Monday, August 25, 2008

Selamat Membuat Pilihan

Jadi pada hari ini semua mata akan tertumpu kepada keputusan pada malam ini. Nampaknya, orang akan menantinya lebih daripada orang menanti keputusan anak bulan Ramadhan. Kalau anak bulan dinanti maksudnya untuk tahu jadi atau tidak puasanya pada esok hari. Kalau jadi maka berduyun-duyunlah manusia untuk ke masjid nak solat tarawih. Orang-orang yang sebelum ini tak pernah nampak dekat masjid boleh dilihat pada masa ini. Apatah lagi malam pertama pun dah ada jamuan 'more'.

Namun malam ini lain pula ceritanya. Seperti juga anak bulan Ramadhan keputusan ini untuk melihat jadi atau tidaknya pertukaran kerajaan yang diwar-warkan. Jika menang, cerahlah peluangnya. Jika kalah maka dunia seolah-olah akan menjadi gelap gulita. Mungkin lebih gelap daripada dunia Kassim Selamat lagi.

Dah macam-macam ulasan pasal 'pertempuran maut' di Permatang Pauh. Boleh kata 'winners takes all' - (betul ke ayat ni?). Kerananya Permatang Pauh ini menjadi penentu samada agenda pertukaran kerajaan yang diwar-warkan itu akan berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan atau tidak. Bagi satu pihak memang keputusan ini akan menentukan hidup dan mati mereka dalam arena politik.

Masakan tidak - berpuluh biji fail sudah menunggu untuk dibuka jika pertukaran kerajaan menjadi kenyataan. Sudah pasti semuanya akan dikorek sehingga ke lubang cacing. Dan rakyat sendiri menunggu saat tersebut untuk menghukum semua pemimpin yang selama ini telah mengkhianati amanah yang telah diberi kepada mereka. Bukan sahaja harta rakyat telah licin disapu tetapi juga segala harta milik negara juga turut habis diberi kepada negara asing yang tiada kena mengena dengan negara.

Sementara satu pihak lagi akan melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka terus bernafas dan berkuasa di bumi Malaysia ini. Strategi disusun dari strategi a, b, c, d sampai lah z. Malangnya, kerana mereka terlalu berkuasa maka tiada batasan bentuk strategi yang disusun. Ia boleh melangkaui apa jua batasan. Dari batasan agama, bangsa dan kemanusiaan. Asalkan matlamat yang ditujui berjaya, cara apa sahaja secara automatiknya akan menjadi halal.

Di sinilah kita melihat betapa manusia itu lupa segala-galanya. Begitu juga diri kita. Dalam keghairahan diri kita untuk menyokong pihak yang disokongi kita, janganlah kita melangkau batas-batas dan sempadan diri kita sebagai seorang yang beragama. Jelasnya, Islam itu agama yang sempurna. Yang telah memberi jalan yang jelas bagaimana untuk kita melaksanakan dan menuju kepada matlamat kita secara halal dan diberkati.

Di sini janganlah kita turut sama terbabit dengan keadaan yang tidak sihat yang memungkinkan segala amalan yang diperbuat kepada kita menjadi sia-sia sahaja. Marah memang marah. Sakit hati juga sakit hati. Geram juga hampir sampai ke batasnya. Tetapi bila marah haruslah mengikut marah kerana agama, sakit hati kerana agama dan juga geram kerana agama. Islam tidak menghalang kita marah, sakit hati dan geram. Namun semuanya perlu diletakkan pada tempatnya.

Jadi jagalah diri kita dan etika kita sewaktu suasana yang getir ini. Janganlah kita juga turut mengikut hawa nafsu dan menggunakan konsep matlamat menghalalkan cara. Sesungguhnya yang hak itu akan sentiasa menang ke atas kebatilan. Jika kita percaya sepenuhnya apa yang telah dijanjikan di dalam Al-Quran maka tiada perasaan gundah gulana yang melanda diri kita.

Akhir kalam selamat mengundi kepada semua pengundi-pengundi di Permatang Pauh. Doa kami supaya kebenaran akan sentiasa di atas dan agama akan sentiasa menjadi junjungan. Sesungguhnya solat kita, ibadat kita, , hidup kita dan mati kita hanyalah keranaNya. Atau kita akan ditempelak kerana ia hanyalah sekadar di bibir sahaja tidak pernah dilakukan dengan hati dan perbuatan. Kita sahaja yang tahu jawapannya. Dari Dia kita datang dan dariNya juga kita akan kembali.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails