuk kita membebaskan diri dari belenggu-belenggu maksiat dan dosa. Bersihkanlah diri kita kerana Allah memang menyediakan ramadhan untuk membersihkan diri. Hindarilah dosa kerana dosa juga boleh menjadi berlipat kali ganda.

Sama-samalah kita berniaga dengan Allah pada Ramadhan ini. Keuntungannya dan keberkatan yang diperolehi jauh lebih besar daripada berniaga di pasar-pasar Ramadhan. Jangan disalah anggap, berniaga itu bagus - tetapi jangan juga dilupakan amalan-amalan dan perkara sunnah. Kerana ia akan memberi manfaat kita di dunia dan akhirat. Salam beramal!

Wednesday, August 19, 2009

Arahan, Larangan Dan Hikmah!

Bila tuhan suruh kita pakai tudung.. Ramai yang dok argue.. Sama juga apabila muslimah berpudah ramai yang pandang serong suatu masa dulu dan masa sekarang. Tak sesuailah, orang arab pakai pasal banyak debulah, ribut pasirlah tempat depa. Tiba-tiba Allah tunjukkan hikmahnya! Tak kira laki ke perempuan, takut punya pasal kena pakai purdah walaupun tak pakai tudung! Nampak apa rahsia yang dah lama terpendam?

Bila Allah melarang dari memakan binatang ini, ramai yang melawan. Ramai yang tak kisah dan tak takut. Makin dilarang, inilah makanan yang paling disukai. Siap boleh cium, tepuk dan belai lagi. Boleh gaduh satu negeri pasal nak mempertahankan binatang ni.

Akhirnya Allah bagi hadiah benda H1N1 ni. Ramai manusia yang mati walaupun tak ada babi yang mati dalam negeri. Nampak apa yang hikmah Allah larang makan benda ni?
Lalu menjelma bulan Ramadhan di mana awalnya rahmat, pertengahannya Maghfirah dan Penghujungnya Pembebesan dari api neraka. Lalu kita dok lah bergaduh pasal cakap hadis dhaif la, mungkar la! Tak habis-habis bergaduh? Kenapa suka sangat kita nak bergaduh? Kenapa kita tak sibuk-sibuk dan pulun habis untuk melakukan segala amalan yang kita belajar untuk dipratikkan di bulan Ramadhan? Dan pratikkan sebaik-baiknya sepanjang hidup kita?


Semoga Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita semua! Amin! Marhaban ya Ramadhan!

Monday, August 17, 2009

Ahlan Wasahlan Ya Marhaban


Tawaran dari Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang! Siapa hamba-hambanya yang inginkan keampunan-Nya - marilah! Sambutlah kedatangan bulan ini. Siapa yang mendambakan cinta tuhanNya - Sambutlah kedatangan bulan mulia ini. Siapa hamba-hambaNya yang memohon perlindungan dari api neraka - pohonlah di bulan mulia ini. Tawaran ini terlalu lumayan! Terlalu besar untuk dilepaskan! Selamat Datang Ya Ramadhan! Terlalu Besar Kasih Sayangmu Kepada kami hambamu yang terlalu banyak menderhakan padamu. Syukur padamu ya Illahi!

Gambar ehsan : http://aisyahulya.blogspot.com/

Wednesday, August 12, 2009

Memang Rakyat Malaysia Berani!

Aku pandang kiri tengok orang Malaysia selamba saja. Tengok kanan sama jugak. Tak ada rasa risau. Tak ada rasa bimbang. H1N1? Apa kebenda tu? Boleh makan ke tak? Bahaya ke tak? Takkan baru babi yang selsema kita pulak yang mengelabah tak tentu pasal? Tengah sibuk ni tak nampak? Sibuk cari duit, sibuk nak kejar due date, sibuk bla bla bla...

Dekat Malaysia dah 44 orang mati? Ala, baru 44 orang yang mati. Bukan ramai sangat pun. Kerajaan pun cakap bukan tahap 'darurat kesihatan'. Agak-agak berapa ramai yang mati baru kita sebut ini darurat kesihatan ya? Agak-agak sampai 1,000 orang baru nak sebut darurat kesihatan ya? Atau nak tunggu sampai 28,000 orang mati barulah nak ambil langkah-langkah yang tegas dan berkesan ya?

Saya berpesan lah kat kawan-kawan diluar sana. Pakailah topeng muka. Bukan susah pun. Kalau kena H1N1 lagi susah. Perlu diingatkan, kanak-kanak, wanita hamil dan orang tua amat berisiko dengan H1N1 nih. Pasalnya pada masa ini, sistem imunisasi badan mereka tak kuat. Sekali kena boleh terus masuk hospital dan boleh membawa maut. Kalau orang dewasa kena pun menderita teruk, lagilah anak-anak.

Jadi sayangilah anak kita. Isteri kita. Ayah dan mak kita. Keluarga kita, jiran-jiran kita. Pesanlah kat mereka tak payah tunggu kerajaan istihar darurat baru nak pakai topeng muka. Mencegah itu lebih baik dari mengubati. Lagipun penyakit ini kemungkinan besar adalah penyakit buatan dan senjata biologi yang sengaja dicipta. Jadi kadar jarak ia merebak amat besar dan luas. Beringat sebelum kena. Biar orang gelakkan kita, sebelum malapetaka menimpa.

Jangan juga lupa untuk berdoa supaya keluarga kita dan diri kita selamat. Kalau dah rasa berani sangat pun standby jugalah topeng tu bila berada kat tempat awam dan orang ramai. Kurang-kuranglah bershopping ya! Bulan puasa pun dah dekat. Elok juga kita banyakkan amal ibadat. Semoga kita semua dipelihara Allah. Amin!


Tuesday, August 11, 2009

Al Fatihah Untuk Aina Sufiah

Hati mana yang tidak remuk! Hati mana yang tidak akan merintih! Aina Sufiah (anak saudara penulis) yang baru berusia 5 bulan akhirnya meninggalkan dunia yang fana ini. Tewas di tangan manusia yang tidak berhati perut. Semoga dirimu menjadi syafaat kepada kedua ibu bapamu di akhirat sana. Amin!

Thursday, July 30, 2009

Kuasa Media


Salam Jumaat untuk sekalian pembaca di luar sana. Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan penuh dengan keberkatan. Hari yang tidak akan terjadinya kiama kecuali pada hari Jumaat. Hari yang dituntut oleh kita untuk menumpukan diri kepada amal ibadat untuk akhirat, tetapi dek angkara kejahilan kita dan peranan musuh-musuh Islam, kita disibukkan dengan pelbagai urusan pada hari ini. Cuti kebanyakan negeri pada hari Jumaat juga ditukar kepada hari Ahad. Begitulah pandainya kita dalam menyiapkan diri kita menuju hari mati.

Hari ini masyarakat kita sudah jadi moden. Hebat sangat sehingga banyak kampung dah jadi bandar. Bandaraya pula dipenuhi oleh bangunan-bangunan yang tinggi-tinggi. Maka senyum panjanglah pemimpin-pemimpin kita apabila dipuji akan perihal betapa negara kita yang begitu maju. Sehingga benda-benda lain yang tak sepatutnya begitu maju turut maju sekali. Perihal dadah, pelacuran, jenayah dan lain-lain begitu maju. Sehingga pergi siasat dengan badan kerajaan boleh dihumban ke bawah begitu sahaja. Senang cerita, jadi tak payah siasat-siasat. Maka begitulah gambaran kemajuan kita.

Sekarang yang paling gempar pasal berita Kosmo mengorek balik kisah silam Yasmin Ahmad. Maka marah sungguhlah Marina Mahathir kerana mengaibkan Yasmin Ahmad yang telah meninggal dunia. Namun saya bukan nak mengulas perihal Marina marah dan kerana makhluk hina (istilah yang digunakan oleh Marina Mahathir terhadap kosmo). Tetapi yang saya ingin tarik perhatian kita adalah peranan media di dalam masyarakat kita pada hari ini.

Sengaja saya tulis lambat sikit isu ini pasal tak mahu menambah kecoh yang dah sedia ada. Kosmo pun hari ini dah minta maaf. Yalah, boleh sahaja minta maaf kepada orang hidup, tapi macam mana pula nak minta maaf kepada orang mati ye tak? Pasalnya kita dah terlampau bertamadun kononnya dan moden sangat sehingga dah tak peduli mana yang halal, mana yang haram. Mana dosa mana pahala. Yang penting bagi kita - ongkos pastinya.

Di sini bolehlah kita melihat peranan media dalam masyarakat kita yang begitu besar sekali. Saya setengah bersetuju dengan Marina Mahathir dalam perkara ini. Sebelum ini beliau begitu lantang memperjuangkan apa yang dikatakan oleh beliau kebebasan bersuara. Bebas sangat bersuara sehingga apa sahaja yang beliau rasa betul beliau utarakan. Kalau tak nak kena AIDS, boleh sahaja pakai k0ndom perisa durian, strawberry, oren dan lain-lain. Siap boleh sponsor free lagi. Bukan pemuda-pemudi disuruh jauhkan zina tapi gunakan kondom? Masya Allah!

Bila golongan artis kena tangkap kerana mabuk di kelab malam bernama Zouk, Marina lah antara tokoh yang begitu lantang mempertahankan tindakan artis tersebut. Lalu dikeluarkanlah artikel di dalam surat khabar mengapa mesti menghalang anak-anak gadis kita dari keluar malam. Mereka juga ingin bersosial, bebas bergaul dengan kawan-kawan. Jangan disekat kebebasan mereka nanti mereka memberontak. Sekali lagi media yang digunakan.

Tapi apabila kosmo mendedahkan kisah silam Yasmin Ahmad, tiba-tiba Marina melenting. Jangan salah faham, saya juga tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Tetapi mengapa mesti ada double standard dalam hal ini. Jika Marina sendiri sewenang-wenangnya menggunakan media untuk mengemukakan idea yang dirasakan bernas walau bertentangan dengan Islam sekalipun, tetapi apa berkaitan dengan perkara ini Marina melenting pula. Lalu bentuk bagaimana kebebasan media yang diingini oleh Marina sebenarnya?

Kebebasan media dalam definasi diri sendiri yang mana kalau kita rasa selari dengan pemikiran kita - kita terima dan yang tak selari dengan pemikiran kita - kita tolak. Atau gunakan Islam sebagai garis panduan. Atau menggunakan pemikiran liberal sebagai panduan. Atau menggunakan konsep pemikiran komunis dan bisa sahaja bentuk pemikiran sekular sebagai garis panduan.

Sedarlah wahai saudara-saudaraku. Di atas media itu ada pemilik-pemilik mereka. Dan mereka jauh sekali dari berusaha untuk membentuk kita atau masyarakat berfikir secara rasional. Sebabnya? Mereka akan memanipulasikan media untuk membentuk pemikiran masyarakat berfikir mengikut cara mereka ingin masyarakat berfikir. Pemikiran kelas C? Mereka tidak peduli. Asalkan masyarakat dapat diacu dan dibentuk mengikut apa yang mereka kehendaki. Contoh terdekat? Utusan Malaysia, Mangga?

Dalam konteks Malaysia kita boleh melihat perkara ini sedikit kecil. Namun dari kacamata dunia, siapa yang menguasai media dia akan menguasai dunia. Kerana? Masyarakat menerima media sebagai satu alat untuk maklumat, hiburan dan seribu satu jenis dan fungsi. Lalu apa mungkin tidak satu bentuk manipulasi baru ke atas masyarakat dunia pada hari ini. Belum percaya?

Lihatlah sekeliling kita. Apa yang remaja-remaja kita ikut. Berdasarkan daripada apa yang dilihat di dalam tv, radio dan suratkhabar. Andai kata perkara ini diputuskan dari mereka, bisa sahaja mereka hidup dalam kegelapan. Bukan remaja sahaja, ibu bapa tidak terkecuali. Bayangkan diri anda tanpa radio, televisyen dan suratkhabar? Agak mustahil bukan. Lalu apakah mustahil juga akan sedang di manipulasi oleh satu pihak/orang/kuasa dengan menggunakan media?

Persoalan ini agak rumit untuk dibincangkan. Namun sesuatu yang amat besar sedang berlaku di luar sana. Ada perkara besar? Agak sukar untuk anda mengetahuinya kerana anda sedang diulit dengan media-media ini. Hiburan, cara hidup, cara berfikir, rasa dan perasaan anda semuanya dikuasai oleh media ini.

Apa yang saya mengarut ini? Mungkin pada masa ini agak mengarut, tetapi saya akan cuba untuk membuat sedikit pendedahan pada masa yang akan datang. Ia adalah suatu perkara yang besar dalam dunia moden pada hari ini. Tetapi kerana kita sedang memanipulasi, kita langsung tidak menyedarinya. Sedikit-demi sedikit kita dimanipulasi sehingga seluruh kehidupan kita bergantung kepadanya.

Monday, July 27, 2009

Menginsafi Sejarah!

Mempelajari dan menjejaki kembali nilai-nilai sejarah bukanlah satu perkara yang mudah. Sejarah juga bukanlah satu subjek yang diminati ramai orang. Kebanyakan orang akan mengeluh apabila ditanya mengenai sejarah. Susah nak ingat tarikh, nak ingat nama, nak ingat tempat. Kalau kat sekolah pun sama macam tu, lagi-lagilah kalau masyarakat kita yang dah terlepas dari sekolah. Jauh sekali nak belajar dan kaji balik sejarah.

Akibatnya sejarah bukanlah satu benda yang diambil berat dan menjadi perhatian masyarakat kita. Terutama dalam keadaan masyarakat yang mengejar kebendaan dewasa ini, ia lagilah tercicir. Tapi sesungguhnya kita terlupa, siapa yang menguasai sejarah dia menguasai dunia. Bangsa yang tidak kenal sejarah bangsanya, akan hilang kekuatan dan akan lupus seperti masyarakat Red Indian di Amerika suatu masa dahulu.

Sejarah diambil mudah oleh kita, tetapi bukanlah sesetengah orang yang mempunyai kepentingan tersendiri. Siapa yang menang, sejarah akan ditulis mengikut acuannya. Tanpa kesedaran, ia tidak akan dicungkil dan diambil manfaat oleh generasi yang akan datang. Malangnya, ramai yang tahu sejarah akan berulang kembali, tetapi tidak ramai yang mahu mengambil manfaat darinya.

Kawang ingin berkongsi sedikit pengalaman apabila belajar dan mengumpul maklumat pasal sejarah. Mengkaji hanya sedikit-sedikit kerana keupayaan kawan sedikit terbatas. Tapi walaupun dengan kekangan-kekangan yang ada, kawang masih lagi terjumpa beberapa penemuan yang mengejutkan dan bisa mengetuk benak kepala otak kawang sampai benak.

Mungkin kita berfikir kenapa sejarah bangsa Melayu dan Nusantara ini, hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan? Adakah ia satu kebetulan atau ia merupakan satu perancangan teliti yang disengajakan? Daripada siri mengenal melayu yang kawan kongsikan sebelum ini kita mengetahui bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa terhebat di nusantara ini dan dikenali di seluruh dunia. Nusantara dan Melayu adalah rumpun yang besar dan bersaudara, tanpa sempadan, tiada Indonesia, Malaysia, Brunei, Sabah, Sarawak, Fathani dan lain-lain.

Agak-agaknya mengapalah sejarah kita yang hebat ini hilang dan lenyap begitu sahaja ya? Pernah dengan pasal Freemason? Agak-agak sejauh mana peranan Freemason ini dalam negara kita ya? Masyarakat kita? Dunia ini?

Siapa Stamford Raffles? Siapa Munsyi Abdullah? Kenapa Singapura dikatakan dibuka oleh Rafles padahal Parameswara pernah singgah di Singapura? Pasal Parameswara singgah tu tiada penghuni ke ? Cerita Singapura dilanggar todak itu agak-agak zaman bila ya?

Kita pasti pernah terdengar Munsyi Abdullah menjadi penterjemah Raffles apabila berkomunikasi dengan orang Melayu. Jasanya bukan setakat itu sahaja malah sampai sanggup menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa Melayu. Agak-agak tergamak tak seorang Islam menulis kitab terjemahan Bible yang pastinya digunakan untuk mengkristianisasikan orang Melayu pada masa itu?

Pernah terdengar cerita bahawa Raffles mengumpulkan segala khazanah dan kitab-kitab Melayu sebanyak 3 buah kapal. Lalu dikatakan kapal itu telah karam sewaktu belayar? Agak-agak betul tak? Karam atau tidak, kita kehilangan segala khazanah yang berharga dan maklumat mengenai bangsa kita. Bagaimana jika dikatakan Raffles itu juga seorang Freemason ? Lalu Freemason ini bekerja untuk siapa?

Banyak persoalan yang misteri dan tersembunyi yang perlu kita cari. Banyak sangat yang kita korek kerana ia signifikan dengan kita. Bangsa kita. Maruah kita. Atau itu tidak penting bagi kita? Nanti kita korek lagi misteri-misteri ini yang tersembunyi dan diselewengkan dari sejarah kita. Ingat Turki? Kerajaan Turki Othmanniyyah? Ada apa-apa kaitan kerajaan Nusantara dengan kerajaan Turki? Tak apa. Nanti kita tengok persamaan taktik yang digunakan oleh Mustaffa Kamal selepas berjaya menjatuhkan khalifah dengan apa yang terjadi kepada negara kita. Tunggu...




Tuesday, July 21, 2009

Menghayati Isra' dan Mikraj - 2

Sambungan dari Menghayati Isra' dan Mikraj - 1.

6) Allah telah menunjukkan kepada nabi segala amal dan balasan setiap kegiatan manusia di dunia

Ketahuilah olehmu, setiap saat dan detik segala perlakuanmu akan dihisab dan dihitung. Di hadapan makhamah Allah yang adil. Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan segala nikmat Allah tanpa menghiraukan batas dan dosa. Mata, mulut, telinga, tangan, kaki dan lain-lainnya merupakan amanah Allah yang akan menjadi saksi kepada setiap perbuatan kita.

Antara balasan yang ditunjukkan oleh Allah adalah balasan terhadap orang yang meninggalkan solat, orang yang mengamalkan riba, orang yang merebut jawatan dan lain-lain lagi. Ingatlah bahawa seluruh kegiatan manusia di muka bumi akan dibayar di akhirat. Segala sesuatu yang dibuat akan sampai di Padang Masyhar. Jadi berhati-hatilah dengan segala amal dan perbuatan kita, sesungguhnya dua malaikat di kiri kanan kita tidak pernah letih dari menulis apa yang kita buat.

7) Pengajaran Peristiwa Masyitah : akidah yang perlu dipertahankan walaupun dengan nyawa
Kita adalah manusia yang terlupa dan terleka. Lupa bahawa nikmat Islam dan Iman yang dianugerahkan kepada kita adalah sebesar-besar nikmat yang dianugerahkan oleh Allah. Dengan nikmat Islam dan Iman inilah kita berupaya meraih rahmat dan kasih sayang Allah. Seterusnya kita berpeluang untuk masuk ke syurga yang disediakan oleh Allah? Atau kita sanggup untuk menjadi bahan bakar api neraka untuk selama-lamanya?

Akidah merupakan perkara paling penting dan mahal dalam hidup kita. Ia merupakan satu perkara yang wajib dipertahankan. Pernahkah kita terfikir bagaimana akidah kita, anak-anak kita dan cucu-cucu kita nanti? Oleh itu berjaga-jagalah dengan perkara yang boleh menyebabkan terbatalnya akidah kita yang menyebabkan kematian kita hanyalah sebuah kematian yang sia-sia sahaja.

Peristiwa ini ditunjukkan kepada Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam dengan peristiwa seekor lembu besar
yang keluar dari sebuah lubang dan selepas itu gagal untuk masuk kembali ke dalam lubang tersebut. Ia membawa kepada simbolik bagi menjaga mulut kita supaya jangan sampai terbatal akidah disebabkan olehnya.

8) Di dalam syurga ramai orang yang miskin. Nabi tidak menyebut tentang orang kaya. Yang nyatanya majoriti penghuni syurga adalah orang misikin.

Jangan disalahertikan hakikat peristiwa ini. Dalam hal ini orang miskin yang disebutkan terbahagi kepada dua iaitu :-
i) Orang yang sanggup hidup miskin atau sederhana asalkan tidak melanggar perintah Allah. Mereka juga tidak melakukan perkara yang melanggar hukum Allah untuk hidup mewah.
ii)
Orang yang kaya tetapi segala hartanya habis dibelanjakan untuk Islam seperti sahabat-sahabat Nabi seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Omar, Osman, Ali, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain.

Orang yang mempunyai harta tetapi tidak digunakan bagi menyelamatkan dirinya daripada api neraka adalah orang yg rugi. Sejarah juga membuktikan bahawa
orang miskinlah yang biasa bersama rasul dan nabi-nabi. Orang kaya kebanyakkannya berada bersama Firaun dan Qarun.

Infa
qkanlah harta yang dimiliki untuk Islam. Hidup sederhana dan miskin menyebabkan ruang untuk buat perkara yang mungkar menjadi kecil. Tetapi ia tidak bermakna Islam mengalakkan kemiskinan. Harta yang diperolehi juga perlu disemak kembali samada dimiliki dari sumber yang halal atau sebaliknya. Yang terbaik bagi umat Islam adalah hidup sederhana. Walaupun mempunyai harta mereka tidak kedekut untuk mengorbankan harta mereka demi agama. Orang yang kaya dan berpangkat besar jarang sekali kelihatan di masjid.
(Catatan - hasil daripada perbincangan bersama-sama sahabat suasana ini agak kontra dengan masyarakat kota. Kebanyakan yang lupa dan tidak ingin ke masjid adalah mereka-mereka yang berada di rumah-rumah kos rendah atau pangsa, sementara yang sibuk ke masjid adalah golongan-golongan yang kaya)

9)
Nabi mengingatkan bahawa di dalam neraka yang paling ramai adalah wanita

Ini
bukanlah kerana mereka bilangan mereka lebih ramai dari lelaki tetapi adalah kerana kekufuran yang dilakukan oleh kaum wanita. Kebanyakan golongan wanita tidak cukup mendapatkan ilmu Islam. Jika dilihat di masjid, tidak ramai wanita yang datang untuk berjemaah dan mengikuti majlis ilmu.

i) Dalam hal ini suami wajib memberikan isteri mereka ilmu agama. Berkongsilah ilmu yang diperolehi kepada mereka. Bawalah sekali anak-anak dan isteri ke masjid jika mampu. Jika tidak mampu, isteri boleh keluar untuk mencari ilmu.

ii) sudut perintah Allah

lelaki dapat menutup aurat dengan sempurna, perempuan jarang yang dapat menutup aurat dengan sempurna.

ii) terpengaruh

lelaki jarang dipengaruhi oleh televisyen rencana Yahudi dan Nasrani. Wanita lebih mudah terutamanya apabila hanya menonton televisyen di rumah.

10) Meletakkan satu tanggungjawab untuk membina negara Islam

Ini kerana segala peristiwa yang berlaku di dalam Israk dan mikraj tidak dapat dilaksanakan kecuali melalui sistem islam.

Cth : riba hanya boleh dihapuskan dengan sistem islam

Semasa dalam peristiwa israk nabi diarahkan oleh Jibril untuk solat di suatu tempat iaitu Yathrib. Di situlah Nabi diberitahu tempat nabi akan berhijrah dan mendirikan sebuah negera Islam.

Monday, July 20, 2009

Menghayati Isra' dan Mikraj - 1

Hari ini kawang ingin berkongsi sedikit tazkirah hasil daripada catatan ringkas Israk dan Mikraj oleh Yang Berbahagia Ustaz Tarmidzi Abdul Rahman di Teluk Intan. Kawang begitu tertarik dengan isi ceramah yang disampaikan kerana ia menceritakan persoalan dan falsafah perjalanan Nabi pada malam Israk dan Mikraj. Kita sering berulangkali mendengar bagaimana perjalanan Israk dan Mikraj nabi tetapi jarang meneliti pengajaran dan simbolik daripada perjalanan ini. Semoga kita mendapat manfaat sedikit sebanyak daripada perkongsian ini.

Perlu ditegaskan bahawa perjalanan Israk dan Mikraj merupakan satu persoalan akidah yang wajib diiktikadkan oleh umat Islam.Ia merupakan perkara yang wajib diimani oleh seluruh umat Islam. Kedua-dua peristiwa Israk (perjalanan dari Masjidil Haram ke Baitul Maqdis) dan Mikraj (Baitul Maqdis ke Sidrotul Muntaha) perlu diterima. Kita tidak boleh menerima satu peristiwa dan menolak peristiwa yang lainnya.

Kebelakangan ini kedengaran banyak suara-suara sumbang yang mempersoalkan perjalanan Israk dan Mikraj ini. Logik akal telah menguasai umat kini. Apa yang tidak kedengaran logik kepada akal ditolak. Perlu dipertegaskan bahawa perjalanan Nabi adalah melalui roh dan jasad sekali. Keraguan terhadap peristiwa ini boleh menyebabkan terbatalnya iman.

Dari satu sudut pengajaran yang tersirat adalah :-

i)
Hadis Nabi :


"Kalaulah kamu dapat melihat apa yang aku lihat, hidup kamu akan berubah daripada ketawa sedikit kepada menangis banyak."

- Ia adalah antara ucapan pertama yang diberitahu kepada sahabat selepas daripada peristiwa Israk dan Mikraj. Ia menunjukkan betapa pentingnya apa yang diberitahu oleh Rasulullah Sallahu Alaih Wasalam tentang hal ini. Ia perlu dihayati dan kita perlu menghisab diri kita.

- Kita setiap hari akan ketawa, namun ketawa itu janganlah sampai melampaui batas kerana banyak ketawa itu mematikan hati.

- Hidup kita perlu berubah. Berapa kali dalam hidup kita, kita menangis kerana berasa gerun dan takut akan Allah. Juga menangis kerana risau akan apa yang menanti kita di kubu, titian sirat, padang Masyhar dan akhirat nanti. Betapa diri kita ini terlalu banyak dosa dan penderhakaan kepada Allah.
- Mungkin kita tidak pernah menyedari bahawa tangisan jenis ini tidak pernah ada dalam hidup kita. Malah mungkin kita tidak pernah menangis sekalipun apabila didengarkan dengan ayat-ayat Allah. Malah jarang sekali kita mendengar ayat-ayat Allah di radio, sudah pasti ditukarkan dengan lagu-lagu hiburan yang terkini.
- Orang-orang yang beriman hanya ketawa besar pada hari akhirat nanti apabila mereka mendapat suratan amalan pada tangan kanan. Pada masa itulah mereka kembali kepada keluarga mereka dan bergelak ketawa kerana telah mendapat kemenangan yang besar.
- Orang yang tidak beriman sudah ketawa besar di dunia. Oleh itu tiada apa lagi yang tinggal kepada mereka di akhirat nanti.
- Adakah kita pernah menangis di dalam solat, apabila ayat Al-Quran dibacakan kepada kita. Ini menunjukkan betapa hati kita telah menjadi keras.
- Gunakanlah ramadhan yang mana ia merupakan bulan yang dipenuhi dengan tangisan oleh sahabat-sahabat Rasulullah Sallahualaih Wasalam.

2) Israk dan Mikraj merupakan suatu perjalanan untuk mengadap Allah S.w.t
- di dunia ini juga kita sedang dalam proses untuk menghadap Allah.
- Nikmat yang terbesar di akhirat adalah melihat zat Allah. Ia hanya boleh diperolehi oleh penghuni
syurga sahaja.
- Oleh itu apakah bekalan yang dibawa oleh kita semasa mengadap Allah nanti. Apakah telah siap
amalan dan bekalan dengan masa yang diberikan oleh Allah.
- Apakah persiapan kita terhadap akidah, syariat, perjuangan, anak yang soleh, ilmu yang
bermanfaat dan sebagainya.
- Sakit adalah merupakan peringatan dari Allah.
- Hidup ini perhentiannya adalah untuk menghadap Allah.
- Roh kita juga akan mengalami perjalanan yang dilakukan oleh nabi apabila sampai masanya.
Dengan diuruskan oleh malaikat, roh kita akan naik ke langit pertama sehinggalah ke -7.

3) Perjalanan dimulakan dengan proses pembersihan hati terlebih dahulu.

Semasa nabi di Baitullah, dada nabi telah dibelah dan diisi dengan 3 perkara: ilmu, iman dan hikmah. Ia merupakan perkara yang menjadi mukjizat nabi. Begitu juga dengan kita, sebelum memulakan perjalanan, proses pembersihan hati perlu dilakukan terlebih dahulu. Di sinilah kita perlu mengetahui cara dan kaedah pembersihan hati. Untuk menghadap Allah, perlu kembali dengan hati yang bersih.

i) pembersihan akidah

Bersih dari syirik, kufur, munafik dan nifa’ serta perkara-perkara yang membatalkan iman, syahadah, islam dan akidah.

ii) Pembersihan diri dari dosa-dosa besar dan kecil(pembersihan syariah).

Dosa besar memerlukan kepada taubat nasuha, sementara dosa kecil dengan istighfar.

iii) Pembersihan akhlak/ tasawwuf

membersihkan diri dari sifat-sifat nafsu mazmumah – takabur, ujub dan riak

menanamkan sifat-sifat mahmudah

tidak akan masuk syurga jika kita masih memiliki sifat takabur walau sebesar zarah

(Tambahan) Akhir-akhir ini kita mendengar banyak-banyak perkara sumbang yang menolak thariqah dan tassawuf ini. Ini kerana banyak Tariqah yang dikatakan sesat walhal banyak tariqah yang muktabar masih lagi terdapat di luar sana. Rujuklah kepada alim ulama kita. Janganlah kita tergolong orang yang rugi dan buta hati dan hanya menyedari kerugian tersebut setelah kita mati.

4) Perjalanan Rasulullah dihalang/ dikacau serta cuba disesatkan dari 4 penjuru. Melalui 4 peristiwa berikut:

i) Syaitan yang mengejar dari arah belakang bersama obor api

ii) Wanita cantik dengan tubuh yang dibalut dengan perhiasan dari hadapan (dunia dan isinya – harta, pangkat, jawatan)

iii) Suara dari sebelah kanan (Yahudi)

iv) Suara dari sebelah kiri (Nasrani)

Nabi dikepong daripada 4 penjuru. Depan, belakang, kiri dan kanan. Begitu juga perjalanan hidup kita ini untuk menuju ke jalan yang lurus. Namun, dalam perjalanan itu kita dikepong dari 4 penjuru. Syaitan yang menjadi musuh nyata kepada manusia sentiasa mencari peluang setiap masa dan ketika untuk menyesatkan kita. Ia sentiasa berbisik kepada hati dan nafsu untuk mengalakkan kita melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah.

Dunia pula merupakan sebuah tempat yang indah dan cantik. Ia sentiasa menggoda kita untuk mencintainya dan melupakan akhirat yang merupakan tempat yang kekal dan abadi.

Hollywood, bollywood dan lain-lain hiburan pula merupakan media yang dikuasai oleh Yahudi yang berperanan besar menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar.


Persoalannya, adakah kita mempunyai ruang dan peluang untuk melepaskan diri daripada serangan 4 penjuru ini? Lalu hanya 2 penjuru yang tertinggal kepada kita untuk menyelamatkan dari serangan-serangan ini iaitu dari penjuru atas dan bawah.

Ia membawa maksud penjuru bawah adalah supaya kita sentiasa sujud dan mengingati Allah sentiasa. Dari bahagian atas pula kita perlu sentiasa mengangkat tangan memohon hidayah, doa dan keampunan daripada Allah. Semoga Allah membimbing kita ke jalan yang benar dan diredhainya.

5)
Perjalanan dimulakan dari dua tempat suci umat Islam iaitu Tanah Haram – Mekah dan Baitul Maqdis
Kita mengetahui bahawa Baitul Maqdis sedang dikuasai dan dijajah oleh kaum Yahudi Zionis dan wajib dibebaskan. Ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap umat Islam. Ini kerana ia merupakan sebuah tempat yang suci dan wajib dipelihara.
Nifsu Syaaban yang disambut umat Islam setiap tahun merupakan hari pertukaran kiblat dari Baitul Maqdis kepada Masjidil Haram. Walaupun demikian ia merupakan kiblat pertama umat Islam.

Cara untuk mengembalikan
Palestin adalah dengan memenangkan perjuangan Islam di setiap tempat. Dengan itu barulah khalifah Islamiah boleh diwujudkan kembali. Mahu atau tidak usaha dakwah ini perlu didukung oleh setiap umat Islam. Usaha untuk memenangkan Islam perlulah dipertingkatkan dan didokong oleh setiap umat Islam.


Simbolik bagi bendera Israel

Dua garisan pada bendera Israel merupakan sempadan dari Sg Nil sehingga sungai Qura’ dan Dajlah di Iraq.Ia merupakan perancangan besar Yahudi Zionis untuk membentuk sebuah negara Israel. Oleh itu, matlamat utama mereka adalah untuk menguasai seluruh negara Arab. Penjajahan Palestin kita hanyalah sebahagian usaha mereka untuk menguasai tempat yang lebih besar. Mahu tidak mahu umat Islam perlu berusaha untuk melahirkan Sallahuddin Al-Ayubi yang kedua. Dengan demikian, Israk dan Mikraj bukan sekadar cerita semata-mata tetapi memerlukan kepada pengamalan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails