Bala, Altantuya didakwa konspirasi peras ugut Razak
SHAH ALAM 30 Julai - Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang diupah Abdul Razak Abdullah Baginda sebenarnya telah mengkhianati tertuduh itu apabila berkonspirasi dengan Altantuya Shaariibuu dan tiga yang lain untuk memeras ugut penganalisis politik tersebut bagi mendapatkan wang sebanyak AS$500,000 (RM1.73 juta).
Konspirasi mereka, menurut peguam Wong Kian Kheong (gambar), jelas kelihatan apabila Balasubaramaniam ketika memberikan keterangan pada tarikh lalu tidak berterus-terang menjawab soalan mengenai tuntutan Altantuya.
Peguam itu ketika berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berpendapat, sesi soal balas beliau yang panjang lebar terhadap Balasubramaniam, jelas telah menimbulkan keraguan yang munasabah apabila dia mengkhianati kepercayaan Abdul Razak yang mengupahnya untuk menjaga keselamatan diri tertuduh serta keluarga.
Sebaliknya, hujah Kian Kheong, Balasubramaniam telah berkonspirasi dengan Altantuya, Namiraa Gerelmaa (saksi pendakwa ketiga), Uuriintuya Gal-Ochir( saksi pendakwa keempat), penyiasat persendirian, Ang Chong Beng (saksi pendakwa kelima) yang diupah Altantuya untuk mengugut Abdul Razak.
Menyentuh mengenai tuntutan Altantuya yang mahukan tiga tiket penerbangan ke Mongolia daripada penganalisis politik itu, pada hemat Kian Kheong, permintaan tersebut tidak masuk akal memandangkan mereka memang sudah pun menempah tiket balik ke negara asal.
Sehubungan itu, Kian Kheong menegaskan, kredibiliti Altantuya amat diragui dan semua tuntutan yang didakwa sengaja diada-adakan. Dengan perkataan lain, sebenarnya Abdul Razak tidak tahu menahu tentang tuntutan Altantuya sebelum dan selepas pertemuan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri dan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.
"Oleh yang demikian, Abdul Razak tiada sebarang motif untuk mempengaruhi Azilah agar membunuh Altantuya akibat tuntutan wanita Mongolia terbabit," tegas Kian Kheong.
Beliau menambah, sekiranya keterangan saksi pendakwa berhubung tuntutan Altantuya dinilai sepenuhnya, setidak-tidaknya akan menimbulkan keraguan yang munasabah. Justeru itu, faedah keraguan perlu diberikan kepada Abdul Razak.
Isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan dan anak tunggal mereka, Rowena mendengar dengan penuh minat hujahan Kian Kheong pada perbicaraan kes bunuh Altantuya yang masuk hari ke-130 hari ini.
Terdahulunya, Kian Kheong menyentuh khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Abdul Razak kepada Azilah yang pada hemat beliau tidak langsung mencerminkan tindakan individu yang bersubahat untuk menjayakan pembunuhan Altantuya.
Sebaliknya, tegas peguam itu, SMS tersebut jelas membuktikan bahawa Abdul Razak hanya mahu Altantuya ditangkap polis supaya wanita itu tidak lagi mengganggunya.
Malahan, SMS yang dihantar Abdul Razak kepada Azilah selepas kematian Altantuya jika dibaca menggambarkan dia sebenarnya menganggap wanita itu masih hidup dan akan tetap mengganggu dirinya.
Selesai menyampaikan keseluruhan hujah, Kian Kheong memohon supaya Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin melepaskan dan membebaskan Abdul Razak tanpa perlu membela diri ekoran kegagalan pendakwa raya membuktikan elemen persubahatan dalam kertas pertuduhan.
Dalam kes itu, Cif Inspektor, Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dituduh membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Sementara Abdul Razak, 48, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul membunuh Altantuya.
Perbicaraan bersambung 4 Ogos ini.
No comments:
Post a Comment