Tuesday, August 19, 2008

Memperkasakan Pendidikan Seks!

Nampaknya agenda pendidikan seks sudah menjadi keutamaan kepada kerajaan Malaysia hari ini. Biarpun pelbagai masalah sering dibangkitkan sepanjang Program Latihan Khidmat Negara(PLKN), namun isu pendidikan seks juga yang mendapat perhatian. Isu kematian pelatih-pelatih PLKN, keracunan makanan, modul pembelajaran yang diadakan, isu kem PLKN yang runtuh dan 1001 lagi permasalahan namun keutamaanya adalah pendidikan seks!

Saya tidak dapat memikirkan di manakah relevannya isu pendidikan seks diutamakan di PLKN. Dengan pengurangan mata pelajaran agama Islam terutamanya di sekolah-sekolah daripada 5 kali seminggu kepada 3 kali sahaja, ia memberikan impak yang besar kepada pewaris-pewaris harapan bangsa yang sedang berada di bangku sekolah masa ini. Adakah hanya cukup dengan tidak sampai 3 jam sehari kita mampu untuk memberikan ilmu mengenai pendidikan agama yang sepatutnya menjadi tunjang dalam kehidupan kita.

Kita sering ingin menjadikan Islam itu sebagai ad-din. Cara hidup. Menghayati Islam dalam semua hal keadaan. Pekerjaan kita, pergaulan kita, muamalat kita dan dalam segala gerak-geri kita. Malangnya ia bukanlah menjadi agenda utama dalam sistem pendidikan hari ini. Lalu ia menambahkan barah yang semakin membaham generasi muda dengan pelbagai kerosakan masalah sosial yang bukan sahaja memeningkan kepala guru-guru di sekolah tetapi turut berjangkit kepada ibu bapa di rumah-rumah.

Lalu masalah yang membarah ini turut merebak kepada soal masalah seks bebas dan perzinaan yang semakin berleluasa di negara ini. Cukup menakutkan kepada ibu bapa hari ini untuk melepaskan anak-anak ke sekolah. Pelbagai seribu satu permasalahan menanti di sana. Begitu juga masalah-masalah yang sering dibangkitkan di PLKN ini. Ketiadaan modul-modul agama yang kuat memberikan satu lesen besar untuk membenarkan dan membiarkan apa sahaja perlakuan atas nama kerjasama.

Sudah pastinya dalam mana-mana modul latihan akan diterapkan semangat kerjasama berpasukan dan setiakawan. Namun, ia secara tidak langsung turut merobohkan tembok-tembok pemisahan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Lelaki bebas untuk membantu perempuan dalam apa hal jua keadaan atas kerjasama. Lalu timbullah pelbagai isu yang berbangkit dan terus disembunyikan oleh kebanyakan media kita hari ini terhadap kepincangan yang terjadi di PLKN. Yang nyatanya ada masa dan ketika PLKN seolah-olah menjadi alat permainan politik dan kepentingan individu-individu dengan mengorbankan anak bangsa mereka sendiri.

Saya bukannya orang yang anti-PLKN. Tetapi dengan seribu satu permasalah di PLKN, kerajaan sepatutnya bersungguh-sungguh untuk memperkasakan modul-modul dan menambahkan modul-modul agama. Namun, apabila agenda pendidikan seks diutamakan maka kecurigaan saya bertambah membarah. Pada saya, saya melihat dalam konteks ini mungkin di luar kebiasaan. Saya melihat kepada agenda kerosakan total kepada pemuda-pemudi Islam yang akan menjalani latihan PLKN. Sebelum ini memang terdapat kerosakan yang besar, namun belum secara menyeluruh. Kali ini, perancangannya adalah melakukan kerosakan terhadap akhlak mereka secara keseluruhannya.

Sekali pandang mungkin tidak logik. Juga tidak terfikir oleh akal kita yang kecil ini. Namun seikhlasnya mengapa begitu kerajaan mengambil berat akan pendidikan seks di PLKN. Adakah dengan pendidikan hari ini belum memberi gambaran yang jelas kepada pemuda-pemudi kita tentang pendidikan seks. Ataupun kita mengikut pendidikan barat yang jelas memberikan pendidikan seks untuk mereka lebih prihatin terhadap cara-cara yang selamat untuk melakukan seks selamat? Bukannya ditekankan bahawa seks di luar perkahwinan itu sebagai zina dan perbuatan terkeji.

Memang benarlah sabda nabi bahawa di akhir zaman umat Islam akan diratah sesuka hati seperti hidangan di atas meja. Lalu saya bersama dengan muslimah PAS untuk membantah sekeras-kerasnya keutamaan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen. Utamakanlah banyak lagi perkara yang sepatutnya diutamakan. Usahlah menambahkan barah yang semakin menular dalam masyarakat pada hari ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails