Wednesday, March 11, 2009

Kasihan Pak Kadok!

Pak Kadok! Namamu dipinjam oleh penglipur lara untuk mereka cipta sebuah cerita rakyat yang diulang zaman berzaman. Mungkin dirimu wujud mungkin tidak. Namun namamu tetap tersohor dan menjadi dendangan anak-anak bangsa. Sejak bila dirimu dimasukkan dalam cerita rakyat tersohor ini aku pun tidak mampu menjejaki lagi. Mungkin ceritamu baru saja dicipta selepas merdeka atau zaman sebelum merdeka atau beratus-ratus tahun dahulu. Wallahualam.

Namun, natijahnya tetap baik. Untuk dijadikan tauladan dan sempadan kepada generasi-generasi yang mendatang. Seperti juga Pak Pandir dan Lebai Malang dirimu begitu sinonim dengan bangsa Melayu. Kisahmu yang mempunyai ayam yang handal bertarung(laga ayam - dalam Islam haram tau) menyebabkan namamu tersohor. Sehingga akhirnya ayam mu telah bertarung dengan ayam Raja. Yang akhirnya dengan tipu muslihat raja - ayammu ditukar dengan ayam raja. Dan akhirnya kampungmu tergadai dan dirimu bersorak sehingga telanjang di depan raja. Ada yang mengatakan dirimu bodoh dan ada juga yang mengatakan dirimu itu genius.

Bagi diriku - timbul dua tiga persoalan. Satunya adakah Pak Kadok itu seorang Menteri, Ketua Kampung atau JKKK. Ini kerana dia boleh mempetaruhkan kampung sebagai hadiah judi laga ayam. Kemungkinan besar dia mempunyai geran kampung maka pertaruhan itu diterima oleh raja sebagai hadiah laga ayam. Apa pula agaknya hadiah kalau Pak Kadok yang menang laga ayam itu? Adakah hukuman pancung menanti seperti Hang Nadim si budak bijak dari Singapura? Ini kerana pada zaman dahulu siapa sahaja yang melawan atau mengaibkan raja akan digelar penderhaka dan hukumannya adalah bunuh.

Keduanya - jika raja tidak menggunakan tipu muslihat sekalipun adakah Pak Kadok sanggup untuk sembah derhaka dan enggan untuk bertukar ayam laga nya? Umumnya suatu masa dahulu saya di momokkan raja atau sultan zaman dahulu kebanyakannya kejam dan zalim.(Bukan saya yang kata tapi dimomokkan). Jadi, adakah Pak Kadok sanggup berkata tidak atas permintaan raja, sama seperti yang dilakukan oleh MB Perak. Baru sahaja sembah derhaka dah riuh satu negara. Itu belum lagi sungguh-sungguh derhaka.

Jadi bila baca ucapan Raja Nazrin pasal Pak Kadok saya tak tahu nak ambil intipati pengajarannya. Tang laga ayamnya kah, atau jual kampungnyakah atau tipu muslihat rajanyakah. Tapi saya setuju bila baginda cakap "Betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan-tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu." Cuma perlu dikenalpasti siapakah anasir tersebut. Adakah golongan rakyat marhaen yang tak cukup makan ini, ataupun golongan pembesar-pembesar negeri yang terlebih makan.

Pada saya cukuplah saya simpulkan bahawa satu masa dahulu kerajaan Melayu gah kerana mendaulatkan Islam. Begitu juga sekarang jika ingin kembali gah maka perlulah kembali kepada elemen tersebut. Istana dan rakyat juga tidak boleh dipisahkan kerana ianya satu. Tapi rakyat tiadalah raja. Bertambah malang apabila rakyat dihalang dengan seribu satu cara daripada menghadap raja dan dalam masa yang sama juga raja tidak membuka mata melihat seribu satu anasir yang menjauhkan rakyat dari raja. Ampun tuanku!



4 comments:

EQUILIBRIUM said...

keturunan raja manakah yg menipu pak kadok? kalau mengikut blog misteri jejak warisan cerita pak kadok ni adalah benar.

walaupun teman sendiri lahir di kampung tepi sungai perak teman pun tidak menyedari kebenaran kisah pak kadok ini.

mungkin jalau ada keturunan pak kadok yg sebenar boleh juga mereka bercerita. hanaya utk mengetahui kebenaran sejarah.

Anonymous said...

Salam Sejahtera
Disini saya dah copy Paste cerita berkenaan Pak Kadok....

Dr. H. H said...

Kisah Pak Kadok ini sebenarnya memalukan institusi beraja itu sendiri. Saya melihat perkara ini atas 2 perkara:

(1) Seorang rakyat diperbodohkan oleh Raja
(2) Raja dan tabiat berjudi

Apa yang boleh saya rumuskan disini ialah titah ucapan Raja Nazrin yang meminta rakyat merenungi kisah Pak Kadok itu sebenarnya akan memalukan institusi Raja-raja Melayu itu sendiri. Kisah ini akan mengingatkan rakyat betapa seorang rakyat yang lemah telah diperbodohkan oleh seorang Raja yang berkuasa. Begitu juga kisah ini mengingatkan rakyat betapa judi itu adalah tabiat Raja-raja Melayu. Apa-apa pun kita berharap agar negeri Raja Nazrin sendiri tidak diperjudikan untuk kepentingan tertentu.

Cik Lee said...

Paloi : kawang menjejak ke website seperti yang diberi LamborKanan. Memang terdapat nama, kampung yang complete. Jadi, kemungkinan besar cerita Pak Kaduk benar-benar terjadi. Cuma olahan sahaja yang sedikit berbeza rasanya.

LamborKanan : Terima kasih di atas perkongsian

Dr. H. H : Marilah kita sama-sama berdoa agar Raja Nazrin tidak begitu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails