Sunday, March 29, 2009

Sirih Pulang Ke Gagang!

Maka berakhirlah sudah perhimpunan Agung Umno yang meninggalkan seribu satu macam pengalaman dan kenangan kepada perwakilan dan penyokong-penyokongnya. Namun, sudah pasti yang menjadi perbualan hangat adalah kehadiran bekas idola mereka iaitu Tun Mahathir untuk sama-sama mencemar duli menyertai majlis yang sebelum daripada itu dilabelkan majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah. (Tun yang tulis dalam blog dia, bukan saya yang reka). Secara tersiratnya, buat masa kini Tun telah bersetuju untuk bersama-sama mereka yang mendukung rasuah.

Sebelum ini, Tun begitu lantang mengkritik Umno akibat kekalahan Mukhriz kepada Khairy dalam pemilihan ketua Umno. Sudah pasti salah satu kritikan yang beliau adalah mengapa 6 jam diperlukan untuk mengira 790 undi. (Seiras dengan siri-siri PRU sebelum ini). Rasanya Tun tak perlu pelik mengapa ini terjadi. Sebagai bekas Presiden Umno, beliau telah mempunyai pelbagai pengalaman dan taktik yang telah sedia diguna pakai oleh ahli-ahli Umno. Jadi mungkin Tun buat-buat tak tahu atau memang Tun sengaja buat tak tahu untuk menimbulkan isu.

Persoalannya adakah isu rasuah ini hanya berlegar di sekitar pemilihan Ketua Pemuda sahaja? Tun tidak pula memberi kritikan terhadap kemenangan ahli-ahli MT Umno dan yang lebih utama adalah Timbalan Presiden Umno itu sendiri. Sedangkan Tun jugalah orangnya yang sibuk mengkritik dan memberitahu rakyat Malaysia daripada 900 kes politik wang yang dilaporkan kepada Majlis Tatatertib Umno, hanyalah beberapa kes yang sangkut. Yang lebih-lebih itu tiada salahlaku dan tindakan dibuat. SPRM ? Itu bukan kes melibatkan Pakatan Rakyat. Jika Pakatan Rakyat yang terlibat sudah pasti kami akan menyiasatnya sehingga ke akar umbi.

Yang pastinya lega sudah pasti adalah ahli-ahli Umno yang tetap setia menyokong perjuangan Umno. Yang mereka tidak suka hanyalah Presiden mereka iaitu Pak Lah. Pak Lah dikatakan hanya menurut arahan yang diberikan oleh budak Tingkat Empat. Mereka ini dikatakan lebih berkuasa daripada mana-mana Menteri. Menteri juga termaktub di bawah bidang kuasa mereka.

Salah satu punca kemarahan Tun Mahathir juga adalah berpunca dari Tingkat Empat. Apabila pengaruh Tingkat Empat dan Najib telah berjaya memegang tampuk Presiden Umno sudah tentu ia menjadi kelegaan yang besar buat Tun. Sudah pasti segala polisi dan strategi yang sebelum ini tidak dibakulsampahkan oleh Pak Lah akan kembali diguna pakai oleh Najib.

Begitu juga dengan perlantikan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno. Secara tidak langsung sesiapa jua yang memegang jawatan ini akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Pendek kata orang Umno cukup yakin gandingan ini akan kembali mengukuhkan kedudukan Umno dan mengembalikan keyakinan rakyat. Mungkin benar dan mungkin tidak. Sejarah politik Umno, sesiapa sahaja yang menjadi timbalan presiden belum tentu akan bertahan lama. Begitu juga dengan Presiden Umno. Tun Mahathir sendiri beberapa kali menghadapi situasi getir berhadapan Ku Li dan Anwar Ibrahim suatu masa dahulu.

Pendek kata, media-media Perdana cukup mensasikan kehadiran kembali Tun kepada Umno. Secara tidak langsung kita boleh melihat bahawa Umno kini sudah bersih. Sudah pulih. Kerana kuasa yang sepatutnya sudah kembali kepada tangan orang yang sepatutnya iaitu Najib. Segala salahguna kuasa, rasuah, penipuan dan apa sahaja tindakan selama ini semuanya sudah dimaafkan. Tetapi terlupa Presiden baru mereka yang pernah dilabelkan oleh Tun sebagai pengecut penuh dengan kontroversi dan skandal yang hanya menunggu masa untuk dilondehkan.

Umno adalah Umno. Memang Pakatan Rakyat memerlukan pendekatan dan strategi yang baru untuk menghadapi situasi yang baru. Juga perlu berwaspada kerana strategi yang dibantu oleh Tun Mahathir kini sedikit terencat. Namun Umno adalah Umno. Slogan hidup Melayu dan untuk bangsa,agama dan negara juga adalah retorik meskipun Presiden mereka menguna pakai istilah-istilah agama yang mereka sendiri mungkin tidak pernah hayati. Kuatkan saf dan kukuhkan tekad untuk merempuh segala tipu daya yang akan digunakan. Yang penting talian hayat dengan Yang Esa jangan sampai putus. Kerana yang pasti mereka bukanlah di dalam golongan yang benar.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails