Thursday, June 26, 2008

Kerjasama PAS dan Umno - Presiden PAS Akhirnya Bersuara

Akhirnya, barulah terdengar penafian oleh Presiden PAS akan perihal kerjasama antara PAS dan UMNO. Boleh rujuk di sini. Tuan Guru membidas kenyataan yang dimainkan setengah-setengah pihak berhubung perkara itu dan menyatakan bahawa ia adalah satu fitnah semata-mata.

Saya mengalu-alukan kenyataan Tuan Guru itu. Memang penyokong-penyokong akar umbi sedang berada di dalam kebingungan dan tertanya-tanya akan perkara ini. Hendak dikatakan ia hanya permainan politik semata-mata, banyak pihak dalam masa yang sama tidak menafikan dan seolah-olah senada dengannya.

Kenyataan Tuan Presiden itu menjelaskan perkara yang jelas samar. Namun begitu, perkara ini dijelaskan begitu lewat. Ramai yang tertanya-tanya mengapakah ia mengambil masa yang begitu lama untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Umum mengetahui bahawa internet kini memainkan peranan utama sebagai media alternatif di negara ini. Golongan yang dahagakan berita-berita yang tulus dan benar sentiasa mencari sesuatu perkara melalui internet dan blog untuk menangkis serangan-serangan dari media-media utama yang sudah jelas kerjanya sentiasa untuk memburukkan mana-mana pihak yang tidak sealiran dengannya.

Oleh itu, kita juga perlu berwaspada. Senjata ini jika digunakan secara baik boleh membawa kebaikan seperti keputusan PRU-12 baru-baru ini. Namun, ia juga boleh menjadi senjata berbisa yang akan menikam sesiapa sahaja yang alpa dan lupa. Dalam hal ini, isu kerjasama ini turut dimainkan oleh banyak pihak di blog-blog dan internet-internet. Nama beberapa pemimpin tertinggi PAS juga turut dikaitkan dengan usaha-usaha ke arah kerjasama ini.

Oleh itu, kita meminta supaya Tuan Presiden turut menggunakan internet dan blog sebagai medium bagi menjelaskan perkara-perkara sensitif yang berkaitan. Jangan biarkan kami di akar umbi ini yang kebingungan. Kita tidak mahu membenci sesuatu perkara, namun dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin kita berusaha mendekati mereka-mereka yang dibenci ini. Mungkin pandangan kami dan mereka amat berbeza. Namun, kami di bawah ini tidak mempunyai kepentingan dan lebih peka dengan perjuangan parti.

Sudah jelas, UMNO telah bergelumang dengan segala korupsi, rasuah dan gejala-gejala yang jelas bercanggah dengan Islam. Oleh itu jika mahu berkerjasama sekalipun syarat utama adalah Islam. Sepertimana kata Mursyidul Am PAS iaitu Tuan Guru Nik Aziz, kita akan membubarkan PAS jika Umno sedia memperjuangkan Islam sebagai asas. Jika kita menjaga agama, secara automatik bangsa juga akan turut terjaga.

Banyak isu yang perlu dijelaskan dengan tepat dan pantas. Oleh itu, kita perlu memperkasakan lagi teknologi internet dan blog ini untuk kebaikan bersama. Dalam masa yang sama, maklumat yang tepat diperlukan oleh akar umbi untuk bersama-sama menggerakkan jentera parti.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails