Sunday, August 10, 2008

Kita Akan 'Selamat'

Memang Malaysia sebuah negara yang 'selamat', aman dan sejahtera. Bersyukurlah kita berada di sebuah negara yang 'selamat'. Tidak seperti di Palestin, di Iraq atau mana-mana negara Islam yang sedang dijajah dan diratah oleh al-Dajjal dan sekutu-sekutunya di seluruh dunia. Setiap saat dan ketika saudara-saudara kita di sana berdepan dengan pembunuhan, kekejaman dan sebagainya. Namun, 'selamat' di Malaysia juga mempunyai pengertiannya yang tersendiri.

Baru sahaja kita dikejutkan dengan kehilangan barang bukti di sebuah balai polis di selatan tanah air. Nilai barang bukti tersebut sahaja bernilai hampir rm48 juta. Rm 48 juta bukanlah jumlah yang sedikit. Saya percaya hanya sedikit sahaja manusia yang di alam maya ini yang pernah melihat angka Rm 1 juta di dalam akaun bank mereka atau rm 100,000 di dalamnya. Namun, jumlah rm48 juta langsung tidak mengecutkan dan terasa banyak oleh anggota-anggota berkenaan. Ini kerana ia boleh hilang di depan mata mereka walaupun secara logiknya ia agak mustahil dilakukan tanpa dilihat sesiapa. Ini kerana secara fizikalnya bukti tersebut bukanlah sebuah laptop atau pda, tetapi mungkin sahaja berkilo-kilo dadah jenis Syabu.

Namun yang paling mengejutkan pada pagi ini apabila terbaca berita yang dipaparkan di Utusan Meloya di sini:-

Lans Koperal saksi kes dadah ditemui mati

JOHOR BAHRU 10 Ogos – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang disiasat berhubung kes kehilangan dadah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian kanan kepalanya.

Mayat Morne Aliamat, 40, ditemui oleh orang awam pada pukul 11.40 pagi ini di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Taman Setia Indah dekat sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mangsa merupakan antara 52 individu yang diambil keterangan bagi membantu siasatan kes kehilangan dadah di IPK Johor.

“Bagaimanapun, mangsa tidak melaporkan diri untuk bertugas sejak Khamis lalu menyebabkan isterinya membuat laporan di Balai Polis Tampoi semalam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar memberitahu, sepasukan anggota polis yang dikejar ke tempat kejadian menjumpai sebuah motosikal, sepucuk pistol milik kerajaan dan peluru.

“Mangsa ditemui dengan kesan tembakan di bahagian kanan kepala. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mempunyai empat orang anak mula menyertai pasukan polis pada 7 Januari 1990 dan berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Johor pada 16 Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Mokhtar memberitahu, dua anggota polis yang direman berhubung kes kehilangan dadah itu telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Bagaimanapun, kedua-duanya yang berusia 21 tahun ditahan semula selepas itu mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Katanya, sehingga kini tiga anggota polis ditahan di bawah akta berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut berikutan kehilangan sejumlah dadah dari bilik simpanan polis baru-baru ini. Dadah itu sepatutnya menjadi bahan bukti di mahkamah.

Mohd Mokhtar pada sidang akhbarnya Rabu lalu mengesahkan berlakunya kehilangan sebahagian dadah rampasan jenis syabu dari bilik bahan bukti itu yang menjadi bahan bukti kes rampasan dadah bernilai RM48 juta, Mac lalu.


Persoalan yang berlegar di sini :-

i) Kesan tembakan di kepala - sudah pasti ia dilakukan dengan niat membunuh.
ii) Mangsa antara saksi kehilangan dadah tersebut.

Apakah sebenarnya yang terjadi. Ia seolah-olah wujudnya sebuah kumpulan kongsi gelap di dalam pasukan pihak polis itu sendiri. Masing-masing mempunyai kepentingan dan akan berbuat apa sahaja untuk menyelamatkan diri masing-masing. Seperti sahaja sebuah filem Hong Kong yang mana anggota polis boleh sahaja berkompromi dengan kumpulan kongsi gelap. Ketua kongsi gelap akan membuat konspirasi dengan ketuah Polis dan akan mengorbankan anggota-anggota polis yang tidak berdosa. Namun, mungkinkan sahaja ia merebak ke seluruh bahagian negara ini atau di Johor sahaja?

Tidak mustahil juga jika kes ini akan selesai begitu sahaja seperti mana kes pembunuhan 3 anggota polis di Sungai Buloh suatu masa dahulu. Dengan mengelarkan mereka yang terbunuh ini sebagai 'perwira negara', pembunuh mereka masih lagi bebas dan belum ada sebarang pertuduhan di bawa ke makhamah. Tidak adakah anggota-anggota polis yang menyiasat kes ini? Begitu cekap dan bijakkah penjenayah-penjenayah ini sehingga langsung tidak meninggalkan sebarang kesan dan jejak?

Jika anda dapat membayangkan anggota polis itu sendiri tidak lagi selamat walaupun mereka sendiri anggota yang mempertahankan keselamatan, adakah kita masih lagi berasa masih selamat kerana cogan kata 'aman, makmur dan sejahtera'.?Atau kita juga bila-bila masa sahaja boleh menjadi 'lauk' di dalam sebuah negara yang selamat. Sesungguhnya tiada sesiapa yang mampu menjaga keselamatan kita kecuali berserah diri kepada Yang Maha Esa. Oleh itu, marilah beramai-ramai kita kembali kepada-Nya. Insya Allah, sudah pasti kita akan selamat dunia dan akhirat.

2 comments:

azizi said...

salam cikli

polis cukup hebat dalam mereka-reka kes, ... tp ...
tak taulah, seekor lembu bawa lumpur, habis terpalit semuanya.

Mr. Rabbit said...

Semoga abah tenang disana.. Amiinn

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails