Sunday, February 15, 2009

Umno Derhaka Kepada Bangsa dan Bahasa

Banyak sangat input pasal Perak masuk dalam kepala sampai kepala pun berat sebelah. Isu derhaka, isu tanah, isu gila kuasa, isu katak si katak lompat dan macam-macam isu yang kadang-kadang berat, separa berat termasuk isu ringan dan separa ringan. Jadi untuk mengelakkan kepala terus menjadi teleng kita ubah sikit frekuensi hari ini kepada topik yang juga berat, melibatkan politik tetapi diimplimentasikan dalam bidang pelajaran.

Kalau sebelum ini, Umno berjaya menjadi jaguh dalam melenyapkan bahasa jawi sebagai bahasa utama dalam penulisan Melayu. Akibatnya tidak ramai lagi golongan muda yang dapat menulis dan membaca dalam bahasa jawi. Untuk membaca kitab-kitab melayu lama atau lebih dikenali sebagai 'kitab kuning' juga amat menyeksakan(tidak terkecuali penulis). Walhal, kitab-kitab ini merupakan warisan keilmuan yang amat bernilai kerana ditulis oleh ulamak-ulamak tersohor nusantara. Kita sering mengagungkan ulama-ulama di sebelah Timur Tengah - tidak salah namun kita juga sering terlupa bahawa ulama-ulama Melayu pada masa dahulu juga begitu tersohor dan bertanggungjawab mengembangkan agama yang tercinta di seluruh tanah Jawi(Melayu).

Jadi tidak salahlah jika dikatakan Umno mengikuti jejak langkah Mustafa Kamal Atarturk (Bapa Sekular Turki) yang menukar penggunaan bahasa Turki yang menggunakan bahasa arab kepada bahasa roman(rumi). Kesannya pada hari ini, warga muda Turki tidak dapat membaca dan mengeja Al-Quran seterusnya menyebabkan mereka dari hari ke sehari semakin jauh daripada ajaran Islam yang mulia. Begitu juga dengan yang terjadi di negara kita. Akibat keghairahan menggunakan bahasa rumi, bahasa jawi yang merupakan bahasa ilmu kepada agama kerana kebanyakan kitab-kitab lama ditulis dalam bahasa jawi semakin ditinggalkan. Maka lahirlah golongan-golongan ilmuwan yang menolak penggunaan kitab-kitab jawi ini dan memperlekehkan keilmuan golongan-golongan ulama nusantara.

Nah maka pada hari ini 'jaguh-jaguh' yang kononnya memperjuangkan bangsa,agama dan negara inilah yang menjadi dalang untuk mengkecutkan dan mengerdilkan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara. Jika digelar penderhaka kepada bangsa dan negara sudah tentu mereka akan melompat dan melenting. Tetapi dalam masa yang sama berapa ramaikah anak bangsa di luar bandar sana yang semakin hari semakin ketinggalan dalam sains dan matematik angkara menterinya yang sibuk mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa standard dan moden masa kini. Tidak kisahlah berapa ramai pun yang tercicir ia tidak menjadi masalah. Ini kerana setiap tahun graf-graf peperiksaan boleh diubah untuk memperlihatkan peningkatan setiap tahun. Tiada yang lain selain daripada peningkatan demi peningkatan sahaja. Betapa efisiennya sistem mata pelajaran di Malaysia.

Akhirnya kerana tidak tahan melihat anak-anak bangsa sehari demi sehari yang semakin ketinggalan dalam mata pelajaran yang diajar, maka golongan intelektual dan pejuang-pejuang bangsa ini bangkit. Daripada sasterawan negara A. Samad Said, Gapena, professor-professor bahasa dan rakyat jelata bersatu untuk meminta kerajaan mengguna pakai kembali bahasa Melayu di dalam matapelajaran sains dan matematik. Maka terbentuklah GMP ataupun Gerakan Mansuhkan PPMSI(pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris).

Jika diselidiki ternyata pelaksanaan PPSMI “tidak sah di sudut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan”.

Perkara 152(1) meperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi “maksud rasmi”) atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

“Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori “maksud rasmi”.

“Berasaskan kepada kehendak perkara 152(1) & 6 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta 550 (Akta Pendidikan 1996), adalah wajib bagi semua mata pelajaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu. Namun kerana kejaguhan oleh 'jaguh-jaguh' Umno maka mereka tetap mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris walaupun anak-anak mereka turut sama mengalami masalah dalam mata pelajaran tersebut.

Jadi sebagai warga Malaysia yang prihatin, marilah kita sama dalam himpunan 100,000 rakyat di Istana Negara pada 7 Mac ini. Perhimpunan ini perlu untuk menyatakan bantahan kita terhadap penggunaan Bahasa Inggeris. Sampai bilakah bahasa Melayu terus di anak tirikan. Bangkitlah bangsaku. Jangan sampai bahasa kita suatu hari nanti akan diletakkan di dalam keranda sama seperti Umno yang hanya menunggu masa untuk ditalkinkan. Jadi jangan lupa 7 Mac!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails