Thursday, February 12, 2009

Politik dan Maklumat

Nampaknya semua orang mengetahui betapa pentingnya maklumat pada zaman ini. Hakikatnya ramai mengetahui maklumat pada zaman siber ini tidak lagi dapat disekat-sekat. Ia ibarat empangan besar yang kalau disekat sekali pecah bahananya boleh menyebabkan satu negeri tenggelam tidak kira siapa yang berada di dalamnya.

Ada pelbagai-bagai maklumat yang boleh diperolehi di suratkhabar, televisyen dan internet. Ada maklumat betul, tepat, separuh betul, separuh tepat, tak betul dan langsung tak tepat. Malangnya, sindrom pemerintah hari ini adalah memberi maklumat yang bersimpul-simpul dan lopong-lopong. Sudah menjadi kebiasaan maklumat itu memang dibentuk sedemikian rupa supaya rakyat hanya menelan bulat-bulat apa yang dihidang dan kepentingan setengah-setengah pihak tidak digugah.

Dengan maklumat, rakyat dapat menilai mana yang baik atau yang buruk. Yang mana kaca yang mana permata. Oleh sebab itu, tidak kira bagai mana pun sesetengah pihak akan cuba menghalang maklumat dari disampaikan. Jadi tidak pelik jika akhabar harakah dan suara keadilan dirampas. Begitu juga dengan larangan untuk berceramah di Perak oleh ketua polis negara.

Ironinya pada masa ini, suasana di Perak dimanipulasikan sebaik-baiknya oleh agen-agen media parti pemerintah. Tidak kira siang, malam, pagi dan petang setiap inci masa dan waktu dimanfaatkan sepenuhnya. Ia digunakan untuk memusing-piutkan suasana di Perak yang bergolak pada masa ini. Ia digunakan untuk menegakkan benang basah dan menghalalkan apa sahaja yang dibuat demi politik. Oleh itu, MB Nizar menjadi kambing hitam di dalam episod perampasan kuasa ini dan rakyat yang menentang perampasan kuasa yang begitu bobrok ini sebagai penderhaka.

Adalah sesuatu yang pelik jika pemerintah berada di pihak yang benar - sepertimana juga MB Perak yang baru yang sering menggunakan perkataan Allah dan Islam, tetapi dalam pada masa yang sama menekan sesuka hati MB Perak yang sah. Begitu juga dengan suara-suara yang menyeru dan menyalahkan penyokong PAS yang dilabelkan sebagai pemecah belah keharmonian masyarakat Melayu. Walhal dalam masa yang sama apa saja yang boleh dilakukan oleh mereka yang satu lagi tidak langsung menghiraukan halal dan haram, syurga dan neraka, Melayu atau bukan.

Oleh itu bukalah mata. Pandanglah dengan mata hati. Renunglah dengan maa'rifat. Sesungguhnya matlamat itu tidak menghalalkan cara. Kita di pimpin oleh Al-Quran dan hadis kerana kita adalah orang yang beragama. Janganlah hanya di dalam solat sahaja kita melafazkan 'sesungguhnya matiku, hidupku, solatku dan ibadahku hanyalah kepada Allah' tetapi di luar solat kita menjadi hamba kepada duit dan juga manusia. Jika kita berasa kita sudah terlencong dari jalan yang betul, pulanglah ke pangkal jalan. Pintu taubat itu masih terbuka.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails