Sunday, August 17, 2008

Haul Siti Khadijah (Dedicated to Kak Ja dan semua ibu-ibu diluar sana)

Penulis ingin membawa pembaca ke Majlis Sambutan Nisfu Syaaban dan Haul Siti Khadijah yang diadakan Sabtu lepas di Yayasan Al-Jenderami. Tidak ramai yang tahu akan kewujudan Yayasan Al-Jenderami ini. Penulis sendiri baru sahaja dua kali pergi ke sana untuk mengikuti majlis-majlis maulidur Rasul yang diadakan. Hanya secara kebetulan di ajak oleh sahabat yang sudah lama mengikutinya.

Kali pertama ke sana sudah jatuh cinta. Yayasan Al-Jenderami merupakan sebuah perkampungan dan pondok moden yang didirikan di daerah Jenderam berhampiran Bangi. Di sana kita boleh melihat asrama-asrama perumahan warga emas yang tersusun. Yang mana ia dikhaskan untuk warga emas yang berminat untuk menetap atau tinggal di sana bagi menuntut ilmu.

Ia juga dilengkapi dengan masjid dan bangunan-bangunan sekolah pondok agama moden. Jelas sekali kemeriahan terpancar setiap kali majlis-majlis sambutan Maulidur Rasul di adakan di sini. Majlis-majlis dipenuhi dengan marhaban, Qasidah, berzanji dan sebagainya. Rata-rata penuntut sekolah pondok di sini yang terdiri daripada anak-anak kecil kurang dan belasan tahun mengalunkan lagu-lagu yang amat menyentuh hati mengenai Nabi besar junjungan kita. Ia juga merupakan satu organisasi tersusun yang anda boleh lihat sendiri di sini.

Di luar sana ramai yang sibuk memperkatakan dan menguwarkan sambutan-sambutan ini merupakan satu bidaah. Segala-galanya jika mungkin bisa - dibidaahkan. Termasuk lah sambutan Maulidur Rasul juga ingin dibidaahkan. Tetapi jika kita bertanya kembali bagaimanakah kita ingin mengingati Nabi dan Rasul kita serta perjungannya? Sudah pasti salah satunya adalah dengan mengenali dan mencarik-carik kembali cebisan sejarah Baginda Rasulullah Sallahualaih wasalam. Sudah pasti segala yang kita cari digabung di dalam majlis sambutan Maulidur Rasul. Istimewanya majlis sambutan Maulidur Rasul di sini diadakan hampir setiap bulan.

Kebiasaan majlis sambutan Maulidur Rasul di tempat kita disambut dengan berselawat dan marhaban lebih kurang setengah jam sahaja dan kemudian diikuti dengan ceramah. Bayangkan sebuah majlis yang dihadiri oleh Habib-Habib, Syeikh dan Syed yang mana mereka merupakan Ahlil Bait dan titisan warisan Rasulullah Sallahualaih wasalam sendiri. Bukankah satu tuntutan mencintai dan menghormati ahli-ahli bait ini sepertimana setiap kali kita berselawat mengucapkan sejahtera kepada Rasulullah dan ahli keluarganya. Majlis-majlis ini bukan sekadar dipenuhi setengah jam selawat tetapi ia boleh memakan masa selama sejam setengah sehingga dua jam. Lalu bagaimana mungkin kecintaan kita terhadap Rasulullah tidak subur dan berkembang. Pasti hati kita dipenuhi dengan bait-bait Qasidah dan marhaban yang begitu merdu dan membungai hati kita betapa kita perlu mencintai Rasulullah dan perjuangannya sepenuh jiwa dan raga kita.

Lalu betapa tergamak kita mengatakan itu bidaah dan ini bidaah? Begitu juga dengan sambutan nisfu Syaaban dan Haul Sayyidatina Khadijah R.A. ini. Sebelum kita menghukumnya sebagai bidaah, marilah kita sama-sama menyelusuri sejarah. Haul bererti memperingati kewafatan. Adakah Nabi pernah mengadakan sambutan haul Sayyidatina Khadijah R.A? Jawapannya sudah tentu pernah.

Nabi akan mengenang kembali Sayyidatina Khadijah R.A. dengan menyembelih sendiri kambing, memotongnya sendiri dan Baginda sendiri memberikan daging-daging tersebut kepada sahabat-sahabat Siti Khadijah R.A. Di sini kita dapat menilai betapa mendalamnya kecintaan Baginda kepada Sayyidatina Khadijah R.A. Segala persiapan yang dibuat adalah melalui tangan nabi yang mulia itu sendiri. Bagaimana diri kita jika kita mencintai seseorang dengan mendalam. Tidakkah perkara yang sama kita akan lakukan?

Seperti yang disampaikan oleh Habib Ali Zainal Abidin malam itu. Mari kita sama-sama berkongsi tentang sejarah hidup Ummul Mukminin kita yang pertama.

Peribadi Sayyidatina Siti Khadijah R.A

Sayyidatina Khadijah R.A merupakan anak kepada Khuwalid Bin Assan. Nasab Siti Khadijah R.A bertemu dengan junjungan besar Nabi Muhammad Sallahualaih wasalam melalui datuknya yang keempat. Di dalam sejarah pernah dipetik bahawa Khuwalid merupakan seorang yang berani. Diceritakan pernah datang seorang yang hebat bernama Taba' ingin mencabut Hajar Aswad dan membawanya pulang ke negerinya. Berita itu sampai kepada ayah Siti Khadijah dan beliau membawa pedangnya dan menghalang Taba' dari meneruskan perbuatannya itu. Melihat keberanian Khuwalid, Taba' berundur dan membatalkan niatnya untuk mencabut Hajar Aswad.

Ibu beliau bernama Fatimah. Personaliti Siti Khadijah banyak dipengaruhi oleh dua orang yang begitu rapat dengan beliau.

i) Hakim Ibnu Izam(Anak saudaranya)
ii) Waraqah bin Naufal (Sepupunya)

Hakim Ibn Izam merupakan seorang pemuda yang yang bijaksana. Semasa berumur 15 tahun lagi, beliau sudah layak memasuki Najwah(Parlimen) di Mekah pada masa itu. Biasanya golongan yang layak untuk memasuki Najwah adalah pada umur 40 tahun. Namun, beliau lebih banyak berkecimpung dalam bidang perniagaan. Minat ini tertanam kepada Siti Khadijah sehingga menjadi seorang usahawan wanita yang disegani.

Waraqah merupakan seorang yang beragama dan merupakan seorang ahli kitab yang asli. Beliau telah mengetahui dan percaya akan kedatangan nabi akhir zaman dan sentiasa menunggu kedatangannya. Beliau banyak mengajar Khadijah tentang Allah, syurga dan agama.

Suami yang awal :-
i) Atiq Ibn Atib - melahirkan anak bernama Abdullah
ii) Hind Ibn Zuhrah - Hendon, Zainab dan beberapa orang lagi.

Semenjak pada zaman jahiliah lagi, Siti Khadijah R.A disegani dan dihormati. Justeru itu, beberapa gelaran telah diberikan kepada beliau. Antaranya:

1) At-Tohiroh(Suci) - Siti Khadijah R.A. tidak pernah menghadiri sebarang perjumpaan atau pertemuan dengan lelaki berkaitan dengan perniagaan. Walaupun beliau merupakan seorang usahawan wanita yang ulung namun beliau tidak bertemu lelaki untuk berbincang hal perniagaan. Kebanyakannya diserahkan kepada pembantu beliau. Siti Khadijah juga enggan duduk bersama wanita yang suka melakukan maksiat. Beliau begitu menjaga keperibadian beliau.

2) Saidatina Quraisy (Penghulu wanita Quraisy) - Masyarakat begitu menyanjungi beliau. Walaupun beliau begitu kaya-raya, tetapi beliau tidak pernah lalai dan hilang punca kerana harta. Dengan kekayaan yang melimpah-ruah, Siti Khadijah tetap berguru dengan Waraqah bin Naufal.

3) Ummu Mukminin - Setiap wanita yang dinikahi oleh Nabi akan mendapat gelaran ini. Oleh itu Siti Khadijah merupakan Ummu Mukminin yang pertama.

4) Saidatina Nisa Lil Alamin - Penghulu wanita untuk sekalian alam sehingga di syurga nanti.

Sebagai nota tambahan, 4 orang wanita yang merupakan penghulu wanita di dunia dan syurga adalah :-
i) Siti Khadijah R.A
ii) Siti Mariam
iii) Asiah Isteri Firaun
iv) Fatimah Zahra (anak Rasulullah)

Permulaan perkenalan Nabi dan Siti Khadijah

Melalui pembantu beliau iaitu Maisarah, jelas sekali Maisarah melihat tanda-tanda kenabian pada Nabi Muhammad Sallahualaih wasalam. Pernah semasa dalam perjalanan untuk berniaga seorang ahli kitab melihat pokok yang mana nabi berlindung di bawahnya tunduk untuk melindungi nabi dari cahaya matahari. Beliau menyatakan kepada Maisarah bahawa jelas manusia yang berada di bawah pokok itu adalah seorang nabi. Begitu juga dengan kumpulan awan yang sentiasa mengekori nabi kemana sahaja baginda bergerak. Dari tanda-tanda itulah Maisarah meminta Khadijah untuk melamar nabi kita.

Anak pertama yang dilahirkan oleh Siti Khadijah adalah seorang anak perempuan iaitu Zainab. Walaupun masyarakat Arab Jahiliah pada masa itu memandang anak perempuan sebagai satu keaiban, namun nabi tetap ceria menyambut kelahiran tersebut. Seterusnya Siti Khadijah melahirkan Umi Kalthum, Ruqayah dan Qasim. Walaupun belum dilantik menjadi Rasul jelas tanda-tanda kenabian pada Rasulullah. Di sini pertemuan Rasulullah dan Siti Khadijah R.A. telah dirancang oleh Allah dengan persiapan-persiapan yang tersendiri.

Namun, semua anak lelaki nabi meninggal sewaktu kecil. Semasa kematian Qasim, Siti Khadijah mengalami tamparan yang begitu hebat sekali. Ini kerana susu di badan Siti Khadijah masih menitis semasa Qasim meninggal dunia. Akibatnya nabi terpaksa menenangkan Nabi dan Allah mengizinkan nabi memperlihatkan mukjizat beliau dengan memperdengarkan suara Qasim di syurga sehingga Siti Khadijah kembali tenteram.

Semasa nabi berkhalwat dan bersendirian di gua Hira', Siti Khadijah tidak pernah bermasam muka dengan nabi malah menyiapkan makanan dan keperluan Nabi Sallahualaih wasalam. Malah ada ketikanya semasa Khadijah merasakan bekalan makanan nabi telah habis, beliau sendiri mendaki gua Hira' untuk membawa bekalan makanan ke sana walaupun pada masa itu usia beliau sudah lanjut. Jika anda pernah ke sana, anda akan melihat sendiri bagaimana sukarnya untuk mendaki gua Hira'. Namun Siti Khadijah tetap cekal untuk berkorban demi suami tercinta.

Betapa kita kadang-kadang terlepas pandang akan kemuliaan Siti Khadijah R.A. Beliau merupakan orang pertama yang mendengar wahyu yang pertama ketika ia masih hangat di mulut nabi sewaktu menenangkan nabi yang berselimut kerana gementar.

Khadijah menjadi tulang belakang di dalam usaha dakwah nabi sehingga akhir hayat beliau. Segala harta yang dimiliki dihabiskan dalam usaha dakwah meluaskan Islam. Sehinggalah akhir tahun ke-7 kenabian, sekatan yang dikenakan oleh orang Quraisy terhadap umat Islam menyebabkan seluruh Bani Hasyim dipulaukan dengan sekatan yang amat dasyhat. Walaupun Siti Khadijah tidak termasuk dalam pemulauan itu tetapi beliau tetap bersama dengan nabi dalam peristiwa tersebut.

Pada awal pemulauan, usaha Siti Khadijah melalui rangkaian perniagaannya beliau berjaya menyeludup makanan masuk ke tempat pemulauan. Namun ia tidak berjalan lama dan disedari oleh pihak Quraisy dan menyekatnya. Sehinggalah satu keadaan, Ummu Mukminin terpaksa memakan daun-daun kerana ketiadaan bekalan makanan.

Akibat daripada dugaan yang berat tersebut beliau akhirnya sakit tenat. Namun semasa saat kematian beliau yang paling dirisaukannya adalah suami dan anak kesayangan beliau iaitu Fatimah. Fatimah mendapat tempat yang istimewa di hati Siti Khadijah kerana dua perkara :-

i) Fatimah merupakan anak bongsu
ii) Fatimah paling menyerupai Nabi Muhammad

Beliau akhirnya meninggal tanpa merasa sesal terhadap segala penderitaan yang dilalui bersama nabi. Nabi sendiri yang melakukan segala persiapan untuk menyempurnakan jenazah Siti Khadijah. Walaupun Siti Khadijah R.A telah lama meninggalkan nabi, namun baginda sentiasa mengenang Siti Khadijah. Semasa Siti Khadijah R.A masih hidup, Allah telah menyampaikan berita kepada nabi bahawa sebuah rumah di syurga telah disiapkan oleh Allah istimewa untuk Siti Khadijah R.A atas pengorbanan beliau selama ini.

Siti Khadijah R.A juga mendapat salam daripada Allah dan Jibril semasa menziarahi nabi. Ulama'-ulama' berselisih pendapat samada hanya Siti Khadijah R.A. seorang yang mendapat salam dari Allah dan Jibril ataupun Aisyah turut mendapat penghormatan yang sama. Aisyah juga pernah membuat pengakuan bahawa satu-satunya manusia yang beliau sentiasa merasa cemburu adalah Siti Khadijah kerana Nabi sentiasa menceritakan kebaikan beliau kepada isteri-isteri Baginda.


6 comments:

azizi said...

salam ciklee,

terima kasih atas info.
teruskan usaha, sekrg2nya dapat ilmu secara tidak langsung.

kak ja said...

Salam Ciklee,

Thanks for the dedication, Ciklee.. Yg peliknya semalam kja masuk blog ni tak perasan pun ada entry ni...

Kja tersgt sgt suka dgn entry ni.. mudah fhm, mudah absorb.. teruskan usaha murni ni, Ciklee..

Sebenarnya husband kja pun dilantik menjadi konsultan utk projek nafas baru sebuah pondok pengajian agama dkt sini.. Nak get rid of bangunan2 yg lama dan gantikan dgn bangunan2 baru, lengkap dgn kelengkapan dan infra yg lbh sistematik, complete dgn kediaman warga emas, rumah kelamin, asrama sekolah, dll.. Tp biasalah, kerana masaalah kewangan, projek ni agak selow melow skit..

Ibnu Hasyim said...

Ibnu Hasyim Catatan Santai: Suatu Penghargaan Kepada Encik Lee'

Pantas & Pintas Kusai Maklumat.

TERBACA saya, dalam komen di blog saya…

“Cik Lee said... Doktor, saya baru bagi award kat doktor. Silalah jenguk blog saya untuk ambik award doktor.. sila.. sila.. August 17, 2008 8:43 AM.”

Saya tekan’Cik Lee’, keluar biodata beliau, rupanya seorang anak muda yang gigih dan sedang membangun 5 blog yang berlainan, termasuk sukan, motivasi dan lain-lain. Saya pilih blog ‘Pengembara Jalanan’, rupanya di dalam tertulis mengenai award yang beliau berikan kepada saya.

Blog saya antara 7 blog yang diberi award penghargaan oleh beliau. Antara komennya, “Ibnu Hasyim - Dr. Hasyim seorang ahli pemikir. Juga seorang sejarahwan. Kalau terasa hendak membaca perkara-perkara yang tak pernah dibaca, silalah masuk blog beliau. Boleh baca sendiri sejarah-sejarah yang telah dikaji dan beliau terokai.”

Terima kasih anak muda! Saya sanjungi kegigihan anda dalam usaha murni ini. Teruskan seperti matlamat anda..

“Sebenarnya blog ini diwujudkan atas rasa kesedaran untuk berkongsi kesedaran tentang masalah-masalah yang menimpa masyarakat pada hari ini. Terlalu banyak kategori yang dijaguhi oleh anak-anak bangsa kita yang sepatutnya sebagai Muslim tidak layak langsung untuk dijaguhi kita. Dadah, masalah sosial, politik dan pelbagai masalah yang tak mampu kita hendak kira dan hitung. Dengan sedikit kesedaran harapan kawang menulis sekurang-kurangnya menyedarkan kita betapa hidup kita ini hanyalah satu pengembaraan yang sekejap cuma. Jika kita alpa dan leka, maka rugilah kita.

Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada benar-benar dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Dan nasihat-menasihati kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran. Al-Asr (masa) 1-3.”

Apalagi bila saya lihat beliau meletakkan blog saya sebagai sumber rujukan beliau. Alhamdulillah.

Suatu panduan bagi anak-anak muda lain, supaya pantas dan pintas dalam menggunakan masa (al-asr) yang bagaikan pedang, kalau kita tak gunakan untuk memotong, dia akan memotong leher kita balik. Kalau dulu orang perang gunakan pedang, sekarang gunakan nuklier. Namun dalam kekuatan senjata-senjata itu, kekuatan senjata ‘maklumat’ antara factor kemenangan sebenarnya. Walaupun dalam peperangan di medan perniagaan juga.

Tuhan jadikan ‘bumi ini sebagai hamparan’, siapa yang lebih pantas dan pintas menguasai atau membaca maklumat, telus juga terus dari jarak jauh melihat hamparan hingga ke hujung bumi, dialah yang akan memerintah dunia dan berjaya… apalagi bila disuntik dengan kekuatan ketaqwaan kepada Allah SWT. Ilmu inilah sepatutnya dikuasai oleh umat Islam!.

Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Ogos18, 08 KL

Cik Lee said...

Azizi : Sama-sama kita berkongsi apa yang ada.

Kak Ja : Entry nih ambik masa nak tulis. So, memang draftnya lama, publishnya kemudian. That's why tak ada keluar masa kak Ja masuk.

Doktor Hasyim : Terima kasih atas komen kepada hamba yang hina ini. Semoga doktor terus membongkar khazanah-khazanah sejarah bangsa.

kak ja said...

Salam Ciklee,

Kalau Ciklee nak, boleh ubah time publish so that entry tu x jd backdated.. Just click kat pulish options lps habis draft, then betulkan time dan tarikhnya.. Sorilah kalau kja bgtau benda yg Ciklee dah tau.. tp ilmu x tawar oleh ulangan, kan?

Cik Lee said...

Kak Ja: Tq for acknowledgement. Memang dah tau function tu... tapi biasa lah, kemalasan mengatasi segalanya.. :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails