Nak tergelak ada, nak ketawa ada, nak frust menonggeng pun ada. Bila saya baca utusan online pada hari ini, air mata saya nak mengalir rasanya. Tak tahulah kerana saya suka atau kerana saya sedih. Terkejut juga apabila Pak Lah marah-marah. Ataupun dia buat-buat marah. Ataupun dia baru je mamai terkejut dari tidur. Atau.. atau...
Tajuk beritanya -
PM: Satu pengkhianatan Perbuatan sebar fitnah, bohong timbulkan persepsi negatif negara
Oleh HELMI MOHD. FOAD
PUTRAJAYA 7 Julai – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perbuatan pihak tertentu menyebarkan fitnah dan pembohongan secara meluas sehingga menimbulkan persepsi negatif yang mengetepikan kebenaran merupakan satu perbuatan khianat terhadap negara.
Sambil meminta gejala itu dihentikan segera, Perdana Menteri menegaskan, suasana yang meresahkan rakyat itu berpunca daripada tingkah laku segelintir pihak yang ternyata tidak menghormati prinsip-prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Beliau berkata, pembohongan yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan media Internet seperti laman blog dan klip video dalam YouTube merupakan usaha untuk menggemparkan fitnah-fitnah berkenaan dan ia tidak mendatangkan kebaikan kepada negara.
“Prinsip-prinsip Rukun Negara nampaknya telah ternoda. Kalau tidak banyak, sedikit demi sedikit ia mula terjejas.
“Amat menyedihkan dengan keadaan yang berlaku... semuanya datang daripada sikap, perbuatan serta tindakan kita.
“Kebenaran undang-undang kini tidak dihiraukan, kesopanan dalam hidup tidak diambil berat hatta kedaulatan raja menjadi isu seperti yang ditimbulkan dalam media,” kata Abdullah ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Menurut Abdullah, perbuatan segelintir pihak yang berusaha mewujudkan persepsi melalui pelbagai tuduhan dan cerita bohong menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat.
Katanya, gejala itu tidak memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bersopan santun dan berbudaya.
Malah, kata beliau, ia juga tidak mencerminkan bahawa rakyat negara ini mempunyai kekuatan untuk menjadi bangsa yang maju, berjaya dan menikmati kebahagiaan.
“Kita semua mesti perbetulkan gejala ini, jangan dilayani semua ini tetapi malangnya ia menjadi perkara yang sangat diminati dan menjadi buah mulut dengan cerita-cerita yang sengaja dipanjang-panjangkan,” katanya.
Abdullah mahu rakyat tidak terperangkap dengan situasi fitnah-memfitnah sekarang dan terlalu percaya kepada persepsi sehingga mengetepikan kebenaran.
“Sebenarnya apa yang benar dan tidak benar tidak dikisahkan lagi, yang penting adalah persepsi. Inilah yang mempengaruhi pemikiran, sikap serta pilihan untuk kita membuat tindakan dan keputusan tertentu,” ujarnya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu agensi-agensi penguatkuasaan seperti pasukan polis memberikan tumpuan kepada usaha memastikan keamanan dan keselamatan terus wujud di negara ini.
“Keamanan mesti menjadi keutamaan, penguatkuasaan mesti terus tegas dan berwibawa untuk menjalankan tugas. Rakyat mesti diamankan daripada rasa takut dan bimbang.
“Mereka mesti diamankan daripada rasa takut kepada kekurangan makanan, daripada segala ketakutan terhadap keselamatan diri dan keluarga.
“Rakyat mesti diyakinkan bahawa apa yang kita usahakan pada waktu ini adalah untuk masa depan yang lebih maju, berjaya, lebih selamat dan aman untuk kita semua,” tegas beliau.
Pada masa sama, Abdullah turut meminta kakitangan kerajaan memastikan pelaksanaan program-program bagi membawa kemajuan kepada rakyat dan negara terus berada pada tahap yang tertinggi.
“Kita semua sedar dan sudah nampak, hanya kita dan Tuhan yang tahu... apa yang penting kita mesti jujur dan ikhlas menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan tekun.
“Dalam pentadbiran, kita mesti tunjukkan tanggungjawab dan azam yang tinggi untuk meneruskan usaha memajukan negara dan bangsa.
“Ini cara kita bertindak. Ini menjadi ingatan kepada saya, Timbalan Perdana Menteri dan sahabat-sahabat lain bahawa kita perlu mengutamakan pembangunan demi masa depan negara dan rakyat,” katanya.
Al-kisahnya pasal berita yang sekarang terhangat di pasaran. Al-kisah bohong dan fitnah. Bohong dan fitnah. Fitnah dan bohong. Hairan juga saya, sejak bila Pak Lah begitu prihatin bercakap pasal fitnah dan bohong ini. Ke selepas Timbalan dia diserang bertalu-talu oleh bekas TPM yang dahulu.
Cerita pasal bohong ini - hairan dan ajaib. Pak Lah dah beberapa kali tipu dan bohong rakyat hidup-hidup. Namun pada hari ini sungguh ajaib. Pak Lah marah-marah pasal katanya ramai yang bohong. Guna Sms, guna blog, guna youtube. Amboi amboi. Awat Pak Lah marah kami yang budak-budak ini ka?? Kami salah gunakan teknologi ka?? Kami buat fitnah kat kerajaan yang terbaik pada hari ini katanya.
Tapi dalam masa yang sama ada sorang tua tak sedaq diri. Hidup-hidup dan siang-siang hampir semua rakyat satu negara dibohonginya. Tak kira tua ke, muda ke, budak ke, mak budak ke. Semua dia tipu tanpa pilih bulu. Hari ini cakap parlimen tak dibubarkan, alih-alih... tup-tup esok serta merta dia buat pengumuman parlimen tutup. Dia cakap minyak naik bulan lapan.. alih-alih.. tup-tup, tang-tang tu jugak malam naik, petang dia bagitau. Berlumba-lumba rakyat marhaen ni nak isi minyak.
Agaknya itu bukan bohong namanya. Ke apa namanya? Dan tiba-tiba pulak dia jadi jaguh marah orang bercakap bohong. Aduh, ibarat seorang pencuri marah kepada si pencuri lain. Ya lah agaknya dia marah pasal dia bohong banyak, orang bohong sikit. Tak faham sungguh saya, atau IQ saya ini dah makin turun ke tahap E agaknya.
Cerita pulak pasal fitnah. Masa mula-mula Pak Lah jadi PM, maka sajak yang paling glamour masa itu adalah 'Dimana Ku Cari Damai'. Nak mengelegak telinga saya mendengarnya. Daripada sekecik-kecik radio, sampai lah ke sebesar-besar gedabak televisyen yang ada. Semua dok ulang-ulang dan tayang tang tu jer. Tak ada benda lain.
Tapi bila keluar cerita pasal monsoon cup, pasal Michelle Yeoh. Barulah saya faham. Siapa sebenarnya Al-Ghazali yang Pak Lah cari. Itu tak termasuk dalam kategori fitnah ke? Dan fitnah yang terbesar pada fahaman saya yang tak berapa pandai ini - adalah Islam Hadhari.
Sampai semua orang confuse. Tak kira besar, kecik, tua dan muda. Yang bukan Islam sementelah lagi, yang Islam pun dok pening. Berapa banyak Islam ada hari ini. Islam tu ada macam-macam nama ke? Sampai lah lawak di dalam kubur, kalau nak jawab soalan kubur malaikat tanya apa agamamu. Maka jawablah olehmu - Islam Hadhariiii!!! Maka sohihlah terpukul tubuhmu oleh besi malaikat sampai masuk ke 7 lapisan bumi.
Itu bukan fitnah ke? Ke fitnah ini nak tunggu burukkan si anu dengan si anu. Si anu liwat si anu. Yang Islam Hadhari tu, bagi saya fitnah terbesar sebelum PRU-12 lalu. Namun, pasca PRU terus hilang tidak bernisan lagi Islam Hadhari ini.
Sedih oo sedih. Macam ini ke rupa pemimpin kita hari ini. Dok kutuk orang bohong dan fitnah, tapi dalam masa yang sama dia lah sang juara bohong dan fitnah. Ke Pak Lah tak bangun tidur lagi. Aduhai Pak Lah. Aduhai bohong. Aduhai fitnah!!