Sunday, April 5, 2009

24 Jam Yang Kritikal

Saat yang ditunggu-tunggu oleh seluruh warga Malaysia kian hampir. PRK di tiga buah tempat iaitu di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Ia akan menjadi penanda aras samada UBN masih diterima oleh rakyat Malaysia ataupun sebaliknya. Ia juga akan menjadi petanda aras samada rampasan kuasa oleh UBN di Perak diterima oleh rakyat Perak atau sebaliknya.

Ketiganya diadakan secara serentak. Selepas sesi pemilihan oleh perwakilan Pekembar baru-baru ini. Ianya telah berjaya mencapai matlamatnya iaitu peralihan kuasa daripada 'Mr. Clean' kepada Najib Tun Razak. Begitu juga dengan pemilihan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan juga ahli-ahli tertinggi Pekembar. Sudah tentu Pakatan Rakyat mengharapkan parti Pekembar ini akan terus bergolak selepas daripada pemilihan itu, namun ia tidak terjadi.

Begitu juga dengan perlantikan PM yang baru. Pakatan Rakyat cuba menghalang daripada ia menjadi kenyataan. Sehingga ke saat-saat terakhir, pelbagai usaha terus dilakukan. Malangnya, sejarah telah menukilkan bahawa teori Rahman telah menjadi kenyataan seterusnya Najib berjaya mengangkat sumpah dan Pakatan Rakyat terus ternganga.

Kini saat yang yang kritikal telah hampir tiba. 3 PRK ini membawa bersama maruah Pakatan Rakyat. Walaupun begitu, kelihatannya Pakatan Rakyat begitu selesa dengan keadaan di Bukit Gantang. Aura Nizar nampaknya terus menyelubungi persekitaran Bukit Gantang dan PR terus dibelai untuk terus selesa dan leka dalam keadaan ini.

Jangan terleka wahai Pakatan Rakyat. Pekembar merupakan parti yang ajaib yang boleh melakukan apa sahaja. Saat-saat akhir pengundian merupakan saat-saat yang dinantikan oleh geng-geng Pekembar. Mereka bisa sahaja mengambil kesempatan untuk menyelinap dan melakukan kejutan di saat-saat akhir. Seribu satu strategi bisa sahaja dilakukan oleh mereka. Pakatan Rakyat terutamanya parti PAS sudah pasti masak dengan strategi-strategi seperti ini. Jangan sampai kita diberi pukulan maut tanpa bunyi seperti yang berlaku di Terengganu pada 2004.

Segalanya berlaku begitu pantas. Tanpa kesan. Tanpa kata. Hasilnya negeri Terengganu Darul Iman terlepas daripada genggaman PAS. Penyokong-penyokong semuanya terlopong tanpa kata. Semua mengeleng dan mengalirkan air mata seolah-olah tidak percaya apa yang terjadi kepada negeri yang begitu disayangi.

Nah! Jangan jadikan sejarah ini berulang kembali. Berwaspadalah. Dan kuatkan semangat. Memang penat tetapi stamina perlu dikekalkan sehingga ke saat terakhir. Sehinggalah kemenangan diistiharkan barulah kita boleh berehat sebentar. Namun, sebelum itu jangan sampai kita lupa, kita alpa, kita leka. Jangan lupa mantan Memanda Menteri sudah kembali kepada Pekembar. Sudah pasti otak beliau bisa sahaja memikir 1001 strategi kotor untuk memenangkan parti mereka! Jangan sampai kita termasuk ke dalam perangkap mereka.

Kepada semua petugas-petugas Pakatan Rakyat di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai syabas diucapkan. Betapa ramai pejuang tanpa nama yang bekerja sepenuh hati dan keikhlasan kerana mengharapkan redha sang Pencipta. Oleh itu jangan lupa untuk kita sama-sama menadah tangan dan mengharapkan doa dengan penuh harapan. Sesungguhnya makhluk yang berkuasa melainkan Dia jualah. Oleh itu teruskan perjuangan. Jaga Yop Jaga! Kita Lawan tetap lawan!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails