Thursday, February 26, 2009

Tol - Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional

Sana-sini orang mengeluh. Sana orang kena buang kerja, sini bisnes melingkup. Harga saham merudum, banyak syarikat besar mencatatkan kerugian. Krisis ini menjalar di mana sahaja. Yang besar terkena, yang kecil lagilah. Tidak kira siapa dan di mana sahaja, sedikit sebanyak akan terpecik juga dengan kemelesetan yang sedang melanda.

Seorang ayah akan sanggup berkorban apa sahaja untuk memastikan anaknya cukup makan. Cukup pakai, boleh pergi sekolah dan gembira macam orang lain. Ayah dan ibu terpaksa ikat perut dan pakai ala kadar demi anak-anak. Itulah tanda ibu dan ayah yang baik. Yang prihatin. Tetapi apabila dia tidak peduli apa anak-anak dia makan, apa anak-anak dia pakai, boleh pergi sekolah atau tidak, itu maknanya ada sesuatu tak kena dengan si bapa. Samada si bapa memang jenis bapa yang tak guna, atau memang pentingkan diri sendiri.

Begitu juga dengan kerajaan. Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan cakna terhadap rakyat, maka perlulah dilakukan sesuatu untuk menolong golongan rakyat marhaen yang hari demi hari semakin tersempit. Walaupun harga minyak dunia turun, harga minyak Malaysia tak mau juga turun-turun. Harga barang naik walaupun harga minyak turun. Dalam masa kesempitan terus menghantui rakyat, ekonomi yang merudum menyebabkan tidak seorang rakyat malah berpuluh-puluh ribu telah dan akan kehilangan pekerjaan mereka.

Apakah peranan kerajaan di dalam situasi ini. Sebagai kerajaan yang cakna maka perlulah dibantu rakyat marhaen ini yang telah melantik mereka sebagai ketua untuk bekerja atas kepentingan rakyat. Bukan terhad kepada syarikat-syarikat besar sahaja yang mana dana suntikan modal yang bukan sedikit dijana kepada mereka. Malangnya, dalam suasana kelam kabut sebegini kerajaan terus menghadiahkan rakyat dengan kenaikan harga tol di lima lebuh raya yang berkuatkuasa Mac ini.

Samada kerajaan sebagai bapa kepada anak-anak(rakyat) ini tidak prihatin terhadap masalah mereka atau buat-buat tutup mata. Dalam masa rakyat tersempit masih ada ruang-ruang yang terbuka untuk terus orang-orang tertentu merompak rakyat secara terhormat dan berlesen. Umumnya setiap tahun syarikat konsesi-konsesi ini tidak pernah rugi, malah akan mencatatkan keuntungan yang bukan berjuta, malah berbillion-billion ringgit.

Daripada dulu lagi, rakyat telah bersuara supaya perjanjian antara kerajaan dan konsesi-konsesi ini didedahkan kepada umum. Namun ianya langsung tidak berani didedahkan atas alasan keselamatan kepada negara? Aduh, tolonglah bagi hujah yang boleh diterima oleh orang dewasa. Rakyat sudah boleh menilai sendiri mana yang baik dan buruk. Yang paling nyata, ramai orang-orang tertentu mendapat laba daripada perjanjian konsesi yang berat sebelah dan akan naik sehingga ke generasi anak cucu kita nanti.

Seeloknya kerajaan mengambil kira cadangan membeli terus konsesi-konsesi seperti PLUS dan sebagainya ini. Sebabnya, pada masa ini harga syarikat-syarikat ini tidak semahal mana kerana kejatuhan harga saham mereka di pasaran saham Bursa Kuala Lumpur. Kesempatan ini perlu diambil(sekiranya mereka cakna) terhadap nasib rakyat. Setelah proses pengambil alihan selesai, tol boleh diambil sehingga ke suatu masa ia akan diturunkan sedikit demi sedikit seterusnya dimansuhkan.

Adakah ia suatu yang mustahil? Tidak mustahil kerana rakyat akan bersetuju jika dana rakyat digunakan untuk kebaikan rakyat. Tetapi rakyat akan marah jika dana rakyat disalahgunakan untuk mengenyangkan dan menyelamatkan kroni-kroni tertentu sahaja. Sekarang terserah kepada kerajaan untuk cakna atau tidak kepada rakyat. Jika tidak rakyat akan memberi isyarat sekali lagi dalam dua pilihanraya yang terdekat ini. Sebagai makluman, tol-tol yang akan naik itu adalah PLUS, SPRINT,Akleh, Besraya dan NPE. Terima kasih kerajaan! Tutup dua tol rupa-rupanya ada makna no!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails