Monday, April 6, 2009

Harapanku Semoga Melayu Berubah!

Dalam 8 jam lagi, warga Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai akan memilih wakil-wakil mereka untuk mewakili DUN dan Parlimen mereka. Sememangnya PRK ini ditunggu-tunggu kerana ia akan menentukan maruah kedua-dua pihak iaitu Pakatan Rakyat atau Umno Barisan Nasional manakah yang terpelihara dan menjadi pilihan rakyat. Kalah memberi makna bukan sedikit kecalaran yang berlaku dan mesej penting samada sokongan rakyat meningkat atau sebaliknya.

Harapanku kepada bangsaku Melayu yang mengaku beragama Islam. Mengaku dengan sesungguhnya dan tanpa keyakinan yang tidak goyah bahawa 'Aku naik saksi bahawa Allah itu tuhanku dan Muhammad itu pesuruh Allah'. Yang setiap hari lima kali sehari semalam sekurang-kurangnya mengucapkan bahawa ' Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah'. Apakah mulut sekadar berkata dan mengucap, tetapi hati langsung tidak menghayati apa yang diucapkan dan perbuatan tidak mencerminkan apa yang sebenarnya di'itikadkan.

Aku mengharapkan bangsaku tidak akan layu dengan huluran-huluran pelaku rasuah. Tidak kira dalam bentuk wang, basikal, kain pelikat, anak ayam, atap zin dan apa sahaja demi satu pangkahan undi. Apakah begitu murah harga maruah kita. Adakah hanya dengan RM300 atau RM50 kita boleh dibeli dan seterusnya sujud ke lantai perasuah. Ingatlah perasuah dan yang menerimanya - kedua-duanya dijanjikan neraka Jahannam. Itu janji pencipta bukan diucapkan saja-saja.

Aku mengharapkan bangsaku tidak leka dek janji-janji kosong. Omong-omongan kosong. Sampai bila bangsaku akan sedar. Kononnya membela bangsa, agama dan tanahair. Sedangkan bangsaku di anaktiri dan di anak bangsatkan di bumi sendiri. Setinggan-setinggan dirobohkan tanpa menghiraukan hiruk pekik, tangis darah anak-anak bangsa dan darah keringat bangsa sendiri. Dek angkara perut dan poket sendiri, tanah bangsaku dirampas dan rumah mereka dihancurkan. Tanpa sebarang belas kasihan. Lalu mereka menjerit apabila waktunya kamilah pembela bangsa Melayu.

Aku mengharapkan bangsaku sedar siapa yang mengkhianati agamanya sendiri. Siapa yang menyekat dakwah-dakwah ulama' di masjid-masjid. Di surau-surau. Anak-anak bangsa kita dibiarkan berpeleseran, menjadi bohsia dan bohjan, menjadi mat rempit dan minah rempit. Menjadi penagih dadah dan tengkorak hidup. Sibuk mengejar glamour siang dan malam. Kerana pemimpin yang hanya berlakon memperjuangkan agama, sedangkan norma-norma hidup mereka jauh menyimpang dari ajaran yang sebenar. Siapa yang begitu dambakan Bollywood? Siapa yang begitu gilakan Hollywood. Siapakah yang memenuhkan televisyen dan suratkhabar dengan cerita-cerita artis yang langsung tidak membawa manfaat. Siapa yang akan mengkafankanmu dan menyembahyangkan kamu? Adakah artis-artis ini juga?

Aku mengharapkan bangsaku sedar. Betapa mereka sedang dijual oleh pemimpin-pemimpin mereka sendiri. Pulau Batu Putih sudah tergadai. Biar air mata darah mengalir, tidak mungkin dapat diambil kembali. Sedikit demi sedikit tanahair dijual kepada warga asing, dek polisi yang dihalimunankan daripada rakyat. Dirompak, dicincang dan dilumatkan tanah rizab Melayu. Jasa siapakah ini semua?

Aku mengharapkan bangsaku sedar. Betapa seorang tua yang dahulu pernah mencaci hukum-hukum agamanya sendiri sedang menagih simpati. Mengharapkan undian daripada penyokong-penyokongnya satu masa dahulu. Sedarlah bangsaku. Betapa kuasa sultanmu dilucut dan dibogelkan oleh orang ini. Maka hari ini dia menjadi pembela Sultanmu? Betapa murahnya air mata buaya dan diri anak-anak bangsa tertipu begitu sahaja?

Sedarlah bangsaku. Terjemahkanlah kefahamanmu pada esok hari. Cukuplah segala janji kosong. Janji rasuah. Janji kroni yang korup. Betapa kita mengidamkan sebuah negara yang cukup syaratnya untuk menerima rahmat tuhan. Ingatlah bangsaku - kita sebuah bangsa yang gagah perkasa dahulu kerana agama Islam ini, begitu juga kita menjadi mundur dan terhina di bumi sendiri kerana meninggalkan agama yang mulia ini. Oleh itu aku menyeru bangsaku - undilah kepada yang menyokong Islam. Kerana kita mengharapkan Islam di daulatkan bukan diperintah. Undilah Pakatan Rakyat demi bangsa, agama dan negara.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails