Wednesday, June 18, 2008

Mengapa Mesti Minta Maaf??

Nampaknya, isu konsert Ella & Mas Idayu pada pertandingan bola sepak Piala Sultan Selangor benar-benar panas. Atau sengahaja diperbesar-besarkan oleh orang-orang yang memang suka mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan orang lain. Dan dalam masa yang sama, untuk memberi imej yang tidak baik kepada orang-orang tertentu.

Tetapi apabila al-Sultan Selangor masuk campur sudah lain jadinya. Almaklumlah, piala itu Sultan yang punya. Mungkin al-Sultan merasakan berhak untuk bersuara. Tetapi rasanya ia bersuara dalam konteks yang salah. Yang ditegur atau (dimurkai) itu ialah orang yang ingin menghalang perkara yang tidak selari dengan syariah dan maksiat, bukan yang ditegur itu orang yang melakukan perkara yang bertentangan dengan syariah dan maksiat itu sendiri.

Dalam kapasiti sebagai ketua agama Islam, di sini al-Sultan perlu bertindak dengan bijaksana. Sebagai ketua agama Islam, baginda perlu memelihara nilai-nilai suci dan ajaran Islam yang sebenar. Jangan bertindak disebabkan atas kapasiti kuasa dan emosi semata-mata. Tegur secara bijaksana dan tidak tersilap tindakan.

Saya juga seperti Bakaq, mengharapkan Pemuda PAS Selangor tidak meminta maaf jika berjumpa dengan baginda Sultan. Bertemu dengan Sultan bukan satu tugas yang calang-calang. Ia bukan bermaksud untuk menentang Sultan jika tidak meminta maaf, tetapi perlu untuk menjelaskan matlamat dan maksud sebenar bantahan yang dikemukakan. Menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Orang hanya minta maaf, apabila telah melakukan kesalahan. Seperti di Terengganu, apabila kes 'natang' terjadi, semestinya kejadian meminta maaf itu terjadi. Namun, tidak terjadi. Sama perihalnya apabila Lim Kit Siang meminta ahli-ahli dun DAP memboikot majlis angkat sumpah menteri besar, maka ia telah menyebabkan al-Sultan Perak murka. Maka kejadian meminta maaf itu sepatutnya terjadi dan telah terjadi.

Di dalam kes ini, tiada kesalahan dilakukan. Jika apabila kita mencegah maksiat itu salah dan perlu meminta maaf, lain sudah maksudnya. Berani kerana benar, takut kerana salah. Kepada pemuda PAS Selangor, itu lah duri-duri perjuangan yang perlu dilalui. Jangan takut dan usah sekali-kali gentar, walaupun mengucapkannya jauh lebih senang daripada melakukannya. Walaupun hanya tinggal seorang diri, perjuangan yang hak perlu diteruskan. Kerana kita bukan mahu redha manusia dengan kemurkaan Allah, tetapi keredhaan Allahlah yang dicari walaupun dengan kemarahan manusia.

Semoga Sultan dapat menjalankan tugasnya sebagai ketua agama Islam dan adat-istiadat Melayu dengan adil dan saksama. Juga mampu untuk mengendurkan lagi keadaan yang tegang agaknya(kalau tegang). Pemerintah yang adil dijanjikan perlindungan di bawah 'Arasy'nya semasa kacau-bilau dan huru-hara di masyhar kelak.

1 comment:

Anonymous said...

Pemuda PAS tak perlu minta maaf. Mereka cuma perlu membawa bukti-bukti kukuh bahawa 'pelbagai aktiviti' berlaku semasa konsert.

Kalau tiada bukti, terpaksalah ambil bukti baru, dan ambil 'lesson learnt' iaitu sebelum ke medan perang, pakailah 'flak jacket' (sebelum nak bantah, beri sebab-sebab dan bukti-bukti yang kukuh). Setakat laporan 540 kondom bersepah sahaja tidak cukup tanpa gambar atau video sebagai bukti.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails